Thursday, April 25, 2013

Wajibkah Taat Arahan Ibu Agar Mentalakkan Isteri?

Soalan:

Jika seorang ibu menyuruh anak lelakinya menceraikan isteri, apakah wajib anak tersebut menceraikan isterinya?

Jawapan:

Persoalan ini menimbulkan perbezaan pendapat di kalangan ulama. Namun pendapat yang menjadi pilihan ialah TIDAK WAJIB TAAT jika arahan tersebut tidak mempunyai sebarang alasan agama. Pandangan ini bertepatan dengan hadis Nabi SAW:

إِنَّمَا الطَّاعَةُ فِيْ الْمَعْرُوْفِ

Maksudnya: “Hanyasanya ketaatan itu adalah dalam perkara yang makruf.” (al-Bukhari dan Muslim)

Oleh yang demikian, ibu-bapa yang menyuruh anak lelakinya menceraikan isterinya yang taat kepada agama tidak termasuk dalam perkara makruf, bahkan ia termasuk dalam perkara yang ditegah di dalam agama. oleh yang demikian arahan ibu-bapa seumpama ini tidak wajib di taati, inilah pandangan Imam Ahmad dan selainnya. Pernah ditanya kepada Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah RH tentang seorang lelaki yang berkahwin dengan seorang wanita yang tidak disukai oleh ibu-bapanya. Lalu kedua ibu-bapanya mengarahkan supaya mentalakkan sahaja isterinya, maka bolehkah lelaki tadi mentalakkan isterinya? Jawab Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah RH:

لا يحل له أن يطلقها لقول أمه بل عليه أن يبر أمه وليس تطليق زوجته من بر أمه

Maksudnya: “Tidak halal bagi lelaki tersebut mentalakkan isterinya disebabkan arahan ibunya. Namun hendaklah dia tetap berbuat baik dengan ibunya itu, dan bukanlah mentalakkan isterinya (kerana patuh arahan ibunya) termasuk dalam berbuat baik kepada ibunya.” (al-Fatawa al-Kubra 3/331)

Di dalam Matolib Ulii al-Nuha 5/320, dinyatakan:

ولا تجب على ابن طاعة أبويه ولو كانا عدلين في طلاق زوجته ; لأنه ليس من البر

Maksudnya: “Tidak wajib ke atas seseorang anak untuk mentaati kedua ibu-bapanya agar menceraikan isterinya sekalipun mereka berdua itu adil, kerana perkara seperti ini tidak termasuk di dalam kebaikan.”

Al-Syeikh Muhammad bin SOleh al-‘Uthaimin pula berkata:

“Jika seseorang bapa mengarahkan anak lelakinya agar menceraikan isterinya, terdapat dua keadaan:

Pertama: Sibapa menerangkan sebab arahan tersebut dari sudut agama, seperti dia berkata: “Ceraikan isterimu itu kerana dia seorang yang buruk akhlak, suka ramai lelaki,  bergaul dalam kumpulan-kumpulan yang tidak elok dan seumpamanya.” Maka dalam keadaan seperti ini, arahan tersebut wajib ditaati, kerana sibapa bukan menyuruh ceraikan isteri berdasarkan hawa nafsunya sahaja. sebaliknya untuk memelihara nasabnya.

Kedua: seorang bapa berkata kepada anak lelakinya: “Ceraikan isterimu” kerana anaknya itu sangat sayang kepada isterinya, lalu sibapa berasa cemburu. demikian juga sebahagian ibu yang berasa amat cemburu dengan anak lelakinya yang sayang kepada isterinya. Maka dalam keadaan ini, sianak tersebut tidak wajib taat arahan tersebut, sekalipun yang menyuruh itu adalah bapa atau ibunya. Akan tetapi hendaklah dia tetap mengambil tahu keadaan kedua ibu-bapanya dan terus kekal bersama isterinya, hendaklah dia berusaha dengan cara yang lembut untuk menjadikan kedua ibu-bapanya dapat menerima isterinya tersebut, terutamanya jika siisteri itu adalah seorang yang taat kepada agama dan baik akhlaknya.

Sesungguhnya al-Imam Ahmad pernah ditanya dengan persoalan yang sama, datang kepadanya seorang lelaki lalu bertanya: “Bapaku mengarahkan aku menceraikan isteriku.” Jawab Imam Ahmad kepada lelaki tersebut: “Jangan menceraikan isterimu itu.” Kata lelaki tadi: “Bukankah Nabi SAW pernah mengarahkan Ibn ‘Umar menceraikan isterinya, sebagai mentaati perintah bapanya ‘Umar?” jawab Imam Ahmad: “Apakah bapamu, sama seperti ‘Umar?”

Oleh yang demikian jika seseorang bapa menjadikan hujah kepada anaknya dengan berkata: “Wahai anakku, sesungguhnya Nabi SAW telah mengarahkan ‘Abdullah bin ‘Umar menceraikan isterinya, sebagai mentaati perintah ayahnya ‘Umar yang menyuruh perkara tersebut, maka jawapannya adalah seperti perkataan Imam Ahmad: “Apakah ayah sama seperti ‘Umar?” akan tetapi hendaklah dengan cara yang lembut, katakan kepadanya: “‘Umar mengarahkan anaknya menceraikan isterinya kerana ada maslahah disebaliknya.” (al-Fatawa al-Jamiah li al-Mar’ah al-Muslimah 2/671)

Wallahu a’lam.   

0 comments: