Showing posts with label al-Kasf al-Jaliy 'An Zhulumat Rabi' al-Madkhali. Show all posts
Showing posts with label al-Kasf al-Jaliy 'An Zhulumat Rabi' al-Madkhali. Show all posts

Monday, October 8, 2012

al-Kasf (6)

Bab Pertama: KESALAHAN-KESALAHAN DR. RABI’ DARI SUDUT MANHAJ

Baca terlebih dahulu:

Siri (1)
Siri (2)
Siri (3)
Siri (4)
Siri (5)

Kitab “Adhwa’ Islamiah ‘Ala ‘Aqidah Syed Qutb wa Fikrih” termasuk di dalam himpunan kitab Naqd wa Taqwim al-Rijal, tajuk Naqd al-Rijal merupasan satu tajuk yang amat merbahaya, medan yang amat luas, bagi sesiapa yang ingin menempuh kajiannya, perlulah berkeahlian untuk memasukinya, mempersiapkan kelengkapannya, mengasah pemikirannya dan memantapkan diri dan nafsu, dimana dia dari semua itu! Memadailah firman Allah Ta’ala:

Mafhumnya: “Maka bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu” (al-Taghabun: 16)

          Para ulama hadis merupakan mereka yang terbaik dalam meletakkan garis-garis ketetapan dan mengasaskan ilmu ini, kerana itu digabungkan ilmu yang Jami’ iaitulah ilmu “al-Jarh wa al-Ta’dil”, bahkan al-Hakim[1] telah menjadika al-Jarh wa al-Ta’dil ini sebagai dua cabang ilmu yang berasingan.[2]

          Berkaitan dengan ilmu ini, manusia memiliki pendirian yang berbeza, mereka terbahagi kepada tiga golongan:

Pertama: Sekumpulan yang menutup serapat-rapatnya pintu Kritikan Terhadap Tokoh dan menganggap kritik tersebut termasuk di dalam Ghibah. Mereka membantah para ulama al-Jarh wa al-Ta’dil disebabkan ilmu ini. Hal ini seperti yang dinyatakan oleh Ibn al-Mubarak: “Apakah kamu melakukan ghibah terhadap orang ramai?!” [3] Yusuf bin al-Husain al-Razi al-Sufi pula pernah masuk bertemu dengan ‘Abdul Rahman bin Abi Hatim – dikatakan beliau salah seorang dari al-Abdal – sedang membaca kitab al-Jarh wa al-Ta’dil kepada anak-anak muridnya, lalu kata Yusuf bin al-Husain: “Wahai Abu Muhammad, apa yang engkau baca kepada orang ramai ini?” Jawab Abu Muhammad: “Kitab yang aku tulis berkaitan al-Jarh wa al-Ta’dil.” Beliau bertanya: “Apakah al-Jarh wa al-Ta’dil itu?” Jawab beliau: “Membongkar keadaan-keadaan ahli ilmu, siapa dari kalangan mereka yang thiqah dan siapa pula yang tidak thiqah.”  Lalu Yusuf bin al-Husain berkata: “Aku berasa malu kepadamu wahai Abu Muhammad, berapa ramai dari kalangan mereka (ahli ilmu yang engkau sebut-sebutkan tentang mereka), tunggangan mereka telahpun mendarat ke dalam syurga sejak 100 dan 200 tahun yang lalu, sedang kamu masih menyebut dan melakukan ghibah terhadap mereka di atas muka bumi.”  Mendengar perkataan Yusuf bin al-Husain ini menyebabkan Abdul Rahman menangis lalu berkata: “Wahai Abu Ya’kub, sekiranya aku mendengar perkataan mu ini sebelum aku menulis kitab ini, sudah tentu aku tidak akan menulisnya.” [4] Demikilah juga perkataan yang diungkapkan oleh ramai lagi individu selain beliau. Bahkan sebahagian orang telah mengingkari salah seorang Imam dalam ilmu ini iaitulah Yahya bin Ma’in, mereka merangkapkan beberapa rangkap syair untuknya dengan berkata:

“Dan bagi Ibn Ma’in itu ada perkataannya terhadap para tokoh,
Dia akan ditanya tentang perkara tersebut, dan ketika itu Tuhan al-Malik menjadi saksi.
Jika apa yang dikatakannya benar, maka perkataan itu berada pada hukum Ghibah.
Jika apa yang dikatakannya itu dusta, maka balasannya amat-amatlah berat.”[5]

Demikian inilah pandangan sebahagian mereka berkenaan kritikan terhadap para tokoh, dan mereka menganggapnya sebagai suatu yang haram dan berdosa.

Kedua: Berlawanan dengan kumpulan pertama, kumpulan ini telah membuka salah satu pintunya, mereka berbicara tentang orang ramai melebihi keperluan, mereka melakukan tajrih (mengkritik) pada para periwayat terhadap perkara-perkara yang tidak termasuk dalam persoalan periwayatan. Kurang yang bebas dari persoalan ini sehinggakan pembesar-pembesar ulama dalam ilmu ini, seperti yang berlaku kepada Ibn Ma’in, semoga Allah merahmatinya dan mengampunkannya. Dimana ketika beliau menyebut tentang “Marwan bin al-Hakm”, beliau berkata: 

“Dia seorang yang bermulut busuk, dan seorang lelaki yang jahat.” 

Kerana itu para Imam tidak menerima perkataanya yang seumpama ini – sekalipun dia memiliki kedudukan yang tinggi – kerana beliau melampaui batas-batas rukhsah dalam memberi hukumannya. Ini kerana:

فالأصل أن الكلام في الناس حرام، بل من الكبائر، ولئن فتح بابه لمصلحة من المصالح الشرعية، فلا يجوز تخطي قدر الرخصة والضرورة

Maksudnya: “Hukum asal bahawa berbicara tentang orang ramai itu adalah haram, bahkan ia termasuk di dalam dosa-dosa besar. Sekalipun ia dibenarkan adalah bertujuan menjaga salah satu maslahah agama, maka tidak boleh melangkah lebih dari kadar keringanan dan keperluan ini.”

Oleh itu mereka yang adil dan insaf, para ulama al-Jarh wa al-Ta’dil berada di jalan pertengahan, mereka membuka pintunya (al-Jarh wa al-Ta’dil) dengan berhati-hati bagi memelihara agama Allah, juga untuk memastikan tidak berlakunya perdagangan terhadap hadis Rasulullah SAW. Justeru ketika Abu Bakr bin Khalad membantah Yahya bin Sa’id ketika beliau membicarakan tentang tokoh, kata Abu Bakr bin Khallad kepadanya:

“Tidakkah kamu takut, mereka yang kamu tinggalkan hadisnya akan membantah kamu di hadapan Allah di akhirat kelak?” Jawab Abu Bakr bin Khalad: “Jika mereka yang membantah aku, lebih aku suka berbanding jika yang membantah aku itu adalah Rasulullah SAW dengan baginda bertanya kepadaku: “Mengapa kamu menyampaikan satu hadis dariku, dimana kamu tahu hadis itu adalah dusta (tidak sahih dariku)?” 

Benarlah perkataan beliau ini, kerana Rasulullah SAW telah bersabda:

من حدث عني حديثا، وهو يرى أنه كذب فهو أحد الكاذبين

Mafhumnya: “ Sesiapa yang meriwayatkan dariku satu hadis yang diketahuinya hadis itu adalah dusta (bukan dariku), maka dia adalah salah seorang dari para pendusta.” (HR Ibn Abi Syaibah di dalam al-Musannaf, Muslim di dalam al-Muqaddimah, Ahmad, Ibn Majah. Hadis Sahih)

Tidak tercapai tujuan ini (memelihara hadis Nabi dari diperdagangkan) melainkan perlu disemak setiap periwayat. Oleh yang demikian, sesuatu perkara yang tidak dapat tercapai perkara wajib melainkan dengannya, maka perkara itu juga menjadi wajib. Justeru tidak dikategorikan mengkritik para periwayat dan seumpamanya hanya sebagai harus, bahkan ia telah menjadi sesuatu yang wajib bagi yang berkeahlian, ia tidak termasuk di dalam Ghibah, sekalipun kita menerima penamaan ini, akan tetapi hukumnya bukan Ghibah, sebaliknya Ghibah dengan hukum Qurbah. kerana itu Syu’bah berkata: 

“Marilah kamu semua, kita melakukan Ghibah kerana Allah.”[6] beliau memaksudkan di sini terhadap perkataannya berkaitan al-Jarh wa al-Ta’dil.

Cumanya para ulama ini, sekalipun tujuan mereka untuk memelihara agama agar tidak tersebar pendustaan dan sesuatu yang tidak benar di dalamnya, mereka membuka pintu ini dalam penuh berhati-hati, mereka membicarakan persoalan ini sekadar keperluannya sahaja, mereka sedar bahawa medan yang mereka tempoh tersebut penuh dengan kemerbahayaan. Pintu yang mereka buka ini diancam dengan api neraka, bahkan mereka sendiri telah jelaskan bahawa:

أن أعراض المسلمين حفرة من حفر النار، وقف على شفيرها طائفتان من المسلمين: المحدثون و الحكام

Maksudnya: “Bahawa (sesiapa yang menjatuhkan) maruah orang Islam, ia merupakan satu lubang dari lubang-lubang neraka. Telah berada dipinggir neraka dua kumpulan dari umat Islam iaitulah para ulama hadis dan para pemerintah” [7]  

Kerana itu para ulama sentiasa mengawasi hukum boleh menjatuhkan maruah orang Islam yang merupakan penyebab boleh terjatuh ke dalam neraka ini dengan dua benteng, mereka tidak mengabaikan kedua-dua benteng ini, bagi sesiapa yang menempuh dan melangkah masuk ke medan ini. Dua benteng tersebut ialah:

bersambung ke siri (7)



[1] iaitulah al-Hafiz al-Kabir Imam al-Muhaddith Abu ‘Abdillah Muhammad bin ‘Abdillah bin Muhammad bin Hamdawaih bin Nu’aim yang lebih dikenali sebagai Ibn al-Bayyi’, memiliki banyak tulisan, lahir pada tahun 321H, meninggal 405H. Mempelajari hadis dari usia kecil dengan pemerhatian dari bapa dan bapa saudaranya
[2] Ma’rifah Ulum al-Hadis, hal: 52
[3] Syarh ‘Ilal al-Tirmizi oleh Ibb Rajab
[4] Al-Kifayah fi ‘Ilm al-Riwayah, hal: 38
[5] Al-Kifayah fi ‘Ilm al-Riwayat, hal: 38. Syaraf Ashab al-Hadis, hal: 124.
[6] Al-Kifayah, hal: 45, dan Muqaddimah al-Kamil 1/69.
[7] Perkataan ini merupakan perkataan Ibn Daqiq al-‘Ied. Al-Iqtirah, hal: 61.

Friday, October 5, 2012

al-Kasf (5)


Baca terlebih dahulu:


Siri (1)
Siri (2)
Siri (3)
Siri (4)


Antaranya beliau menjadikan hujjah bagi manhajnya dengan berkata: “Sesungguhnya para imam umat Islam berbicara tentang Ahl al-Bid’ah dan para periwayat, mereka tidak mengisyaratkan sesuatupun yang menunjukkan wajib atau mereka mensyaratkan melakukan muwazanah. Mereka telah menulis beberapa kitab al-Jarh wa al-Ta’dil... (hingga ke akhir perkataannya)”[2] lalu Dr. Rabi’ menyebut beberapa tulisan para imam dalam ilmu tersebut, kemudian mengulangi bahawa mereka “Tidak mensyaratkan muwazanah ini (dalam melakukan kritikan).” Berikut beberapa pemerhatian ke atas perkataan Dr. Rabi’ ini:

Pertama: Perkataan para imam dalam perkara-perkara bid’ah dan ahli bid’ah tidak sepertimana manhaj Dr. Rabi’. Sebaliknya para ulama melakukan pertimbangan antara kebaikan-kebaikan dan kesalahan-kesalahan mereka yang tiada keuzuran.  Ketikamana kesalahan-kesalahan yang tiada keuzuran itu yang terserlah, maka dikeluarkan hukum kepada mereka sebagai hukum bid’ah. Setelah itu anda tidak bersalah jika menyebut salah seorang dari mereka kerana salah satu sebab dari sebab-sebab yang dibenarkan, dimana anda tidak menyebut melainkan aib mereka bertujuan memberi peringatan kepada orang ramai dari orang tersebut atau agar mereka tidak tertipu dengan mereka.  Sebaliknya Dr. Rabi’ tidak menjadikan tajuk khas untuk ahli bid’ah, sebaliknya beliau memilih untuk mengkritik tokoh-tokoh secara mutlak. Beliau juga tidak mengkhususkan mengkritik golongan-golongan sesat sebaliknya kumpulan-kumpulan umum.

Kedua: Apa yang dikatakan terhadap ahli bid'ah, terdapat di dalam al-Dhuafa' (kitab senarai nama-nama perawi yang dhoief). Para ulama juga tidak melahirkan para periwayat yang lemah (dhuafa') di dalam kitab mereka (al-dhuafa'), dan tidak menghukum mereka sebagai dhoief, melainkan setelah dinilai dengan timbangan yang adil – bukan hanya dengan sebelah timbangan – setelah itu, jika yang terserlah adalah kelemahan dan kesalahan, barulah mereka tergolong dalam Dhu’afa’.

Ketiga: Selain itu, nama-nama yang tersenarai dalam kitab-kitab al-Dhu’afa, bukanlah semestinya tercela secara mutlak. Sebaliknya yang tercela itu adalah riwayat mereka, kebiasaannya para ulama menyentuh al-Jarh wa al-Ta’dil dari sudut ini. Kadang-kala mereka adalah orang-orang yang saleh dari sudut agama, hanya lemah dari sudut periwayatan. Kerana itu perbincangan kitab-kitab al-Dhu’afa adalah khas dari sudut periwayatan. Bukanlah suatu yang pelik apabila pemilik kitab-kitab al-Dhu’afa akan hanya tertumpu pada membicarakan apa-apa yang ada kaitan dengan periwayatan seperti perkataan mereka: "Orang itu Mungkar al-Hadis", "bukan seorang yang kuat" dan seumpamanya. Inilah dia titik hukum yang diberikan kepada seseorang periwayat oleh pemilik sesuatu kitab al-Dhu’afa.

Akan tetapi perkataan Dr. Rabi’ mewujudkan kesamaran kepada pembaca, (kononnya) nama-nama yang tercatit di dalam kitab-kitab Dhu’afa dan Majruhin telah melalui manhaj yang diserunya. Sama sekali tidak, bahkan mereka telah melalui peringkat al-Muwazanah, setelah itu mereka gagal (sekalipun telah melalui proses muwazanah). [ambil satu contoh: seperti yang terdapat di dalam Dhu’afa oleh al-Zahabi ketika beliau memperkenalkan Jisr bin al-Hasan al-Kufi. Al-Zahabi berpada dengan menyebut: “al-Nasaie telah melemahkannya.” Mengapa? Kerana al-Zahabi telah melakukan timbangan di dalam bukunya al-Mizan, beliau menyebut:  “al-Nasaie telah melemahkannya.” Al-Jauzajani pula berkata: “Wahiy al-Hadis.” Berkata Ibn Ma’ien: “Tiada apa-apa.” Berkata Abu Hatim: “Tidak aku melihat masalah padanya.”  Maka kitab al-Mizan yang ditulis oleh al-Zahabi terdapat di dalamnya pemeriksaan/penilaian, maka ia merangkumi al-Jarh wa al-Ta’dil, ketikamana terserlah al-Jarh, maka tidak disyaratkan diistishabkan al-Tauthiq (pengekalan penthiqahan), maka dimanakah Dr. Rabi’ dari manhaj seumpama ini?], di samping terdapat juga selain mereka yang berjaya (melalui proses muwazanah), sehingga melayakkan nama-nama mereka tersenarai di dalam kitab al-Thiqat, yang tidak dinyatakan oleh Dr. Rabi’ sesuatupun tentang mereka, seolah-olah tiada sebarang rasa lunak antara beliau dan mereka.

Keempat: sekalipun kitab-kitab yang menyebut para perawi dhoief (Dhu’afa’) yang disebut oleh beliau (Dr. Rabi’), beliau tidak memberi sebahagian contoh, apakah benar di dalamnya membuktikan dakwaan Dr. Rabi’ kononnya para Imam tidak menyebut selain dari keaiban dan keburukan? Sama sekali tidak, bahkan kitab-kitab al-Dhu’afa’ sekalipun, ada dinyatakan di dalamnya al-Ta’dil dan al-Tajrih, untuk pembaca sebahagian contoh yang telah disembunyikan oleh Dr. Rabi’:

Pertama: Kitab al-Mughniy fi al-Dhu’afa’ oleh al-Zahabi

o   JABIR BIN YAZID AL-JU’FI – Beliau merupakan salah seorang dari ketua-ketua ahli bid’ah – telah ditohmah dengan tohmahan-tohmahan yang besar, dalam keadaan sedemikian, ketika memperkenalkannya al-Zahabi berkata: “Seorang yang masyhur dan ‘Alim, Thu’bah, al-Thauriy dan selainnya telah menghukum beliau sebagai Thiqah.” Abu Daud pula berkata: “(Beliau) tidaklah kuat di sisiku”. Al-Nasaie pula berkata: “(beliau seorang) Matruk.” dan sebahagian ulama lain pula telah menghukum beliau sebagai seorang perawi dusta. Berkata Ibn Ma’in: “Tidak ditulis hadis darinya.” Beliau mati pada tahun 128 H.”

Kedua: Kitab al-Kamil fi Dhu’afa’ al-Rijal oleh Ibn ‘Adiy.

o   AL-HARITH BIN HASIRAH AL-AZDIY, ABU NUKMAN AL-KUFIY. Ibn ‘Adiy berkata: “Jika al-Kuffiyun (orang-orang Kufah) meriwayatkan darinya, secara umumnya riwayat al-Kufiyyin darinya tentang kelebihan Ahl al-Bait. Apabila meriwayatkan darinya ‘Abd al-Wahid bin Ziyad dan al-Basriyun (orang-orang Basrah), mereka meriwayatkan daripadanya riwayat-riwayat yang berbagai, beliau (al-Harith bin Hasirah) pula tergolong dari orang-orang yang cenderung kepada Syi’ah. Bersama dengan kelemahannya itu, ditulis juga hadis darinya. Ibn Ma’in berkata: “al-Harith bin Hasirah, seorang Khasyabiy Thiqah (خشبي ثقة).” Abu Ahmad al-Zubairiy pula berkata: “Harith bin Hasirah dan Uthman Abu al-Yaqzan beriman dengan al-Raj’ah.” 

Ketiga: al-Majruhin oleh Ibn Hibban.

o   Al-JARRAH BIN MALIH BIN 'ADIY, ABU WAKI' AL-KUFIY. Berkata Ibn Hibban: “Beliau seorang yang membalik-balikkan sanad, dan menjadikan hadis Mursal sebagai Marfu’. Yahya bin Ma’in menganggapnya sebagai  pemalsu hadis. Abu al-Walid Hisyam bin ‘Abd al-Malik dan Abu Daud menthiqahkannya, demikian juga Yahya bin Ma’in berdasarkan riwayat ‘Abbas al-Duriy daripadanya. Abu Hatim al-Raziy pula berkata: “Ditulis hadis daripadanya, dan tidak dijadikan hujjah dengannya.” Berkata pula al-‘Ijliy: “Tidak mengapa dengannya, anaknya lebih mulia (أنبل) darinya.” Berkata pula al-Azdiy: “Ada perkataan ulama terhadapnya, beliau bukanlah seorang yang direstui di sisi para ulama.” Berkata pula Muhammad bin ‘Abdillah bin ‘Ammar al-Mausiliy: “(Beliau) seorang yang lemah.” Al-Nasaie pula berkata: “Tidak mengapa dengan beliau.” Berkata pula al-Daraqutniy: “Tiada apa-apa, beliau seorang yang banyak kesamaran, dan tidak diambil iktibar dengannya.”

Memadailah kami sertakan kitab-kitab ini yang mengandungi Anzal al-Maratib di dalam al-Jarh. Dalam masa yang sama tidak terkecuali di dalamnya disebut juga kebaikan-kebaikan (para periwayat yang dilemahkan) – sekalipun ia bukanlah suatu yang mesti untuk disebut kebaikan-kebaikan tersebut – ini semua menjadi bukti bagaimana jauhnya Dr. Rabi’ dari manhaj Ahli Ilmu, menzahirkan juga beliau menjadi seolah-oleh kebudakan (متطفل tiada nilai/tidak diundang) di medan para ulama.

bersambung...

Thursday, October 4, 2012

al-Kasf (4)

Baca terlebih dahulu:

Siri (1)
Siri (2)
Siri (3)


Di dalam bantahan ini, pembaca akan dapati Syed Qutb berlepas diri dari tuduhan yang dilontarkan oleh Dr. Rabi’, dan kebanyakan tuduhan tersebut pula sebagaimana yang akan jelas nanti insyaAllah, adalah semata-mata tuduhan yang tiada bukti. Dan kebanyakan apa yang diperkatakan oleh Syed Qutb bertentangan dengan tuduhan tersebut. (Sememangnya) Terdapat pada perkataan Syed Qutb RH sesuatu yang boleh menyokong tohmahan tersebut, akan tetapi terdapat juga dalam perkataan Syed Qutb yang menunjukkan beliau menarik balik perkataannya itu. Cumanya Dr. Rabi’, semoga Allah memberi hidayah kepadanya dan kita juga, beliau sengaja memberi tumpuan untuk membuat tohmahan kepada Syed Qutb, lalu beliau tidak mengendahkan perkataan Syed Qutb yang menjadikan beliau bebas dari tohmahan tersebut, sama juga dengan perkataan Syed Qutb yang boleh mewujudkan tohmahan, dalam masa yang sama tidak ada perkataan lain darinya yang menunjukkan beliau menarik balik perkataannya itu, perkara seumpama ini merupakan kesilapan-kesilapan yang berlaku kerana keuzuran yang banyak. Perkara sebegini pula hanya terhad (tidak banyak).

Bantahan ini juga akan menyentuh sejumlah kajian-kajian manhajiah dimana Dr. Rabi’ telah menyalahi Manhaj yang benar dalam al-Jarh wa al-Ta’dil, sehingga melayakkan manhaj beliau dinamakan sebagai al-Jarh wa al-Tajrih, manhaj ini adalah merbahaya, rumusannya iaitulah harus membongkar keaiban tokoh-tokoh, kitab-kitab dan golongan-golongan tertentu tanpa perlu menyebut kebaikan mereka dengan alasan-alasan yang lucu dan memeranjatkan. Memadailah pada permulaan ini kami bawakan satu contoh ayat al-Quran yang beliau (Dr. Rabi’) jadikan sokongan untuk menyokong mazhabnya. Kata Dr. Rabi’: “Allah Taala berfirman:

Mafhumnya: “1. binasalah kedua-dua tangan abu lahab, dan binasalah ia bersama! 2. hartanya dan Segala Yang diusahakannya, tidak dapat menolongnya. 3. ia akan menderita bakaran api neraka Yang marak menjulang. 4. dan juga isterinya, seorang perempuan pemunggah kayu api. - 5. di lehernya sejenis tali, dari tali-tali Yang dipintal.” (al-Masad: 1-5)

(Dr. Rabi’ menyambung) Tidak diragukan lagi bahawa Abu Lahab dan isterinya memiliki banyak  kebaikan, mereka termasuk keluarga yang memiliki kemuliaan dan keagungan, akan tetapi kekufuran dan pendirian buruk mereka terhadap Rasul SAW memusnahkan semua kebaikan-kebaikan mereka.

Demikian itu manhaj salah[1] yang menjadikan manhaj rabbaniy ini pula yang tidak adil, Maha Tinggi Allah dengan ketinggian yang bersangatan dari anggapan ini.” [al-Manhaj. Hal: 24-25)

          Pada pandangan Dr. Rabi', dengan celaan Allah Azza wa Jalla terhadap Abu Lahab dan isterinya, dalam masa yang sama mereka memiliki beberapa kebaikan “tanpa diragukan lagi” – seperti yang beliau nyatakan -, maka membolehkan kita mencela “beberapa tokoh”, Kitab dan beberapa golongan, dan kita tidak perlu menyebut kebaikan mereka. Ini merupakan satu penyimpangan yang jauh, penyelewengan manhaj yang merbahaya, hairan bagaimana ia datang dari Dr. Rabi’.   

KEKELIRUAN DR. RABI' JELAS DARI BEBERAPA SUDUT

Pertama: Yang menghukum Abu Lahab dan isterinya di dalam surah al-Masad bukanlah Dr. Rabi’, sebaliknya Allah SWT yang tidak akan tersilap. Bagaimana boleh dikiaskan Allah yang tidak akan tersilap dengan manusia yang boleh tersilap?! Bahkan boleh melakukan kesalahan?! Apakah boleh seseorang selain Allah untuk mencela seseorang yang lain lalu berkata: “Orang itu akan dibakar di dalam api neraka yang marak menyala.” 

Sesungguhnya celaan sebegini khas merupakan hak Allah, tidak boleh dikiaskan dengan orang lain, bahkan anda sama-sekali tidak akan mampu untuk menghukum orang yang paling kufur sekalipun, kononnya ia akan masuk ke dalam neraka selagi orang itu masih hidup, kerana anda tidak tahu bagaimana penyudah hidupnya!

Kedua: Yang dicela oleh Allah azza wa jalla di dalam ayat dari surah al-Masad itu adalah seorang kafir. Maka bagaimana boleh dikiaskan dengan seorang muslim?! Allah SWT berfirman:

Mafhumnya: “Patutkah Kami menjadikan orang-orang Islam (yang taat), sama seperti orang-orang Yang berdosa (yang kufur ingkar)? Apa sudah jadi kepada akal kamu? Bagaimana kamu menetapkan hukum (yang terang-terang salahnya itu)?”

Ketahuilah bahawa termasuk keabaikan yang ada pada golongan Khawarij, apabila mereka menjadikan ayat yang diturunkan kepada orang-orang kafir, lalu dikenakan kepada orang-orang Islam. Alangkah jauhnya perbezaan antara seorang  muslim yang mulia dengan seorang kafir yang berdosa.!

Ketiga: Sebab turun ayat surah al-Masad sedia diketahui dan masyhur. Ia turun sebagai bantahan kepada Abu Lahab yang mempermainkan Rasul SAW, dan dia cuba memalingkan orang ramai dari mendengar dakwah baginda SAW, dia berkata kepada Nabi SAW: “Apakah kerana ini anda menghimpunkan kami di sini, celakalah engkau!”  

Maka kedudukan ayat dalam surah al-Masad ini adalah kedudukan penjelasan dosa dan jenayah Abu Lahab. Saya rasa tiada seorangpun yang Dr. Rabi’ khususkan untuk membantah bukunya berkata kepada orang ramai, jika anda semua hendak membuat bantahan kepada salah seorang musuh Islam, anda hendaklah jangan hanya menyebut kesalahannya sebaliknya sebutkanlah juga kebaikan-kebaikannya. Perkara seperti ini tidak akan diucapkan oleh seorang yang berakal, jika Dr. Rabi’ beranggapan sedemikian maka perkara itu lahir dari sangkaannya semata-mata.

Secara ringkasnya, Dr. Rabi’ telah melalui satu manhaj yang salah dalam menilai beberapa tokoh, demikian juga jalan yang salah dalam berhujjah untuk manhajnya, seperti manhaj beliau berada di arah barat dan beliau mendatangkan dalilnya dari arah timur. Seperti yang beliau lakukan dalam contoh sebentar tadi. Banyak lagi contoh yang sama. Tidak ada perbezaan antara dakwaan-dakwaan dan bukti-bukti yang disebut oleh Dr. Rabi’, bahkan perkataan-perkataan para imam yang dinukilkan oleh beliau juga tidak boleh menyokong.

Antaranya beliau menjadikan hujjah bagi manhajnya dengan berkata: “Sesungguhnya para imam umat Islam berbicara tentang Ahl al-Bid’ah dan para periwayat, mereka tidak mengisyaratkan sesuatupun yang menunjukkan wajib atau mereka mensyaratkan melakukan muwazanah. Mereka telah menulis beberapa kitab al-Jarh wa al-Ta’dil... (hingga ke akhir perkataannya)”[2] lalu Dr. Rabi’ menyebut beberapa tulisan para imam dalam ilmu tersebut, kemudian mengulangi bahawa mereka “Tidak mensyaratkan muwazanah ini (dalam melakukan kritikan).” Berikut beberapa pemerhatian ke atas perkataan Dr. Rabi’ ini:

bersambung ke siri 5...



[1] Beliau maksudkan manhaj yang memestikan menyebut perkara nagatif dan positif dalam menilai tokoh dan menghukum mereka berdasarkan apa yang layak mereka terima dari Jarh wa Ta’dil. Manhaj seumpama ini pada penilaian Dr. adalah manhaj yang salah, sebaliknya manhaj beliaulah yang benar, manhaj Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah.
[2] Al-Manhaj. Hal: 40)

Wednesday, October 3, 2012

al-Kasf (3)

Baca terlebih dahulu siri 1 dan 2
Siri 1
Siri 2


Hakikat sebenarnya, Dr Rabi’ memiliki manhaj tersendiri dalam mengkritik orang lain, beliau telah menyusun sebahagian kaedah-kaedah “manhajnya” dalam mengkritik beberapa tokoh, dan beliau mempraktikkannya dalam sebahagian buku tulisan beliau terutama di dalam bukunya al-Adhwa (yang bermaksud beberapa cahaya), dan sebenarnya bukunya itu bukanlah cahaya (al-Adhwa). Beliau menyandarkannya pula kepada Islam, sebaliknya ia bukanlah dari Islam! Sebagaimana sebahagian orang yang telah menyeleweng lalu berdusta terhadap Allah dan mereka menisbahkan penyelewengan mereka kepadaNya, kerana itu Allah Azza wa Jalla berfirman:

Mafhumnya: “dan mereka pula berkata: "(Bahawa) ia adalah (datangnya) dari sisi Allah", padahal ia bukanlah dari sisi Allah; dan mereka pula tergamak berkata dusta terhadap Allah sedang mereka mengetahui (bahawa mereka adalah berdusta).” (Ali Imran: 78)

Maka demikianlah juga, tidak mungkin dakwaan-dakwaan yang terkandung di dalam fasal-fasal buku al-Adhwa untuk dikatakan dari Islam, sebaliknya ia dibina di atas dasar sangkaan, tertegak di atas perasangka, Allah Taala berfirman:

Mafhumnya: “Wahai orang-orang Yang beriman! jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan Yang dilarang) kerana Sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa.” (al-Hujurat: 12)

Jika sangkaan itu sebahagian adalah dusta, maka bagaimana pula dengan prasangka? Maka penisbahan I’tikad Keazalian Ruh kepada Syed Qutb adalah satu prasangka yang bahaya, Demi Allah saya tidak tahu bagaimana ia boleh datang dari Dr. Rabi' dan dari penanya. Sesungguhnya yang lebih berhati-hati untuk beliau dan lebih bermanfaat kepada para pelajar beliau adalah dengan beliau berdiam-diri, agar beliau tidak memberi rangsangan kepada para pelajarnya menyentuh maruah orang lain, sehingga  beliau menjadi contoh buruk kepada para pelajarnya dan seorang syeikh yang tersesat jalannya, lalu beliau memikul kesalahannya dan kesalahan anak-anak muridnya.   

Hal ini merupakan harapan kami, hanya (agar beliau) berdiam diri kerana tiada sesuatu yang boleh menjadi saksi (akan kebenaran) dakwaan besar tersebut. Dan kami juga tidak bercita-cita dari Dr. Rabi' agar beliau berbaik sangka, kerana sesiapa yang biasa dengan bukunya akan mendapati sangkaan baik beliau dengan orang lain hanya bagaikan sehelai bulu putih yang berada pada kulit lembu hitam.

Kitab al-Adhwa’ mengandungi sejumlah dakwaan-dakwaan yang besar, sekalipun dakwaan-dakwaan tersebut berkaitan Syad Qutb – dalam masa yang sama Syed Qutb berlepas diri dari kebanyakan dakwaan tersebut – cumanya manhaj yang ditempoh oleh Dr. Rabi' merupakan beberapa contoh dan misal yang dibina di atas sangkaan-sangkaan dan khayalan-khayalan. Manhaj ini  jika ditempoh oleh orang ramai dalam melakukan kritikan, ia akan mengaitkan majoriti umat Islam dan tidak akan ada yang terselamat dari kejahatannya  melainkan sedikit, bahkan inilah sebenarnya yang berlaku. Sehingga sebahagian mereka ada yang sanggup terbang dari UAE bermusafir ke Amman ibu Negara Jordan untuk bertanya kepada sebahagian ulama yang mulia tentang keharusan memohon rahmat untuk para pembuat bid’ah seperti al-Nawawi, Ibn al-Jauzi, Ibn Hazm, Hasan al-Banna dan Syed Qutb! Anda sendiri saksikan bagaimana perkara ini bukan hanya berkaitan dengan seseorang manusia, yang baginya balasan baik bagi perlakuan baiknya dan balasan buruk  bagi perlakuan buruknya, akan tetapi ia telah berubah kepada manhaj mengkritik/mencela yang memperbaharui dan menghidupkan manhaj Khawarij yang telah menguasai umat Islam, dengan dakwaan mereka juga menghendaki hukum Allah – dengan menyangka – tiada hukuman manusia. mereka (golongan Khawarij dahulu) juga tidak menyebut sandaran dalam hukuman mereka ke atas apa yang berlaku antara ‘Ali dan Mu’awiyah RA bukan hukum Allah, sebaliknya mereka melontarkan tohmahan kosong, seterusnya mereka berpaling untuk mengasah sebanyak mungkin pedang (untuk dihunuskan kepada mangsa-mangsa celaan mereka)! Ketikamana sampai ke pengetahuan ‘Ali, beliau berkata: “Antaraku dan dan mereka semua ada Kitab Allah Taala, Allah berfirman di dalam kitabNya:

Mafhumnya: “Maka lantiklah "orang tengah" (untuk mendamaikan mereka, iaitu), seorang dari keluarga lelaki dan seorang dari keluarga perempuan.” (al-Nisak: 35)

Maka umat Muhammad adalah lebih agung dari hak dan kehormatan seorang lelaki mahupun seorang perempuan[1], bukan hanya dengan dakwaan-dakwaan yang tidak memiliki bukti yang dapat menetapkan hukum-hakam.

Maka perkara sebegini mengembalikan semula manhaj Khawarij yang membunuh pada zaman ini, sama sahaja (وسيانِ), sama ada menyembelih dengan pisau atau dengan bahasa, kedua-duanya keluar dari manhaj dan membawa kepada natijah yang satu, sekalipun berbeza sebab tetapi yang terbunuh itu satu.!

Sesungguhnya ia merupakan satu manhaj seperti yang dikatakan oleh Ibn al-Jauzi di dalam Said al-Khatir: “(perkara sebegini) dibina di atas sangkaan jahat terhadap orang lain, dan bakhil terhadap orang yang berbeza, sekalipun untuk mendoakan rahmat untuk mereka.”

Sama seperti perlakuan orang-orang yang bertanya kepada Fadhilah al-Syeikh al-Albani RH tentang persoalan jika harus memohon rahmat kepada orang-orang yang mereka namakan sebagai pembuat bid’ah, lalu dengan kebijaksanaan al-Syeikh al-Albani menjawab: “Sesungguhnya rahmat harus/boleh (dipohon untuk) semua orang Islam, tidak boleh untuk semua orang kafir.” 

Dan nyata jawapan ini tidak dapat melembutkan golongan ini, lalu mereka membantah bahawa al-Salaf tidak pernah memohon rahmat untuk ahli bid’ah! Dan ini juga merupakan salah satu dakwaan dari  manhaj yang  salah ini. 

Sesungguhnya al-Syeikh (al-Albani) telah memberi peringatan terhadap kesalahan mereka secara berperingkat-peringkat, sedikit-sedikit. Kalaulah beliau mahu mencela mereka sama seperti cara mereka sudah tentu beliau mampu melakukannya, kerana telah jelas manhaj bermuamalah (berinteraksi) dengan umat Islam dengan cara ini adalah satu bid’ah, lalu Fadhilah al-Syeikh (al-Albani) berkata: “Kamu semua dengan mazhab sebegini, Aku berhak untuk menamakan kamu semua pembuat bid’ah, akan tetapi aku tidak akan menyalahi mazhabku.” [2] 

Beliau (al-Albani) memaksudkan bukanlah setiap orang yang melakukan bid’ah, dinamakan sebagai pembuat bid’ah dan berlaku kepadanya hukum-hakam ke atas pembuat bid’ah yang sebenarnya!

          Saya tidak tahu apakah golongan yang bertanya kepada al-Syeikh al-Albani ini dari “al-Madrasah al-Rabi’iyyah” atau terdiri dari orang-orang yang terpengaruh dengan manhajnya yang tersendiri ini. Ini kerana beliau (Dr. Rabi’) di dalam keseluruhan kitabnya al-Adhwa’, berhadapan dengan Syed Qutub secara keras dan kasar, beliau bersikap bakhil untuk mendoa dan memohon rahmat untuk Syed Qutb walaupun sekali! Sekalipun demikian keadaannya, Syed Qutb telah pergi bertemu Tuhan Yang Maha Penyayang, beliau tidak memerlukan doa dari Dr. Rabi’ dan dari orang-orang yang semazhab dengan beliau, bahkan telah begitu ramai dari kalangan orang-orang mulia yang memuji dan memohon rahmat untuk Syed Qutb. Lihatlah Syeikh Ibn Baz yang berkata: “Berkata al-Syed[3] Qutb Rahimahullah[4]” dan banyak contoh yang lain lagi.

bersambung ke siri (4)



[1] Tarikh al-Islam: ‘Ahd al-Khulafa’ al-Rasyidin oleh al-Imam al-Zahabi. Hal: 591
[2] Secara ringkas dengan sedikit susunan semula dari rakaman suara, bil: 109, siri rakaman al-Hidayah al-Quraniah, Fas, al-Maghrib.
[3] Beliau menyebut dengan al-Ma’rifah
[4] Beliau menyebutnya di dalam munaqasah beliau berkaitan pergerakan matahari dan bumi. Dan al-Syeikh (Bin Baz) ada pandangan seperti yang diketahui, iaitu berbeza dengan Syed Qutb dan lainnya. Dalam masa yang sama beliau tidak menisbahkan sesuatu kepada Syed Qutb seperti yang ada dalam al-Adhwa’, saya berlindung kepada Allah, dari beliau (Bin Baz) memuji Syed Qutb, sedang beliau tidak mengetahui (tentang Syed Qutb), seleps itu Bin Baz juga mensifatkan Syed Qutb sebagai seorang yang memiliki keluasan ilmu dan pemerhatian. Saya berlindung kepada Allah juga dari Bin Baz telah memerhatikan keyakinan-keyakinan yang batil yang dianuti oleh Syed Qutb, lalu beliau menyembunyikannya kerana mengkhianati Islam dan umat Islam. Dimanakah Dr. Rabi’ dari semua perkara ini?!

Tuesday, October 2, 2012

al-Kasf (2)

Baca terlebih dahulu siri (1) klik sini

Dakwaan ini telah dijadikan salah satu tajuk pada fasal ke-12 oleh Dr. di dalam bukunya al-Adhwa. Maka apakah bukti beliau terhadap dakwaannya yang besar dan tuduhan yang merbahaya ini? dalil beliau ialah teks yang dijadikan pendahuluan dalam fasal tersebut, iaitulah dengan katanya: 

"Berkata Syed Qutb: "Sesungguhnya Allah telah berfirman kepada para Malaikat:

Mafhumnya: "Sesungguhnya Aku akan menciptakan seorang manusia dari tanah liat kering (yang berasal) dari lumpur hitam yang dibentuk. Maka apabila Aku telah menyempurnakan kejadiannya, dan telah meniupkan ke dalamnya ruhKu, maka tunduklah kamu kepadanya dengan bersujud." (al-Hijr: 28-29)

Sesungguhnya ini merupakan firman Allah, maka firman ALlah ta'ala adalah suatu kehendak, yang mewujudkan makluk yang dimaksudkan, dan kita tidak berhak untuk bertanya bagaimana bergabungnya tiupan Allah yang azali dan kekal dengan tanah liat kering yang diciptakan dengan bersifat fana. Maka perbahasan seumpama ini adalah suatu yang mensia-siakan akal, dan mengeluarkannya dari ruang-lingkup yang dapat dicapai sebab-sebab gambaran, pengetahuan dan hukum, maka setiap sesuatu yang menyemarakkan perbahasan sekitar persoalan ini, hanyalah kerana jahil dengan tabiat akal manusia, pengkhususan dan had sempadannya, dan memasukkan ke dalam akal suatu yang bukan medannya bagi mengukur perbuatan pencipta kepada pengetahuan-pengetahuan manusia, ia merupakan suatu kebodohan dalam mencurahkan keupayaan akal, dan merupakan kesalahan dalam manhaj dari asasnya, iaitulah pertanyaan bagaimana bergabungnya Tuhan Yang Maha Kekal dengan makhluk yang fana, bagaimana pula bergabungnya Tuhan Yang Azali dengan makhluk yang baharu, kemudian perlu dibantah, atau dithabitkan, atau diadakan illah! Dalam masa yang sama, akal manusia bukanlah diseru secara asalnya untuk menjelaskan persoalan ini, kerana Allah berfirman: “Sesungguhnya ini telah berlaku, dan tidak difirmankan: bagaimana ia berlaku”[?], maka perkara ini suatu yang thabit, akal manusia tidak mampu untuk menafikannya, demikian juga akal manusia tidak dapat menthabitkannya secara terperinci, selain dari menerima apa yang dinyatakan oleh Nas, kerana akal tidak memiliki wasail hukum, kerana akal adalah baharu, dan yang baharu tidak memiliki wasail hukum terhadap Tuhan yang Azali ZatNya, tidak juga bergabung Tuhan Yang Azali dengan makhluk yang baharu. Penerimaan akal pada permulaan perkara yang jelas ini, iaitulah yang baharu tidak memiliki wasail hukum terhadap Yang Azali dalam apa sahaja bentuk, adalah memadai bagi menghalang akal mengeluarkan keupayaan secara sia-sia dalam perkara yang bukan tugasnya.”

Inilah teks yang disertakan oleh Dr. Rabi' sebagai bukti terhadap dakwaannya yang telah dijadikan salah satu tajuk fasalnya. Beliau juga membuat penegasan selepas perkatan Syed Qutb dengan menyatakan:

 “Teks ini menyatakan kalam Allah adalah kehendakNya, dan ia merupakan satu Ta'til kepada sifat kalam, maha tinggi Allah dari perkara tersebut," [akan didatangkan penerangan terperinci dalam perkara ini, akan jelas nanti bahawa Syed Qutb kadang-kala mentakwilkan sifat, dan kadang-kala menempuh mazhab salaf dalam persoalan sifat, beliau sendiri telah mengakui kesilapannya yang lalu, dan berjanji akan menyemaknya kemudian, akan tetapi ajal menghalangnya. Saya tidak tahu apakah Dr. Rabi' membaca atau tidak pengakuan dari Syed Qutb ini?!], ia merupakan i'tikad Syed Qutb bahawa ruh adalah azali bukan makhluk, iaitulah ruh merupakan satu juzuk daripada Allah, Maha Tinggi ALlah dari perkataan ini dengan ketinggian yang agung."

Setelah itu Dr. Rabi’ berpaling dengan menyebut nukilan dari Ibn al-Qayyim RH akan perkataan ulama tentang Keazalian Ruh, dan Dr. Rabi’ mengakhiri fasal tersebut dengan berkata: “Alangkah peliknya Syed Qutb yang telah menetapkan bahawa Ruh itu adalah azali!, sedangkan telah berlaku ijmak di kalangan Ahl al-Sunnah bahawa ruh adalah makhluk bersandarkan kepada Kitab Allah dan Sunnah RasulNya.”  (al-Adhwa’: 179)

Ini merupakan contoh perbuatan Dr. Rabi’ pada kebanyakan bab di dalam bukunya, bahkan ini merupakan contoh gambaran kecil apa yang terdapat di dalam bukunya tersebut.

Hakikatnya, ketika saya membaca teks yang diketengahkan oleh Dr. Rabi' sebagai bukti atas dakwaan-dakwaannya (terhadap Syed Qutb), Ketika awalnya saya menjadi terkejut, saya ulangi bacaan beberapa kali untuk mendapatkan bukti kesamaran yang ada hubungkait dengan dakwaan, saya kembali dalam keadaan tidak memperolehi sesuatu (صِفْرَ اليدين), saya tertanya-tanya tentang kebarangkalian berlakunya keciciran ketika nukilan, ketikamana saya merujuk semula perkataan asal dari kitab al-Zilal, saya tidak ketemui sesuatu keciciran tersebut, ia sama seperti yang dinukilkan.

(Oleh itu) dari manakah Dr. Rabi' memahami iktiqad Syed Qutb dengan Keazalian Ruh?! Persoalan yang benar-benar membingungkan. Di dalam teks, kalimah Azali hanya terdapat sebanyak empat kali, iaitulah:

-      ... tiupan Allah al-Azali al-Baqiy.. (نفخة الله الأزلي الباقي)

-      dan... bagaimana bergabung al-Azali dengan al-Hadis (و...كيف يتلبس الأزلي بالحادث)

-      dan... bukan atas al-Azali dalam pergabungannya dengan al-Hadis.. (و...لا على الأزلي في تلبسه بالحادث)

-      dan... bahawa al-Hadis tidak memiliki wasail hukum ke atas al-Azali dalam apa jua bentuk-bentuknya.. (و... أن الحادث لا يملك وسائل الحكم على الأزلي في أي صورة من صوره)

  (Sebenarnya) Syed Qutb di dalam tulisannya mensifatkan insan sebagai hadis (yang baharu), dan Allah Taala sebagai Azali. Adapun Ruh, beliau tidak mensifatkannya sebagai Azali. Bahkan jika dikatakan: Beliau (Syed Qutb) telah mensifatkan Ruh sebagai yang baharu, maka ini lebih hampir dengan bukti berbanding (dakwaan) Dr. Rabi', tambahan pula seseorang insan – adalah terdiri dari ruh dan jasad – dan beliau (Syed Qutb) telah mensifatkan Insan sebagai yang baharu beberapa kali. Amat malang sekali apabila ada orang yang membuat tuduhan dan tohmahan hanya berdasarkan fatamorgana dan sangkaan, terutamanya orang-orang yang diberi kemuliaan dengan mengajar anak generasi! Apakah ini yang dikatakan sebagai kebenaran yang hendak dijelaskan oleh Dr. Rabi', dan menjadikannya sebagai salah satu sebab penulisan bukunya al-Adhwa’, apakah ini juga yang ditetapkan oleh Allah kepada anda (wahai  Dr. Rabi') untuk dibongkarkan?!

Ikuti siri-siri yang berikutnya, klik di sini