Monday, January 6, 2014

Masbuk Solat Jumaat

Soalan:

assalamualaikum. saya ingin bertanya macam mana dengan niat solat jumaat jika sampai lambat ke masjid. perlu sembahyang 4 rakaat. adakah perlu niat zohor terus atau niat solat jumaat 4 rakaat? terima kasih.

Jawapan:

Wa’alaikumussalam warahmatullah wabarakatuh.

Jika anda masuk menunaikan solat Jumaat ketika imam rukuk pada rakaat yang kedua atau sebelumnya maka anda hanya perlu menambah satu rakaat sahaja. Ini bermakna anda telah mendapat solat Jumaat tersebut. Ia berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:

من أدرك من صلاة الجمعة ركعة فقد أدرك الصلاة
Mafhumnya: “Sesiapa yang mendapati satu rakaat dari solat Jumaat, maka dia telah mendapat solat tersebut.” (HR al-Nasa’ie. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih al-Jami’ – Lujnah Fatwa Arab Saudi)

Adapun jika anda masuk menunaikan solat Jumaat ketika imam telah selesai rukuk pada rakaat yang kedua. Maka ketika itu anda masuk menunaikan solat dengan niat solat Zohor. Ini kerana pada ketika itu anda tidak mendapati walau satu rakaat Jumaat bersama dengan imam, justeru anda tidak mendapat solat jumaat tersebut. Maka wajib ketika itu anda menunaikan solat Zohor 4 rakaat. Inilah pandangan yang lebih kuat dari dua pandangan ulama. Pandangan ini berdasarkan perkataan Ibn Mas’ud:

إذا أدركت ركعة من الجمعة فأضف إليها أُخرى فإذا فاتك الركوع فصل أربعاً

Maksudnya: “Sesiapa yang mendapati satu rakaat daripada solat Jumaat, maka tambahlah (satu rakaat) yang satu lagi. Jika dia tidak mendapati rukuk (dalam rakaat kedua), maka hendaklah dia menunaikan solat (Zohor) 4 rakaat.” (Riwayat Ibn Abi Syaibah dan al-Baihaqi di dalam al-Sunan. Sanadnya dinilai sebagai Sahih oleh al-Syeikh Sulaiman bin Nasir al-‘Ulwan: http://www.onislam.net/arabic/ask-the-scholar/8240/8394/8251/50707-2004-08-01%2017-37-04.html)

Wallahu a’lam.

0 comments: