Monday, November 5, 2012

Doa Selepas al-Tasyahhud Sebelum Salam


Nabi SAW menggalakkan umat baginda untuk berdoa selepas bertasyahhud dan sebelum memberi salam di dalam solat. ‘Abdullah bin Mas’ud RA berkata: “Nabi SAW telah mengajarkan kepada beliau al-Tasyahhud kemudian baginda bersabda:

ثم ليتخير من الدعاء أعجبه إليه، فيدعو

Mafhumnya: “Setelah itu hendaklah dia memilih mana-mana doa yang dikehendakinya, dan berdoa.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Hadis di dalam Sahih Muslim pula dinyatakan:

ثم ليتخير من المسألة ما شاء
Mafhumnya: “Setelah itu dia boleh memohon permohonan yang dikehendakinya.” (HR Muslim)

Doa yang lebih utama untuk dibaca selepas al-Tasyahhud dan sebelum salam ialah doa yang diambil dari sunnah Nabi SAW. Namun sekiranya seseorang itu berdoa dengan doa yang lain, ia juga tidak mengapa. Di bawah ini disertakan beberapa doa yang diambil dari sunnah Nabi SAW untuk dibaca selepas al-Tasyahhud dan sebelum memberi salam di dalam solat:

1.      Daripada Abu Hurairah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seseorang daripada kamu selesai bertasyahhud, maka hendaklah dia memohon perlindungan kepada Allah dari empat perkara, dengan mengucapkan:

اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَعُوْذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ ، وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيْحِ الدَّجَّالِ.

Mafhumnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepadaMu dari siksaan neraka jahannam[1], dari siksaan kubur, dari fitnah kehidupan dan kematian,[2] serta dari kejahatan fitnah al-Masih al-Dajjal.”[3] (HR al-Bukhari dan Muslim)

2.       Daripada ‘Ali bin Abi Tolib, dalam sebuah hadis yang panjang berkata: “Bahawa Rasulullah SAW antara bacaan akhir yang baginda baca antara al-Tasyahhud dan memberi salam ialah:

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِيْ مَا قَدَّمْتُ وَمَا أَخَّرْتُ، وَمَا أَسْرَرْتُ وَمَا أَعْلَنْتُ، وَمَا أَسْرَفْتُ وَمَا أَنْتَ أَعْلَمُ بِهِ مِنِّيْ. أَنْتَ الْمُقَدِّمُ وَأَنْتَ الْمُؤَخِّرُ لاَ إِلَـهَ إِلاَّ أَنْتَ.

Mafhumnya: “Ya Allah! ampunilah daku apa-apa (kesalahan dan dosa) yang telah aku lakukan mahupun yang akan datang, dan (ampunilah daku) apa-apa yang aku lakukan secara sembunyi dan apa-apa yang aku lakukan secara terangan, dan (ampunilah daku) apa-apa (kesalahan dan doa) yang aku lakukan dengan menzalimi diriku, serta apa yang Engkau lebih mengetahui daripadaku, Engkau yang mendahulukan (bantuan dan taufik kepada sesiapa yang Engkau kehendaki) dan Engkau yang mengakhirkan (bantuan dan taufik kepada sesiapa yang Engkau kehendaki), tidak ada tuhan yang berhak disembah kecuali Engkau.” (HR Muslim)

3.      Daripada Abu Saleh, daripada sebahagian sahabat Nabi SAW, baginda pernah berkata kepada seorang lelaki: “Apa yang kamu baca di dalam solat?” jawab lelaki itu: “Aku bertasyahhud, setelah itu aku membaca:

اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ الْجَنَّةَ، وَأَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ
Mafhumnya: “Ya Allah, sesungguhnya daku memohon kepadaMu syurga dan daku berlindung kepadaMu dari neraka.” Lelaki itu menyambung: adapun aku langsung tidak tahu apa yang Tuan (Nabi SAW) dan Muaz ucapkan. Nabi SAW bersabda: “Sekitar itu juga kami ucapkan.” (HR Abu Daud, Ibn Majah. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih Ibn Majah)

            Selain doa-doa di atas, terdapat juga hadis-hadis lain yang menyebut doa-doa untuk dibaca di dalam solat, namun tidak dijelaskan tempat doa itu perlu dibaca. Maka yang lebih utama doa sebegini dibaca samada di dalam sujud atau selepas membaca al-Tasyahhud dan sebelum salam. Hal ini demikian kerana sunnah Nabi SAW menggalakkan doa di dalam solat dibaca pada dua tempat tersebut. Doa-doa tersebut antaranya:

4.      Daripada Abu Bakr al-Siddiq RA, dia pernah berkata kepada Nabi SAW: “Ajarkan kepada aku satu doa untuk aku membacanya di dalam solat. Baginda menjawab, bacalah doa:

اَللَّهُمَّ إِنِّيْ ظَلَمْتُ نَفْسِيْ ظُلْمًا كَثِيْرًا، وَلاَ يَغْفِرُ الذُّنُوْبَ إِلاَّ أَنْتَ، فَاغْفِرْ لِيْ مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ وَارْحَمْنِيْ إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ.

Mafhumnya: “Ya Allah! sesungguhnya daku banyak mezalimi diriku sendiri, dan tidak ada yang dapat mengampunkan dosa-dosa melainkan Engkau. Oleh karena itu, ampunilah dosa-dosaku dengan kempunan dari sisiMu, dan berilah rahmat kepadaku. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan Maha Penyayang.” (HR al-Bukhari dan Muslim)
  
5.      Daripada ‘Ato’ bin Saib, daripada bapanya RA yang berkata: “Solat bersama dengan kami ‘Ammar bin Yasir RA satu solat, lalu beliau ringankan solat tersebut. Sebahagian jemaah bertanya kepada beliau: Anda telah ringankan dan ringkaskan solat? Jawab ‘Ammar bin Yasir: Adapun demikian, aku telah berdoa di dalamnya dengan bacaan doa yang aku dengarnya dari Rasulullah SAW.” Apabila beliau bangun, seorang lelaki bangun mengikutinya – iaitulah bapaku, akan tetapi ketika dia menyampaikan hadis ini dia tidak menyebut namanya – lalu dia (bapa ‘Ato) bertanya kepada ‘Ammar doa tersebut, setelah itu dia pergi kepada orang ramai dan menceritakan doa yang dibaca oleh ‘Ammar, iaitulah:

اَللَّهُمَّ بِعِلْمِكَ الْغَيْبَ وَقُدْرَتِكَ عَلَى الْخَلْقِ، أَحْيِنِيْ مَا عَلِمْتَ الْحَيَاةَ خَيْرًا لِيْ، وَتَوَفَّنِيْ إِذَا عَلِمْتَ الْوَفَاةَ خَيْرًا لِيْ، اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ خَشْيَتَكَ فِي الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، وَأَسْأَلُكَ كَلِمَةَ الْحَقِّ فِي الرِّضَا وَالْغَضَبِ، وَأَسْأَلُكَ الْقَصْدَ فِي الْغِنَى وَالْفَقْرِ، وَأَسْأَلُكَ نَعِيْمًا لاَ يَنْفَدُ، وَأَسْأَلُكَ قُرَّةَ عَيْنٍ لاَ تَنْقَطِعُ، وَأَسْأَلُكَ الرِّضَا بَعْدَ الْقَضَاءِ، وَأَسْأَلُكَ بَرْدَ الْعَيْشِ بَعْدَ الْمَوْتِ، وَأَسْأَلُكَ لَذَّةَ النَّظَرِ إِلَى وَجْهِكَ وَالشَّوْقَ إِلَى لِقَائِكَ فِيْ غَيْرِ ضَرَّاءَ مُضِرَّةٍ وَلاَ فِتْنَةٍ مُضِلَّةٍ، اَللَّهُمَّ زَيِّنَّا بِزِيْنَةِ اْلإِيْمَانِ وَاجْعَلْنَا هُدَاةً مُهْتَدِيْنَ.

Mafhumnya: “Ya Allah, dengan ilmuMu atas yang gaib dan dengan Maha KuasaMu atas seluruh makhluk, hidupkanlah daku, sekiranya kehidupan itu lebih baik untukku, matikanlah daku jika kematian itu lebih baik untukku. Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepadaMu agar dikurniakan rasa takut kepadaMu dalam keadaan bersendirian atau di hadapan orang ramai. Aku memohon kepadaMu perkataan yang benar di waktu rela atau marah. Aku memohon kepadaMu, kesederhanaan dalam keadaan kaya atau fakir, aku mohon kepadaMu agar diberi nikmat yang tidak akan lenyap[4] dan aku memohon kepadaMu, agar diberi penyejuk mata yang tidak putus. Aku mohon kepadaMu keredhaan setelah berlakunya Qadha’ (ketentuan). Aku memohon kepadaMu kehidupan yang menyenangkan setelah meninggal dunia. Aku mohon kepadaMu kenikmatan memandang wajahMu (di Surga), rindu bertemu denganMu tanpa penderitaan yang membahayakan dan fitnah yang menyesatkan. Ya Allah, hiasilah kami dengan keimanan dan jadikanlah kami sebagai penunjuk jalan (lurus) yang memperoleh bimbingan dariMu.” (HR al-Bukhari dan Muslim)


[1] Jahannam adalah nama neraka yang disediakan oleh Allah SWT untuk orang-orang kafir di akhirat kelak.
[2] Dimaksudkan di sini adalah semua fitnah (keburukan), samada ketika hidup mahupun selepas mati yang memberi kemudharatan kepada agama seseorang, tubuh-badannya dan perkara-perkara dunianya.
[3] Sebahagian ulama berpandangan doa ini wajib dibaca selepas bertasyahhud dan sebelum memberi salam di dalam solat. Namun kebanyakan ulama berpendapat membaca doa ini adalah sunat. Oleh yang demikian tidak sewajarnya doa ini ditinggalkan dengan sengaja.
[4] Nikmat yang tidak akan lenyap adalah nikmat hari kiamat seperti firman Allah SWT:
Mafhumnya: “Dan apa yang ada di sisi kamu semua akan lenyap, sedangkan apa yang ada di sisi Allahlah yang akan kekal…” (al-Nahl: 96)

0 comments: