Friday, September 23, 2011

Sebahagian Sunnah yang dilupakan (4)

1. Diantara bacaan ketika bangun daripada rukuk

Terdapat beberapa lafaz bacaan zikir yang dibaca ketika bangun daripada rukuk, sebahagian bacaan tersebut telah diabaikan orang ramai, sebahagiannya pula telah ditokok-tambah. Antara zikir-zikir tersebut ialah:

1. ربنا لك الحمد

2. ربنا ولك الحمد

3. اللهم ربنا لك الحمد

4. اللهم ربنا ولك الحمد

Keampat-empat bentuk bacaan ini merupakan sekurang-kurang bentuk bacaan ketika bangun daripada rukuk. Disamping itu ada juga bacaan-bacaan tambahan lain yang sahih.

2. Sunat memanjangkan duduk antara dua sujud seperti kadar rukuk dan sujud

Daripada al-Barra bin ‘Azib RA katanya:

رمقتُ الصلاة مع محمد - صلى الله عليه وسلم - فوجدت قيامَه فركعتَه فاعتداله بعد ركوعه فسجدتَهُ فجلسته بين السجدتين فسجدتَه فجلسته ما بين التسليم والانصراف قريباً من السواء

Mafhumnya: “Saya perhatikan solat bersama dengan nabi SAW, maka saya dapati berdiri baginda, rukuk, I’tidal selepas rukuk, sujud, duduk antara dua sujud, sujud semula, dan baginda duduk selepas memberi salam dan sebelum pergi, hampir menyamai.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Daripada Thabit, daripada Anas RA yang berkata:

إني لا آلو أن أصلِّي بكم كما رأيت رسول الله - ? - يصلي بنا. قال ثابت: فكان أنسٌ يصنع شيئا لا أراكم تصنعونه، كان إذا رفع من الركوع انتصب قائماً، حتى يقول القائل: قد نسي.وإذا رفع رأسه من السجدة مكث، حتى يقول القائل:قد نسي

Mafhumnya: “Sesungguhnya saya akan solat bersama kamu semua, sama sepertimana yang saya lihat Nabi SAW solat bersama dengan kami. Thabit berkata: Anas telah melakukan satu perkara yang saya tidak melihat kamu semua melakukannya, iaitulah apabila beliau bangun daripada rukuk, beliau berdiri tegak, sehingga ada yang beranggapan beliau telah terlupa (kerana lama berdiri), dan apabila beliau mengangkat kepala dari sujud, beliau tetap duduk, sehingga ada yang beranggapan beliau telah terlupa (kerana lama duduk).” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Ibn al-Qayyim berkata di dalam Zad al-Ma’ad 1/239: “Ini merupakan sunnah yang telah ditinggalkan oleh kebanyakan orang setelah berlalu zaman sahabat. Oleh kerana itu Thabit berkata: “Dahulunya Anas melakukan sesuatu (memanjangkan duduk antara dua sujud), sedangkan saya tidak mendapati anda semua melakukannya. Beliau (Anas) memanjangkan duduk antara dua sujud, sehingga kami menyangka dia terlupa atau ragu…”

3. Memperbanyakkan Doa Keampunan Antara Dua Sujud

Daripada Huzaifah bin al-Yaman RA:

أن النبي - صلى الله عليه وسلم - كان يقول بين السجدتين:ربِّ اغفر لي.ربِّ اغفر لي

“Bahawa Nabi SAW membaca diantara dua sujud dengan رب اغفرلي¸ رب اغفرلي (HR Ahmad)

Al-Syeikh ‘Abd Allah bin Baz berkata di fatwa beliau 11/37: “Akan tetapi perbanyakkan doa keampunan diantara dua sujud seperti yang terdapat di dalam sunnah Nabi SAW.”

4. Meletakkan telapak tangan di atas lutut ketika al-Tasyahhud akhir

Daripada ‘Abdillah bin al-Zubair katanya:

كان رسول الله - صلى الله عليه وسلم - إذا قعد يدعو: وضع يده اليمنى على فخذه اليمنى،.ويده اليسرى على فخذه اليسرى، وأشار بإصبعه السبابة، ووضع إبهامه على إصبعه الوسطى، ويلقم كفَّه اليسرى ركبته

Mafhumya: “Adalah Rasulullah SAW apabila duduk (di dalam solat) berdoa, baginda meletakkan tangan kanan di atas peha kanan, tangan kiri di atas peha kiri, dan baginda mengisyaratkan dengan jari telunjuk, baginda juga meletakkan jari ibu di atas jari tengah, dan baginda meletakkan telapak tangan kiri di atas lutut baginda.” (HR Abu Daud)

Al-Imam al-Nawawi berkata di dalam Syarh Sahih Muslim: “Di dalam riwayat: “Dan baginda meletakkan telapak tangan kiri di atas peha baginda” merupakan dalil sunatnya perkara tersebut, dan sesungguhnya ulama telah bersepakat sunatnya meletakkan tangan berhampiran dengan lutut atau di atas lutut.”

5. Meludah ke sebelah kiri, ketika was-was di dalam solat

Daripada ‘Uthman bin Abi al-‘Ash yang bertanya kepada Nabi SAW:

يا رسول الله، إن الشيطان قد حال بيني وبين صلاتي وقراءتي، يلبسها عليَّ. فقال رسول الله: «ذاك شيطان يقال لـه: خِـنْـزَب فإذا أحسسته، فتعوذ بالله منه، واتفل على يسارك ثلاثاً. قال:ففعلتُ ذلك، فأذهبه الله عني

Mafhumnya: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya Syaitan telah menggangu saya di dalam Solat dan bacaan di dalam Solat. Sabda Rasulullah SAW: “Demikian itu Syaitan yang bernama Khinzab, jika anda digangunya, maka bacalah A’uzubillah, dan meludah (keluarkan angin dari mulut) ke sebelah kiri tiga kali. Kata ‘Uthman: Lalu saya lalukan perkara itu, dan Allah menjauhkan Syaitan itu daripada saya.” (HR Muslim)

6. Menunaikan Solat Sunat di Rumah

Daripada Zaid bin Thabit RA katanya: Sabda Rasulullah SAW:

فصلوا أيها الناس في بيوتكم، فإن أفضل صلاة المرء في بيته إلا المكتوبة

Mafhumnya: “Tunaikanlah solat (sunat) wahai sekelian manusia di rumah-rumah kamu, kerana sesungguhnya solat seseorang itu lebih utama dilakukan di rumah melainkan solat fardhu.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Berkata al-Nawawi: “Hadith ini umum untuk semua solat sunat rawatib dan sunat yang mutlak, melainkan solat sunat yang merupakan syiar Islam seperti solat hari raya, solat gerhana (bulan dan matahari), solat al-Istisqa, demikian juga solat Tarawih berdasarkan pandangan yang lebih benar (Asah), kerana sesungguhnya solat tarawih itu disyariatkan berjemaah di masjid, dan solat sunat al-istisqa dilakukan di padang.” (Syarh Sahih Muslim 3/328)

Pernah ditanya kepada Ibn ‘Uthaimin: “Apakah seseorang itu boleh solat (sunat) di masjid al-Haram untuk memperolehi pahala yang berlipat-ganda atau dia perlu solat (sunat) di rumahnya untuk bertepatan dengan sunnah?”

Jawab beliau: “Memelihari sunnah adalah lebih utama dari selainnya. Sesungguhnya telah thabit sabda Nabi SAW: “Solat yang lebih utama seseorang itu adalah di rumahnya melainkan solat fardhu.” Dan tidak pernah diambil dari Nabi SAW yang baginda menunaikan solat sunat di masjid, melainkan solat sunat yang khusus untuk dilakukan di masjid… maka yang lebih utama adalah memelihara sunnah, dan hendaklah seseorang itu menunaikan solat sunat rawatib di rumahnya, kerana yang berkata: “Solat yang lebih utama seseorang itu adalah di rumahnya melainkan solat fardhu.” Dialah juga yang berkata: Solat di masjidku ini adalah lebih baik dari seribu solat yang ditunaikan ditempat lain melainkan di Masjid al-Haram. Maka baginda telah menetapkan kebaikan di masjid baginda, dan baginda juga menerangkan keutamaan itu hendaklah dilakukan solat sunat di rumah.” (Fatwa Ibn ‘Uthaimin: 14/289)

7. Memulakan Qiyam al-Lail dengan dua rakaat yang ringan

Daripada ‘A-isyah RA katanya:

كان رسول الله - صلى الله عليه وسلم - إذا قام من الليل ليُصلِّي افتتح صلاته بركعتين خفيفتين

Mafhumnya: “Adalah Rasulullah SAW apabila bangun pada malam hari untuk menunaikan solat (berqiyam al-Lail), baginda membuka solatnya dengan dua rakaat yang ringan.” (HR Muslim)

Al-Nawawi berkata di dalam Syarh Sahih Muslim 3/314: “Ini merupakan dalil sunatnya (dua rakaat yang ringan) untuk memberikan kecergasan menunaikan solat berikutnya.”

8. Solat dua rakaat yang ringan selepas Witir secara kadang-kadang

Daripada Abi Salamah bin ‘Abd al-Rahman yang bertanya ‘A-isyah RA:

كيف كانت صلاة رسول الله - صلى الله عليه وسلم - ؟ فقالت: « كان يصلي ثلاث عشرة ركعة، يصلي ثمان ركعات، ثم يوتر، ثم يصلي ركعتين وهو جالس، فإذا أراد أن يركع قام فركع، ثم يصلي ركعتين بين النداء والإقامة من صلاة الصبح

Mafhumnya: Bagaimanakah solat Rasulullah SAW? ‘A-isyah berkata: Baginda menunaikan solat sebanyak tiga belas rakaat, baginda solat sebanyak lapan rakaat, kemudian baginda melalukan Witir, kemudian baginda menunaikan solat dua rakaat dalam keadan duduk, apabila baginda hendak rukuk, baginda bangun lalu rukuk, kemudian baginda menunaikan solat dua rakaat antara azan dan iqamat solat Subuh.” (HR Muslim dan Abu Daud)

Ibn al-Qayyim berkata: “Sesungguhnya telah thabit dari baginda SAW, yang mana baginda menunaikan solat sunat selepas Witir dua rakaat kadang-kadang secara duduk dan kadang-kadang baginda membacanya dalam keadaan duduk, apabila baginda hendak rukuk, baginda bangun berdiri dan rukuk.”

Apakah bacaan yang dibaca di dalam dua rakaan yang ringan ini?

Daripada Abi Umamah RA, bahawa Rasulullah SAW menunaikan solat sunat dua rakaat selepas Witir dalam keadaan duduk, baginda membaca di dalam dua rakaat itu (إذا زلزلت) dan (قل يأيها الكافرون).

Hadith ini menjadi kemuskilan kepada sebahagian orang, kerana ada hadith lain yang menyebut: “Jadikanlah Solat Witir itu solat terakhir kamu.” Namun Ibn al-Qayyim telah menjawab kemusykilan ini di dalam kitabnya Zad al-Ma’ad 1/333 dan Ibn ‘Uthaimin di dalam fatwa beliau 14/122 yang beliau sebutkan di akhir jawapan beliau: “Inilah pandangan Ibn al-Qayyim dan sekumpulan ulama, maka lalukanlah seperti itu secara kadang-kadang.”

9. Solat dua rakaat selepas pulang dari menunaikan solat hari raya

Daripada Abi Sa’id al-Khudri RA katanya:

كان رسول الله - صلى الله عليه وسلم - لا يصلي قبل العيد شيئا فإذا رجع إلى منـزله صلى ركعتين

Mafhumnya: “Adalah Rasulullah SAW tidak menunaikan sesuatu solat sebelum menunaikan solat hari raya, apabila baginda pulang ke rumah, barulah baginda solat dua rakaat.” (HR Ibn Majah dan dihukumkan sebagai Hasan oleh al-Albani. Diriwayatkan juga oleh Ahmad di dalam al-Musnad)

Hadith ini juga telah dihukumkan sebagai Hasan oleh al-Albani di dalam al-Irwa’ (3/100) dan beliau berkata: “Himpunan antara hadith ini dengan hadith-hadith lain (antaranya hadith daripada Ibn ‘Abbas bahawa Nabi SAW menunaikan solat hari raya sebanyak dua rakaat, dan baginda tidak menunaikan apa-apa solat sebelum atau selepasnya – muttafaqun ‘alaih) merupakan penafian baginda ada menunaikan solat di musolla selepas solat hari raya, sepertimana yang dinyata oleh al-Hafidz di dalam al-Talkhis hal. 144, wallahu a’lam.

10. Berbagai zikir selepas solat

Terdapat sejumlah hadith-hadith berkaitan zikir penghujung solat, antaranya hadith tentang bilangan bertasbih, dan ia pula datang dalam sifat yang berbagai yang kesemuanya sahih. Sebahagian para ulama berkata: Seseorang boleh amalkan sesuatu zikir (dari zikir-zikir solat tersebut) pada sesuatu masa dan pada masa yang lain dia amalkan zikir yang lain pula (dari zikir-zikir selepas solat yang berbagai itu), sehingga terlaksananya dengan cara sedemikian kesempurnaan dalam mengikut sunnah. Antara zikir-zikir tersebut:

Daripada ‘Abdillah bin ‘Amr bin al-‘Ash RA katanya, Rasulullah SAW bersabda:

خلتان ـوفي رواية خصلتان ـ لا يحصيهما رجل مسلم إلا دخل الجنة، ألا وهما يسير، ومن يعمل بهما قليل: الصلوات الخمس يسبح أحدكم في دبر كل صلاة عشراً، ويحمده عشراً، ويكبر عشراً، فهي خمسون ومائة في اللسان، وألف وخمسمائة في الميزان.وأنا رأيت رسول الله - صلى الله عليه وسلم - يعقدهن بيده

Mafhumnya: “Dua kebiasaan, yang tidak dipelihara oleh seorang muslim, melainkan dia akan dimasukkan ke dalam syurga, kedua-duanya itu adalah suatu yang mudah dan sesiapa yang sentiasa melakukannya ia menjadi sedikit (iaitulah) Solat fardhu lima waktu dengan dia bertasbih, bertahmid dan bertakbir setiap kali selepas solat sepuluh kali, jadilah kesemuanya seratus lima puluh yang dikira dengan lidah, dan seribu lima ratus nilaian timbangannya. Saya (‘Abdullah bin ‘Amr bin al-‘Ash) melihat Rasulullah SAW mengiranya dengan tangan baginda (mengira dengan hujung jari-jemari).”

Hadith daripada Zaid bin Thabit RA katanya:

أمروا أن يسبحوا دبر كل صلاة ثلاثاً وثلاثين، ويحمدوا ثلاثاً وثلاثين، ويكبروا أربعاً وثلاثين، فأُتي رجلٌ من الأنصار في منامه فقيل لـه: أمركم رسول الله - صلى الله عليه وسلم- أن تسبحوا دبر كل صلاة ثلاثاً وثلاثين، وتحمدوا ثلاثاً وثلاثين، وتكبروا أربعاً وثلاثين؟ قال: نعم. قال: فاجعلوها خمساً وعشرين، واجعلوا فيها التهليل. فلما أصبح أتى النبي - صلى الله عليه وسلم - فذكر لـه ذلك. فقال: اجعلوها كذلك

Mafhumnya: “Kamu semua diarahkan untuk bertasbih dan bertahmid selepas setiap kali menunaikan solat sebanyak tiga puluh tiga kali, dan bertakbir sebanyak tiga puluh empat kali. Seorang lelaki dari kalangan Ansar diberikan mimpi, dan ditanya kepadanya: Rasulullah SAW menyuruh kamu semua untuk bertasbih dan bertahmid selepas solat sebanyak tiga puluh tiga kali dan bertakbir sebanyak tiga puluh empat kali? Jawab lelaki itu: Ya. Dinyatakan di dalam mimpi itu: Jadikannya sebanyak dua puluh lima kali, dan masukkan juga di dalamnya tahlil. Apabila pagi hari, lelaki Ansar itu mendatangi Nabi SAW dan menceritakan perkara tersebut, lalu baginda bersabda: Lakukan seperti itu.” (HR al-Nasa-ie 1350, dan disahihkan oleh al-Albani)

Hadith ‘Abdullah bin ‘Omar RA:

أن رجلاً رأى فيما يرى النائم... قال: سبحوا خمساً وعشرين، و احمدوا خمسا ًوعشرين، وكبروا خمساً وعشرين، وهللوا خمساً وعشرين فتلك مائة. فلما أصبح ذكر ذلك للنبي - صلى الله عليه وسلم - فقال رسول الله - صلى الله عليه وسلم - «افعلوا كما قال الأنصاري

Mafhumnya: “Bahawa seorang lelaki melihat di dalam mimpi… dinyatakan di dalam mimpi tersebut: Bertasbihlah sebanyak dua puluh lima kali, bertahmidlah sebanyak dua puluh lima kali, bertakbirlah sebanyak dua puluh lima kali dan bertahlillah sebanyak dua puluh lima kali, maka jadilah kesemua itu sebanyak seratus kali. Apabila pagi hari, lelaki tersebut menceritakan kepada Nabi SAW, maka Rasulullah SAW bersabda: Lakukanlah sepertimana yang dinyatakan oleh lelaki Ansor itu.” (HR al-Nasa-ie 1351)

0 comments: