Friday, September 23, 2011

Sebahagian Sunnah yang dilupakan (1)

Tulisan: Haifa’ binti ‘Abdullah al-Rasyid
Tajuk: Talkhis Kitab al-Wasiyyah bi Ba’dh al-Sunan Syibh al-Mansiyyah
(تلخيض كتاب الوصية ببعض السنن شبه المنسية)
Diterjemahkan oleh: Mohamad Abdul Kadir bin Sahak (Bin Sahak)

Pendahuluan

Segala pujian untuk Allah tuhan sekelian alam, selawat dan salam ke atas Rasul SAW, Ahli keluarga, para sahabat baginda dan sesiapa yang mengikut mereka dengan baik sehingga ke hari kiamat.
أما بعد

Tidak tersembunyi lagi ke atas seorang muslim akan kepentingan dan keperluan memberi tumpuan kepada sunnah Nabi dari sudut ilmu dan pengamalan. Terlalu banyak bukti-bukti dari al-Quran dan al-Sunnah dalam memberi galakan dan perangsang agar memelihara sunnah dan tetap di atasnya, demikian juga larangan dari menyalahinya. Hal ini demikian kerana petunjuk Rasulullah SAW adalah sebaik-baik petunjuk. Jabir meriwayatkan dari Nabi SAW yang bersabda:

Mafhumnya: “Dan sebaik-baik petunjuk itu adalah petunjuk Muhammad SAW.”
Daripada ‘Irbadh bin Sariah pula Nabi SAW bersabda:

”…ke atas kamu semua sunnahku dan sunnah para khulafa al-Rasyidin al-Mahdiyyin, berpegang teguhlah dengannya, dan gigitlah ia dengan geraham kamu.”
(HR Abu Daud 4607 dan al-Tirmizi 2676)

Sepertimana mengikut Nabi SAW itu merupakan bukti kebenaran cinta seseorang hamba kepada Allah, ia juga merupakan sebab utama kecintaan Allah kepada seseorang hambaNya itu, sebagaimana firman Allah SWT:

Mafhumnya: “Katakanlah (wahai Muhammad), sekiranya kamu semua cintakan Allah, maka ikutlah daku (Nabi Muhammad SAW).”
Sabda Nabi SAW:

Mafhumnya: “Sesiapa yang memulakan di dalam islam satu sunnah yang baik, maka untuknya pahala amalannya dan pahala orang yang mengikut contohnya selepas dari itu, tanpa berkurangan pahala-pahala mereka sedikitpun.” (HR Muslim 1017)

Al-‘Allamah Ibn ‘Uthaimin RH berkata:

Mafhumnya: “Sesuatu sunnah yang telah ditinggalkan, kemudian sunnah itu diamal dan dihidupkan oleh seseorang insan, maka orang ini dinamakan: dia telah memulakan, iaitu menghidupkannya (sunnah tersebut), sekalipun bukan dia yang menciptakan sunnah itu.” (Fatwa Ibn ‘Uthaimin)
Beliau berkata lagi:

Mafhumnya: “Sesungguhnya ketikamana sesuatu sunnah itu diabaikan, maka mengamalkan sunnah tersebut adalah lebih dituntut supaya dapat memperolehi kelebihan beramal dan menyebarkannya kepada orang ramai.” (Manasik al-Hajj wa al-‘Umrah)

Oleh kerana saya melihat kebanyakan orang amat jauh dari petunjuk Nabi SAW dan sebahagian mereka berpaling pula kepada perkara-perkara rekaan, maka saya berhasrat untuk menghimpunkan sebahagian sunnah yang hampir ditinggalkan oleh kebanyakan umat Islam, semoga Allah menjadikan saya dari kalangan orang yang menghidupkan sunnah yang telah dimatikan (ditinggalkan), seterusnya saya memperolehi ganjaran dan pahala dari Allah Jalla wa ‘ula.

Segala pujian milik Allah, telah sempurna himpunan 102 sunnah yang kurang diamalkan atau yang diabaikan oleh orang ramai di dalam buku yang saya namakan: al-Wasiyyah bi Ba’dh al-Sunan Syibh al-Munsiyyah, dan telah sempurna juga kerja-kerja meringkaskannya di dalam risalah ini, bagi memudahkan penerimaan, edaran dan penyebarannya agar ia sampai ke seramai mungkin dari kalangan umat Islam dan mereka menerima manfaatnya dengan izin Allah. Sesiapa yang inginkan keterangan yang lebih panjang, maka dicadangkan untuk mendapatkan buku yang asal.

Saya memohon kepada Allah untuk mentaufiqkan kita untuk mengikut al-Quran dan petunjuk Rasulullah SAW, dan menjadikan kita dari kalangan para pendakwah yang baik.
Selawat dan Salam ke atas Nabi Muhammad, ahli keluarga dan para sahabat baginda semuanya.

0 comments: