Tuesday, April 30, 2013

Apakah Seorang Ayah Masih Wajib Memberi Nafkah Kepada Anak Perempuannya Yang Bujang Dan Berpendapatan Sendiri?

Soalan:

Saya seorang duda mempunyai 4 orang anak perempuan, telah bercerai dengan isteri semenjak 4 tahun lalu. Dua orang daripada mereka telah mencecah umur baligh, salah seorangnya telah berkahwin dan seorang lagi masih bujang berumur 20 tahun, memiliki pekerjaan dan pendapatan bulanan sendiri. Soalan saya: Apakah masih wajib ke atas saya mengeluarkan nafkah kepada anak perempuan saya yang bujang berumur 20 tahun ini?

Jawapan:

Wajib ke atas seorang bapa mengeluarkan nafkah untuk anak-anak lelakinya sehinggalah mereka mencapai umur baligh, berakal dan mampu untuk menyara hidup sendiri. Manakala untuk anak-anak perempuan nafkah wajib dikeluarkan sehinggalah mereka berkahwin. Namun kewajipan ini bergantung kepada keperluan anak tersebut. Sekiranya dia memiliki pendapatan sendiri, dan pendapatannya memadai untuknya, maka pada ketika itu gugurlah kewajipan nafkah daripada bapanya.

Di dalam al-Lubab Syarh al-Kitab oleh ‘Abd al-Ghaniy al-Dimasyqi dari mazhab Hanafi dinyatakan:

Maksudnya: “(Dan nafkah anak-anak kecil), yang tiada kemampuan dan merdeka (wajib ke atas bapanya, tidak wajib ke atas orang lain) sama ada bapa itu seorang yang senang atau tidak, melainkan jika bapa itu seorang yang susah, sedangkan ibunya seorang yang senang, maka ibunya hendaklah diarahkan mengeluarkan nafkah, dan nafkah itu menjadi hutang ke atas bapa (untuk dibayar kepada ibu) seperti yang dinyatakan di dalam al-Jawharah. Kami syaratkan kepada anak-anak yang tiada kemampuan kerana nafkah seorang anak yang berkemampuan adalah dari hartanya sendiri.”

Di dalam al-Taaj al-Iklil oleh al-Mawaq dari mazhab Maliki dinyatakan:

Maksudnya: “Wajib ke atas seorang bapa mengeluarkan nafkah anak lelakinya sehinggalah mereka baligh (dan mampu berusaha sendiri), manakala anak perempuan pula sehinggala mereka berkahwin melainkan anak tersebut memiliki keupayaan (pendapatan) atau harta sendiri yang mencukupi.”

Maka  berdasarkan nukilan-nukilan ini, jika anak perempuan saudara memiliki pendapatannya sendiri yang memadai untuk makan, minum, pakaian dan tempat tinggalnya, saudara tidak lagi wajib mengeluarkan nafkah untuknya, dia juga tiada hak lagi untuk menuntut nafkah dirinya dari saudara.

Wallahu a’lam. 

0 comments: