Wednesday, November 12, 2008

Hadith Dua Karung Ilmu

Soalan:

Dari Abu Hurairah, r.a., katanya :

“Saya sudah hafal dua karung hadis dari Rasulullah. Salah satu karung telah saya siarkan, sedang yang satu karung lagi kalau saya siarkan niscaya di potong orang leher ku.” (al-Bukhari)

Daripada hadis Nabi Muhammad SAW di atas dapat kita ketahui bahawa terdapat dua katagori Hadis yg besar. Iaitu satu disebarkan dan satu lagi tidak disebarkan. Mengapa ia tidak disebarkan?

Dan adakah Sahabat-Sahabat Baginda yang dekat tidak mengetahui akan hadis tersebut melainkan Abu Hurairah r.a sahaja?

Dan apakah kandungan Hadis-Hadis tersebut?

Jawapan:

Hadith yang saudara maksudkan di riwayatkan oleh al-Bukhari di dalam sahihnya bilangan 120.

وعيت عن النبي صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وعائين من العلم, أما أحدهما فبثثته, وأما الآخر فلو بثثته لقطع ما بين هاتين

Maksudnya: "Aku menghafal dari Nabi saw dua bekas daripada ilmu. Salah satu daripadanya telah aku sebarkannya. Adapun yang satu lagi, kalau aku sebarkannya pasti dipotong tengkukku." - Dalam riwayat yang lain disebut (البلعوم) iaitu dipotong tempat lalunya makanan di tengkuk.

Sebahagian para sahabat ada pengkhususannya yang tersendiri. Huzaifah ra misalnya telah dikhabarkan kepadanya oleh Nabi saw akan nama-nama orang munafik Madinah. Perkara ini tidak dikhabarkan oleh Nabi saw kepada para sahabat yang lain. Perkara-perkara seumpama ini TIDAK ADA hubung kait dengan hukum hakam, Nabi saw mengkhabarkan sesuatu perkara kepada seseorang sahabat dan tidak mengkhabarkannya kepada sahabat yang lain berdasarkan kepada kecendorongan seseorang sahabat tersebut.

Sama halnya dengan hadith yang ditanyakan di atas. Satu bekas ilmu yang tidak disebarkan oleh Abu Hurairah itu TIDAK ADA kaitannya dengan hukum-hakam atau perkara yang perlu diketahui oleh semua orang. Sebaliknya hadith-hadith yang tidak disebarkan oleh Abu Hurairah itu adalah hadith-hadith tentang pengkhabaran fitnah, yang menceritakan nama setiap orang atau pemimpin-pemimpin tertentu, keadaan dan zaman mereka. Apa yang berlaku kepada mereka, siapa yang membunuh mereka dan seumpamanya yang menceritakan tentang fitnah akhir zaman yang dikhabarkan oleh Nabi saw kepada beliau disebabkan kecenderongan beliau ke arah itu.

Inilah yang disebut oleh para ulama yang mensyarahkan hadith tersebut seperti Ibn Hajar al-‘Asqalani dan lain-lain.

Perkara-perkara seumpama ini tidaklah menunjukkan Abu Hurairah telah menyembunyikan ilmu, perkara tersebut akan berlaku juga pada masa yang akan datang. Sama seperti apa yang berlaku pada Huzaifah ra yang tidak menghebahkan nama orang-orang munafik yang diceritakan oleh Nabi saw kepada orang lain, maka demikian juga dengan Abu Hurairah. Beliau tidak menyebarkan perkara tersebut disebabkan beliau memandang tidak ada keperluan dan tidak ada maslahah kepada orang Islam untuk beliau menyebarkannya. Disamping perkara yang tidak disebarkannya itu tidak ada yang bersangkutan dengan hukum-hakam. Ini adalah sebahagian daripada Ijtihad atau pandangan Abu Hurairah terhadap himpunan hadith tersebut.

Sebahagian golongan batiniyah sesat ada yang menjadikan hadith ini untuk menyokong dakwaan batil mereka yang mengatakan ada ilmu yang tidak boleh disebarkan untuk orang awam. Mereka menjadikan alasan dengan hadith ini untuk mengatakan adanya ilmu zahir dan batin di dalam Islam, tanpa merujuk terlebih dahulu kepada huraian dari para ulama.

Dakwaan ini jelas kesalahannya, kerana ilmu yang tidak disebarkan oleh Abu Hurairah itu bukanlah ilmu sekitar persoalan hukum-hakam, sebaliknya ilmu tentang hal-ehwal fitnah akhir zaman yang menjelaskan nama-nama pemimpim-pemimpin yang jahat seperti yang dijelaskan di atas.

Ibn Hajar al-'Asqalani di dalam Fath al-Bari menyebut perkataan Ibn al-Munir:

Maksudnya: "Golongan Batiniyyah telah menjadikan hadith ini sebagai hujah membenarkan kebatilan mereka, dimana mereka beranggapan bahawasanya bagi syariat itu adanya ilmu zahir dan batin, lalu natijahnya mereka terkeluar daripada agama."

wallahu a'lam.

2 comments:

Yoyok said...

"Sebaliknya hadith-hadith yang tidak disebarkan oleh Abu Hurairah itu adalah hadith-hadith tentang pengkhabaran fitnah, yang menceritakan nama setiap orang atau pemimpin-pemimpin tertentu, keadaan dan zaman mereka. Apa yang berlaku kepada mereka, siapa yang membunuh mereka dan seumpamanya yang menceritakan tentang fitnah akhir zaman yang dikhabarkan oleh Nabi saw kepada beliau disebabkan kecenderongan beliau ke arah itu. "

ada sumber untuk dirujuk? terima kasih,

Mujahidin Melayu said...

Wahai fakir yang bijaksana.,anda boleh mencari salah satu kitab di perpustakaan Turki yang bertajuk “Salam wa Harb fi Akhir Zaman ar Rabb“.