Friday, October 18, 2013

Jika Kita Mendoakan Seseorang Yang Telah Meninggal Dunia, Apakah Dia Tahu?

Soalan:

Saya seorang wanita yang amat suka kepada perkara-perkara baik. Saya ada mendengar cerita tentang salah seorang pemuda yang amat baik, banyak membantu orang ramai di tempat saya. Cerita-cerita yang saya dengar itu menyebabkan saya berasa amat kagum dan sentiasa teringatkannya. Saya sangat-sangat berharap sekiranya kami berdua saling kenal antara satu dengan yang lain. Namun masalahnya ustaz, pemuda yang saya maksud itu telah meninggal dunia beberapa tahun yang lalu. persoalan saya:

1.    Jika kita mengingati seseorang yang telah meninggal dunia, mendoakan kebaikan untuknya, apakah orang tersebut depat mengetahuinya?

2.    Apakah kita dapat bertemu setelah mati nanti dengan orang yang kita sering dberdoa untuknya?

3.    Jika saya berdoa agar dikurniakan pasangan seperti pemuda tersebut, apakah saya akan berpeluang memperolehinya?

Jawapan:

Saudari yang bertanya…

Alam kematian atau alam barzakh adalah termasuk dalam alam ghaib yang tidak dapat diketahui urusan-urusannya secara terperinci, dan keadaan-keadaan yang berlaku disana oleh manusia melainkan sekadar apa yang dikhabarkan oleh Allah SWT dan Rasul SAW. Oleh yang demikian saya memohon maaf di atas ketiadaan maklumat yang terperinci bagi menjawab setiap persoalan yang diajukan terutamanya berkaitan apakah setelah mati nanti kita akan bertemu dengan orang yang sering kita berdoa untuknya.

Cumanya, di bawah ini jawapan saya kepada sebahagian soalan yang diajukan:

1.    Yang jelas dari hadis-hadis Nabi SAW, orang yang meninggal dunia mengetahui siapakah yang telah berbuat baik kepadanya dari kalangan orang yang masih hidup. Antara buktinya iatulah Nabi SAW pernah bersabda:

إن الرجل لترفع درجته في الجنة فيقول: أنى هذا؟ فيقال: باستغفار ولدك لك

Mafhumnya: “Sesungguhnya seseorang lelaki akan diangkat kedudukannya di dalam syurga, sehingga dia bertanya: “dari manakah aku memperolehi kedudukan ini?” lalu dijawab kepadanya: “Dengan sebab permohonan istighfar anakmu untukmu.” (HR Ibn Majah dan Ahmad. Dinilai Hasan oleh al-Albani)

Demikian juga berdasarkan hadis Nabi SAW:

إن أعمالكم تعرض على أقاربكم وعشائركم من الأموات، فإن كان خيرا استبشروا به، وإن كان غير ذلك قالوا: اللهم لا تمتهم حتى تهديهم كما هديتنا

Maksudnya: “Sesungguhnya amalan-amalan kamu semua akan dibentangkan terhadap saudara-mara kamu dan ahli keluarga kamu dari kalangan yang telah meninggal dunia. Jika amalan-amalan itu baik maka mereka bergembira dengannya, jika tidak baik, mereka akan berkata: “Ya Allah, jangan Kamu matikan mereka sehinggalah Engkau berikan hidayah kepada mereka sama sepertimana Engkau telah berikan hidayah kepada kami.” (HR Ahmad dan dinilai Sahih oleh al-ALbani)

2.    Para ulama bersepakat kesemuanya, orang yang meninggalkan dunia dapat menerima kebaikan atau manfaat dari doa, permohonan istighfar dan sedekah untuknya, sama halnya dengan ibadah haji dan umarah secara umum. 

3.    Dibenarkan berdoa untuk orang yang telah mati sekalipun ajanabi dengan kita asalkan dia seorang muslim. diberi pahala kepada sipelakunya. Demikian juga anda dibenarkan untuk berdoa kepada Allah SWT agar dikurniakan seorang suami yang baik dan memiliki sifat-sifat tertentu. Perkara ini tidak termasuk perbuatan melampau di dalam berdoa, tidak termasuk juga dari dosa dan memutuskan silaturrahim.

Wallahu a’lam.

2 comments:

Kina said...

Assalamualaikum Ustaz...

Boleh jelaskan tak amalan talkin, tahlil & doa kepada si mati. terlalu banyak percanggahan pendapat, ada yg kata tak boleh & ramai juga yg kata boleh. Apakah cara terbaik untuk kita mendapat kesahihan sesuatu hukum? Terima Kasih Ustaz atas perkongsian di sini...

bin sahak said...

Kalau anda maksudkan talkin di kuburan dgn skrip yg khusus. Maka ia menyalahi sunnah Nabi SAW. Demikian juga jika anda maksudkan majlis tahlil dgn kaifiat2 khusus spt yg dilakukan oleh masyarakat melayu. Ia juga menyalahi sunnah nabi SAW. Adapun doa kpd simati tak ada sesiapa yg melarangnya. wallahu a'lam