Soalan:
Apakah anak perempuan juga
bertanggungjawab memberi nafkah kepada kedua ibu-bapanya yang miskin. Atau tanggungjawab
itu terpikul di atas anak-anak lelaki sahaja?
Jawapan:
Ibu-bapa yang uzur, tiada harta dan tiada
pendapatan, nafkah untuknya wajib dikeluarkan oleh anaknya. Ibn al-Munzir berkata:
أجمع أهل العلم على أن نفقة الوالدين الفقيرين
الذين لا كسب لهما ولا مال واجبة في مال الولد
Maksudnya: “Telah sepakat kesemua ulama (ijma’ ulama)
bahawa nafkah dua orang tua yang fakir dan tiada mata pencarian dan harta,
adalah wajib dari harta anak.” Ibn Qudamah menjadikan dalil dalam perkara
ini dengan ayat al-Quran:
وَقَضَى رَبُّكَ أَلَّا
تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَاناً
Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah memerintahkan agar jangan
kamu semua sembah selain daripadaNya, dan berbuat baik dengan kedua ibu-bapa.” (al-Isra’:
23), maka termasuk di dalam berbuat baik kepada kedua ibu dan bapa ialah
menanggung nafkah mereka ketika mereka memerlukan. Justeru nafkah kedua ibu
bapa menjadi kewajipan anak-anaknya tidak kira sama ada lelaki mahupun
perempuan telah berkahwin ataupun belum.
Nabi SAW bersabda di dalam hadis yang diriwayatkan dari ‘Aisyah
RA:
إِنَّ أَطْيَبَ مَا أَكَلَ
الرَّجُلُ مِنْ كَسْبِهِ ، وَوَلَدُهُ مِنْ كَسْبِهِ
Maksudnya: “Sesungguhnya yang lebih baik dimakan oleh
seseorang lelaki ialah harta dari usahanya sendiri, dan anaknya adalah termasuk
dari usahanya.” (HR Abu Daud 3528. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih
Abi Daud)
Para ulama berbeza pendapat cara
mengagihkan nafkah kepada ibu-bapa dari anak-anak yang berkemampuan. Apakah berdasarkan
pewarisan, atau berdasarkan kemampuan atau berdasarkan al-Ru’uus. Di dalam Hasyiah
al-Dusuqi ‘ala al-Syarh al-Kabir dari mazhab Maliki dinyatakan:
ووزعت نفقة الأبوين على الأولاد الموسرين،وهل على الرؤوس الذكر كالأنثى ولو تفاوتوا في
اليسار، أو على الإرث الذكر كأنثيين أو على اليسار، حيث اختلفوا فيه أقوال أرجحها
الأخير
Maksudnya: “Dan dikeluarkan nafkah untuk dua orang tua
dari harta anak-anak yang berkemampuan. Apakah berdasarkan al-Ru’uus, seorang
lelaki seperti seorang perempuan (sama rata) sekalipun kemampuan mereka
berbeza, atau berdasarkan perwarisan, seorang lelaki bersamaan dua orang
perempuan, atau berdasarkan kemampuan, terdapat berbagai pandangan ulama, yang
lebih rajih ialah yang akhir (berdasarkan kemampuan).”
Al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin RH:
واعلم أن هذا الباب كباب تحريم النكاح، لا
يفرق فيه بين جهة الأبوة وجهة الأمومة، فالأصول والفروع سواء كانوا من ذوي الأرحام،
أو عصبة، أو أصحاب فروض، تجب النفقة لهم، لكن بشروط" انتهى.
Maksudnya: “Ketahuilah bab ini (nafkah) adalah sama
seperti bab pengharaman nikah, jangan dibezakan dari jalur bapa dan ibu. Maka al-Usul
dan al-Furu’, sama ada mereka dari kalangan Zawi al-Arham, atau ‘Asobah, atau
Ashab Furudh, wajib mengeluarkan nafkah untuk mereka, akan tetapi dengan
beberapa syarat.” (al-Syarh al-Mumti’: 13/498-499, Bab Nafaqah al-Aqarib)
Syarat wajib keluarkan nafkah kepada ibu-bapa ialah jika
mereka terdiri dari orang-orang miskin, manakala anak dan cucu mereka
orang-orang yang kaya. Hal ini berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW:
ابْدَأْ بِنَفْسِكَ فَتَصَدَّقْ عَلَيْهَا ،
فَإِنْ فَضَلَ شَيْءٌ فَلِأَهْلِكَ ، فَإِنْ فَضَلَ عَنْ أَهْلِكَ شَيْءٌ فَلِذِي
قَرَابَتِكَ
Maksudnya: “Mulakan dengan dirimu, keluarkan nafkah untuk
dirimu, jika ada lebihan maka untuk keluargamu, jika ada lebihan lagi, maka
untuk ahli kerabatmu.” (HR Muslim 997)
Kata al-Syeikh Ibn Jibrin berkata: “Jika kedua-dua
ibu-bapa memerlukan (fakir), manakala anak perempuannya memiliki harta lebihan
dari keperluannya, maka wajib anak tersebut mengeluarkan nafkah untuk kedua ibu-bapanya
menurut keperluan mereka tanpa perlu dikurangkan keperluan-keperluannya.”
Wallahu a’lam.
0 comments:
Post a Comment