Wednesday, November 6, 2013

Wajibkah memberi nafkah kepada adik perempuan atau kakak?

Soalan:

Apakah seorang lelaki wajib mengeluarkan nafkah kepada adik perempuan atau kakaknya? Atau jika mereka susah, bolehkan diberikan zakat kepada mereka?

Jawapan:

Wajib seseorang lelaki mengeluarkan nafkah kepada adik perempuan atau kakaknya jika mereka dari kalangan orang miskin atau fakir, sedang dia seorang yang kaya dan berkemampuan. Demikian juga jika dia akan mewarisi harta mereka jika mereka mati. Namun jika dalam keadaan adik perempuan ataupun kakaknya mati, dia tidak boleh mewarisi harta mereka disebabkan mereka memiliki anak lelaki atau bapa atau datuk yang masih hidup, maka seseorang lelaki itu tidak wajib mengeluarkan nafkah kepada adik perempuan dan kakaknya. Dalam keadaan ini dia boleh memberi zakat kepada adik perempuan atau kakaknya jika mereka berhak menerima zakat. Al-imam Ibn Qudamah berkata di dalam al-Mughniy (8/169):

Maksudnya: “dan disyaratkan wajib mengeluarkan nafkah dengan 3 syarat: Pertama: (yang menerima) adalah orang fakir, tiada harta dan sumber pendapat yang cukup dari bergantung kepada orang lain. Jika mereka itu orang yang senang dengan memiliki harta atau ada sumber pendapatan yang cukup, maka tidak perlu mengeluarkan nafkah kepada mereka. Kedua: Orang yang wajib mengeluarkan nafkah, memiliki lebihan dari keperluan dirinya, sama ada dari hartanya atau usahanya. Adapun jika tiada lebihan, maka tidak wajib ke atasnya berdasarkan hadis daripada Jabir bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:

إذا كان أحدكم فقيرا , فليبدأ بنفسه , فإن فضل , فعلى عياله , فإن كان فضل , فعلى قرابته

Maksudnya: “Jika seseorang daripada kamu seorang yang fakir, maka dahulukanlah nafkah untuk dirinya. jika ada lebihan, maka untuk keluarganya, jika ada lebihan maka berilah untuk kaum kerabatnya.” Ketiga: Orang yang (Wajib) mengeluarkan nafkah mestilah seorang waris, kerana berdasarkan firman Allah SWT (bermaksud): “dan warispun berkewajipan demikian” (al-Baqarah: 233), hal ini kerana antara mereka yang saling mewarisi mestilah ada hubungan qarabah yang menjadikan waris lebih berhak terhadap harta orang yang diwarisi berbanding orang lain. Maka semestinya dikhususkan kewajipan mengeluarkan nafkah kepada waris berbanding orang lain. Jika dia bukan seorang waris, maka tidak wajib dia mengeluarkan nafkah.”

Al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin pula berkata di dalam al-Syarh al-Mumti’ (13/503): “Dan kaedah di sisi kami, iaitulah disyaratkan orang yang wajib  mengeluarkan nafkah itu seorang waris kepada orang yang hendak menerima nafkah. Melainkan al-Usul (ibu dan bapa ke atas) dan al-Furu’ (Anak ke bawah), maka tidak disyaratkan perwarisan”

Oleh yang demikian, jika seseorang lelaki itu berada pada kedudukan wajib mengeluarkan nafkah kepada adik perempuan atau kakaknya. Maka ketika itu dia tidak boleh mengeluarkan zakat kepada mereka. Namun jika dia berada pada kedudukan tidak wajib mengeluarkan nafkah kepada mereka. Maka pada ketika itu dia boleh memberi zakat kepada mereka, bahkan perkara itu adalah lebih afdhal.

Wallahu a’lam.

0 comments: