Soalan:
Ada yang mendakwa Nabi SAW pernah bersabda:
علمه بحالي يغني عن سؤالي
Maksudnya: “Pengetahuan Allah terhadap keadaanku sudah
memadai untuk aku berdoa (kepadaNya)”
Dengan hadis ini, mereka menjadikan dalil kita tidak perlu
berdoa lagi, kerana Allah SWT sememangnya telah mengetahui keperluan setiap
manusia. Benarkan kenyataan ini? terima kasih.
Jawapan:
Kenyataan ini adalah satu kenyataan
yang Batil. Hadis yang dinyatakan adalah hadis Batil dan tiada usul-asalnya
seperti yang telah dijelaskan oleh para ulama. Al-Imam al-Baghawi ketika
menafsirkan surah al-Anbiya mengisyaratkan lemahnya hadis ini, beliau
menyebutnya dalam bentuk riwayat yang bermasalah dari Ubai bin Ka’ab yang
kononnya menceritakan ketika Nabi Ibrahim dicampakkan ke dalam api, datang
malaikat Jibril dan bertanya kepada baginda: “Wahai Ibrahim, apakah kamu ada
sesuatu haja (yang hendak diminta)?” Jawab Nabi Ibrahim: “Jika kepadamu,
maka aku tiada apa-apa hajat.” Lalu Jibril berkata: “Mintalah (hajat) kepada
Tuhanmu.” Jawab baginda:
حسبي من سؤالي علمه بحالي
Maksudnya: “Cukuplah bagiku dari meminta kepadaNya, dengan
pengetahuanNya dengan keadaanku.” (Lihat Tafsir al-Baghawi, Ma’aalim
al-Tanzil 5/347)
Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah RH berkata tentang hadis ini:
وأما قوله : حسبي من سؤالي علمه بحالي فكلام باطل ، خلاف ما
ذكره الله عن إبراهيم الخليل وغيره من الأنبياء ، من دعائهم لله ، ومسألتهم إياه ،
وهو خلاف ما أمر الله به عباده من سؤالهم له صلاح الدنيا والآخرة
Maksudnya: “Adapun perkataan: “Cukuplah bagiku dari
meminta kepadaNya, dengan pengetahuanNya dengan keadaanku.” Adalah perkataan
yang batil, menyalahi sebutan Allah tentang Ibrahim al-Khalil dan para Nabi
yang lain yang sentiasa berdoa dan memohon permintaan kepada Allah SWT. ia juga
bertentangan dengan apa yang diarahkan oleh Allah kepada para hambaNya untuk
berdoa kepadaNya agar dikurniakan kebaikan dunia dan akhirat.” (Majmu’
al-Fatawa 8/539)
Al-Syeikh al-Albani pula berkata tentang hadis ini:
لا أصل له ، أورده بعضهم من قول إبراهيم عليه الصلاة والسلام
وهو من الإسرائيليات ، ولا أصل له في المرفوع
Maksudnya: “Hadis ini tiada asal-usulnya, sebahagian ulama
menyenarainya sebagai sebahagian dari perkataan Nabi Ibrahim AS, namun ia
bersumberkan al-Israiliyyaat (sumber Yahudi), tiada asal-usulnya untuk dianggap
datang dari Nabi SAW.” (Silsilah al-Ahadis al-Doiefah 1/29)
Wallahu a’lam.
0 comments:
Post a Comment