Tuesday, November 6, 2012

Zikir Ketika Berada Dalam Kesukaran dan Kesedihan


1.      Daripada Ibn ’Abbas RA katanya, Rasulullah SAW ketika dalam kesukaran akan membaca:

لاَ إِلَـهَ إِلاَّ اللهُ الْعَظِيْمُ الْحَلِيْمُ، لاَ إِلَـهَ إِلاَّ اللهُ رَبُّ الْعَرْشِ الْعَظِيْمُ، لاَ إِلَـهَ إِلاَّ اللهُ رَبُّ السَّمَاوَاتِ وَرَبُّ اْلأَرْضِ وَرَبُّ الْعَرْشِ الْكَرِيْمُ.

Mafhumnya: “Tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah Yang Maha Agung dan Maha Pemaaf[1]. Tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah, Tuhan yang menguasai arasy yang agung. Tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah, Tuhan yang menguasai langit dan bumi. Tuhan Yang menguasai arasy yang mulia.” (HR al-Bukhari dan Muslim)


2.       Daripada Asma’ binti ’Umais (أسماء بنت عُمَيس) RA, katanya, Rasulullah SAW pernah berkata kepadaku: ”Mahukah aku ajarkan kepadamu beberapa kalimat doa untuk kamu membacanya ketika di dalam kesusahan?:

اللهُ اللهُ رَبِّي لاَ أُشْرِكُ بِهِ شَيْئًا.

Mafhumnya: “Allah, Allah[2], Tuhanku. Daku tidak menyekutukanNya dengan sesuatupun.” (HR Abu Daud, Ibn Majah. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih al-Targhib)

3.      Daripada Abu Bakrah, daripada Nabi SAW yang bersabda: Permohonan ketika kesusahan ialah:

اَللَّهُمَّ رَحْمَتَكَ أَرْجُو فَلاَ تَكِلْنِيْ إِلَى نَفْسِيْ طَرْفَةَ عَيْنٍ، وَأَصْلِحْ لِيْ شَأْنِيْ كُلَّهُ، لاَ إِلَـهَ إِلاَّ أَنْتَ.
Mafhumnya: “Ya Allah! Daku hanya mengharapkan rahmat dariMu, oleh karena itu, jangan Engkau wakilkan (biarkan) diriku kepadaku walau sekelip mata. Perbaikilah seluruh urusanku, tiada Tuhan yang berhak disembah selain Engkau.” (HR Abu Daud. Dinilai Hasan oleh al-Albani di dalam Sahih al-Jami’)

4.      Daripada Sa’ad bin Abi Waqqas RA katanya: Rasulullah SAW bersabda: “Doa Nabi Yunus, ketika berada di dalam perut ikan Nun:

لاَ إِلَـهَ إِلاَّ أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّيْ كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِيْنَ.

Mafhumnya: “Tiada Tuhan yang berhak disembah selain Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya daku tergolong orang-orang yang zhalim.” Seterusnya baginda bersabda: Sesungguhnya tiada seseorang muslim yang berdoa dengan doa ini sama sekali, melainkan akan dimakbulkan oleh Allah untuknya.” (HR al-Tirmizi. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih al-Jami’)

Himpunan doa dan zikir ini menggambarkan bahawa rawatan utama ketika ditimba sebarang kesusahan, kesedihan dan musibah ialah dengan memperbaharui iman, dan mengulangi kalimah tauhid demikian juga menjauhi syirik. 



[1] Pemaaf adalah terjemahan yang kami pilih untuk sifat Allah SWT al-Halim (الحليم), iaitulah Tuhan yang memiliki sifat memberi tangguh, kesabaran, dan kemurahan. Dia Allah Yang Maha Mulia yang tidak segera dan gopoh membalas orang-orang yang menderhakaiNya. Dia memiliki kemaafan dan penyantunan yang luas. Sifat al-Halim menggambarkan sifat pemaaf dalam keadaan memiliki kemampuan dan kekuatan untuk membalas. Wallahu a’lam. 
[2] Lafaz Allah yang pertama adalah Mubtada’ (subjek), manakala yang kedua adalah Ta’kid Lafzi (lafaz penegasan) kepada kalimah Allah yang pertama, ia mengisyaratkan kepada kedudukan yang agung. Manakala Rabbii (رَبِّي) adalah Khabar (prediket). 

0 comments: