Para ulama berbeza pandangan berkaitan
hukum berkahwin dengan wanita hamil dari perbuatan zina. Penjelasannya adalah
seperti berikut:
1. Ulama mazhab Maliki dan Hambali demikian
juga pandangan Abu Yusuf dari Mazhab Hanafi: Tidak boleh menikahi wanita
tersebut sebelum dia melahirkan kandungannya, sama ada kandungan itu hasil
hubungan dengan lelaki yang hendak menikahinya ataupun dengan lelaki lain. Dalil:
i.
Hadis riwayat Abu Daud dan al-Hakim, beliau
mensahihkan hadis ini:
لا توطأ حامل حتى تضع
Maksudnya:
“Jangan disetubuhi wanita hamil (kerana zina) sehinggalah dia melahirkan
kandungannya.”
ii.
Diriwayatkan daripada Sa’ied bin al-Musayyib RA
tentang seorang lelaki yang mengahwini seorang perempuan, kemudian dia
mendapati wanita itu telah mengandung. Lalu perkara itu diadukan kepada Nabi
Muhammad SAW. Baginda memisahkan mereka berdua. (lihat al-Mughniy oleh
Ibn Qudamah Fasl Iza Zanat al-Mar’ah Lam Yahill Liman Ya’lam Zalik Nikahaha
Illa Bisyartain. Lihat juga al-Sunan al-Kubra oleh al-Baihaqi, beliau
berkata: Hadis ini Mursal)
2. Ulama mazhab Syafie dan Hanafi: Harus
menikahi wanita hamil dari zina. Kerana hubungan zina tidak ada kemuliaan dan
tidak dapat menthabitkan nasab. Dalil:
i.
Hadis al-Bukhari dan Muslim:
الولد للفراش وللعاهر الحجر
Maksudnya:
“Anak itu dinasabkan kepada suami yang sah, manakala bagi yang berzina
adalah hukuman rejam dengan batu.”
Jika wanita
hamil kerana zina berkahwin dengan lelaki yang bukan berzina dengannya. Mereka tidak
dihalalkan melakukan hubungan persetubuhan sehinggalah wanita tadi melahirkan
anak zinanya. Ini berdasarkan hadis:
لا توطأ حامل حتى تضع
Maksudnya: “Jangan disetubuhi wanita
hamil (kerana zina) sehinggalah dia melahirkan kandungannya.” Demikian juga
hadis:
من كان يؤمن بالله واليوم الآخر فلا يسق ماءه زرع غيره
Maksudnya:
“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka jangan dia
memasukkan benihnya ke ladang orang lain.” (HR al-Tirmizi dan beliau
menilai sebagai Hasan)
Jika wanita
itu dinikahi oleh lelaki yang berzina dengannya, mereka boleh melakukan
hubungan persetubuhan berdasarkan pandangan kedua ini. Pernikahan tersebut juga
adalah sah.
Wallahu A’lam
0 comments:
Post a Comment