Monday, November 5, 2012

Zikir-zikir Selepas Salam


1.      Daripada Thauban RA katanya: “Dahulunya Rasulullah SAW apabila selesai dari solat, baginda akan beristighfar tiga kali dan membaca:

اَللَّهُمَّ أَنْتَ السَّلاَمُ، وَمِنْكَ السَّلاَمُ، تَبَارَكْتَ يَا ذَا الْجَلاَلِ وَاْلإِكْرَامِ.

Mafhumnya: “Ya Allah, Engkaulah al-Salam[1], dariMu keselamatan[2], Maha berkat Engkau, wahai Tuhan Pemilik Keagungan dan Kemuliaan.” Salah seorang perwayat hadis ini yang bernama al-Walid berkata: ”Aku bertanya kepada al-Auza’ie: Bagaimanakah istighfar itu (untuk dibaca selepas solat)?” jawab beliau:

أَسْتَغْفِرُاللهَ، أَسْتَغْفِرُاللهَ، أَسْتَغْفِرُاللهَ

Mafhumnya: ”Saya memohon keampunan dari Allah 3x.” (HR Muslim)

2.      Daripada Warrad Maula al-Mughirah bin Syu’bah katanya: “al-Mughirah pernah menulis kepada Mu’awiyah bin Abi Sufyan: Bahawa Rasulullah SAW dahulunya apabila selesai menunaikan solat dan memberi salam, baginda akan membaca:

لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيْكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ اْلحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٌ، اَللَّهُمَّ لَا مَانِعَ لِمَا أَعْطَيْتَ، وَلَا مُعْطِيَ لِمَا مَنَعْتَ، وَلَا يَنْفَعُ ذَا اْلجَدِّ مِنْكَ اْلجَدُّ

Mafhumnya: ”Tidak ada tuhan yang berhak disembah sebenar-benarnya melainkan Allah yang Esa, tidak ada sekutu bagiNya, bagiNya kekuasaan dan bagiNya segala pujian, dan Dia Maha Berkuasa atas setiap sesuatu, Ya Allah tidak ada yang dapat menghalang apa yang Engkau berikan dan tidak ada pula yang dapat memberi apa yang Engkau halang, tidak bermanfaat orang yang memiliki kekayaan untuk terlepas dari azabMu. (HR al-Bukhari dan Muslim)

3.      Daripada ’Abdullah bin Zubair RA            katanya: ”Baginda akan membaca setiap kali di penghujung solat dengan bacaan:

لاَ إِلَـهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرُ. لاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللهِ، لاَ إِلَـهَ إِلاَّ اللهُ، وَلاَ نَعْبُدُ إِلاَّ إِيَّاهُ، لَهُ النِّعْمَةُ وَلَهُ الْفَضْلُ وَلَهُ الثَّنَاءُ الْحَسَنُ، لاَ إِلَـهَ إِلاَّ اللهُ مُخْلِصِيْنَ لَهُ الدِّيْنَ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُوْنَ.

Mafhumnya: “Tiada Tuhan (yang berhak disembah) kecuali Allah, Yang Maha Esa, tidak ada sekutu bagiNya. BagiNya kerajaan dan segala pujian. Dia Mahaberkuasa atas segala sesuatu. Tidak ada daya dan kekuatan kecuali (dengan pertolongan) Allah. Tiada Tuhan (yang hak disembah) kecuali Allah. Kami tidak menyembah kecuali kepadaNya. BagiNya nikmat, anugerah dan pujaan yang baik. Tiada Tuhan (yang hak disembah) kecuali Allah, dengan memurnikan ibadah kepadaNya, sekalipun orang-orang kafir sama membenci.” Seterusnya ‘Abdullah bin Zubair berkata: Rasulullah SAW bertahlil dengan kalimat-kalimat ini pada penghujung setiap kali solat.” (HR Muslim)

4.      Setelah membaca zikir-zikir di atas, dianjurkan pula bertasbih seperti yang dilakukan oleh Nabi SAW. Daripada Abu Hurairah RA, daripada Rasulullah SAW sabdanya: ”Sesiapa yang bertasbih[3] setiap kali selepas solat 33 kali, bertahmid[4] 33 kali, bertakbir[5] 33 kali, semuanya menjadi 99 kali, seterusnya membaca:

لاَ إِلَـهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرُ

Mafhumnya: “Tiada Tuhan (yang berhak disembah) kecuali Allah, Yang Maha Esa, tidak ada sekutu bagiNya. BagiNya kerajaan dan segala pujian. Dia Mahaberkuasa atas segala sesuatu.” Akan diampun dosa-dosanya sekalipun seperti buih di lautan.” (HR Muslim)

5.      Daripada ’Abdullah bin ’Amr RA, daripada Nabi SAW yang bersabda: ”Dua kebiasaan yang dipelihara oleh seseorang hamba muslim, melainkan dia akan dimasukkan ke dalam syurga. Kedua-dua perkara tersebut suatu yang  ringan (mudah), orang yang mengamalkannya pula adalah sedikit, iaitulah bertasbih setiap kali selepas solat sebanyak 10 kali, bertahmid 10 kali, bertakbir 10 kali, jadilah jumlahnya sebanyak 150 kali diucapkan dengan lisan dan sebanyak 1500 pahala pada pertimbangan. Demikian juga bertakbir sebanyak 34 kali sebelum tidur, bertahmid 33 kali dan bertasbih 33 kali, semuanya menjadi bilangan 100 kali diucapkan dengan lidah, manakala 1000 pahala pada pertimbangan. Sesungguhnya aku pernah melihat Rasulullah SAW berzikir dengan zikir-zikir ini menggunakan tangan baginda. Pernah ditanya kepada baginda: Wahai Rasulullah, mengapa kedua-dua kebiasaan ini ringan, namun sedikit yang melakukannya? Baginda bersabda: ”Syaitan datang kepada seseorang dari kamu di tempat tidurnya, lalu syaitan itu menjadikan dia tertidur sebelum orang tadi sempat membaca zikir-zikir tersebut, demikian juga syaitan akan datang kepada seseorang daripada kamu di dalam solatnya, lalu syaitan tadi menjadikan orang itu teringat suatu urusan, sehingga dia tidak sempat membaca zikir-zikir tersebut.” (Abu Daud, al-Tirmizi. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih al-Targhib)    

6.      Disunatkan juga setiap kali selepas solat membaca surah al-Ikhlas, al-Falaq dan al-Naas. Daripada ‘Uqbah bin ‘Amir RA katanya:

أمرني رسول الله صلى الله عليه وسلم أن أقرأ المعوذات دبر كل صلاة

Mafhumnya: “Rasulullah SAW mengarahkan aku untuk membaca al-Mu’awwazat selepas setiap kali menunaikan solat.” (HR Abu Daud dan al-Nasa’ie. Dinilai Sahih oleh al-ALbani di dalam Sahih Abi Daud)

Al-Syeikh ‘Abd al-Razzak menyebut di dalam Fiqh al-Ad’iyah wa al-Azkar: “Kebiasaannya yang dimaksudkan dengan al-Mu’awwizat اَلْمُعَوِّذَاتُ iaitulah surah al-Ikhlas, al-Falaq dan al-Naas.”

7.      Disunatkan juga membaca ayat al-Kursi berdasarkan hadis daripada Abu Umamah RA katanya: “Rasulullah SAW bersabda:

من قرأ آية الكرسي في دبر كل صلاة مكتوبة لم يمنعه من دخول الجنة إلا أن يموت

Mafhumnya: “Sesiapa yang membaca ayat al-Kursi di penghujung setiap solat (selepas solat) fardhu, tiada sesuatu yang menghalang (berada) antara dia dan dari memasuki syurga, melainkan kematian.”   (HR al-Nasa’ie di dalam ‘Amal al-Yaum wa al-Lailah, dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih al-Jami’)

al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah berkata di dalam kitabnya Zad al-Ma’ad:  “Sampai kepadaku tentang syeikh kami Abu al-‘Abbas Ibn Taimiah yang berkata: Saya tidak pernah meninggalkannya selepas setiap kali solat.”   

8.      Membaca bacaan yang dipesan oleh Nabi SAW kepada Mu’az bin Jabal RA, seperti kata Mu’az: “Suatu hari Rasulullah SAW memegang tanganku dan bersabda: Wahai Mu’az, demi Allah sesungguhnya aku benar-benar menyayangimu, aku berpesan kepadamu agar jangan kamu meninggalkan setiap kali selepas menunaikan solat untuk membaca:

اَللَّهُمَّ أَعِنِّيْ عَلَى ذِكْرِكَ، وَشُكْرِكَ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ
Mafhumnya: “Ya Allah, bantulah daku untuk sentiasa mengingatiMU, bersyukur kepadaMu dan memperelokkan ibadah kepadaMU.” (HR Abu Daud dan al-Nasa’id. dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih Abi Daud)

            Berlaku perbezaan pendapat di kalangan ulama tentang waktu yang sebenarnya untuk dibaca zikir ini. Apakah sebelum salam atau selepas salam. Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah RH memilih pandangan yang berpendapat zikir ini dibaca selepas salam. Wallahu a’lam.


[1] Al-Salam adalah salah satu dari nama Allah SWT. Ia bermaksud Tuhan yang bebas dari sebarang kekurangan dan keaiban. Ia bebas dari sebarang bentuk yang menafikan kesempurnaanNya, bebas juga dari sebarang persamaan dan sekutu.
[2] Bermaksud, keselamatan dari sebarang kebinasaan adalah anugerah dari Allah SWT semata-mata, bukan dari selainNya.
[3] Bertasbih ialah mengucapkan سُبْحَانَ اللهِ
[4] Bertahmid ialah mengucapkan اَلْحَمْدُ لِلَّه
[5] Bertakbir ialah mengucapkan اَللهُ أَكْبَرُ

0 comments: