Saya ingin merujuk kepada jawapan ustaz tentang Khalid bin al-Walid selitkan rambut Nabi di dalam serban beliau. Kelihatan hadis tersebut telah dihukumkan sahih oleh al-Hakim. Namun saya keliru dengan kenyataan ustaz yang menyebut:
“Khabar
ini tidak thabit. Ia diriwayatkan oleh al-Hakim 3/299 dan beliau menilainya
sebagai Sahih."
Mohon penjelasan.
Jawapan:
Penilaian Sahih oleh
al-Hakim terhadap sesuatu hadis terutamanya di dalam kitabnya al-Mustadrak
menerima kritikan dari ramai para ulama hadis. Hal ini kerana antara tujuan
beliau menulis al-Mustadrak adalah bagi menjawab golongan menyelewang
yang wujud pada zamannya, yang beranggapan jumlah hadis sahih amat sedikit.
Lalu ketika menulis al-Mustadrak beliau memiliki kecenderungan yang amat kuat
untuk memperbanyakkan hadis Sahih, sehingga terlepas pandang dari memerhatikan
persoalan ‘Illah yang ada pada hadis.
Perkara ini dinyatakan sendiri
oleh al-Hakim di bahagian pendahuluan kitab al-Mustadrak dengan berkata:
"Telah meminta kepadaku sekumpulan orang… agar aku menulis satu kitab
mengandungi hadis-hadis yang diriwayatkan dengan sanad-sanad yang dijadikan
hujjah oleh Muhammad bin Ismail dan Muslim bin al-Hajjaj dengan seumpamanya.
Dan tiada jalan untuk tidak mengeluarkan (meriwayatkan) hadis yang tiada
‘illah, kerana kedua-dua mereka (al-Bukhari dan Muslim) juga tidak mendakwa
seperti itu untuk diri mereka sendiri.”
Dari perkataan ini menunjukkan beliau langsung tidak memerhatikan kepada
‘illah (kecacatan yang ada di dalam hadis seterusnya menjadikan sesuatu hadis itu tidak sahih) kerana beranggapan al-Bukhari dan Muslim juga tidak melakukannya.
Ternyata anggapan beliau ini tidak tepat. Sebaliknya al-Bukhari dan Muslim
tidak akan meriwayatkan hadis-hadis di dalam kitab sahih mereka melainkan
setelah melakukan kajian dan pemerhatian mendalam pada setiap hadis sehingga
mencapai Ghalabatuzzhon termasuklah tiada illah yang qadihah, kerana itu ulama meletakkan definasi kepada hadis yang sahih mestilah sesuatu hadis itu ...بغير شاذ ولا علة "Tanpa ada Syaz dan Illah."
Selain
itu, al-Hakim ketika menulis al-Mustadrak, kekuatan hafalannya telah
lemah seperti yang disebut oleh Al-Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Mu’allimiy al-Yamaniy, dimana ketika itu beliau berumur 72 tahun. (Sila lihat al-Tankil bima
fi Ta’nib al-Kauthariy min al-Abatil oleh Al-Syeikh ‘Abd al-Rahman
al-Mu’allimiy al-Yamaniy)
Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah berkata: “Dan adapun
hukum Sahih oleh al-Hakim bagi hadis seperti ini dan seumpamanya termasuk
perkara yang dibantah oleh para ulama yang mengetahui tentang hadis. Para ulama
berkata: “Sesungguhnya al-Hakim mensahihkan beberapa hadis sedangkan
hadis-hadis itu palsu dan dusta di sisi ahli ilmu dan yang berpengetahuan
tentang hadis… demikian juga hadis-hadis yang banyak di dalam Mustadraknya
beliau mensahihkannya, sedangkan hadis-hadis itu di sisi Ahli Ilmu hadis adalah
palsu. Ada juga hadis mauquf yang dianggap marfu’ oleh beliau. Kerana itu Ahli
ilmu hadis tidak berpada dengan hanya hukuman sahih oleh al-Hakim, sekalipun
kebiasaan yang dihukumkan sahih oleh beliau itu adalah benar-benar sahih. Akan
tetapi beliau pada kedudukan mereka yang menghukum sahih hadis berada seperti
seorang thiqah yang banyak kekeliruan, sekalipun yang benar itu yang lebih
banyak. Berbeza dengan Abi Hatim bin Hibban al-Bustiy, pensahihannya berada di
atas pensahihan al-Hakim dan lebih tinggi kedudukannya. Demikian juga
pensahihan al-Tirmizi, al-Daraqutniy, Ibn Khuzaimah, Ibn Mandah dan seumpama
mereka lain yang mensahihkan hadis. Sekalipun sebahagian dari apa yang mereka
nukilkan terdapat perbincangan, namun mereka lebih Atqan dalam bab ini
berbanding al-Hakim.”
al-Syeikh Muhammad Nasib al-Rifa’ie pula berkata: “Telah
bersepakat para ulama bahawa apabila al-Hakim menyendiri dalam mensahihkan
(sesuatu hadis) maka tiada nilai pensahihan itu melainkan jika dipersetujui
oleh al-Zahabi, kerana bagi al-Zahabi terdapat
Mulahazaat penting dalam I’lal dan tashih hadis oleh al-Hakim.” (lihat
al-Tawasshul ila Hakikah al-Tawassul, hal: 228-229)
wallahu a'lam
0 comments:
Post a Comment