Soalan:
Sahkan solat dengan bacaan rukun qauli sekadar dalam hati
atau sekadar gerak bibir tanpa suara?
Jawapan:
Yang dinamakan bacaan adalah beserta dengan gerakan lidah. Jika
tanpa gerakan lidah ia tidak dinamakan sebagai bacaan sebaliknya hanya sekadar
lintasan hati atau ingatan. Tidak Sah solat dengan hanya melintaskan
rukun-rukun Qauli pada hati dan ingatan. Hal ini kerana Nabi SAW mengarahkan
kita membaca bukan melintaskan ayat-ayat al-Quran di dalam solat, baginda
bersabda:
لا صلاة لمن لم يقرأ بفاتحة الكتاب
Maksudnya: “Tiada solat bagi sesiapa yang tidak MEMBACA
al-Fatihah.” (al-Bukhari dan Muslim)
Cumanya para ulama berbeza pandangan apakah bacaan mesti
didengari atau cukup sekadar
menggerakkan lisan. Di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah dinyatakan:
واشترط الحنفية والشافعية والحنابلة لاعتبار القراءة أن يسمع
القارئ نفسه، فلا تكفي حركة اللسان من غير إسماع؛ لأن مجرد حركة اللسان لا يسمى
قراءة بلا صوت؛ لأن الكلام اسم لمسموع مفهوم، وهذا اختيار الهندواني والفضلي من
الحنفية ورجحه المشايخ. واختار الكرخي عدم اعتبار السماع؛ لأن القراءة فعل اللسان
وذلك بإقامة الحروف دون الصماخ؛ لأن السماع فعل السامع لا القارئ، وهو اختيار
الشيخ تقي الدين من الحنابلة أيضا. ولم يشترط المالكية أن يسمع نفسه وتكفي عندهم
حركة اللسان، أما إجراؤها على القلب دون تحريك اللسان فلا يكفي، لكن نصوا على أن
إسماع نفسه أولى مراعاة لمذهب الجمهور.
“Ulama mazhab Hanafi, Syafie dan Hambali mensyaratkan sesuatu itu
dinamakan bacaan ialah dengan orang yang membaca menjadikan ia mendengar bacaan
yang dibacanya, tidak memadai sekadar menggerakkan lisan tanpa mendengar. sekadar
menggerakkan lisan tidak dinamakan membaca kerana tanpa suara. Ini kerana
al-Kalam ialah kata nama untuk yang didengari lagi difahami. Inilah yang
dipilih oleh al-Hinduwaniy (الهندواني)
al-Fadhliy (الفضلي) dari mazhab Hanafi
dan ditarjihkan oleh al-Masyayikh (المشايخ).
Manakala al-Karkhi (الكرخي) tidak mengambil
kira mendengar, ini kerana bacaan adalah perbuatan lisan, ia terlaksana dengan
menyempurnakan sebutan huruf tanpa perlu didengari, ini kerana mendengar adalah
kerja yang mendengar bukan kerja yang membaca. Pandangan ini juga dipilih
oleh al-Syeikh Taqiyuddin dari mazhab Hambali. Mazhab Maliki pula tidak
mensyaratkan didengari bacaan itu oleh yang membaca, di sisi mereka memadai
dengan pergerakan lidah. Adapun melintaskan bacaan pada jantung hati tanpa
pergerakan lidah adalah tidak memadai, namun mereka menyatakan perbuatan
menjadikan diri sendiri mendengar bacaan yang dibaca adalah lebih utama sebagai
meraikan pandangan mazhab jumhur (kebanyakan ulama)”
Wallahu a’lam.
0 comments:
Post a Comment