Soalan:
Saya baru sahaja berkahwin dengan seorang gadis pilihan keluarga
lapan bulan yang lalu. Selama tempoh tersebut, saya rasa tidak dapat
menerimanya setelah mengenali sikap-sikap buruknya seperti suka berbohong, agak
pemalas, kasar dan banyak tidur. Namun dia seorang isteri yang taat. Saya
sentiasa berusaha menjauhkan diri daripadanya, saya juga telah berterus terang
kepadanya tentang perasaan saya terhadapnya. Bahkan saya juga telah nyatakan
kepadanya yang saya tidak mampu untuk memenuhi haknya yang wajib ke atas saya,
dan saya bercadang untuk menceraikannya. Namun beliau tetap berkeras tidak mahu
bercerai dan bersetuju tidak diberikan hak asalkan dia masih menjadi isteri
saya. Hingga ke hari ini dia sentiasa berusaha untuk mengambil hati saya, namun saya masih tidak dapat
menerimanya disebabkan sikap-sikap buruknya tersebut. Mohon pandangan dari ustaz.
Jawapan:
Di bawah ini adalah nasihat saya kepada saudara yang bertanya:
Pertama: Jangan
gopoh untuk melafazkan talak. Alangkah lebih baik jika saudara mahu berusaha
untuk memperbaiki sikap buruk yang ada pada isteri saudara. Berapa ramai orang yang
dahulunya berakhlak buruk, namun hari ini berubah menjadi insan yang amat taat
kepada suruhan agama. Ketahuilah sesungguhnya perasaan kasih-sayang,
belas-kasihan dan saling memahami antara suami dan isteri memerlukan kesabaran, memerlukan kesanggupan
untuk memberi kemaafan dari kedua-dua pihak demikian juga perlu diketepikan
beberapa kekurangan yang ada pada pasangan. Disamping perlu diberi perhatian
dan dihargai dari sudut kelebihan dan kebaikan lain yang ada pada pasangan. Abu
Hurairah RA berkata, Nabi Muhammad SAW bersabda:
لاَ يَفْرَكْ مُؤْمِنٌ مُؤْمِنَةً إِنْ كَرِهَ
مِنْهَا خُلُقًا رَضِىَ مِنْهَا آخَرَ
Mafhumnya: “Jangan seorang lelaki yang beriman membenci seorang
wanita yang beriman (isterinya), jika ada akhlak isterinya yang tidak disukai,
maka redailah siisteri kerana akhlah baiknya yang lain.” (HR Muslim)
Ketika mensyarahkan hadis ini al-Imam al-Nawawi RH berkata: “iaitulah
sewajarnya seorang suami tidak membenci isterinya, kerana jika ada akhlak
isteri yang tidak disukai oleh suami, sudah tentu ada juga akhlak baik isteri yang
disukai oleh suami, seperti isterinya seorang yang berakhlak buruk tetapi
seorang yang beragama, atau dia seorang yang cantik, seorang yang menjaga
kehormatan diri, atau seorang yang lembut dan seumpamanya.”
Seorang lelaki pernah memberitahu hasrat menceraikan isterinya kepada
‘Umar bin al-Khattab RA kerana dia tidak mencintai isterinya tersebut. Jawab
‘Umar bin al-Khattab RA:
ويحك، ألم تبن البيوت إلا على الحب؟ فأين
الرعاية؟ وأين التذمم؟
“Celaka engkau, apakah rumah-rumah tidak boleh dibina melainkan di
atas rasa cinta? Dimana rasa tanggungjawab memelihara (isteri dan keluarga) dan
dimana menjaga maruah? (Kanzu al-‘Ummal)
Kedua: Bersabarlah
dengan akhlak buruk yang ada pada isteri saudara, gaulilah dia dengan cara yang
baik. Jika anda tetap tidak mampu memenuhi haknya sebagai isteri, dia juga rela
keadaan tersebut, maka perkara itu tidak mengapa. Anda berhak untuk berkahwin
dengan wanita lain, dalam masa yang sama tetap menjaga isteri pertama anda
tersebut. Jika anda tetap dengan keputusan hendak menceraikan isteri anda, maka
saya nasihatkan buatlah pertimbangan yang sewajarnya. Sesungguhnya talak adalah
suatu yang halal pada ketika diperlukan.
Wallahu a’lam.
1 comments:
Nasihat yang baik...
Post a Comment