Tuesday, April 30, 2013

Hukum Solat Di Belakang Imam Yang Rukuk dan Sujud Secara Isyarat

Soalan: 

Apakah hukum solat di belakang imam yang tidak dapat rukuk dan sujud dengan sempurna disebabkan keuzuran. 


Jawapan:

Para ulama berbeza pandangan dalam persoalan hukum menunaikan solat di belakang imam yang tidak mampu rukuk dan sujud secara sempurna disebabkan ada keuzuran. Pandangan yang lebih benar ialah SAH menunaikan solat di belakang imam yang tidak dapat rukuk dan sujud secara sempurna kerana ada keuzuran. Inilah pandangan Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah dan menjadi pilihan al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin RH. Hal ini berdasarkan:

1.    Kaedah yang menyebut:

أنَّ مَن صحّتْ صلاتُه صحّتْ إمامتُه إلا بدليلٍ

Maksudnya: “Bahawa sesiapa yang sah solatnya, maka sah juga menjadi imam, melainkan dengan adanya dalil (yang menunjukkan sebaliknya).” Namun wanita tetap tidak boleh menjadi imam kepada lelaki kerana berbeza jenis jantina.

2.    Diqiyaskan dengan sahnya solat makmum yang sihat di belakang imam yang tidak mampu berdiri berdasarkan pandangan Abu Hanifah, Syafie dan Ahmad. Pandangan ini juga disokong dengan nas hadis.

Para makmum hendaklah rukuk dan sujud dengan sempurna sekalipun imam melakukan rukuk dan sujud dengan isyarat. Melainkan jika imam solat secara duduk, maka ketika itu para makmum juga dituntut untuk solat secara duduk berdasarkan hadis Nabi SAW yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, baginda bersabda:

إِنَّمَا جُعِلَ الْإِمَامُ لِيُؤْتَمَّ بِهِ فَلَا تَخْتَلِفُوا عَلَيْهِ ، فَإِذَا رَكَعَ فَارْكَعُوا ، وَإِذَا قَالَ سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ فَقُولُوا رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ ، وَإِذَا سَجَدَ فَاسْجُدُوا ، وَإِذَا صَلَّى جَالِسًا فَصَلُّوا جُلُوسًا أَجْمَعُونَ
Maksudnya: “Hanyasanya diadakan imam itu adalah untuk diikuti, maka jangan kamu semua menyalahinya, jika dia rukuk, maka berukuklah, jika dia berkata: Sami’allahu liman hamidah, maka katakanlah: Rabbana lakal hamd. Jika dia sujud maka bersujudlah, dan jika dia solat secara duduk, maka bersolatlah kamu semua secara duduk.” (al-Bukhari dan Muslim)

Wallahu a’lam.

0 comments: