Saturday, November 29, 2008

Hukum Menangguhkan Mandi Wajib


Apakah hukum apabila seseorang itu menangguhkan mandi wajib ?

Jawapan:

Harus seseorang itu menangguhkan mandi wajib melainkan jika dia hendak menunaikan solat. Mandi wajib atau janabah bukanlah kewajiban yang mesti disegerakan, dia boleh menangguhkannya walaupun tanpa ada keperluan.




Di dalam sahih al-Bukhari dan Muslim ada diriwayatkan bahawasanya Abu Hurairah ra suatu ketika bertemu dengan Rasulullah saw, dan beliau dalam keadaan berjunub. Lalu beliau berpaling dan pergi untuk mandi janabah, kemudian datang semula. Nabi saw bertanya kepada beliau:

أين كنت يا أبا هريرة؟

Maksudnya: "Kemana kamu pergi tadi wahai Abu Hurairah ?"

Jawab Abu Hurairah:

كنت جنباً، فكرهت أن أجالسك وأنا على غير طهارة

Maksudnya: "Aku tadinya berjunub, aku tidak suka untuk duduk bersama Mu dalam keadaan aku tidak suci."

Jawab Nabi saw:

سبحان الله إن المسلم لا ينجس

Maksudnya: "Maha suci Allah, sesungguhnya orang Muslim itu tidak najis."

Ibn Hajar di dalam Fathul Bari berkata tentang hadith ini:

"(pada hadith ini bukti) harusnya melewatkan mandi janabah." Beliau menyambung bahawasanya al-Bukhari menjadikan dalil dengan hadith Abu Hurairah ini akan keharusan seorang yang berjunub melaksanakan keperluan-keperluannya, dan al-Bukhari menyebut: "Bab orang yang berjunub keluar dan berjalan di pasar dan selainnya."

Demikian juga harus bagi orang yang berjunub untuk dia tidur walaupun sebelum mandi janabah. Cumanya disunatkan sahaja untuk dia berwudhu terlebih dahulu sebelum dia tidur dalam keadaan berjunub. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim tentang seorang bertanya kepada 'A-isyah r'anha :

كيف كان يصنع في الجنابة ؟ أكان يغتسل قبل أن ينام أم ينام قبل أن يغتسل ؟ قالت : كل ذلك قد كان يفعل . ربما اغتسل فنام . وربما توضأ فنام . قلت : الحمد لله الذي جعل في الأمر سعة

Maksudnya: "Bagaimanakah yang dilakukan oleh Nabi saw dalam dalam hal janabah ? Adakah baginda mandi sebelum baginda tidur, atau baginda tidur (walau) sebelum baginda mandi ?" Jawab 'A-syah r'anha : "Semuanya itu pernah dilakukan oleh Nabi saw, kadang-kadang baginda mandi dahulu kemudia tidur, kadang-kadang baginda berwudhu kemudian tidur (tanpa mandi)." Kata orang yang bertanya : "Segala puji bagi Allah yang telah menjadikan urusan ini sesuatu yang luas."

Demikian juga al-Imam al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan juga hadith tentang Umar yang meminta fatwa dari Nabi saw:

أينام أحدنا وهو جنب؟ قال: "نعم إذا توضأ

Maksudnya: "Adakah seseorang dari kamu boleh tidur sedang dia berjunub ?" Jawab Nabi saw : "Ya, jika dia berwudhu."

Ibn Abdil Barr berkata : "Kebanyakan para ulama berpendapat – yakni dalam perkara berwudhu bagi orang yang berjunub sebelum tidur – adalah sunat. Manakala ahli zahir berpendapat ianya wajib, akan tetapi pendapat ini Syaz.

Wallahu a'lam.

Hukum Suami Menghisap Susu Isteri



Apakah hukumnya seorang suami terminum atau terasa susu isterinya ketika sedang berasmara ?

Jawapan :

Dr. Yusuf al-Qaradhawi ketika menyebut tentang hubungan antara suami dan isteri menyebut riwayat dari al-Baihaqi yang menceritakan seorang sahabat ketika bergurau senda dengan isterinya, beliau telah menghisap buah dada isterinya, lalu terminum susunya. Lalu dia pergi bertanyakan kepada Abu Musa al-Asy'ari (الأشعري) ra. Jawab Abu Musa ra: "Diharamkan ke atas kamu." Kemudian lelaki itu pergi bertemu dengan Ibn Mas'ud ra. Jawab Ibn Mas'ud:





"Tidak mengapa, (kerana) tidak ada al-Rada'ah (hukum susuan) melainkan dibawah umur 2 tahun. (Riwayat al-Baihaqi di dalam al-Sunan al-Kubra, hadith ini Mursal, akan tetapi padanya ada Syawahid/pendokong)

Allah swt berfirman:

والوالدات يرضعن أولادهن حولين كاملين لمن أراد أن يتم الرضاعة

Maksudnya : "Dan para ibu itu menyusukan anak-anak mereka 2 tahun yang sempurna, bagi sesiapa yang hendak menyempurnakan tempoh susuan."

Ini membawa maksud penyusuan yang diharamkan itu (kerana menjadi anak susuan) kepada wanita ada tempohnya yang tertentu, iaitulah sebelum 2 tahun. Jika lebih dari 2 tahun tidak mengapa.

al-Qaradhawi menyambung: "Maka bagi lelaki dia boleh menyusui isterinya, ini adalah dari bentuk-bentuk keseronokan yang dibenarkan, tidak mengapa dengannya."

Wallahu a'lam.


Wednesday, November 26, 2008

Bahtera Nabi Nuh

Assalamualaikum ustaz.saya merupakan salah seorang staff agilent yg menghadiri ceramah ustaz dalam bulan ramadhan yg lepas.Soalan saya,benarkah bahtera nabi Allah Nuh a.s berada di pncak Gng.Ararat?

Jawapan:

WALLAHU A"LAM. Persoalan ini kita perlu serahkan kepada Ahlinya, barangkali
pakar sejarahlah yang berkeahlian dalam persoalan sebegini.

Namun perlu difahami sebaik mungkin!!!




Seandainya ahli sejarah dapat membuktikan mereka berjaya menemui tempat mendarat atau rangka bahtera Nabi Nuh, tidak kira samaada di gunung Ararat mahupun di tempat lain. Ia sama sekali tidak menunjukkan sebarang keistimewaan kepada gunung atau tempat tersebut, tidak juga kepada rangka kapal tersebut. Tidak ada sebarang keistimewaan mahupun berkat di sana, melainkan ia menjadi salah satu bahan sejarah.

wallahu a'lam. bs

Tuesday, November 25, 2008

Persoalan Zihar


salam ustaz...sy ada soalan tentang suami yg menyamakan ibu dgn isterinya iaitu ZIHAR..blh kah ustaz terang kan:

1.APA ITU ZIHAR
2. APAKAH KESANNYA
3.BAGAIMANA JIKA TIDAK DINYATAKAN KPD ISTERI tetapi hanya LAHIR DIDLM HATI

Jawapan

Zihar asalnya ialah amalan masyarakat Arab Jahiliyyah. Apabila mereka terlalu
marah kepada isteri mereka disebabkan sesuatu perkara, tetapi mereka tidak mahu
menceraikannya, kerana jika diceraikan isterinya itu, ia akan mengahwini lelaki
lain, maka si suami itu samaada akan melakukan sumpah ila’ (إيلاء) atau zihar
dengan menyamakan siisteri dengan wanita yang haram kepada mereka seperti Ibu
dengan mengatakan: “Kamu di sisi ku (haram) sama seperti ibu-ku (haram
terhadap aku dalam perkara yang berkaitan perkahwinan).”
(أنت علي كظهر
أمي), Zihar ini di sisi Arab Jahilliyyah, siisteri menjadi haram selama-lamanya
untuk sisuami. Maka isteri itu di haramkan ke atasnya buat selama-lamanya,
jadilah siisteri itu seperti tergantung-gantung, tidak ditalakkan dan tidak juga
isteri kepada lelaki tersebut. Keadaan ini berterusan sehingga ke zaman awal
Islam.





Setelah berlakunya polimik antara Aus bin Somit dengan isterinya Khaulah binti Tha’labah, dan Aus telah menziharkan isterinya kerana terikut-ikut amalan jahiliyyah. Lalu isterinya Khaulah pergi mengadu kepada Nabi S.A.W. dan Nabi S.A.W. berhukum pada ketika itu berdasarkan budaya jahiliyyah yang diamalkan disebabkan wahyu tidak diturunkan lagi tentang zihar.

Mendengar keputusan Nabi S.A.W. tersebut Khaulah mengadu kepada Allah S.W.T., lalu turunlah ayat zihar yang menjelaskan hukum-hakamnya dari pandangan Islam:


قَدْ سَمِعَ اللَّهُ قَوْلَ الَّتِي تُجَادِلُك فِي زَوْجِهَا وَتَشْتَكِي إلَى اللَّهِ وَاَللَّهُ يَسْمَعُ تَحَاوُرَكُمَا إنَّ اللَّهَ سَمِيعٌ بَصِيرٌ الَّذِينَ يُظَاهِرُونَ مِنْكُمْ مِنْ نِسَائِهِمْ مَا هُنَّ أُمَّهَاتِهِمْ إنْ أُمَّهَاتُهُمْ إلَّا اللَّائِي وَلَدْنَهُمْ وَإِنَّهُمْ لَيَقُولُونَ مُنْكَرًا مِنْ الْقَوْلِ وَزُورًا وَإِنَّ اللَّهَ لَعَفُوٌّ غَفُورٌ وَاَلَّذِينَ يُظَاهِرُونَ مِنْ نِسَائِهِمْ ثُمَّ يَعُودُونَ لِمَا قَالُوا فَتَحْرِيرُ رَقَبَةٍ مِنْ قَبْلِ أَنْ يَتَمَاسَّا ذَلِكُمْ تُوعَظُونَ بِهِ وَاَللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ ، فَمَنْ لَمْ يَجِدْ فَصِيَامُ شَهْرَيْنِ مُتَتَابِعَيْنِ مِنْ قَبْلِ أَنْ يَتَمَاسَّا فَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَإِطْعَامُ سِتِّينَ مِسْكِينًا ذَلِكَ لِتُؤْمِنُوا بِاَللَّهِ وَرَسُولِهِ وَتِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ وَلِلْكَافِرِينَ عَذَابٌ أَلِيمٌ


Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah mendengar perkataan wanita yang mengadu kepada kamu tentang suaminya, dan seterusnya dia mengadukan halnya kepada Allah, dan Allah mendengar soal jawab antara kamu berdua. Sesungguhnya Allah maha mendengar lagi maha mengetahui. Orang-orang yang menziharkan isterinya diantara kamu, tidaklah isteri mereka itu ibu mereka, ibu-ibu mereka tidak lain melainkan wanita yang melahirkan mereka. Dan sesungguhnya mereka benar-benar telah mengucapkan satu perkataan yang mungkar dan dusta, dan sesungguhnya Allah maha pemaaf lagi maha pengampum. Orang-orang yang menziharkan isteri mereka, kemudian mereka hendak menarik kembali apa yang mereka ucapkan, maka (wajib ketasnya) memerdekakan seorang hamba, sebelum kedua mereka bersama. Demikianlah yang diajarkan kepada kamu, dan Allah maha mengetahui apa yang kamu kerjakan. Barang siapa yang tidak mendapati seorang hamba, maka wajib ke atasnya berpuasa 2 bulan berturut-turut, sebelum mereka berdua bersama/bercampur. Maka siapa yang tidak mampu , (wajiblah keatasnya) member makan 60 orang miskin. Demikianlah supaya kamu beriman kepada Allah dan Rasulnya, demikianlah ketentuan Allah, dan bagi orang-orang yang kafir itu azab yang amat pedih.” (al-Mujadilah : 1-4)

Hukum Zihar adalah HARAM, maka seorang lelaki yang menziharkan isterinya dia telah melakukan satu perbuatan dosa, berdasarkan firman Allah yang bermaksud: “Dan sesungguhnya mereka benar-benar telah mengucapkan satu perkataan yang mungkar dan dusta “ (al-Mujadilah: 2). Sebahagian ulama menjelaskan zihar ini termasuk kesalahan dosa besar. Namun ia tidak dikira talak.

Haram juga lelaki itu melakukan hubungan dengan isterinya. Jika dia mahu bersama semula dengan isterinya, dia wajib terlebih dahulu melaksanakan kaffarah zihar seperti yang disebut di dalam ayat al-Quran di atas.

PERHATIAN!!!

Zihar TIDAK BERLAKU jika sisuami menyamakan siisteri dengan mana-mana mahramnya atau ibunya sebagai menyatakan kasih sayang, penghormatan atau keakrapan, demikian juga TIDAK BERLAKU zihar jika dia menyamakan siisteri dengan mahram atau ibunya disebabkan sememangnya ada beberapa persamaan dari sudut fizikal atau sikap. Ibn Qudamah di dalam al-Mughniy menyatakan:


وإن قال : أنت علي كأمي . أو : مثل أمي . ونوى به الظهار , فهو ظهار , في قول عامة العلماء ، وإن نوى به الكرامة والتوقير فليس بظهار


Maksudnya: “Jika seseorang lelaki berkata kepada isterinya, “kamu di sisi-ku seperti ibu-ku.” Atau “seumpama ibu-ku.” Dan dia niatkan zihar, maka ia menjadi zihar berdasarkan pendapat kebanyakan ulama. Jika dia niatkan sebagai satu penghormatan dan kemuliaan, maka ia bukan zihar…”

Maka jika seseorang melihat mana-mana anggota isterinya yang dilihatnya sama seperti anggota mahramnya, lalu dia nyatakan perkara tersebut, INI BUKANLAH ZIHAR YANG DIMAKSUDKAN.

Jika zihar itu lahir di dalam hati dan tidak dinyatakan, ia tidak dikira sebagai zihar.

Wallahu a’lam. bs


Rujukan:
1. al-Mausuah al-Fiqhiyyah.
2. Tafsir Ibn Kathir






Sujud Sahwi

Kalau saya masbuk dalam satu-satu sembahyang, Tiba-tiba Imam sujud sahwi di akhir sembahyang. Apakah saya perlu ikut sujud sahwi imam?

Jawapan:

Makmum wajib mengikut Imam dalam sembahyang jemaah jika dia bukan masbuk atas keumumam sabda Nabi saw:

إِنَّمَا جُعِلَ الإِمَامُ لِيُؤْتَمَّ بِهِ , فَلا تَخْتَلِفُوا عَلَيْهِ , فَإِذَا رَكَعَ فَارْكَعُوا , وَإِذَا قَالَ سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ فَقُولُوا رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ , وَإِذَا سَجَدَ فَاسْجُدُوا ) رواه البخاري (722) ومسلم (414)

Maksudnya : "Sesungguhnya dijadikan Imam itu diikuti dengannya, maka jangan kamu berbeza dengannya. Jika dia rokok, maka rokoklah kamu semua, Jika dia menyebut sami'allahu liman hamidah, jawablah Rabbanaa lakal hamd, (demikian juga) jika dia sujud, maka sujudlah kamu semua." (Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim)



Adapun bagi orang yang masbuk, iaitu yang terlepas satu rakaat ataupun lebih, maka dia perlu ikut imam jika imam sujud sahwi sebelum salam. Kalau imam melakukan sujud sahwi itu selepas salam maka dia tak perlu mengikut sujud sahwi imam disebabkan keuzuran, kerana tidak mungkin dia salam bersama Imam lalu sujud sahwi sedangkan dia masih ada rakaat yang tidak disempurnakannya.

Jika seseorang masbuk menyertai solat jamaah pada rakaat ketiga contohnya, dalam keadaan Imam terlupa tahiyyat awal yang tidak disertainya. Maka jika imam sujud selepas salam, makmum tersebut tidak perlu melakukan sebarang sujud sahwi. Namun jika makmum yang masbuk masuk pada rakaat kedua, lalu imam terlupa melakukan tahiyyat awal dan dia bersama imam ketika itu. Jika imam sujud selepas salam, dia tidak perlu sujud, sebaliknya terus bangun dan lakukan sujud sahwi di akhir sembahyangnya.

wallahu a'lam.

Sunday, November 23, 2008

Benarkan Jasat Syuhada' Tidak Dimakan Tanah?


Saya mendengar ada beberapa orang termasuk yang bergelar Ustaz mendakwa orang-orang yang mati sebagai syahid, jasad mereka tidak di makan tanah. Benarkah dakwaan tersebut ? Adakah dalil yang menyokongnya ? Semoga Allah membalas jasa baik dari pihak Ustaz.

Jawapan :

Pertama sekali kita mengucapkan tahniah kepada Saudara yang bertanya dengan sikap yang ditunjukkan beliau apabila menanyakan "Adakah dalil yang menyokong dakwaan tersebut". Beginilah sikap yang sepatutnya ditunjukkan oleh setiap muslim apabila mereka berdepan dengan perkara yang menjadi keraguan mereka.

Saya akan buatkan sedikit kesimpulan secara ringkas daripada fatwa yang terdapat di dalam web Islam-Online yang memuatkan beberapa fatwa ulama-ulama terkemuka hari ini.

1- Orang yang mati Syahid adalah orang yang terbunuh dari kalangan orang Islam di dalam peperangan dengan orang Kuffar. Ianya kembali kepada niat orang tersebut. Di antara syarat untuk seseorang itu memperolehi syahid ialah dia berperang untuk menegakkan kalimah Allah.

2- Tidak terdapat dalil yang warid dari Nabi saw mahupun dari al-Quran al-Karim yang memberi jaminan jasad para syuhada' tidak dimakan tanah. Hanya yang ada jaminan adalah kepada jasad para Nabi dan Rasul a.s. Sepertimana Sabda Nabi s.a.w.:


إنّ الله حرّم على الأرض أن تأكل أجساد الأنبياء عليهم السلام." رواه أحمد وأبو داود والنسائي وابن ماجة والدارمي وابن خزيمة.



Maksudnya: "Sesungguhnya Allah mengharamkan ke atas bumi untuk memakan jasad para anbiya 'alaihimussolatu wassalam" (Hadith riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa'ie, Ibnu Majah, ad-Daarimi dan Ibnu Khuzaimah)

Dr. Ahmad Sa'id Hawa iaitu seorang guru Fiqh dan Usul Fiqh di Jamii'aat al-Urduniyyah berkata :

"Yang warid di dalam Nas ialah Allah s.w.t. memelihara jasad para Anbiya 'as. Dan adapun yang selain daripadanya bukanlah menjadi kemestian dipelihara jasad mereka. Di sampinig itu terdapat bukti yang menunjukkan kadang-kadang Allah memelihara jasad sebahagian para syuhada dan orang-orang soleh yang bukan dikalangan para syuhada sebagai memuliakan mereka. Atas dasar ini maka sesungguhnya jasad para syuhada' juga akan hancur sama seperti jasad-jasad yang lain dan tidak dihukum mereka tidak mendapat syahid hanya kita melihat jasad mereka hancur. Jika sesiapa di kalangan syuhada' yang kita dapati jasad mereka tidak dimakan tanah maka yang demikian itu adalah kemulian daripada Allah untuknya, Allah memuliakan sebahagian para syuhada' dengan jasad mereka tidak dimakan tanah."

Kesimpulannya; Bukanlah menjadi kemestian setiap Syuhada' itu jasad mereka terpelihara dari dimakan tanah. Jika adapun, perkara itu adalah kemuliaan khusus yang Allah swt kurniakan kepada jasad tersebut. Kemulian sebegini bukan hanya diberikan kepada para syuhada', terkadang berlaku juga kepada jasad orang-orang soleh yang kematiannya bukan disebabkan mati syahid. Inilah kemulian yang Allah ta'ala berikan kepada sebahagian hambaNya. Dalil yang ada tentang terpeliharanya jasad dari dimakan tanah hanyalah kepada jasad para Nabi dan Rasul as.

wallahu a'lam.

Friday, November 21, 2008

Doa Untuk Mati Kerana Beranggapan Itulah Yang Baik Untuknya

Assalamu’alaikum warahmatullah wabarakatuh Ustaz.
Salahkah seseorang yang sentiada berdoa untuk dimatikan oleh Allah swt jika dia percaya bahawa mati itu adalah yang terbaik untuk dunia dan akhiratnya?

Jawapan :

Seseorang dilarang berdoa untuk kematian atas apa sebab sekalipun. Bagaimana dia boleh tahu yang kematian itu lebih baik bagi dirinya? Entah sudah berapa banyak perkara yang pada sangkaan kita ianya baik untuk kita akan tetapi hakikatnya adalah tidak. Berapa banyak pula sesuatu perkara disangka buruk untuk kita tetapi hakikatnya dia baik untuk kita. Allah berfirman:

وعسى أن تكرهوا شيئا وهو خير لكم وعسى أن تحبوا شيئا وهو شر لكم والله يعلم وأنتم لا تعلمون

Maksudnya : "Dan barangkali kamu membenci sesuatu, sedangkan ianya baik untuk kamu. dan barangkali kamu menyukai sesuatu sedangkan ianya buruk untuk kamu. Dan Allah, Dialah yang maha mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." (al-Baqarah : 216)
Anas bin Malik ra. meriwayatkan, Nabi saw bersabda:

لا يَتمنَيَنَّ أحدكم الموت لِضُرٍّ نَزَلَ به في الدنيا، لكن ليقل: اللهم أحيني ما كانت الحياة خيرًا لي، وتوفني إذا كانت الوفاة خيرًا لي

Maksudnya : "Jangan seseorang kamu bercita-cita untuk mati disebabkan kemudharatan yang menimpanya di dunia, akan tetapi hendaklah dia berkata : "Ya Allah, hidupkanlah aku, selama hidup itu baik untuk aku, dan matikanlah aku selama-mana mati itu baik untuk aku." (al-Bukhari)

wallahu a'lam

Thursday, November 20, 2008

Menegur Orang Tua


Bolehkah saya menegur orang tua saya yang tidak pernah menjalankan kewajipan nya kepada ALLAH.

Jawapan :

Ya ! sudah tentu boleh bahkan ianya adalah satu usaha yang mulia termasuk dalam pekerjaan para Nabi a.s.

Al-Quran di beberapa tempat merakamkan teguran Nabi ALLAH Ibrahim a.s. kepada orang tuanya. Firman ALLAH s.w.t. :



وَإِذْ قَالَ إِبْرَاهِيمُ لِأَبِيهِ آزَرَ أَتَتَّخِذُ أَصْنَامًا آلِهَةً


Maksudnya : "Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berkata kepada bapanya Aazar: Patutkah ayah menjadikan berhala-berhala sebagai tuhan-tuhan?" (surah al-An'aam - 74)


Cumanya dalam menegur orang tua yang tidak menjalankan kewajipan mereka kepada ALLAH swt hendaklah kita melakukannya dengan bijaksana agar tuguran kita itu tidak melukakan hati mereka. Menegur orang tua yang tidak melaksanakan kewajipan mereka adalah termasuk di dalam kerja-kerja dakwah. ALLAH s.w.t. berfirman di dalam al-Quran:


ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ



Maksudnya : "Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah kebijaksanaan dan contoh pengajaran yang baik dan berdailoglah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik" (al-Nahl : 125)

Memberi teguran kepada orang tua dengan cara yang baik adalah penting agar hubungan seorang anak dengan kedua orang tuanya tidak terjejas. Di dalam al-Quran ALLAH s.w.t. memerintahkan seorang anak agar berlaku baik terhadap orang tuanya:


وَوَصَّيْنَا الْإِنْسَانَ بِوَالِدَيْهِ حَمَلَتْهُ أُمُّهُ وَهْنًا عَلَى وَهْنٍ وَفِصَالُهُ فِي عَامَيْنِ أَنِ اشْكُرْ لِي وَلِوَالِدَيْكَ إِلَيَّ الْمَصِيرُ



Maksudnya : "Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan). " (Surah Lukman : 14)

Perintah berbuat baik kepada dua orang tua, menjaga hati mereka dari terluka adalah suatu yang dipandang serius di dalam agama. Sehingga jika kedua orang tua yang tidak muslim bersungguh-sungguh menyeru anaknya supaya mensyirikkan ALLAh sekalipun al-Quran hanya mengarahkan kita agar tidak taat terhadap suruhan tersebut sebaliknya tetap bergaul dengan mereka dengan cara yang baik. ALLAH berfirman:


وَإِنْ جَاهَدَاكَ عَلَى أَنْ تُشْرِكَ بِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ فَلَا تُطِعْهُمَا وَصَاحِبْهُمَا فِي الدُّنْيَا مَعْرُوفًا وَاتَّبِعْ سَبِيلَ مَنْ أَنَابَ إِلَيَّ ثُمَّ إِلَيَّ مَرْجِعُكُمْ فَأُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ


Maksudnya : "Dan jika mereka berdua bersungguh-sungguh mendesakmu supaya engkau mempersekutukan Ku dengan sesuatu yang engkau yang engkau tidak mengetahui, maka janganlah engkau taat kepada mereka dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik dan turutlah jalan orang-orang yang kembali kepadaKu (dengan tauhid dan amal-amal yang soleh). Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan." (Surah Lukman : 15)

Demikianlah betapa al-Quran amat-amat menitik beratkan agar setiap orang berbuat baik kepada kedua orang tuanya. Jika orang tua yang kafir mengajak anaknya untuk mensyirikkan ALLAH tetap disuruh anak tersebut berbuat baik kepada mereka. Maka orang tua muslim yang tidak menjalankan kewajipan tentulah lebih berhak dibuat baik oleh anaknya. Anaknya mesti memikirkan cara yang terbaik untuk menegur orang tuanya yang tidak menjalankan kewajipan agama agar hati mereka berdua tidak terluka.

wallahu a'lam

Nak Buat Apa Dengan Dosa?


Soalan ini mungkin nampak mudah...tapi bila ditanya "Apakah yang patut dilakukan sekiranya seseorang itu melakukan dosa tidak kira dosa itu kecil atau besar?"....saya tak tahu jawapannya. Mintak tolong ustaz berikan jawapan.

Jawapan :

Pohonlah kemampunan kepada ALLAH swt. dengan bersungguh-sungguh. Sesungguhnya ALLAH maha pengampun lagi maha mengasihani. ALLAH s.w.t. berfirman:


قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَى أَنْفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِنْ رَحْمَةِ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ

Maksudnya : "Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (al-Zumar : 53)

Firman ALLAH s.w.t. lagi:


أَلَمْ يَعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ هُوَ يَقْبَلُ التَّوْبَةَ عَنْ عِبَادِهِ

Maksudnya : "Tidakkah mereka mengetahui bahawa Allah Dialah yang menerima taubat dari hamba-hambaNya..," (al-Taubah : 104)
Firman ALLAH lagi:

وَمَنْ يَعْمَلْ سُوءًا أَوْ يَظْلِمْ نَفْسَهُ ثُمَّ يَسْتَغْفِرِ اللَّهَ يَجِدِ اللَّهَ غَفُورًا رَحِيمًا

Maksudnya : "Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri (dengan melakukan maksiat) kemudian dia memohon ampun kepada Allah, nescaya dia akan mendapati Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (al-Nisa' : 110)

wassalam.

Wednesday, November 19, 2008

Hukum Melakonkan Watak Nabi saw

Apakah HUKUM melakonkan watak nabi. ? Adakah nas yang tidak mengharamkannya...

Jawapan:

Tidak boleh melakonkan watak Nabi kerana keburukannya lebih banyak dari kebaikan (itupun jika ada kebaikan?). Nanti akan ada orang yang beranggapan perlakonan itu adalah sama seperti apa yang dilakukan oleh Nabi saw.

Perkara melakonkan watak Nabi saw dalam bentuk yang sama seperti apa yang dilakukan oleh Nabi saw adalah mustahil. Perbuatan ini seolah-olah pembohongan ke atas diri Nabi saw yang mulia.

Perkataan, perbuatan dan pengakuan Nabi saw ada nilai agama padanya. Maka perbuatan melakonkan watak baginda saw seolah-olah mendakwa demikianlah cara buat Nabi saw. Ini sudah tentu dilarang.

wallahu a'lam

Wednesday, November 12, 2008

Kepalsuan Hadith Gerhana Bulan Dan Matahari Serentak

Soalan:

Kami ada menerima beberapa email ramalan yang dikatakan dari salah seorang pelajar Melayu di Universiti al-Azhar Mesir yang meramalkan pada akhir tahun ini (2005) akan lahirnya Imam Mahdi dan dalam bulan puasa tahun ini akan berlakunya dua gerhana bulan dan matahari secara serentak. Email tersebut mendakwa ada hadith yang mengkhabarkan peristiwa ini. Saya mengharapkan penjelasan dari Ustaz apakah benar ada hadith sedemikian rupa ? Apakah benar juga ramalan tersebut ? Penjelasan dari Ustaz kami ucapkan terima kasih

Jawapan:

Hadith yang dimaksudkan itu sebenarnya bukanlah hadith dari Nabi saw, ia diriwayatkan oleh ad-Daraqutni (الدارقطني) di dalam sunannya dari perkataan Muhammad bin al-Hanifiyah. Di bawah ini adalah lafaz al-Daruqutni:

قال الدارقطني : حدثنا أبو سعيد الاصطخري ثنا محمد بن عبد الله بن نوفل ثنا عبيد بن يعيش ثنا يونس بن بكير عن عمرو بن شمر عن جابر عن محمد بن علي قال:

" إن لمهدينا آيتين لم تكونا منذ خلق السماوات والأرض تنكسف القمر لأول ليلة من رمضان وتنكسف الشمس في النصف منه ولم تكونا منذ خلق الله السماوات والأرض".


Daruqutni berkata: "Menceritakan kepada kami Abu Said al-Asytakhri, telah menceritakan kepada kami Muhammad bin Abdullah bin Naufal, telah menceritakan kepada kami 'Ubaid bin Ya'ies, telah menceritakan kepada kami Yunus bin Bakir, daripada 'Amr bin Syamir, daripada Jabir, daripada Muhammad bin Ali katanya :

"Sesungguhnya bagi Mahdi kami itu kedatangannya ada dua tanda (aayatain), tidak berlaku tanda tersebut sejak diciptakan langit dan bumi, akan berlaku gerhana bulan pada malam pertama bulan Ramadhan, gerhana matahari pada pertengahan bulan Ramadhan. Perkara ini tidak pernah berlaku sejak ALLAH menciptakan langit dan bumi."


Athar ini adalah PALSU dan PENDUSTAAN terhadap Muhammad bin Ali (Ibn al-Hanifiyah) ra seperti yang disebut oleh Dr. Abdul 'Alim Abdul 'Azim al-Bastawi (الدكتور عبد العليم عبد العظيم البستوي ) di dalam kitabnya "al-Mausu'ah fi Ahadith al-Mahdi al-Dhoiefah wa al-Maudhuah" (الموسوعة في أحاديث المهدي الضعيفة والموضوعة ) m.s. 169.

Dr. Abdul 'Alim Abdul 'Azim al-Bastawi di dalam bukunya tersebut menyebut senarai para ulama hadith yang mengkritik beberapa rowi atau periwayat yang terdapat di dalam riwayat ini terutama 'Amr bin Syamir al-Ja'fi al-Kufi.

Tentang perawi-perawi yang terdapat di dalam sanad Dr. Abdul 'Alim Abdul 'Azim al-Bastawi menyebut pada riwayat tersebut adanya:

- Yunus bin Bakir bin Wasil as-Syaibani (يونس بن بكير بن واصل الشيباني ), Abu Bakar al-Jammal al-Kufi (بكر الجمَّال الكوفي). : (Orang yang banyak melakukan kesalahan). Mati pada tahun 199 H.

- 'Amr bin Syamir al-Ja'fi al-Kufi (وعمرو بن شَمِر الجعفي الكوفي ) : Seorang Syi'ah yang banyak memalsukan hadith.

Berkata pula as-Sulaimani : “'Amr adalah orang yang memalsukan hadith untuk menyokong Rawafid (Syi'ah Rafidhah)."

Berkata al-Jauzjani : "('Amr itu) Pendusta dan Pengubah (Hadith).

Berkata pula al-Hakim : "Dia ('Amr) banyak meriwayatkan hadith-hadith Palsu daripada Jabir al-Ja'fi, tidak ada yang meriwayatkan hadith-hadith palsu yang buruk daripada Jabir selain dia."

Berkata pula Ibn Hibban : "Dia seorang Rafidh (Syi'ah Rafidhah), dia mencela para sahabat dan meriwayatkan hadith-hadith palsu yang direka-reka daripada thiqaat."

Berkata pula Abu Hatim : "Dia ('Amr) benar-benar Mungkar Hadith, ditinggalkan hadith daripadanya."

Demikianlah kritikan para ulama Hadith yang menolak 'Amr bin Syamir. Antara ulama lain lagi yang menolak beliau ialah al-Bukhari, al-Nasa-ie, Ibn Sa'ad, Daraqutni dan lain-lain.

Manakala Jabir al-Ja'fi pula ialah Matrukul Hadith (متروك الحديث ) iaitu ditinggalkan Hadith daripadanya. Akan tetapi beliau dithiqahkan oleh Syu'bah, Waki' dan al-Thauri. Namun begitu Ibn Ma'in, Abu Hanifah, Laith bin Abi Sulaim, al-Jauzjani, Ibn 'Uyainah, Ibn Kharrasy, Sa'id bin Jubair dan selain mereka menganggap ia sebagai pendusta, selain itu ramai ulama Hadith lain yang melemahkannya.

Kerana itu az-Zahabi berkata : "Syu'bah menthiqahkannya, tetapi (pendapat Syu’bah ini) Syaz, kerana al-Huffaz hadith yang lain meninggalkannya."

Berkata pula Ibn Hajar : "Dia lemah dan seorang Rafidhi (Syiah Rafidhah)."

Kesimpulannya : "Hadith ini adalah hadith PALSU, kepalsuan ini disebabkan adanya beberapa rawi yang tidak thiqah terutamanya 'Amr bin Syamir al-Ja'fi al-Kufi".

Berkata al-'Azim Abadi : "Amr bin Syamir dari Jabir ; perkataan mereka berdua adalah LEMAH. Tidak dijadikan hujjah dengan mereka berdua."

wallahu a'lam.


----------

Repond dari Abu Basyir Ad-Daiki Al~Jawi

PERINGATAN UNTUK KAUM MUSLIMIN



IMAM MAHADI AKAN MUNCUL.

DAJJAL TERLALU HAMPIR

NABI ISA AKAN TURUN



Assalamualaikum wbt



Saudaraku kaum muslimin.



Beberapa bulan lepas saya telah menulis artikel peringatan bertajuk TAHUN GEMPAR 2005. Berbagai maklum balas yang saya terima dari pembaca. Yang paling banyak ialah ungkapan " Betul ke? ".Sinis dan tidak percaya. Khusus untuk mereka, suka saya membawa jawapan Saidina Ali r.a ketika menjawab tempelak seorang Yahudi. Yahudi itu berkata " Wahai Ali, adakah kamu pasti akan masuk syurga dengan sembahyang (dll amalan Islam)?" Jawab Saidina Ali r.a mahfumnya " Andai kata syurga dan neraka itu tiada maka saya dan kamu tidak rugi apa-apa..tetapi kalau benar wujud syurga dan neraka...insyaAllah saya berjaya dan kamu akan celaka"



Demikianlah peristiwa-peristiwa yang saya garapkan dalam artikel yang lepas dengan merujuk kepada beberapa kitab dan pandangan mereka yang jujur dan warak. Konsep jawapan saya juga sama. Jawapan saya " Jika semua itu tidak berlaku..Alhamdulillah tetapi andai kata satu demi satu peristiwa-peristiwa tersebut terjadi, adakah kita mampu menghadapi tanpa persediaan?"



Dalam artikel tersebut saya telah menulis beberapa perkara perlu diberi perhatian. Antaranya tentang kematian Raja Saudi. Innalillahi wainna ilaihiraaji'un. Pada hari Isnin, 31 Julai 2005 pada pukul 10 pagi Raja Fadh telah kembali ke Rahmatullah.



Dalam hadis koleksi saya mengenai Imam Mahadi a.s., tercatit bahawa apabila wafatnya Raja Arab akan berlaku perang saudara dan kekacauan akibat perebutan kuasa sesama mereka. Oleh yang demikian saya meminta saudara dan saudari sama-sama mengikuti dengan teliti perkembngan politik Arab Saudi . Sama-sama kita perhatikan dalam masa terdekat ini adakah terdapat bibit-bibit persengketaan yang dikatakan akan berlaku itu. Jika benar berlaku ternyata era Imam Mahadi akan bermula sebagaimana yang dijangka.





Muhammad Hasanain Haikal menulis dalam bukunya Al-Maqalat Al-Yabaniah bahawa adanya mereka-mereka yang menunggu untuk menggantikan Raja Fadh. Dari kalangan saudara kandung Raja Fadh( As-Sudairiyyin), iaitu Amir Sultan ( Panglima perang dan Menteri Pertahanan) dan Amir Salman. Manakala pengganti Raja Fadh, Amir Abdullah Ibnu Badawiyyah adalah hanya saudara tiri Raja Fadh.Raja Amir Abdullah juga merupakan panglima Pasukan Pengawal Nasional. ( Gambar 1 )

Gambar 1







Tulisan ini digarap pada bulan Ogos 2005. Bulan Ramadhan tahun ini akan bermula pada awal bulan Oktober 2005 iaitu 4 atau 5 Oktober 2005. Gerhana bulan dijangka akan berlaku di awal Ramadhan. Dan pada pertengahan Ramadhan akan berlaku pula gerhana matahari. Pada malam Jumaat pertengahan Ramadhan akan kedengaranlah suara dahsyat yang menakutkan. Jadi, ada dua peristiwa. Satu siang iaitu gerhana matahari dan satu malam iaitu suara yang manusia tidak pernah mendengar sebelum ini.



Pada bulan Syawal berikutnya bersamaan awal November 2005, akan mula berlaku Ma'ma'ah ( huru hara) yang berupa kecamuk peperangan antara negara-negara. Pada bulan Zulkaedah bersamaan bulan Disember 2005 akan terjadi perselisihan antarabangsa. Pada tahun 2006, musim haji akan dilakukan 2 kali. Bulan Zulhijjah pertama bersamaan dengan bulan Januari 2006. Akan terjadi peristiwa pembunuhan sehingga darah mengalir di Jumratul Aqabah pada hari Idhul Adha di Mina. Haji pada kali ini tidak lagi berlaku dalam suasana aman. Selepas peristiwa ini era Imam Mahadi akan bermula pada awal Muharram 1427 hijrah bersamaan Februari 2006.



Percayalah era Imam Mahadi dan Dajjal sudah terlalu hampir. Kaum Yahudi amat yakin pemimpin Agung mereka iaitu Al-Moshaikh ( Dajjal) akan muncul mengetuai mereka. Kaum Kristian pula amat yakin bahawa Al-Masih ( Nabi Isa a.s) akan muncul memimpin mereka. Manakala kita, kaum muslimin yakin bahawa Al-Mahadi, Al-Moshaikh( Dajal) dan Al-Masih a.s akan muncul. Menarik bukan?



Sesungguhnya Yahudi sedang kecut perut yang teramat-amat. Mereka membina tembok-tembok di Israel. Menanam pokok Ghardaqah dengan banyaknya. Malah telah menempah pedang Titanium dengan banyaknya. Hari mereka akan disembelih di bumi Israel makin hampir. Mereka menempatkan tentera proksi di bumi Afghanistan dan Iraq untuk menghadang tentera dari Timur. Tetapi ramai umat Islam sedang lalai dan hampir tidak ambil peduli pada era yang ditentukan olehNya tetapi telah dikhabarkan oleh RasulNya 1426 tahun lampau.



Ketahuilah era Islam menakluki dunia semakin hampir. Benarlah sabda Rasulullah saw bahawa akan sampai satu masa tidak akan ada satu pintu yang tidak akan dimasuki Islam. Panjang umur kita semua akan menyaksikan seorang pemimpin Agung bergelar Imam Mahadi akan memerintah dunia sambil memegang panji-panji Islam.





Tadahkan tangan dan berdoalah untuk pemimpin Agung kita Khalifah Al-Mahdi dan para pejuangnya. Di segenap ceruk dunia kini, sedang bersiap-siap 40 wali kutub, 313 orang Al-Badri dan 360 orang An-Najd. Mereka akan diikuti oleh 100,000 pejuang kaum muslimin yang akan berjuang seperti singa di waktu siang dan berdiri malam beribadat kepada Allah. Mereka-mereka yang terpilih itu kini berada di mana-mana. Setiap mereka akan mendapat alamat dari Allah. Apabila seruan tiba ( sedikit masa lagi) mereka akan menyahut seruan datang berbai'at/ berjanji setia dengan Imam Mahadi dan bersedia mencagarkan nyawa untuk agama. Mereka akan berduyun-duyun tampil mempertaruhkan jiwa raga untuk berjuang di sisi Imam Mahadi menegakkan kalimah Allah di muka bumi.



Tetapi sebelum bendera Islam berkibar diseluruh pelosok alam, beberapa peristiwa yang besar akan berlaku terlebih dahulu dan merubah senario kehidupan di luar kebiasaan dan jangkaan. Tiada lagi teknologi maklumat, Teknologi bio dan teknologi nano. Bursa saham di seluruh dunia akan merudum dan berakhir.



Saya pernah diberitahu oleh seorang ulamak yang warak bahawa Imam Mahadi akan berdoa kepada Allah agar minyak dilenyapkan dari muka bumi. Katanya waktu itu manusia akan berkenderaan hidup bukan berkenderaan mati. Bayangkan dunia tanpa minyak. Peperangan di era Mahadi hanya akan berlaku di waktu siang dan bersenjatakan panah, pedang dan tombak.



Mustahil? Allah Maha Berkuasa untuk melakukan sesuatu. Mengapakah Kaum Yahudi menempah pedang-pedang titanium? Adakah mereka lebih mengetahui dari kita? Memang mereka lebih mengetahui, peka, yakin dan sedang bersedia bersungguh-sungguh untuk menghadapi saat-saat genting pemusnahan bani Yahudi secara total dari muka bumi. Yahudi memang suka melawan takdir.



Mengenai Imam Mahadi. Tanpa prejudis saya menulis. Janganlah saudara terkejut bahawa pemimpin Agung yang bakal memerintah dunia itu akan datang dari dunia sebelah sini. Beliau akan muncul dari kalangan Bani Jawi. Bukan Bani Arab dan bukan Bani Israel.



Bani Jawi? Mungkin sebahagian dari kita termangu-mangu dan tertanya-tanya mengenai bani jawi. Pernah dengar ungkapan " masuk jawi" dan tulisan jawi?. Apa maksud Jawi tersebut. Bani Jawi asal usulnya dari keturunan Nabi Ibrahim a.s. Semasa keluar berdakwah meninggalkan Siti Hajar dan Ismail a.s yang masih kecil, Nabi Ibrahim sampai ke Kampuchea dan berkahwin di sana. Keturunan baginda berkembang biak di Nusantara dan bergelar Bani Jawi. Tidak hairanlah militeri Israel telah lama bertapak di Singapura sebagai penasihat. Apa yang mereka cari? Kaum Yahudi telah mengetahui siapa Rasulullah dan di mana baginda dilahirkan. Demikian juga, Yahudi telah mengetahui siapa dia Imam Mahadi, di mana dia dilahirkan. Mereka sedang kelam kabut mencari Imam Mahadi kerana mereka tahu inilah orang yang akan menjadi khalifah dan memimpin kaum muslimin menyembelih mereka nanti. Tetapi mampukah Yahudi mengalahkan perancangan Allah swt?



Sesungguhnya dari Bani Arab ada pemimpin agung, Rasulullah saw yang tercinta, dari Bani Israel muncul Musa a.s dan di akhir zaman muncul Mahadi a.s. Al-Muntazar dari kalangan Bani Jawi. Imam Mahadi a.s. adalah orang Jawi. Ada darah Rasulullah saw sebelah saidina Hassan r.a.dalam dirinya. Imam Mahadi telah wujud dan akan memimpin dunia ini dengan akhlak Allah yang mulia. Adil dan saksama. Di mana beliau berada? Hanya Allah yang Maha Mengetahui.



Imam Mahadi bukan manusia luar biasa. Beliau adalah manusia biasa tetapi beliau adalah insan pilihan Allah. Sampai masanya beliau akan ditarbiyah oleh Allah hanya dalam satu malam sahaja. Bacalah kisah Jalut dan Talut yang tercatit dalam Al~Quran. Pemimpin bani Israel itu hanyalah seorang gembala kambing. Tiba-tiba sahaja dia dilantik menjadi pemimpin.Ini cerita dalam Al~Quran. Manakala Rasulullah saw pula hanyalah seorang anak yatim. Di saat dipilih sebagai Rasulullah, baginda pernah diperlekehkan oleh kaumnya. Ada yang tidak percaya. Ada yang menolak bulat-bulat. Imam Mahadi juga akan mengalami nasib yang sama. Ianya sunnatullah.



Imam Mahadi bukan seorang insan bersinar-sinar bercahaya turun dari langit. Bukan juga seorang yang mempunyai kekuatan ghaib dan sakti. Beliau memiliki nusrah Allah swt. Peperangan demi peperangan akan dilalui olehnya untuk mengembalikan sinar agama di bumi ini. Kemenangan demi kemenangan akan dicapai oleh Imam Mahadi bersama tenteranya dengan izin Allah.



Imam Mahadi tidak mencari harta dan kedudukan. Malah beliau akan membahagi-bahagikan harta sewenang-wenangnya. Yang beliau mahukan agar setiap manusia di muka bumi ini kembali memuji Allah dan mengagungkan hanya Allah. Beliau menyambung kerja Nubuwwah. Menyeru manusia kepada Allah. Beliau adalah Amirul mukminin dan Khalifah yang kita tunggu-tunggu.



Imam Mahadi akan dibantu oleh pejuang-pejuang yang cintakan hanya Allah dan Rasul saw. Mereka sanggup mati kerana agama yang suci seperti para sahabat. Niat mereka juga seperti Imam Mahadi. Pengikut Mahadi a.s bukanlah pecinta dunia. Mereka tidak mencari pangkat dan harta, Mereka membantu Imam Mahadi menyebarkan kalimah Allah di segenap pelosok bumi dengan diri dan harta mereka.



Lawatilah laman web zionis - " Temple institute". Di sana kita akan lihat betapa gigihnya kaum Yahudi mahu membina biara suci untuk menyambut kedatangan Al-Mosaikh mereka yang dinanti-nati sekian lama sebagaimana yang tercatat dalam kitab mereka.



Saya menyeru kepada diri saya dan kaum muslimin agar membuat persiapan. Jangan berlengah lagi. Masanya bukan dekat. Tetapi teramat dekat. Kita tidak perlu membina Mesjid khas seperti kaum Yahudi. Imarahkanlah mesjid ditempat masing-masing. Ajak-mengajaklah denga penuh hikmah dan kasih sayang sesama kita. Hidupkan rumah-rumah Allah dengan amalan-amalan. Tingkatkan amalan persendirian dan ajaklah kaum keluarga meningkatkan amalan sebelum ujian-ujian besar melanda gelombang demi gelombang.



Akhir sekali saya mengingatkan diri saya dan kaum muslimin agar jangan bertangguh-tangguh lagi mengamalkan tunjukajar Rasulullah saw sejak 1426 tahun yang lampau. Rasulullah saw mengajar doa tersebut kepada umatnya untuk mengelak dari fitnah Dajjal. Rasulullah saw mengajar doa tersebut kepada para sahabat begitu teliti seperti mengajar ayat Al~Quran pada 1426 tahun yang lampau. Masa yang masih jauh dari era Dajal. Tetapi para sahabat telah mengamalkannya. Sedangkan kita berada di ambang era fitnah Dajjal, Masihkah kita ambil sifat tidak endah? Mungkin ada yang tahu tetapi mengambil sikap sambil lewa dan menangguh-nangguh. Sedihnya sebahagian besar umat ini langsung tidak tahu doa ini. Apalagi mengamalkannya.



Fitnah Dajal adalah besar dan serius. Ini bukan masalah hidup atau mati. Tetapi mereka yang terpengaruh dengan sihir Dajal akan jadi kafir, Na'uzubillah. Sabda Rasulullah saw mahfumnya, sejak zaman Nabi Adam, tidak ada Nabi yang tidak mengingatkan umat mereka tentang fitnah Dajal. Sedarlah dan sedarkanlah seluruh kaum muslimin tentang peristiwa paling dahsyat yang bakal berlaku sedikit masa nanti. Salin dan sebarkan doa yang saya lampirkan ini.







Saya memohon ampun kepada Allah dan meminta maaf kepada kaum muslimin jika ada salah dan silap dalam penulisan ringkas ini. Saya hanya memberi peringatan.



Ya Allah berilah Hidayat, Hifazat dan maghfirahMu kepada pemimpin kami Imam Mahadi Al-Muntazar walau di mana baginda berada. Selamatkanlah baginda. Bantulah baginda. Begitu juga para pejuang Islam yang akan bergadai nyawa di sisinya.



Ya Allah selamatkanlah seramai mungkin umat ini dari fitnah dan sihir Dajjal.



Ya Allah bantulah kami menghadapi gelombang-gelombang ujian yang bakal mendatang.





Abu Basyir Ad-Daiki Al~Jawi





HARI-HARI YANG PERLU DIPERHATIKAN



BULAN & TAHUN
BULAN & TAHUN
PERISTIWA

Ogos2005
Rejab 1426
Kematian Raja Fadh

September 2005
Syaaban 1426


Oktober 2005
Ramadhan 1426
Gerhana di awal bulan
Bunyi yang menggerunkan ditengah bulan (malam)*
Gerhana di ditengah bulan(siang)
Ada tanda dilangit seperti tiang bersinar.

November 2005
Syawal 1426
Peperangan dan

huru hara

Disember 2005
Zulkaedah 1426
Konflik antara Negara Islam/suku kaum

Januari 2006
Zulhijjah 1426
Pertumpahan darah di Mina pada musim Haji

Februari 2006
Muharam 1427

( Hari Asyura)
Imam Mahadi di bai'at




* Jika ini terjadi simpanlah makanan untuk setahun.
-----------------------

Jawapan dari bin sahak

Respond terhadap tulisan Abu Basyir Ad-Daiki Al~Jawi bertajuk :

"PERINGATAN UNTUK KAUM MUSLIMIN : IMAM MAHADI AKAN MUNCUL. DAJJAL TERLALU HAMPIR, NABI ISA AKAN TURUN"


Jika membaca tulisan hamba ALLAH yang menamakan dirinya sebagai Abu Basyir Ad-Daiki Al~Jawi, nampaknya beliau naik 'tocang' setelah ramalannya tentang kematian Raja Fahad benar-benar berlaku. Beliau nampaknya lebih bersungguh mempertahankan ramalan-ramalan karutnya tentang peristiwa-peristiwa yang akan berlaku dalam tahun 2005 ini. Namun sesuatu yang beliau sendiri tidak dapat sembunyikan ialah keraguan yang wujud dalam diri beliau sendiri terhadap ramalan-ramalan tersebut. Keraguan beliau itu jelas kelihatan bermula dari awal artikel tersebut apabila beliau mengatakan :

“ Jika semua itu tidak berlaku..Alhamdulillah tetapi andai kata satu demi satu peristiwa-peristiwa tersebut terjadi, adakah kita mampu menghadapi tanpa persediaan?�


Dari kenyataannya ini jelas menunjukkan beliau sendiri ragu akan ramalan-ramalan tersebut. Namun mungkin disebabkan kejahilan, beliau memberanikan juga untuk mempercayai dan menyebarkan ramalan-ramalan perkara-perkara ghaib ini tanpa mengetahui kesan dan akibat dari perbuatannya. Beliau gagahkan juga untuk mempercayai ramalan perkara-perkara ghaib tersebut walaupun ianya dibina di atas hadith yang palsu. Mungkin beliau tidak tahu terdapatnya hadith Nabi s.a.w. yang memberi ancaman keras terhadap orang yang memalsukan hadith dari baginda, jika beliau mengetahuinya mustahil beliau melakukan perkara yang dilrang oleh Nabi s.a.w. Sabda Nabi s.a.w. :

من كذب علي متعمدا فليتبوأ مقعده من النار

Maksudnya : "Sesiapa yang berbohong atas ku dengan sengaja maka siaplah tempat duduknya dalam neraka." (Hadith riwayat Imam Muslim di dalam Muqaddimah sahihnya)

Ancaman dari Nabi ini tidak hanya kepada pereka-pereka hadith palsu, bahkan ianya juga termasuk orang-orang yang meriwayatkan hadith palsu tanpa menerangkan kepada orang lain akan kepalsuan hadith tersebut. Perkara ini sepertimana yang disebut oleh al-Imam Ibn Salah :

"Tidak halal kepada sesiapa yang mengetahui hadith palsu meriwayatkannya dalam apa bentuk sekalipun, melainkan disertai dengan menerangkan kepalsuannya." (Ibn al-Salah, 'Ulum al-Hadith, m.s. 98. Sumber : Dr. Mohd Asri Zainul Abidin : Menangkis Pencemaran Terhadap Agama dan Tokoh-tokohnya. m.s. 15)

Bagaimana pula jika seseorang yang meriwayatkan hadith palsu kemudian menggambarkan hadith tersebut seolah-olah benar dari Nabi s.a.w. Kita berbaik sangka dengan saudara Abu Basyir. Beliau mungkin tidak perasan hadith tentang dua gerhana yang akan berlaku dalam bulan ramadhan itu adalah hadith palsu (Inilah satu-satunya hadith yang disebut oleh Saudara Basyir dalam dua siri tulisannya). Jadi beliau menyebutnya dalam keadaan beliau tidak tahu hadith itu palsu. Perkara ini berlaku mungkin disebabkan beliau lebih suka membaca buku-buku ramalan karut-marut dari membaca buku-buka hadith Nabi s.a.w. dan perkataan para ulama hadith.

Namun, tindakan beliau ini tetap menjadi satu kesalahan kerana beliau menukilkan ramalan perkara ghaib hanya berdasarkan tulisan Muhammad Husanain Haikal yang bertajuk al-Maqalaat al-Yabaniah. Buku tersebut menghimpunkan pandangan penulis terhadap politik dunia, ianya bukanlah sebuah kitab hadith yang boleh dijadikan rujukan, apatah lagi untuk dijadikan pegangan keimanan dalam perkara-perkara ghaib. Saya tidak memiliki kitab tersebut, namun muka depan kitab tersebut boleh dilihat dan boleh dibeli bagi sesiap yang berminat :
http://www.shorouk.com/ar/book_details.asp?book_id=263&cat_id=6

Dalam mempercayai ramalan-ramalan tersebut beliau juga gagal untuk mendatangkan hadith-hadith yang beliau dakwa terdapat di dalam koleksi himpunannya tentang al-Mahdi. Cakap hanya tinggal cakap kosong apabila dalam artikel tersebut beliau langsung tidak mendatangkan walaupun sebuah hadith yang kononnya beliau memiliki koleksinya tentang al-Mahdi.

Sesuatu yang telah menjadi pengetahuan umum bahawasanya manusia dilarang untuk meramal dan mempercayai ramalan kepada perkara-perkara ghaib. Ini adalah kerana tidak ada yang dapat mengetahui perkara ghaib melainkan ALLAH s.w.t.

Lebih lucu apabila beliau mendakwa al-Mahdi yang dimaksudkan adalah al-Mahdi yang akan datang dari sebelah sini iaitulah dari Bani Jawi. Ringkas kata al-mahdi akhir zaman adalah dari suku sakat Jawa yang Melayu. Cumanya beliau mungkin segan untuk menyebutnya secara jelas yang al-Mahdi beliau adalah dari keturun melayu, mungkin beliau bimbang akan ditertawakan orang….

Saya ingin cadangkan kepada saudara Abu Basyir, sila datangkan hadith-hadith yang ada dalam koleksi saudara yang menyokong ramalan-ramalan penulis buku al-Maqalaah al-Yabaniah itu. Buktikan juga hadith-hadith tersebut adalah sahih dari Nabi s.a.w. jika tidak kita nasihatkan kepada beliau berpadalah dengan hadith-hadith yang sahih dari Nabi s.a.w. takutkanlah ancaman neraka dari Nabi kepada sesiapa yang mereka-reka hadith palsu dan meriwayatkannya kepada orang ramai.

Saya bukanlah dari golongan orang yang menolak akan lahirnya al-Mahdi akhir zaman. Bahkan saya meyakini akan kelahirannya kerana ianya di sebut di dalam banyak hadith-hadith yang sahih. Sebahagian hadith tersebut boleh di lihat di sini :
http://www.ibn-qayyim.info/forum/viewtopic.php?t=95
Namun Ahl as-Sunnah wa al-Jamaah tidak meneka-neka dan menunggu-nunggu bilakah al-Mahdi yang dimaksudkan di dalam beberapa hadith-hadith Nabi s.a.w. tersebut akan keluar. Sikap menunggu-nunggu al-Mahdi membawa beberapa kesan yang buruk. Antaranya Umat Islam akan meninggalkan dakwah, mereka lebih suka menunggu dan membiarkan sahaja urusan dakwah ini dipikul oleh al-Mahdi, mereka akan mengambil sikap lebih suka menunggu al-Mahdi untuk menjadi pembantu atau tenteranya.

Tidak ada hadith yang sahih yang menceritakan secara detail rentetan peristiwa yang berlaku sebelum kedatangan al-Mahdi. Nabi tidak menceritakan secara detail apakah peristiwa-peristiwa yang berlaku sebelum kedatangan al-Mahdi yang boleh dijadikan petanda dan alamat kepada kelahirannya.

Para ulama berbeza pendapat tentang tertib atau susunan peristiwa tanda-tanda kiamat. Perbezaan ini timbul disebabkan tidak adanya dalil-dalil sahih daripada sunnah yang menceritakannya dalam bentuk yang tertib dan detail. Sebab as-Sunnah tidak menyusun peristiwa dan tanda-tanda kiamat ini secara detail salah satunya bertujuan mengelakkan timbul sikap meninggalkan dakwah seperti yang saya sebutkan di awal tadi.

Hadith-hadith yang menceritakan tentang al-Mahdi sampai ke darjat Mutawatir al-Maknawi. Sebab itu ramai para ulama yang menulis kitab menthabitkan kemunculan al-Mahdi dan menjadikannya sebahagian daripada aqidah seorang Muslim. Sebagian ulama tersebut ialah : al-Hafidz Abu Nu'aim, Abu Daud, Abu Kathir, al-Sakhawi, al-Syaukani dan lain-lain. Namun insyaALLAH, saya berpendapat al-Mahdi tidak akan zahir dalam setahun dua ini di atas beberapa sebab, yang paling utama ialah disebabkan sebuah hadith, iaitulah :

لا يخرج الدجال حتى يذهل الناس عن ذكره , وحتى تترك الأئمة ذكره على المنابر

Maksudnya : "Dajjal tidak akan muncul hingga manusia lupa mengingatinya dan hingga pemimpin-pemimpin tidak menyebutnya lagi di atas mimbar." (al-Albani mendakwa al-Haithami berkata di dalam 'Majma' al-Zawaid' : "Hadith ini diriwayatkan oleh Abdullah bin Ahmad dari riwayat Biqiyyah dari Shafwan ibnu Amr. Hadith ini sahih sebagaimana Ibn Ma'in dan Biqiyyah katakan, dan Rijalnya terpecaya." Selain al-Haithami Ibn Sakkan (ابن السكن) di dalam Tahzib al-Tahzib berpendapat hadith ini Soleh al-Isnad.)

Ini alasan utama saya mengatakan insyaALLAH al-Mahdi tidak akan zahir dalam setahun dua ini. Ini adalah kerana zaman zahirnya al-Mahdi, al-Dajjal dan Nabi Isa adalah saling bersamaan dimana Nabi Isa akan solat dengan diimamkan oleh al-Mahdi dan Nabi Isa akan membunuh al-Dajjal. Perkara ini disebut di dalam hadith-hadith yang sahih.

Kita lihat hari ini masih ramai lagi umat Islam yang mengingati tentang Dajjal termasuk al-Mahdi dan Nabi Isa. Para penceramah, Ustaz dan Khatib-Khatib masih ada yang memperingatkan tentang bahaya fitnah Dajjal. Sebab itu saya beranggapan IsyaALAH al-Mahdi tidak kan zahir dalam setahun dua ini.

Cumanya hari ini sudah mula timbulnya suara-suara sumbang yang cuba mempertikaikan penthabitan perkara akidah dari hadith-hadith yang Ahaad. Mereka kononnya mendakwa hadith Ahaad tidak menatijahkan ilmu yang yakin maka ianya tidak boleh dijadikan hujjah dalam perkara aqidah. Ini merupakan salah satu sebab yang membawa kepada lupanya umat Islam mengingati akan lahirnya al-Dajjal, al-Mahdi dan Nabi a.s. Kita memohon kepada ALLAH supaya melindungi kita dari terpengaruh dengan dakwaan ini dan dari ramalan-ramalan karut situkang ramal akhir zaman.

Wallahu a'lam
_________________
http://kadir-alqayyim.blogspot.com/

Hadith Dua Karung Ilmu

Soalan:

Dari Abu Hurairah, r.a., katanya :

“Saya sudah hafal dua karung hadis dari Rasulullah. Salah satu karung telah saya siarkan, sedang yang satu karung lagi kalau saya siarkan niscaya di potong orang leher ku.” (al-Bukhari)

Daripada hadis Nabi Muhammad SAW di atas dapat kita ketahui bahawa terdapat dua katagori Hadis yg besar. Iaitu satu disebarkan dan satu lagi tidak disebarkan. Mengapa ia tidak disebarkan?

Dan adakah Sahabat-Sahabat Baginda yang dekat tidak mengetahui akan hadis tersebut melainkan Abu Hurairah r.a sahaja?

Dan apakah kandungan Hadis-Hadis tersebut?

Jawapan:

Hadith yang saudara maksudkan di riwayatkan oleh al-Bukhari di dalam sahihnya bilangan 120.

وعيت عن النبي صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وعائين من العلم, أما أحدهما فبثثته, وأما الآخر فلو بثثته لقطع ما بين هاتين

Maksudnya: "Aku menghafal dari Nabi saw dua bekas daripada ilmu. Salah satu daripadanya telah aku sebarkannya. Adapun yang satu lagi, kalau aku sebarkannya pasti dipotong tengkukku." - Dalam riwayat yang lain disebut (البلعوم) iaitu dipotong tempat lalunya makanan di tengkuk.

Sebahagian para sahabat ada pengkhususannya yang tersendiri. Huzaifah ra misalnya telah dikhabarkan kepadanya oleh Nabi saw akan nama-nama orang munafik Madinah. Perkara ini tidak dikhabarkan oleh Nabi saw kepada para sahabat yang lain. Perkara-perkara seumpama ini TIDAK ADA hubung kait dengan hukum hakam, Nabi saw mengkhabarkan sesuatu perkara kepada seseorang sahabat dan tidak mengkhabarkannya kepada sahabat yang lain berdasarkan kepada kecendorongan seseorang sahabat tersebut.

Sama halnya dengan hadith yang ditanyakan di atas. Satu bekas ilmu yang tidak disebarkan oleh Abu Hurairah itu TIDAK ADA kaitannya dengan hukum-hakam atau perkara yang perlu diketahui oleh semua orang. Sebaliknya hadith-hadith yang tidak disebarkan oleh Abu Hurairah itu adalah hadith-hadith tentang pengkhabaran fitnah, yang menceritakan nama setiap orang atau pemimpin-pemimpin tertentu, keadaan dan zaman mereka. Apa yang berlaku kepada mereka, siapa yang membunuh mereka dan seumpamanya yang menceritakan tentang fitnah akhir zaman yang dikhabarkan oleh Nabi saw kepada beliau disebabkan kecenderongan beliau ke arah itu.

Inilah yang disebut oleh para ulama yang mensyarahkan hadith tersebut seperti Ibn Hajar al-‘Asqalani dan lain-lain.

Perkara-perkara seumpama ini tidaklah menunjukkan Abu Hurairah telah menyembunyikan ilmu, perkara tersebut akan berlaku juga pada masa yang akan datang. Sama seperti apa yang berlaku pada Huzaifah ra yang tidak menghebahkan nama orang-orang munafik yang diceritakan oleh Nabi saw kepada orang lain, maka demikian juga dengan Abu Hurairah. Beliau tidak menyebarkan perkara tersebut disebabkan beliau memandang tidak ada keperluan dan tidak ada maslahah kepada orang Islam untuk beliau menyebarkannya. Disamping perkara yang tidak disebarkannya itu tidak ada yang bersangkutan dengan hukum-hakam. Ini adalah sebahagian daripada Ijtihad atau pandangan Abu Hurairah terhadap himpunan hadith tersebut.

Sebahagian golongan batiniyah sesat ada yang menjadikan hadith ini untuk menyokong dakwaan batil mereka yang mengatakan ada ilmu yang tidak boleh disebarkan untuk orang awam. Mereka menjadikan alasan dengan hadith ini untuk mengatakan adanya ilmu zahir dan batin di dalam Islam, tanpa merujuk terlebih dahulu kepada huraian dari para ulama.

Dakwaan ini jelas kesalahannya, kerana ilmu yang tidak disebarkan oleh Abu Hurairah itu bukanlah ilmu sekitar persoalan hukum-hakam, sebaliknya ilmu tentang hal-ehwal fitnah akhir zaman yang menjelaskan nama-nama pemimpim-pemimpin yang jahat seperti yang dijelaskan di atas.

Ibn Hajar al-'Asqalani di dalam Fath al-Bari menyebut perkataan Ibn al-Munir:

Maksudnya: "Golongan Batiniyyah telah menjadikan hadith ini sebagai hujah membenarkan kebatilan mereka, dimana mereka beranggapan bahawasanya bagi syariat itu adanya ilmu zahir dan batin, lalu natijahnya mereka terkeluar daripada agama."

wallahu a'lam.

Ahlul Bait Nabi saw

Soalan:

Minta penjelasan dari Ustaz, siapakah yang dinamakan Ahlul Bait Nabi saw ?

Jawapan:

Terdapat beberapa pendapat di kalangan para ulama dalam menentukan siapakah Ahl al-Bait (أهل البيت) Nabi saw. Sebahagian ulama mengatakan Ahl al-Bait ialah Isteri-isteri Nabi saw, anak-anak baginda, Bani Hashim, Bani Abdul Mutallib dan Maula-Maula mereka. Sebahagian para ulama yang lain pula tidak memasukkan Isteri Nabi di dalam Ahl al-Bait. Manakala sebahagian yang lain pula mengatakan Ahl al-Bait Nabi saw ialah kaum Quraisy. Terdapat juga di kalangan para ulama yang mengatakan Ahl al-Bait Nabi saw ialah orang-orang yang bertaqwa di kalangan umat baginda. Sebahagain yang lain lagi mengatakan mereka ialah kesemua umat nabi saw.

Berdasarkan pendapat yang lebih kuat (القول الراجح) Isteri-isteri Nabi saw termasuk di dalam Ahl al-bait Nabi saw. Ini kerana ALLAH swt selepas menyuruh isteri Nabi saw memakai hijab berfirman:

إنما يريد الله ليذهب عنكم الرجس أهل البيت ويطهركم تطهيرا

Maksudnya : "Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu wahai "AhlulBait" dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang keji)." (al-Ahzab ayat 33)

Adapun Bani Abdul Mutallib, terdapat riwayat daripada Imam Ahmad yang menunjukkan bahawasanya mereka itu termasuk Ahl al-Bait Nabi saw. Ini juga merupakan pendapat al-Imam as-Syafi'e rh.

Akan tetapi Imam Abu Hanifah dan Imam Malik tidak memasukkan Bani Abdul Mutallib ke dalam Ahl al-Bait Nabi saw. Pendapat ini juga mewakili salah satu riwayat daripada Imam Ahmad rh.

Berdasarkan pendapat yang lebih kuat, Bani Abdul Mutallib juga termasuk di dalam Ahl al-Bait Nabi saw. Dalilnya adalah riwayat daripada Jubair bin Mut'im (جبير بن مطعم) r.a. :

Maksudnya : "Aku dan 'Uthman bin 'Affan pergi berjumpa Rasulullah saw lalu kami bertanya : "Wahai Rasulullah. Anda telah memberi kepada Bani Abdul Mutallib dan anda meninggalkan kami, sedangkan kami dan mereka dengan Anda dalam satu kedudukan." Maka sabda Nabi saw : "Adapun Bani Abdul Mutallib dan Bani Hashim sesuatu yang sama." (Hadith riwayat al-Bukhari 2907, an-Nasa-i 4067)

Termasuk juga di dalam Ahl al-Bait itu Bani Hashim bin Abdul Manaf. Mereka ialah keluarga 'Ali, keluarga 'Abbas, keluarga Ja'far, keluarga 'Uqail dan keluarga al-Harith bin Abdul Mutallib. Terdapat riwayat daripada Imam Ahmad bahawasanya ditanya kepada Zaid bin Arqam ra siapakah keluarga Nabi saw wahai Zaid ? Apakah bukan isteri-isteri baginda itu daripada keluarga baginda ?" Jawab Zaid:

"Sesungguhnya isteri-isteri baginda sememangnya dari keluarga baginda, akan tetapi Ahl al-Bait baginda adalah sesiapa yang diharamkan sedekah selepas (kewafatan) baginda." Ditanya kepadanya lagi : "Siapakah mereka itu ?" Jawab Zaid : "Mereka ialah keluarga 'Ali, keluarga 'Uqail, keluarga Ja'far dan keluarga 'Abbas." Ditanya kepadanya : "Apakah semua mereka diharamkan daripada sedekah?" Jawab Zaid : "Ya !" (Riwayat Ahmad bil. 18464)

Adapun Maula-Maula mereka terdapad riwayat daripada Mihran Maula nabi saw katanya : Sabda rasulullah s.a.w. : "Sesungguhnya kami keluarga Muhammad tidak dihalalkan kepada kami sedekah, dan Maula bagi sesuatu kaum itu termasuk daripada mereka." (Riwayat Ahmad bil. 15152)

Maka keluarga Nabi saw ialah : Isteri-isteri baginda, zuriat-zuriat baginda, Bani Hashim, Bani Abdul Mutallib dan Maula-Maula mereka."

wallahu a'lam.

Hadith Tentang Dua Golongan : Ulama dan Umara

Assalamu'alaikum warahmatullah Ustaz. Tolong semak untuk saya apakah kedudukan hadith di bawah ini ?

"Dua golongan dari umat ku, apabila ianya baik, maka baiklah semua manusia : Para Pemerintah dan Para Fuqaha."

Jawapan :

Lafaz hadith yang anda tanya ialah:


1 - صنفان من أمتي إذا صلحا صلح الناس : الأمراء و الفقهاء ـ و في رواية ـ العلماء

Maksudnya : "Dua golongan dari umat ku, apabila ia baik, maka baiklah semua manusia : Para Pemerintah dan Para Fuqaha." Di dalam riwayat yang lain : "Ulama".

Hadith ini diriwayatkan dari Ibn 'Abbas. Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani di dalam Silsilah al-Ahadith al-Dhoiefah wal Maudhu'ah menyatakan hadith ini MAUDHU' atau PALSU

2 - صنفان من الناس إذا صلحا صلح الناس، و إذا فسدا فسد الناس : العلماء و الأمراء

Maksudnya: "Dua golongan dari kalangan manusia, apabila baik, maka baiklah manusia semuanya. Apabila jahat, jahatlah manusia semuanya : al-Ulama dan Umara (Pemerintah)."

Hadith ini diriwayatkan dari Ibn 'Abbas. Al-'Iraqi di dalam Takhrij al-Ihya' mendakwa Isnad hadith ini DHOIEF atau LEMAH.

Wallahu a'lam.

Seni Silat Dan Ungkapan "Ajarlah anak-anakmu berenang…"

Soalan:

Saya tergerak hati ingin bertanya berkaitan isu silat yang dikatakan satu seni mempertahan diri bagi bangsa Malayu.

Tidak hiraulah apakah jenis silat, namun adakah ia merupakan satu kewajipan kepada umat Islam mempelajarinya? Namun ada sahabat saya yang berkata di dalam aktiviti silat ini mempunyai unsur-unsur keislaman dengan membaca ayat yang tertentu dari Al Quran. Terdapatnya juga upacara mandi bagi pelajar yang ingin ditingkatkan tahapnya maka digunakan dengan pelbagai bacaan.

Sebagai muslim adakah wajar kita turuti seni ini atau bergantung kepada Allah swt dengan dasar iman. Ada juga hadis yang menyatakan supaya mengajar anak kita supaya pandai menunggang kuda dan bermain pedang maka adakah ini merangkumi aktiviti persilatan. Mohon ustaz perjelaskan hal ini.

Jawapan :

Belajar seni mempertahankan diri tidak salah di dalam Islam. Ia termasuk di dalam usaha memelihara diri dari bahaya. Melengkapkan diri dengan seni mempertahankan diri tidak bermakna kita tidak bergantung dengan ALLAH. Usaha itu disuruh di dalam agama, menafikan usaha seolah-olah menafikan kebijaksanaan ALLAH menciptakan sebab musabah dalam sesuatu hal. Maka belajar seni mempertahankan diri merupakan usaha kita berdepan dengan sebab musabab yang boleh membawa kepada mudharat.

Tidak semestinya seni silat sahaja yang boleh dipelajari untuk mempertahankan diri, begitu juga dengan seni-seni mempertahankan diri yang lain. Yang penting seni mempertahankan diri itu mestilah jauh dari unsur-unsur syirik, khurafat dan bid'ah.

Kalau seni silat sekalipun, tetapi ianya mengandungi perkara-perkara syirik, khurafat dan bid'ah seperti mandi bunga, mandi limau, mandi tawassul dengan kain putih dan seumpamanya, maka sudah tentu kita tidak boleh menyertainya. Carilah seni mempertahankan diri yang lain yang jauh dari unsur-unsur syirik, khurafat bid'ah dan seumpamanya.

Berkenaan ungkapan:

علموا أولادكم السباحة والرماية ومروهم فليثبواعلى ظهور الخيل وثبا

Maksudnya : "Ajarlah anak-anakmu berenang dan memanah; dan perintahlah mereka supaya melompat di atas punggung kuda."

Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi di dalam bukunya al-Halal wal Haram fi Islam (الحلال و الحرام في الإسلام) menyebut perkataan ini adalah perkataan Sayyidina 'Omar ra, ia bukanlah hadith Nabi saw. Perkataan ini termasuk dalam galakan bersukan dan latihan jasmani.

wallahu a'lam.