Friday, April 19, 2013

Hukum Meminta Orang Lain Berdoa Untuk Kita

Soalan:

Apakah hukum meminta orang lain berdoa untuk kita disebabkan orang tersebut dikenali sebagai seorang yang soleh, atau dia akan bertolak untuk menunaikan haji. Benarkah bahawa Rasulullah SAW pernah memuji seorang lelaki yang bernama Uwais al-Qarni, dan memberi dorongan kepada para sahabat untuk meminta beliau mendoakan mereka. Atau bagaimanakah huraian yang sebenarnya dalam permasalahan ini? Terima kasih Ustaz.


Jawapan:

Pada asasnya, meminta seseorang yang saleh, atau seseorang yang akan menunaikan haji untuk berdoa kepada kita dengan harapan doa tersebut dimakbulkan adalah suatu yang HARUS. Namun sekiranya permohonan doa tersebut dibimbangi dapat menimbulkan perkara yang terlarang seperti menjadikan kita hanya bergantung harap kepada doa dari orang lain sahaja, atau akan menimbulkan rasa kehebatan diri dari pihak orang yang diminta doa tersebut, maka perkara seperti ini termasuk dalam perkara yang DILARANG. Jika tiada kebimbangan ini maka ia kembali kepada hukum asalnya yang harus. Namun perlu diberi perhatian bahawa bukanlah termasuk di dalam kebiasaan para sahabat RA saling berpesan bertukar-tukar doa sesama mereka. Sebahagian orang ada yang beralasan dengan sebuah hadis yang menceritakan Nabi SAW pernah berpesan kepada ‘Omar al-Khattab RA untuk mendoakan baginda ketika beliau hendak pergi menunaikan haji dengan kata baginda:

لَا تَنْسَنَا يَا أَخِيْ مِنْ صَالِحِ دَعَائِكَ

Mafhumnya: “Jangan kamu lupakan kami (wahai ‘Omar) di dalam doa-doa kamu.” (HR Abu Daud bilangan 1498 dan Al-Tirmizi bilangan 3557. Namun  hadis ini Lemah (Dhoief) tidak Sahih dari Nabi SAW)

Tidak dinafikan terdapat riwayat yang menceritakan terdapat beberapa sahabat yang meminta dari Nabi Muhammad SAW untuk mendoakan mereka seperti yang dilakukan oleh ‘Ukkasyah bin Muhsan dan seorang lelaki yang masuk ke dalam masjid ketika baginda sedang berkhutbah dan meminta baginda berdoa supaya diturunkan hujan, lalu baginda memenuhi kedua-dua permintaan mereka. Kedua-dua hadis ini diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim. Keadaan ini sama sekali tidak boleh dikiaskan kepada orang lain. Hal ini kerana tiada sesiapapun di kalangan kita yang dapat mencapai kedudukan yang setaraf dengan Nabi Muhammad SAW.

Berkaitan pesanan Nabi SAW kepada para sahabat untuk meminta dari seorang lelaki bernama Uwais al-Qarni agar mendoakan mereka, hal ini dikhususkan kepada Uwais. Hal ini demikian kerana jika diperhatikan dari sudut keutamaan, sudah tentu Abu Bakr, ‘Umar, ‘Uthaman, ‘Ali dan para sahabat yang lainnya adalah lebih utama berbanding Uwais al-Qarni, Uwais bukanlah seorang sahabat Nabi SAW. Sekalipun demikian baginda SAW tidak pernah menyuruh para sahabat lain meminta Abu Bakr, atau ‘Umar, atau ‘Uthman mahupun ‘Ali mendoakan untuk mereka. (Lihat Liqa’ al-Bab al-Maftuh oleh al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin)

4 comments:

Unknown said...

bagaimana pula memohon org yg telah meninggal/mati mendoakan kesejahteraan hidup kita di dunia

catatan tauhid dan sunnah said...

Itu kompom syirik. 1. Org dah mati tak boleh dengar. 2. Dia dah habis tempoh kemampuan beramal dan berdoa.

Zana said...

Sekarang menjadi trend meminta doakan seseorang yang sakit dan diviralkan menerusi WhatsApp...apa hukumnya.
Contohnya:
Saya.......... minta jika anda buka mesej ni baca, kemudian hantarlah ke semua kenalan anda..saya minta Ihsan doakan saya supaya Allah beri syifa (kesembuhan ) Saya menghidap kanser tahap 4 dan skrg dia merebak ke hati. saya minta dgn nama Allah, jgn tutup mesej ni sebelum anda hantar ke semua kenalan sbb suatu hari anda akn memerlukan doa dan amanah tu mampu menggoncangkan gunung²,,forward setelah terima.’

Ramlan said...
This comment has been removed by the author.