Soalan:
Saya
pernah mendengar orang berkata membaca al-Quran dan sedekahkan pahalanya kepada
mayat adalah perbuatan bid’ah. Antara bukti dalam perkara ini ialah hadis Nabi
SAW yang menyatakan: “apabila seseorang anak Adam meninggal dunia, semua
amalannya akan terputus melainkan tiga perkara: Sedekah Jariah, ilmu yang
bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya.” Benarkan dakwaan ini? Ada pula yang mendakwa
syeikh Uthaimin juga berpandangan sedemikian. mohon penjelasan dari ustaz.
Jawapan:
Para
ulama berbeza pendapat dalam masalah ini.
Pertama: Imam Ahmad, Imam Abu Hanifah dan
sebahagian Ashab al-Syafie berpandangan mayat dapat mengambil manfaat dari sedekah
pahala bacaan al-Quran dari orang hidup kepada mereka.
Kedua: Imam Malik pula berdasarkan pandangan
yang masyhur dari beliau, demikian juga Imam Syafie berpandangan tidak sampai
sedekah pahala bacaan al-Quran kepada mayat. Dalil mereka antaranya:
1.
Firman Allah SWT:
وأن ليس للإنسان إلا ما سعى
Maksudnya: “Dan tiadalah bagi seseorang
insan itu melainkan apa yang diusahakannya sahaja.” (al-Najm: 39)
2.
Sabda Nabi SAW:
إذا مات ابن آدم انقطع عمله إلا من ثلاث……..
Maksudnya: “apabila seseorang anak
Adam meninggal dunia, semua amalannya akan terputus melainkan tiga perkara.... (HR
Muslim)
Namun ayat al-Quran dan hadis ini dijawab oleh golongan pertama
dengan berkata:
1.
Ayat 39 dari surah al-Najm membicarakan soal
seseorang hanya memperolehi apa yang diusahakannya sahaja, kerana apa-apa yang
diusahakannya itulah hak yang menjadi miliknya. Adapun sesuatu perkara yang
diusahakan oleh orang lain, maka perkara itu menjadi miliki kepada orang yang
mengusahakannya, orang itu pula berhak untuk menghadiahkannya kepada sesiapa
yang dikehendakinya. Bukankah setiap orang, sama ada yang hidup mahupun yang
mati dapat mengambil manfaat bukan hanya dari usahanya sahaja? bahkan
kadang-kadang kita dapat mengambil manfaat dari sesuatu yang diusahakan dan
dimiliki oleh orang lain dengan izin dari pemiliknya?
2.
Adapun berkaitan dengan hadis yang menyatakan
apabila seseorang anak adam meninggal dunia maka terputuslah semua amalannya
melainkan tiga perkara, salah satunya ialah anak yang mendoakannya. Kebanyakan
ulama menjawab: doa anak soleh kepada orang tuanya yang meninggal dunia adalah
perkara khas. Hadis tersebut membicarakan berkaitan usaha seseorang yang dapat
mendatangkan manfaat setelah meninggal dunia. seseorang anak termasuk dari
usaha orang tuanya. Allah SWT berfirman:
ما
أغنى عنه ما له وما كسب
Maksudnya: “Tiadalah bermanfaat
hartanya (Abu Lahab) dan apa-apa yang diusahakannya.” (al-Masad:2)
Para ulama tafsir telah menafsirkan وما كسب
yang bermaksud: “dan apa-apa yang diusahakannya.” Di dalam ayat ini ialah anak.
Tafsiran ini dikuatkan lagi dengan hadis Nabi SAW yang bersabda:
إن
أطيب ما أكل الرجل من كسبه وإن ولده من كسبه
Maksudnya: “Sesungguhnya sebaik-baik
apa yang dimakan oleh seseorang lelaki adalah dari usahanya, dan seseungguhnya
anaknya itu adalah termasuk dari usahanya.” (HR Ashab al-Sunan)
Seorang anak dikira termasuk dari usaha
orang tuanya kerana melalui merekalah dia dilahirkan, dan dengan didikan mereka
jugalah dia mampu mendoakan kebaikan untuk kedua orang tuanya, maka doa
seseorang anak untuk orang tuanya adalah termasuk dari usaha orang tuanya yang
telah meninggal dunia. Ini menunjukkan seseorang anak berbeza keadaannya dengan
adik-beradik, bapa saudara bahkan orang luar dari keluarga. Namun sekiranya
mereka ini (orang luar dari keluarga) mendoakan kebaikan untuk seseorang, doa
mereka tetap dapat memberi manfaat kepada mayat. Bukankah juga doa orang lain
itu bukan amalan simati? Selain itu Nabi SAW juga bersabda: “Terputus
amalannya, melainkan tiga perkara…” baginda tidak menyatakan simayat tidak
boleh mengambil manfaat dari orang lain.
Oleh yang demikian, pandangan yang lebih
benar dalam persoalan ini – insyaAllah – ialah sampai pahala bacaan al-Quran
kepada mayat. Ada juga beberapa ulama dari mazhab al-Syafie yang berpandangan
tidak sampai pahala bacaan al-Quran kepada mayat, melontarkan pandangan yang
amat baik dalam menyelesaikan persoalan ini. Mereka berkata: Jika seseroang
membaca al-Quran, setelah membacanya orang itu berkata: “Ya Allah sekiranya
Engkau menerima bacaan al-Quranku ini, maka jadikanlah pahalanya untuk fulan.”
Maka perbuatannya ini adalah benar. Mereka memasukkannya dalam persoalan doa.
Kesimpulannya, para peneliti dari
kalangan ulama berpandangan sesiapa yang melakukan sesuatu amalan, dia berhak
memperolehi pahala dari amalan yang dilakukannya jika dilakukan memenuhi
syarat-syarat diterima oleh Allah SWT. dia juga berhak untuk menganugerahkan
pahala amalannya itu kepada sesiapa yang dikehendakinya, selama mana tiada
sebarang halangan dari pihak penerima. Dan satu-satunya halangan yang
dimaksudkan di sini iaitulah jika simati tersebut adalah seorang kafir.
Adapun berkaitan al-Syeikh Muhammad bin
Soleh al-Uthaimin RH, beliau adalah salah seorang ulama yang berpandangan harus
menghadiahkan pahala bacaan al-Quran kepada mayat, dan ianya bermanfaat untuk
mayat insyaAllah. Yang dilarang oleh al-Syeikh ibn al-Uthaimin ialah perbuatan
berhimpun di kubur dan membaca al-Quran untuk mayat. Inilah pandangan al-Syeikh
Muhammad bin Soleh al-Uthaimin RH setakat maklumat yang saya ada. Pandangan
beliau ini bertepatan dengan pandangan majoriti ulama dan para peneliti. Sila
lihat pandangan beliau ini di dalam kitabnya Majmu’ Fatawa al-‘Aqidah
jilid 2, halaman 305.
Wallahu a’lam.
0 comments:
Post a Comment