Soalan:
Bukankah Madu Lebah itu adalah penawar bagi umat Islam? Tetapi mengapa perkara yang
berlainan berlaku kepada anak saudara saya. Setiap kali dia meminum madu sakit
ususnya bertambah teruk. Mengapa perkara ini berlaku? sedangkan saya ada
mendengar bahawa Rasul SAW menyatakan madu lebah itu adalah penawar dan
penyembuh. Mohon penjelasan dari ustaz.
Jawapan:
Allah SWT berfirman:
وَأَوْحَى رَبُّكَ إِلَى
النَّحْلِ أَنِ اتَّخِذِي مِنَ الْجِبَالِ بُيُوتاً وَمِنَ الشَّجَرِ وَمِمَّا
يَعْرِشُونَ . يَخْرُجُ مِنْ بُطُونِهَا شَرَابٌ مُخْتَلِفٌ أَلْوَانُهُ فِيهِ
شِفَاءٌ لِلنَّاسِ إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآَيَةً لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ
Maksudnya: “Dan Tuhanmu mengilhamkan kepada lebah: “buatlah
sarang-sarang di bukit-bukit, di pohon-pohon kayu dan di tempat-tempat yang
dibina oleh manusia. Kemudian makanlah dari tiap-tiap jenis buah-buahan dan
tempuhlah jalan tuhanmu yang telah dimudahkan (bagimu). Dari perut lebah itu
keluar minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat ubat
yang menyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar
terdapat tanda (kebesaran tuhan) bagi orang-orang yang memikirkannya.” (al-Nahl:
68-69)
Di dalam ayat ini Allah menyebut kalimah شفاء dalam
bentuk Nakirah, ia memberi maksud sebahagian, iaitulah madu itu
merupakan ubat atau penyembuh kepada sebahagian penyakit, ia bukan bermaksud
ubat kepada seluruh penyakit. Jika ia merupakan ubat kepada semua penyakit,
maka sudah tentu tiada keperluan untuk Allah SWT menciptakan ubat yang lain
lagi.
Al-Hafidz Ibn Kathir RH berkata:
وقوله : ( فِيهِ شِفَاءٌ
لِلنَّاسِ ) أي : في العسل شفاء للناس من أدواء تعرض لهم .
قال بعض من تكلم على الطب النبوي : لو قال فيه : " الشفاء للناس " لكان دواء لكل داء ، ولكن قال ( فِيهِ شِفَاءٌ لِلنَّاسِ ) أي : يصلح لكل أحد من أدواء باردة ؛ فإنه حار ، والشيء يداوى بضده
قال بعض من تكلم على الطب النبوي : لو قال فيه : " الشفاء للناس " لكان دواء لكل داء ، ولكن قال ( فِيهِ شِفَاءٌ لِلنَّاسِ ) أي : يصلح لكل أحد من أدواء باردة ؛ فإنه حار ، والشيء يداوى بضده
Maksdunya: “Dan firman Allah (yang bermaksud): “di dalamnya
terdapat ubat yang menyembuhkan bagi manusia.” Iaitulah pada madu itu merupakan
ubat/penyembuh bagi manusia dari beberapa penyakit yang menimpa mereka.
sebahagian (ulama) yang berbicara tentang perubatan nabawi menyebut: “Sekiranya
(Allah) berfirman: الشفاء
للناس, (dengan makrifah) maka ia merupakan ubat
kepada semua jenis penyakit, akan tetapi (Allah) berfirman: فِيهِ شِفَاءٌ لِلنَّاسِ iatulah membawa
maksud ia boleh menjadi ubat kepada seseorang yang terkena penyakit-penyakit
yang bersifat sejuk, kerana madu itu panas, dan sesuatu itu menyembuhkan
sesuatu yang berlawanan dengannya.” (4/582)
Al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah pula ketika berbicara tentang
faedah madu dan manfaatnya ketika menjawab soalan pada bilangan 9691 berkata:
Maksudnya: “Dan sebahagian pesakit mengambil beberapa teguk madu
lebah, dia menyangka madu tersebut dapat menjadi ubat kepada penyakitnya bahkan
penyakit-penyakit lain yang dideritainya. Anggapan ini amat jauh dari kebenaran
syarak dan dari reality yang berlaku. kadang-kadang terdapat beberapa perkara
yang dapat menghalang perawatan dengan menggunakan madu lebah, antaranya:
1. Penyakit itu
bukanlah dari jenis yang mana madu menjadi sebab penyembuhannya.
2. Madu lebah diambil
dalam jumlah yang sedikit, sedangkan penyakit memerlukan lebih banyak madu dari
yang dia ambil.
3. Madu lebah bukan
menjadi kebiasaannya
4. Atau ia juga
(rawatan tidak berjaya dengan madu) merupakan salah satu ujian, bagi menguji
kesabaran pesakit seterusnya ditambah kepadanya pahala.
5. Di dalam tubuh
terdapat beberapa penghalang yang menghalang dari menerima faedah-faedah ubat,
seperti halnya seorang perokok atau peminum arak. Dari Abi Sa’id RA katanya:
أَنَّ رَجُلًا أَتَى النَّبِيَّ
صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، فَقَالَ : أَخِي يَشْتَكِي بَطْنَهُ فَقَالَ
: ( اسْقِهِ عَسَلًا ) ، ثُمَّ أَتَى الثَّانِيَةَ ، فَقَالَ : ( اسْقِهِ عَسَلًا
) ، ثُمَّ أَتَاهُ الثَّالِثَةَ فَقَالَ : ( اسْقِهِ عَسَلًا ) ، ثُمَّ أَتَاهُ ،
فَقَالَ : قَدْ فَعَلْتُ ، فَقَالَ : ( صَدَقَ اللَّهُ وَكَذَبَ بَطْنُ أَخِيكَ
اسْقِهِ عَسَلًا ) فَسَقَاهُ فَبَرَأَ
Maksudnya: “Seorang lelaki datang berjumpa dengan Nabi SAW dan
berkata: “Saudaraku menderitai sakit perutnya (cirit-birit).” Baginda bersabda:
“Berikan dia minum madu lebah.” (setelah itu) dia datang kali kedua, baginda
menjawab: “Berikan dia minum madu lebah.”, kemudian dia datang lagi kali
ketiga, baginda bersabda: “Berikan dia minum madu lebah.” Kemudian orang itu
datang kepada baginda dan berkata: “Aku telah melakukannya.” jawab baginda SAW:
“Sesungguhnya benarlah Allah (dalam berkata-kata tentang madu yang bersifat
penyembuhan), namun perut saudaramu mendustainya. Berikan lagi dia minum madu.”
Lalu lelaki itu berikan lagi saudaranya meminum madu, lalu saudaranya menjadi
sembuh.” (HR al-Bukhari dan Muslim)
Al-Hafidz Ibn Hajar al-‘Asqalani berkata: “Maksud perkataan Nabi
(yang diterjemahkan sebagai) “Namun perut saudaramu mendustainya” iaitulah
perutnya belum boleh menerima penyembuhan, sebaliknya berpaling darinya.
Sebahagian orang yang menyeleweng membantah dengan berkata: “madu lebah boleh
menjadikan cirit-birit, maka bagaimana baginda boleh menyuruh dibuat ubat untuk
orang yang terkena cirit-birit?” Maka jawapannya ialah: “soalan sebegini
menunjukkan kejahilan orang yang bertanya, ianya seperti firman Allah
(maksudnya): “Bahkan yang sebenarnya mereka mendustakan apa yang mereka belum
mengetahuinya dengan sempurna…” (Yunus: 39), sedangkan para doktor telah
bersepakat bahawa sesuatu penyakit berbeza rawatannya kerana berbeza umur,
kebiasaan, masa, kebiasaan makanan yang diambil dan kekuatan tabi’at… dan tiada
sesuatu yang sama seperti madu, terutamanya jika dicampur dengan air panas.
Hanya yang menyebabkan dia tiada memberi kesan ketika mengambilnya kali
pertama, kerana ubat semestinya ada kuantiti tertentu bergantung dengan
penyakit. Jika ubat itu kurang, maka ia tidak dapat menolak penyakit secara
keseluruhan, jika terlebih pula ia akan melemahkan kekuatan dan mendatangkan
kemudharatan yang lain pula, seperti seseorang yang meminum madu dalam jumlah
yang tidak dapat melawan penyakit. Maka baginda (SAW) menyuruh orang tersebut
membiasakan meminum madu, ketikamana diulang meminumnya bersesuaian dengan
penyakit, maka akan sembuh dengan izin Allah Ta’ala. Manakala sabda Nabi SAW
(yang diterjemahkan): “namun perut saudaramu mendustainya” ia merupakan isyarat
bahawa ubat/penawar ini (madu) bermanfaat, manakala kekalnya penyakit bukan kerana
kelemahan ubat, akan tetapi disebabkan banyaknya perkara-perkara yang tidak
elok, lalu baginda menyuruh untuk membiasakan meminum madu untuk membuangnya,
maka dengan perkara tersebut, dia sembuh dengan izin Allah.” (Fath al-Bari
10/169-170)
Perkara seumpama dengan madu yang memiliki penyembuhan, iaitulah
yang dinyatakan oleh Nabi SAW tentang al-Habbah al-Sauda’ (bijirin hitam).
Baginda bersabda:
في الحَبَّةِ السوْدَاءِ شِفَاءٌ من كل دَاءٍ
إلاَّ السَّام
Maksudnya: “Pada al-Habbah al-Sauda adanya ubat bagi setiap
penyakit, melainkan kematian.” (HR
al-Bukhari dan Muslim)
Sighah hadis ini adalah umum, tidak seperti ayat al-Quran ketika
menyebut tentang madu. Sekalipun demikian tiada di kalangan ulama yang
mengatakan hadis ini difahami secara zahirnya yang umum, iaitu ia bermanfaat
untuk semua penyakit. Sebaliknya al-Habbah al-Sauda’ juga sama sepertimana Madu
lebah. Al-Hafidz Ibn Hajar RH berkata: “al-Khattabi berkata: “Sabdaan Nabi
SAW: “(al-Habbah al-Sauda’) adalah ubat bagi setiap penyakit.” Ia adalah lafaz
umum yang memaksudkan khusus, kerana bukan dari kebiasaan sesuatu tumbuhan
menghimpunkan ciri-ciri rawatan bagi semua penyakit, sebaliknya maksud ia
(Habbatussauda’) ubat bagi semua penyakit yang berlaku dari lembapan.” Abu
Bakar bin al-‘Arabiy berkata: “Madu di sisi para doktor lebih hampir menjadi
ubat bagi semua penyakit berbanding habbatussauda’. Sekalipun demikian,
terdapat juga beberapa penyakit yang jika diminum madu, ia akan mendatangkan
mudharat. Maka yang dimaksudkan bagi madu itu ubat kepada semua penyakit ialah
kebanyakan dan kebiasaan. Maka demikianlah yang lebih utama difahami dengan
habbatussauda’.” Berkata yang lain pula: “Baginda Nabi SAW mensifatkan sesuatu
ubat berdasarkan apa yang baginda perhatikan dari keadaan pesakit, maka
mudah-mudahan sabdaan baginda tentang habbatussauda’ bersesuaian dengan
penyakit yang menimpa seseorang yang bercampur dengan sesuatu yang sejuk. Maka
jadilah makna: “Ubat bagi setiap penyakit” ialah penyakit dari jenis yang dinyatakan,
dan pengkhususan berdasarkan keadaan sebab (di dalam hadis) adalah banyak lagi
tersebar luas.”
Oleh yang demikian kami menasihati puan yang bertanya untuk merujuk
penyakit anak saudara puan kepada doktor pakar agar beliau mendapat rawatan
yang sewajarnya. Dengan itu kita dapat kenalpasti apakah penyakitnya sesuai
dirawat dengan madu ataupun tidak.
0 comments:
Post a Comment