Soalan:
Saya seorang isteri yang tidak bekerja,
semua perbelanjaan rumah dan keluarga ditanggung oleh suami saya. Baru-baru ini
suami saya ada menyebut, berdasarkan mazhab Syafie, jika seorang isteri jatuh
sakit, suaminya tidak diwajibkan untuk memberi rawatan dan menanggung kos
perubatan isteri tersebut. Benarkah dakwaan suami saya ini? jika demikian siapakah
yang bertanggungjawab menanggung kos perubatan seorang isteri? Harap ustaz
dapat memberikan penjelasan. Terima kasih.
Jawapan:
Nafkah seorang isteri wajib dipikul oleh
suaminya. Maka termasuk di dalam nafkah yang wajib ke atas suami ialah
memberi perubatan kepada isteri dan menanggung kos perubatan tersebut. Inilah
pandangan Ulama yang terbaik dalam masalah ini. Di dalam kitab Manhul
Jalil Syarh Mukhtasar Khalil dari mazhab Maliki dinyatakan:
“Daripada Ibn ‘Abd al-Hakam (yang berkata): ke atas suami bayaran doktor dan rawatan.”
“Daripada Ibn ‘Abd al-Hakam (yang berkata): ke atas suami bayaran doktor dan rawatan.”
Al-Imam al-Syaukani pula berkata:
Maksudnya: “Adapun mewajibkan memberi ubat kepada isteri, maka
bentuk penghujahannya kerana kewajipan nafkah ke atas suami adalah bertujuan
menjaga kesihatan isteri. Maka ubat termasuk dalam perkara yang bertujuan
memelihara kesihatan seorang isteri.” (al-Sail al-Jarrar al-Mutadaffiq
‘ala Hadaiq al-Azhar)
Sekalipun sememangnya wujud pandangan yang
mengatakan seorang suami tidak wajib menanggung kos rawatan isterinya seperti
pandangan dari keempat-empat mazhab yang masyhur. Perlu diketahui bahawa
pandangan tersebut dikeluarkan berdasarkan keadaan dan kebiasaan yang ada pada zaman
mereka. Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata:
ويظهر لدي أن المداواة لم تكن في
الماضي حاجة أساسية، فلا يحتاج الإنسان غالباً إلى العلاج؛ لأنه يلتزم قواعد الصحة
والوقاية، فاجتهاد الفقهاء مبني على عرف قائم في عصرهم. أما الآن فقد أصبحت الحاجة
إلى العلاج كالحاجة إلى الطعام والغذاء، بل أهم؛ لأن المريض يفضل غالباً ما يتداوى
به على كل شيء، وهل يمكنه تناول الطعام وهو يشكو ويتوجع من الآلام والأوجاع التي
تبرح به وتجهده وتهدده بالموت؟! لذا فإني أرى وجوب نفقة الدواء على الزوج كغيرها
من النفقات الضرورية، ومثل وجوب نفقة الدواء اللازم للولد على الوالد بالإجماع،
وهل من حسن العشرة أن يستمتع الزوج بزوجته حال الصحة، ثم يردها إلى أهلها
لمعالجتها حال المرض؟!
Maksudnya: “Jelas bagi saya, pada zaman dahulu mendapatkan
rawatan tidak termasuk dalam keperluan asas, kebiasaannya orang-orang dahulu
tidak memerlukan kepada rawatan, kerana mereka kuat mematuhi displin-displin
kesihatan dan pencegahan. Maka (dalam perkara seperti ini) ijtihad ulama dibina
berdasarkan uruf (kebiasaan) yang berlaku pada zaman mereka. adapun sekarang,
mendapatkan perubatan telah menjadi satu keperluan sama seperti keperluan
kepada makanan, bahkan mendapatkan rawatan itu lebih penting lagi, hal ini kerana
seorang yang ditimpa sakit kebiasaannya lebih memerlukan ubat berbanding
perkara lain. Bagaimana dia hendak menjamah makanan sedangkan dia menderita dan
menanggung penyakit yang mengancam nyawanya? Kerana itu, saya berpandangan
wajibnya nafkah ubat dipikul oleh suami sama seperti kewajipan nafkah lainnya
yang wajib (makanan, pakaian dan tempat tinggal). Sama juga seperti wajibnya
nafkah ubat untuk anak ke atas bapanya dengan kesepakatan semua ulama. Apakah
seorang suami dikira bergaul secara baik dengan isterinya (seperti yang disuruh
di dalam al-Quran), jika dia hanya berseronok dengan isterinya ketika siisteri
sihat, kemudian memulangkan siisteri kepada keluarganya apabila dia sakit?” (Lihat
al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh)
Oleh yang demikian selama mana sesuatu ijtihad itu dibina di atas
dasar uruf (kebiasaan), maka ia terdedah kepada perubahan. Al-Imam Ibn Qayyim
al-Jauziyyan berkata: “Sesungguhnya sesuatu fatwa boleh berubah dengan
berubahnya zaman, tempat, kebiasaan, dan keadaan-keadaan.”
Fatwa kebanyakan para fuqaha terdahulu yang berpandangan seorang
suami tidak wajib memberi nafkah perubatan kepada isteri kerana bergantung
kepada keadaan kebiasaan ketika itu. Dimana pada zaman mereka, ilmu perubatan
berada pada tahap kebarangkalian dan percubaan, natijah kesembuhannya tidak seperti apa
yang berjaya dicapai oleh ilmu perubatan hari ini. Maka pandangan yang
mengatakan wajib ke atas suami mengeluarkan nafkah perubatan untuk isterinya
adalah pandangan yang lebih tepat. Inilah pandangan yang disebut oleh ramai ulama
semasa. Al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin berkata: “Dan yang lebih
hampir (kepada kebenaran) ialah dengan mengatakan: apa-apa (perubatan) yang
diketahui atau hampir pasti kemanfaatannya disamping boleh mendatangkan
mudharat jika tidak mengambilnya, maka ianya adalah wajib (diambil).”
Wallahu
a’lam
0 comments:
Post a Comment