Soalan:
Apakah semua kanak-kanak yang mati sebelum baligh, sama ada anak
orang islam ataupun orang bukan Islam akan masuk ke dalam syurga?
Jawapan:
Saya bahagikan jawapan untuk soalan ini kepada dua bahagian:
1. Anak orang islam yang mati sebelum
baligh.
2. Anak orang bukan islam yang mati sebelum
baligh.
Pertama: Anak orang islam yang mati sebelum baligh semua adalah
adalah ahli syurga. Hal ini termasuk dalam kesepakatan semua para ulama.
Al-Imam Ibn Kathir berkata:
فأما ولدان المؤمنين فلا خلاف بين العلماء كما
حكاه القاضي أبو يعلى بن الفراء الحنبلي عن الإمام أحمد أنه قال : لا يختلف فيهم
أنهم من أهل الجنة . وهذا هو المشهور بين الناس ( أي عامة العلماء ) وهو الذي نقطع
به إن شاء الله عز وجل
Maksudnya: “Adapun anak-anak orang yang beriman, maka tiada
perbezaan pendapat di kalangan ulama (semua mereka akan masuk ke dalam syurga)
seperti yang dihikayatan oleh al-Qadhi Abu Ya’la bin al-Farra’ al-Hanbali
daripada al-Imam Ahmad yang berkata: “Tiada perbezaan di kalangan ulama, bahawa
semua anak-anak orang yang beriman termasuk dari kalangan ahli syurga. Inilah
yang masyhur di kalangan ulama, pendapat ini juga yang kami putuskan
insyaallah.” (Tafsir al-Quran al-‘Azim 3/33)
Al-Imam al-Nawawi pula berkata:
أجمع من يعتد به من علماء المسلمين على أن من
مات من أطفال المسلمين فهو من أهل الجنة ؛ لأنه ليس مكلفا
Maksudnya: “Telah bersepakat para ulama umat Islam yang diambil
kira perkataannya, bahawa sesiapa yang mati dari kalangan anak-anak orang
Islam, dia adalah termasuk ahli syurga, kerana dia bukan mukallaf.” (Syarh
Muslim 16/207)
Kedua: Anak orang bukan Islam yang mati sebelum baligh. Terdapat
beberapa pandangan ulama:
1. Anak-anak bukan Islam akan masuk ke dalam
syurga. Sebahagian ulama dari kumpulan ini berpandangan, di awalnya mereka akan
berada di al-A’raf, dan kesudahannya mereka yang berada di a-A’raf semuanya
akan dimasukkan ke dalam syurga. Inilah pandangan kebanyakan ulama seperti yang
dinukilkan oleh Ibn ‘Abd al-Barr di dalam al-Tamhid (18/96)
Antara dalil mereka:
i.
Hadis Samurah RA: “Bahawa Rasulullah SAW
melihat (ketika malam Mi’raj) bersama dengan Nabi Ibrahim AS anak-anak orang
islam dan musyrikin.” (HR al-Bukhari)
ii.
Daripada Hasnaa’ Binti Mu’awiyah dari Bani
Shuraim yang berkata: “Menceritakan kepadaku bapa saudaraku, katanya: Daku
pernah bertanya: “Wahai Rasulullah siapakah yang akan berada di dalam syurga?”
Nabi SAW menjawab: “Nabi di dalam syurga, orang syahid di dalam syurga,
bayi-bayi yang meninggal di dalam syurga, dan bayi-bayi perempuan yang ditanam
hidup-hidup di dalam syurga.” (HR Ahmad 5/409. Namun al-Albani menilai hadis ini sebagai Lemah di dalam Dhoief
al-Jami’ 5997)
2. Anak-anak orang bukan islam bersama
dengan bapa mereka di dalam neraka. Al-Qadhi Abu Ya’la menisbahkan pendapat ini
kepada Imam Ahmad. Namun Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah menganggapnya sebagai
satu kesilapan besar. (lihat Hasyiah Ibn al-Qayyim terhadap Sunan Abi Daud
7/87)
Dalil mereka:
i.
Daripada Salamah bin Qais al-Asyja’ie katanya: “Aku
bersama saudaraku pergi berjumpa Nabi SAW, lalu kami berkata: “Ibu kami mati
ketika jahiliyyah (tidak islam), dia dahulunya seorang yang memuliakan tetamu,
menghubungkan silaturrahim, dan dia juga pernah menanam saudara perempuan
kami yang belum baligh ketika jahiliyyah.” Jawab baginda: “Yang menanam anak
hidup-hidup dan anak yang ditanam di (kedua-duanya) di dalam neraka melainkan
orang tua yang menanam anaknya itu memeluk islam.” (Hadis dinilai Hasan
oleh Ibn Kathir di dalam Tafsirnya 3/33. Demikian juga Ibn ‘Abd al-Barr di
dalam al-Tamhid 18/120)
ii.
Terdapat juga hadis-hadis yang lain, namun
semuanya lemah.
3. Al-Tawaqquf atau Allah lebih mengetahui
tentang kesudahan mereka.
Dalil mereka:
i.
Daripada Ibn ‘Abbas RA, Rasulullah SAW pernah
ditanya berkaitan anak-anak orang musyrikin, baginda menjawab: “Allah lebih
mengetahui, apa yang mereka kerjakan.” (HR al-Bukhari dan Muslim)
ii.
Hadis yang lebih kurang sama, namun
diriwayatkan dari Abu Hurairah RA (al-Bukhari dan Muslim)
4. Anak-anak orang kafir akan menjadi khadam
kepada AHli Syurga.
Syeikh al-Islam
Ibn Taimiyyah berkata: “Tiada sebarang asas bagi pendapat ini.” (Majmu’
al-Fatawa 4/279) Terdapat hadis dalam perkara ini yang diriwayatkan oleh
al-Tabarani dan al-Bazzar. Namun hadis ini telah dinilai sebagai lemah oleh
para imam hadis seperti al-Hafidz Ibn Hajar di dalam Fath al-Bari (3/246)
5. Anak-anak orang kafir yang mati sebelum
baligh akan diuji di akhirat kelak. Sesiapa yang taat, maka dia akan masuk ke
syurga dan sesiapa yang engkar, maka dia akan di masukkan ke dalam neraka.
Inilah pandangan kebanyakan ulama Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah seperti yang
dinukilkan oleh al-Imam Abu al-Hasan al-Asy’ariy. Inilah juga pandangan al-Imam
al-Baihaqi dan sekumpulan para pentahkik. Ibn Taimiyyah juga cenderung kepada
pandangan ini, beliau juga menyatakan inilah kandungan nas-nas dari Imam Ahmad.
Ibn Kathir juga mentarjihkan pandangan ini dengan berkata: “Pandangan ini
menghimpunkan dalil-dalil keseluruhannya, hadis-hadis yang lalu saling
menguatkan dan menyokong antara sebahagian dengan sebahagian yang lain.” (Tafsir
al-Quran al-‘Azim 3/31)
Dalil mereka:
i.
Daripada Anas yang berkata: Rasulullah SAW
bersabda: “Akan didatangkan empat golongan para hari kiamat: kanak-kanak
yang mati sebelum baligh, yang kurang akal, yang mati zaman Fatrah, dan orang
yang sangat tua. Maka setiap mereka akan mendatangkan hujah mereka. lalu Tuhan
Tabaraka wa Taala berfirman kepada neraka: “Maraklah!” Lalu Allah berfirman
kepada mereka: “Sesungguhnya sebelum ini Aku telah mengutuskan kepada para
hambaKu (di dunia) seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri. Dan sekarang
Akulah utusan kepada kamu semua, masuklah kamu semua ke dalam neraka ini.”
baginda SAW bersabda: “Maka berkatalah orang-orang yang telah ditetapkan
kesengsaraan untuknya: “Wahai tuhan, bagaimana aku perlu memasukinya, sedangkan
dahulunya kami lari daripadanya.” baginda SAW juga bersabda: “dan orang-orang
yang telah ditetapkan untuknya
kebahagiaan, dia akan pergi dan memasukinya (neraka) dengan segera.” Baginda
seterusnya menyambung: “Lalu Allah Taala berfirman: “Kamu semua ini (yang tidak
mahu taat kepada perintah Allah) sudah pasti akan lebih mendustai dan
mengingkari RasulKu, lalu Allah memasukkan mereka (yang taat perintahnya) ke
dalam syurga dan yang engkar dan enggan ke dalam neraka.” (HR Abu Ya’la
4224, hadis ini juga memiliki sokongan yang banyak seperti yang disebutkan oleh Ibn Kathir di dalam
Tafsirnya 3/29-31)
Al-Imam
Ibn al-Qayyim RH berkata: “Inilah pandangan yang lebih adil, padanya
berhimpun seluruh dalil dan hadis dalam bab ini. Maka sebahagian mereka (anak-anak
orang kafir) ada yang masuk ke syurga seperti yang dinyatakan oleh hadis dari
Samurah, ada pula sebahagiannya yang berada di dalam neraka seperti yang
dinyatakan di dalam hadis dari ‘Aisyah.” (Hasyiah Ibn al-Qayyim ‘Ala Sunan
Abi Daud 7/87)
Wallahu a’lam.
0 comments:
Post a Comment