Tuesday, November 25, 2008

Persoalan Zihar


salam ustaz...sy ada soalan tentang suami yg menyamakan ibu dgn isterinya iaitu ZIHAR..blh kah ustaz terang kan:

1.APA ITU ZIHAR
2. APAKAH KESANNYA
3.BAGAIMANA JIKA TIDAK DINYATAKAN KPD ISTERI tetapi hanya LAHIR DIDLM HATI

Jawapan

Zihar asalnya ialah amalan masyarakat Arab Jahiliyyah. Apabila mereka terlalu
marah kepada isteri mereka disebabkan sesuatu perkara, tetapi mereka tidak mahu
menceraikannya, kerana jika diceraikan isterinya itu, ia akan mengahwini lelaki
lain, maka si suami itu samaada akan melakukan sumpah ila’ (إيلاء) atau zihar
dengan menyamakan siisteri dengan wanita yang haram kepada mereka seperti Ibu
dengan mengatakan: “Kamu di sisi ku (haram) sama seperti ibu-ku (haram
terhadap aku dalam perkara yang berkaitan perkahwinan).”
(أنت علي كظهر
أمي), Zihar ini di sisi Arab Jahilliyyah, siisteri menjadi haram selama-lamanya
untuk sisuami. Maka isteri itu di haramkan ke atasnya buat selama-lamanya,
jadilah siisteri itu seperti tergantung-gantung, tidak ditalakkan dan tidak juga
isteri kepada lelaki tersebut. Keadaan ini berterusan sehingga ke zaman awal
Islam.





Setelah berlakunya polimik antara Aus bin Somit dengan isterinya Khaulah binti Tha’labah, dan Aus telah menziharkan isterinya kerana terikut-ikut amalan jahiliyyah. Lalu isterinya Khaulah pergi mengadu kepada Nabi S.A.W. dan Nabi S.A.W. berhukum pada ketika itu berdasarkan budaya jahiliyyah yang diamalkan disebabkan wahyu tidak diturunkan lagi tentang zihar.

Mendengar keputusan Nabi S.A.W. tersebut Khaulah mengadu kepada Allah S.W.T., lalu turunlah ayat zihar yang menjelaskan hukum-hakamnya dari pandangan Islam:


قَدْ سَمِعَ اللَّهُ قَوْلَ الَّتِي تُجَادِلُك فِي زَوْجِهَا وَتَشْتَكِي إلَى اللَّهِ وَاَللَّهُ يَسْمَعُ تَحَاوُرَكُمَا إنَّ اللَّهَ سَمِيعٌ بَصِيرٌ الَّذِينَ يُظَاهِرُونَ مِنْكُمْ مِنْ نِسَائِهِمْ مَا هُنَّ أُمَّهَاتِهِمْ إنْ أُمَّهَاتُهُمْ إلَّا اللَّائِي وَلَدْنَهُمْ وَإِنَّهُمْ لَيَقُولُونَ مُنْكَرًا مِنْ الْقَوْلِ وَزُورًا وَإِنَّ اللَّهَ لَعَفُوٌّ غَفُورٌ وَاَلَّذِينَ يُظَاهِرُونَ مِنْ نِسَائِهِمْ ثُمَّ يَعُودُونَ لِمَا قَالُوا فَتَحْرِيرُ رَقَبَةٍ مِنْ قَبْلِ أَنْ يَتَمَاسَّا ذَلِكُمْ تُوعَظُونَ بِهِ وَاَللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ ، فَمَنْ لَمْ يَجِدْ فَصِيَامُ شَهْرَيْنِ مُتَتَابِعَيْنِ مِنْ قَبْلِ أَنْ يَتَمَاسَّا فَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَإِطْعَامُ سِتِّينَ مِسْكِينًا ذَلِكَ لِتُؤْمِنُوا بِاَللَّهِ وَرَسُولِهِ وَتِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ وَلِلْكَافِرِينَ عَذَابٌ أَلِيمٌ


Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah mendengar perkataan wanita yang mengadu kepada kamu tentang suaminya, dan seterusnya dia mengadukan halnya kepada Allah, dan Allah mendengar soal jawab antara kamu berdua. Sesungguhnya Allah maha mendengar lagi maha mengetahui. Orang-orang yang menziharkan isterinya diantara kamu, tidaklah isteri mereka itu ibu mereka, ibu-ibu mereka tidak lain melainkan wanita yang melahirkan mereka. Dan sesungguhnya mereka benar-benar telah mengucapkan satu perkataan yang mungkar dan dusta, dan sesungguhnya Allah maha pemaaf lagi maha pengampum. Orang-orang yang menziharkan isteri mereka, kemudian mereka hendak menarik kembali apa yang mereka ucapkan, maka (wajib ketasnya) memerdekakan seorang hamba, sebelum kedua mereka bersama. Demikianlah yang diajarkan kepada kamu, dan Allah maha mengetahui apa yang kamu kerjakan. Barang siapa yang tidak mendapati seorang hamba, maka wajib ke atasnya berpuasa 2 bulan berturut-turut, sebelum mereka berdua bersama/bercampur. Maka siapa yang tidak mampu , (wajiblah keatasnya) member makan 60 orang miskin. Demikianlah supaya kamu beriman kepada Allah dan Rasulnya, demikianlah ketentuan Allah, dan bagi orang-orang yang kafir itu azab yang amat pedih.” (al-Mujadilah : 1-4)

Hukum Zihar adalah HARAM, maka seorang lelaki yang menziharkan isterinya dia telah melakukan satu perbuatan dosa, berdasarkan firman Allah yang bermaksud: “Dan sesungguhnya mereka benar-benar telah mengucapkan satu perkataan yang mungkar dan dusta “ (al-Mujadilah: 2). Sebahagian ulama menjelaskan zihar ini termasuk kesalahan dosa besar. Namun ia tidak dikira talak.

Haram juga lelaki itu melakukan hubungan dengan isterinya. Jika dia mahu bersama semula dengan isterinya, dia wajib terlebih dahulu melaksanakan kaffarah zihar seperti yang disebut di dalam ayat al-Quran di atas.

PERHATIAN!!!

Zihar TIDAK BERLAKU jika sisuami menyamakan siisteri dengan mana-mana mahramnya atau ibunya sebagai menyatakan kasih sayang, penghormatan atau keakrapan, demikian juga TIDAK BERLAKU zihar jika dia menyamakan siisteri dengan mahram atau ibunya disebabkan sememangnya ada beberapa persamaan dari sudut fizikal atau sikap. Ibn Qudamah di dalam al-Mughniy menyatakan:


وإن قال : أنت علي كأمي . أو : مثل أمي . ونوى به الظهار , فهو ظهار , في قول عامة العلماء ، وإن نوى به الكرامة والتوقير فليس بظهار


Maksudnya: “Jika seseorang lelaki berkata kepada isterinya, “kamu di sisi-ku seperti ibu-ku.” Atau “seumpama ibu-ku.” Dan dia niatkan zihar, maka ia menjadi zihar berdasarkan pendapat kebanyakan ulama. Jika dia niatkan sebagai satu penghormatan dan kemuliaan, maka ia bukan zihar…”

Maka jika seseorang melihat mana-mana anggota isterinya yang dilihatnya sama seperti anggota mahramnya, lalu dia nyatakan perkara tersebut, INI BUKANLAH ZIHAR YANG DIMAKSUDKAN.

Jika zihar itu lahir di dalam hati dan tidak dinyatakan, ia tidak dikira sebagai zihar.

Wallahu a’lam. bs


Rujukan:
1. al-Mausuah al-Fiqhiyyah.
2. Tafsir Ibn Kathir






0 comments: