Wednesday, November 12, 2008

Ahlul Bait Nabi saw

Soalan:

Minta penjelasan dari Ustaz, siapakah yang dinamakan Ahlul Bait Nabi saw ?

Jawapan:

Terdapat beberapa pendapat di kalangan para ulama dalam menentukan siapakah Ahl al-Bait (أهل البيت) Nabi saw. Sebahagian ulama mengatakan Ahl al-Bait ialah Isteri-isteri Nabi saw, anak-anak baginda, Bani Hashim, Bani Abdul Mutallib dan Maula-Maula mereka. Sebahagian para ulama yang lain pula tidak memasukkan Isteri Nabi di dalam Ahl al-Bait. Manakala sebahagian yang lain pula mengatakan Ahl al-Bait Nabi saw ialah kaum Quraisy. Terdapat juga di kalangan para ulama yang mengatakan Ahl al-Bait Nabi saw ialah orang-orang yang bertaqwa di kalangan umat baginda. Sebahagain yang lain lagi mengatakan mereka ialah kesemua umat nabi saw.

Berdasarkan pendapat yang lebih kuat (القول الراجح) Isteri-isteri Nabi saw termasuk di dalam Ahl al-bait Nabi saw. Ini kerana ALLAH swt selepas menyuruh isteri Nabi saw memakai hijab berfirman:

إنما يريد الله ليذهب عنكم الرجس أهل البيت ويطهركم تطهيرا

Maksudnya : "Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu wahai "AhlulBait" dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang keji)." (al-Ahzab ayat 33)

Adapun Bani Abdul Mutallib, terdapat riwayat daripada Imam Ahmad yang menunjukkan bahawasanya mereka itu termasuk Ahl al-Bait Nabi saw. Ini juga merupakan pendapat al-Imam as-Syafi'e rh.

Akan tetapi Imam Abu Hanifah dan Imam Malik tidak memasukkan Bani Abdul Mutallib ke dalam Ahl al-Bait Nabi saw. Pendapat ini juga mewakili salah satu riwayat daripada Imam Ahmad rh.

Berdasarkan pendapat yang lebih kuat, Bani Abdul Mutallib juga termasuk di dalam Ahl al-Bait Nabi saw. Dalilnya adalah riwayat daripada Jubair bin Mut'im (جبير بن مطعم) r.a. :

Maksudnya : "Aku dan 'Uthman bin 'Affan pergi berjumpa Rasulullah saw lalu kami bertanya : "Wahai Rasulullah. Anda telah memberi kepada Bani Abdul Mutallib dan anda meninggalkan kami, sedangkan kami dan mereka dengan Anda dalam satu kedudukan." Maka sabda Nabi saw : "Adapun Bani Abdul Mutallib dan Bani Hashim sesuatu yang sama." (Hadith riwayat al-Bukhari 2907, an-Nasa-i 4067)

Termasuk juga di dalam Ahl al-Bait itu Bani Hashim bin Abdul Manaf. Mereka ialah keluarga 'Ali, keluarga 'Abbas, keluarga Ja'far, keluarga 'Uqail dan keluarga al-Harith bin Abdul Mutallib. Terdapat riwayat daripada Imam Ahmad bahawasanya ditanya kepada Zaid bin Arqam ra siapakah keluarga Nabi saw wahai Zaid ? Apakah bukan isteri-isteri baginda itu daripada keluarga baginda ?" Jawab Zaid:

"Sesungguhnya isteri-isteri baginda sememangnya dari keluarga baginda, akan tetapi Ahl al-Bait baginda adalah sesiapa yang diharamkan sedekah selepas (kewafatan) baginda." Ditanya kepadanya lagi : "Siapakah mereka itu ?" Jawab Zaid : "Mereka ialah keluarga 'Ali, keluarga 'Uqail, keluarga Ja'far dan keluarga 'Abbas." Ditanya kepadanya : "Apakah semua mereka diharamkan daripada sedekah?" Jawab Zaid : "Ya !" (Riwayat Ahmad bil. 18464)

Adapun Maula-Maula mereka terdapad riwayat daripada Mihran Maula nabi saw katanya : Sabda rasulullah s.a.w. : "Sesungguhnya kami keluarga Muhammad tidak dihalalkan kepada kami sedekah, dan Maula bagi sesuatu kaum itu termasuk daripada mereka." (Riwayat Ahmad bil. 15152)

Maka keluarga Nabi saw ialah : Isteri-isteri baginda, zuriat-zuriat baginda, Bani Hashim, Bani Abdul Mutallib dan Maula-Maula mereka."

wallahu a'lam.

0 comments: