Friday, December 27, 2013

Siapa Yang Membina Masjid Yang Pertama

Kitab: al-Sirah al-Nabawiah oleh Ibn Hisham (‘Abdul Malik bin Hisham bin Ayyub al-Humairiy)
Hijrah al-Rasul SAW>Pembinaan Masjid al-Madinah dan Tempat Tinggal Baginda SAW

Persoalan: Bahagian Pertama

[SIAPA YANG MEMBINA MASJID YANG PERTAMA]

Kata Ibn Hisham: “Sufian bin ‘Uyainah menyebut daripada Zakaria, daripada al-Sya’biy, katanya: “Sesungguhnya orang pertama yang membina masjid adalah ‘Ammar bin Yasir.”

[TEMPAT TINGGAL BAGINDA SAW DI RUMAH ABU AYYUB DAN SEDIKIT KISAH BERKAITAN ADAB BELIAU]

Kata Ibn Ishak: “Maka Rasulullah SAW tinggal di rumah Abu Ayyub, sehinggalah dibinakan masjid dan rumah untuk baginda.”

Kata Ibn Ishak: “Menceritakan kepadaku Yazid bin Abi Habib, daripada Marthad bin ‘Abdullah al-Yazaniy (مَرْثَدِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ اليَزَنيِّ), daripada Abi Ruhmin al-Sama’ie (أَبِي رُهْمٍ السَّمَاعِيِّ), katanya: “Menceritakan kepada kami Abu Ayyub, katanya: “Ketikamana Rasulullah SAW tinggal di rumahku, baginda tinggal di bahagian bawah, sedangkan aku dan Ummu Ayyub berada di bahagian atas. Lalu aku berkata kepada baginda: “Wahai Nabi Allah, dengan bapa dan ibuku, sesungguhnya aku benar-benar tidak selesa dan berasa benar-benar bersalah jika berada di bahagian atasmu sedangkan engkau berada di bawah. Berpindahlah engkau ke bahagian atas. Kami akan turun ke bahagian bawah.” Jawab Baginda SAW: “Wahai Abu Ayyub, sesungguhnya yang lebih sesuai bagi kami dan sesiapa yang bermalam bersama kami ialah kami berada di bahagian bawah.”

Katanya: “Maka Rasulullah SAW berada di bahagian bawah, dan kami berada di bahagian atas. Tiba-tiba bekas air kami pecah, di dalamnya ada air yang banyak. Lalu aku beserta Ummu Ayyub menggunakan pakaian kami, sedangkan kami tiada lagi pakaian selainnya, kami gunakannya untuk mengeringkan air kerana bimbang air itu jatuh menitik ke atas Rasulullah dan menyakiti baginda.”

Katanya lagi: “Kami juga membuatkan makan malam untuk baginda, kemudian kami bawakan kepada baginda, apabila baginda pulangkan semula kepada kami. Lalu aku dan Ummu Ayyub mencari tempat bekas tangan baginda, lalu kami memakannya kerana mengharapkan keberkatan. Sehinggalah suatu malam kami menghantar kepada baginda makan malam yang mengamdungi bawang putih dan bawah merah. Rasulullah SAW memulangkan semula kepada kami dalam keadaan baginda tidak menyentuh makanan tersebut sedikitpun.” Kata beliau: “Aku segera pergi kepada baginda, aku berkata: “Wahai Rasulullah, dengan bapa dan ibuku, tuan kembalikan makan malam tuan, kami tidak dapati ada kesan tuan menjamahnya. Sedangkan apabila tuan kembalikan kepada kami, aku dan ummu ayyub akan mencari bekas tangan tuan (kami  memakan dari bekas tersebut) kerana mengharapkan keberkatan.” Jawab baginda: “Sesungguhnya aku dapati ada bau tanaman tersebut (bawang putih dan merah), dan aku seorang yang sering bermunajat. Adapun kamu (dan isterimu) makanlah.”

Kata beliau: “Maka kamipun makan makanan tersebut, dan kami tidak sediakan lagi makanan bercampur tanaman tersebut selepas dari peristiwa itu.” 

0 comments: