Soalan:
Saya dan suami telah lama berkahwin,
namun hingga sekarang kami masih belum dikurniakan walau seorang anak. Apakah
ada sesuatu amalan mahupun doa yang dapat menjadi sebab agar saya dikurniakan
anak?
Jawapan:
Saya mencadangkan kepada puan untuk
berdoa dengan doa Nabi Zakaria AS yang terdapat di dalam al-Quran, iaitulah:
وَزَكَرِيَّا
إِذْ نَادَى رَبَّهُ
رَبِّ لا
تَذَرْنِي فَرْدًا وَأَنتَ خَيْرُ الْوَارِثِينَ
Mafhumnya: “dan (ingatlah kisah) Zakaria, tatkala ia menyeru
Tuhannya: "Ya Tuhanku janganlah Engkau membiarkan daku hidup seorang
diri dan Engkaulah waris yang paling Baik.” (al-Anbiya: 89) Doa yang saya maksudkan
iaitulah yang dihitamkan tulisannya.
Seterusnya Allah SWT menjawab permohonan baginda dengan berfirman:
Mafhumnya: “Maka Kami (Allah) memperkenankan doanya, dan Kami
anugerahkan kepadanya Yahya dan Kami jadikan isterinya dapat mengandung. Sesungguhnya
mereka adalah orang-orang yang selalu bersegera dalam (mengerjakan)
perbuatan-perbuatan yang baik dan mereka berdoa kepada Kami dengan harap dan
cemas. dan mereka adalah orang-orang yang khusyu' kepada kami.” (al-Anbiya:
90)
Selain itu, Baginda juga berdoa dengan menyebut:
هُنَالِكَ دَعَا زَكَرِيَّا رَبَّهُ قَالَ
رَبِّ هَبْ لِي مِن
لَّدُنْكَ ذُرِّيَّةً طَيِّبَةً إِنَّكَ سَمِيعُ الدُّعَاء
Mafhumnya: “di sanalah Zakariya mendoa
kepada Tuhannya seraya berkata: "Wahai Tuhanku, berilah aku dari sisi
Engkau seorang anak yang baik. Sesungguhnya Engkau Maha Pendengar doa".
(Ali Imran: 38) Doa yang saya maksudkan iaitulah yang dihitamkan tulisannya.
Sesungguhnya kedua-dua doa ini amat
bersesuai dengan situasi yang dihadapi oleh puan dan suami. Di dalamnya
terdapat pengajaran yang perlu diperhatikan, mutiara yang mesti digali. Selain
itu kisah antara Nabi Ibrahim dan isteri baginda Sarah juga boleh diambil
pengajaran. Dengan kesabaran mereka berdua, Allah SWT telah menganugerahkan
Ishak dan Ismail. Allah SWT berfirman tentang Nabi Ibrahim:
Mafhumnya: “segala puji bagi Allah yang telah menganugerahkan
kepadaku di hari tua (ku) Ismail dan Ishaq. Sesungguhnya Tuhanku, benar-benar
Maha mendengar (memperkenankan) doa.” (Ibrahim: 39)
Di samping itu saya cadangkan juga agar puan dan suami
memperbanyakkan beristighfar kepada Allah SWT. Sesungguhnya istighfar dapat
menjadi sebab dikurniakan anak. Allah SWT berfirman:
Mafhumnya: “beristighfarlah (perbanyakkan istighfar) kepada
Tuhanmu, -sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun, niscaya Dia akan mengirimkan
hujan kepadamu dengan lebat, dan membanyakkan harta dan anak-anakmu, dan
Mengadakan untukmu kebun-kebun dan Mengadakan (pula di dalamnya) untukmu
sungai-sungai.” (Nuh: 10-12)
Al-Imam al-Qurtubi
berkata: Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala (bermaksud): “Mohonlah keampunan
kepada Tuhanmu” iaitu Mintalah kepada Allah keampunan dari dosa-dosa yang lalu
beserta mengikhlaskan keimanan kepadanya. (firman Allah yang bermaksud:)
“Sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun.” Iaitu, Dia (Allah) sentiasa Maha
Pengampun bagi sesiapa yang kembali kepadaNya, ia merupakan galakan supaya
bertaubat. (Firman Allah yang bermaksud:) “Dia akan mengirimkan hujan lebat
kepadamu.” Iaitu Dia akan mengirimkan air dari langit (hujan yang lebat),
(firman Allah yang bermaksud:) “dan Dia akan membanyakkan harta dan
anak-pinakmu, dan mengadakan kebun-kebun dan sungai-sungai yang mengalir
untukmu.” Berkata al-Sya’bi: “Umar pernah keluar untuk memohon hujan (الإستسقاء), kemudian beliau
pulang (tanpa menunaikan sebaran solat), setelah itu, hujan turun. Orang ramai
bertanya kepadanya: kami tidak anda memohon diturunkan hujan (dengan menunaikan
solat al-istisqa). ‘Umar menjawab: Sesungguhnya aku telah memohon hujan dengan
anak kuncinya (مجاديح), kemudian beliau
membaca firman Allah Mohonlah keampunan kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia adalah
Maha Pengampun, Dia akan mengirimkan hujan lebat kepadamu. Perkataan مَجَادِيْح (yang diterjemahkan
sebagai anak kunci) asalnya dari perkataan Mijdah (مِجْدَح) yang bermaksud
bintang, ini kerana masyarakat Arab dahulunya menyangka bintang itu menurunkan
hujan. Lalu ‘Umar Radhiyallah ‘anhu hendak menjelaskan kesalahan sangkaan itu,
maka beliau menjelaskan bahawa beliau memohon hujan dengan sebab yang betul
iaitulah dengan beristighfar bukan dengan memohon kepada bintang.
Kata Ibn Subaih: Pernah juga seorang
lelaki mengadu kepada al-Hasan tentang kemarau, beliau menjawab:
Beristighfarlah kepada Allah. Datang orang lain pula mengadu kepadanya tentang
kefakiran yang dialaminya, beliau menjawab: beristighfarlah kepada Allah.
Datang lagi kepadanya seorang lelaki dan berkata: Doakanlah kepada Allah supaya
Dia mengurniakan anak kepadaku. Beliau menjawab: beristighfarlah kepada Allah.
Datang orang lain pula mengadu tentang kebunnya yang kering, beliau menjawab:
beristighfarlah kepada Allah. Kami bertanya kepada al-Hasan tentang jawapan-jawapannya
itu, beliau menjawab: Aku tidak
mengatakan sesuatu dari diriku, kerana sesungguhnya Allah SWT telah berfirman
di dalam surah Nuh: “Mohonlah keampunan kepada Tuhanmu, -sesungguhnya Dia
adalah Maha Pengampun. (11) Niscaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan
lebat, (12) Dan membanyakkan harta dan anak-anakmu, dan mengadakan untukmu
kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai.” (Nuh 10 –
12).” (Tafsir al-Qurtubi 18/301-303)
Saya
sertakan di sini beberapa Sighah Istigfar
1.
Daripada Shaddad bin Aus Radhiyallahu ‘anhu,
Nabi Sallallahu ‘alaih wa sallam bersabda: Penghulu istighfar ialah dengan kamu
membaca:
اللَّهُمَّ
أَنْتَ رَبِّي لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ وَأَنَا
عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ
أَعُوذُ
بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ وَأَبُوءُ لَكَ
بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِي فَإِنَّهُ لَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ
Mafhumnya: Ya Allah, Engkaulah Tuhanku, tiada tuhan yang
disembah melainkan Dikau yang telah menciptaku. Daku adalah hambaMu dan daku
berada di atas perjanjianMu sekadar mampuku, daku berlindung dengan Mu dari
kejahatan apa yang telah daku lakukan, daku mengaku kepadaMu banyaknya nikmatMu
kepadaku, dan daku juga mengaku banyaknya dosaka, oleh itu ampunilah daku,
kerana sesungguhnya tidak ada yang mengampunkan dosa melainkan Dikau. Nabi
seterusnya bersabda: Sesiapa yang mengucapkan kalimat ini pada siang hari,
dalam keadaan yakin dengan isi kandungannya, dia mati sebelum petang, maka dia
termasuk dari kalangan ahli syurga. Sesiapa yang mengucapkan kalimat ini pada
awal malam dalam keadaan yakin dengan isi kandungannya, dia mati sebelum
datangnya pagi, dia termasuk dari kalangan ahli syurga.” (HR al-Bukhari)
2.
Daripada Abu Musa al-Asy’ari, bahawa Nabi
Sallallahu ‘alaih wa sallam sentiasa berdoa (beristighfar) dengan doa ini:
رَبِّ
اغْفِرْ لِي خَطِيئَتِي وَجَهْلِي وَإِسْرَافِي فِي أَمْرِي كُلِّهِ وَمَا أَنْتَ
أَعْلَمُ بِهِ مِنِّي اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي خَطَايَايَ وَعَمْدِي وَجَهْلِي
وَهَزْلِي وَكُلُّ ذَلِكَ عِنْدِي اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي مَا قَدَّمْتُ وَمَا
أَخَّرْتُ وَمَا أَسْرَرْتُ وَمَا أَعْلَنْتُ أَنْتَ الْمُقَدِّمُ وَأَنْتَ
الْمُؤَخِّرُ وَأَنْتَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
Mafhumnya: “Tuhanku, ampunilah kesalahanku, kejahilanku,
kemelampauan dalam urusanku keseluruhannya, apa yang Engkau Lebih Mengetahui
tentangnya dariku. Ya Allah ampunilah kesalahanku secara sengaja, jahil atau
bermain-main dan kesemuanya sekali. Ya Allah ampunilah daku, apa-apa yang telah
lalu dan akan datang, yang tersembunyi dan nyata, sesungguhnya Engkau yang
Terdahulu dan Terakhir, dan Engkau Maha Berkuasa atas setiap sesuatu.” (HR
al-Bukhari dan Muslim)
3.
Daripada Ibn ‘Umar Radhiyallahu ‘anhuma yang
berkata: “Sesungguhnya kami pernah mengira Rasulullah Sallallah ‘alaih wa
sallam dalam satu majlis membaca:
رَبِّ اغْفِرْ لِيْ وَتُبْ
عَلَيَّ إنَّكَ أنْتَ التَّوَّابُ الرَّحِيْم
Mafhumnya: “Tuhanku, ampunilah daku, dan berilah taubat
kepadaku, sesungguhnya Engkau Maha Penerima Taubat dan Maha Penyayang” sebanyak
seratus kali.” (HR al-Tirmizi, Abu Daud dan Ibn Majah)
4.
Daripada Abu Yasar, Nabi Sallallahu ‘alaih wa
sallam bersabda: “Sesiapa yang menyebut:
أسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْم
الَّذِيْ لَا إِلهَ إلَّا هُوَ الْحَيَّ الْقَيُّوْمَ وَأتُوْبُ إلَيْهِ
Mafhumnya: “Daku memohon keampunan daripada Allah yang Maha
Agung, yang tidak ada tuhan yang disembah melainkan Dia yang Maha Hidup dan
Maha Berdiri Sendiri, dan daku bertaubat kepadaNya.” Akan diberi keampunnan
kepadanya, sekalipun dia telah dari dari peperangan.” (HR al-Tirmizi dan Abu
Daud)
5.
Daripada Abu Bakr al-Siddiq Radhiyallahu ‘anhu
yang berkata kepada Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam: “Ajarkan kepada
saya satu doa untuk saya berdoa dengannya di dalam solat saya. Jawab Baginda,
bacalah:
اللّهُمَّ
إنِّيْ ظَلَمْتُ نَفْسِيْ ظُلْماً كَثِيْراً وَلَا يَغْفِرُ الذُّنُوْبَ إلَّا
أنْتَ فَاغْفِرْ لِيْ مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ وَارْحَمْنِيْ إنَّكَ أنْتَ
الْغَفُوْرُ الرَّحِيْم
Mafhumnya: Ya Alah, sesungguhnya daku telah banyak menzalimi
diriku, tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Engkau, oleh kerana
itu, ampunilah daku dengan keampunan dari sisiMu, dan rahmatilah daku,
sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan Maha Penyayang.” (HR al-Bukhari dan
Muslim)
Selain itu, saya juga menasihati kita semua agar sentiasa bersabar
dalam setiap keadaan di samping terus berdoa kepadaNya. Sesungguhnya takdir
atau ketentuan Allah SWT itu adalah baik kesemuanya sekalipun jika kita tidak
dikurniakan walau seorang anak. Maka bersabar dalam ujian seperti ini adalah
lebih baik. Barangkali tidak dikurniakan anak itu adalah lebih baik untuk kita
berbanding dikurniakan anak. Sesungguhnya setiap ketentuan Allah SWT itu
dipenuhi dengan kebijaksanaan, ia termasuk di dalam kehendak Allah SWT jua.
Allah SWT berfirman:
Mafhumnya: “kepunyaan Allah-lah kerajaan langit dan bumi, Dia
menciptakan apa yang Dia kehendaki. Dia memberikan anak-anak perempuan kepada
siapa yang Dia kehendaki dan memberikan anak-anak lelaki kepada siapa yang Dia
kehendaki, atau Dia menganugerahkan
kedua jenis laki-laki dan perempuan (kepada siapa) yang dikehendaki-Nya, dan
Dia menjadikan mandul siapa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya Dia Maha
mengetahui lagi Maha Kuasa.” (Syura: 49-50)
Wallahu a’lam
0 comments:
Post a Comment