Friday, November 30, 2012

Bacaan Ketika Ditimpa Musibah

BACAAN KETIKA DITIMPA MUSIBAH

1.      Firman Allah SWT:

Mafhumnya: ”Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu Dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. dan berilah khabar gembira kepada orang-orang Yang sabar: (Iaitu) orang-orang Yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata:

"Sesungguhnya Kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah Kami kembali." mereka itu ialah orang-orang Yang dilimpahi Dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang Yang dapat petunjuk hidayahNya.” (al-Baqarah: 155-157)

2.      Daripada Ummu Salamah RA katanya: Saya pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: ”Tiada seorang hamba yang ditimba musibah, lalu mengucapkan:  

 إِنَّا لِلهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُوْنَ، اللَّهُمَّ أْجُرْنِيْ فِيْ مُصِيْبَتِيْ وَأَخْلِفْ لِيْ خَيْرًا مِنْهَا

Mafhumnya: "Sesungguhnya Kami adalah kepunyaan Allah[1] dan kepada Allah jualah Kami kembali[2]. Ya Allah, kurniakanlah pahala atas musibah yang melandaku ini, dan gantikan untukku suatu yang lebih baik darinya." Seterusnya baginda bersabda: melainkan Allah akan memberikan ganjaran kepadanya atas musibah tersebut, dan menggantikan suatu yang lebih baik kepadanya. Kata Ummu Salamah: Ketika meninggalnya Abu Salamah (Suami Ummu Salamah), aku mengucapkan bacaan ini seperti yang diajarkan oleh Baginda SAW, lalu Allah SWT menggantikan untukku seorang yang lebih baik berbanding Abu Salamah iaitulah Rasulullah SAW.” (HR Muslim)

            Abu Nu’aim meriwayatkan di dalam al-Hilyah daripada al-Hasan bin ‘Ali al-‘Abid yang berkata:

“al-Fudhail bin ‘Iyadh pernah bertanya kepada seorang lelaki: Berapa umurmu?”

Lelaki: “60 tahun.”

Al-Fudhail: “ini bermakna, kamu selama 60 tahun itu bergerak menuju tuhanmu, dan hampir sahaja kamu akan sampai.”

Lelaki: “Wahai Abu ‘Ali (gelaran kepada al-Fudhail), إنَّا للهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُوْنَ.”

Al-Fudhail: “kamu tahu apa yang kamu ucapkan?”

Lelaki: “Aku katakan, إنَّا للهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُوْنَ.”

Al-Fudhail: ”Apakah kamu tahu penafsirannya.”

Lelaki: ”Wahai Abu ’Ali, tolong tafsirkan untuk kami.”

Al-Fudhail: ”Perkataan kamu إنا لله bermakna kamu mengatakan: aku adalah hamba bagi Allah, dan aku akan kembali kepada Allah, maka sesiapa yang mengetahui yang dia adalah hamba kepada Allah, dan akan kembali kepada Allah, maka hendaklah dia mengetahui bahawa dia dalam jagaan atau terhalang. Jika dia tahu yang dia terhalang dan dalam jagaan, maka hendaklah dia ketahui bahawa dia akan ditanya, sesiapa yang mengatahui bahawa dia akan ditanya, maka hendaklah dia mempersiapkan jawapannya.”

Lelaki: ”Maka apa yang perlu dilakukan?”

Al-Fudhail: Mudah.”

Lelaki: “Apakah dia?”

Al-Fudhail: “Berbuat baik ketika umur yang masih ada, maka akan diampunkan kesalahan yang telah berlalu, kerana sesungguhnya jika engkau berbuat jahat ketika umur yang ada, engkau akan dibalas apa yang telah engkau lakukan dan apa yang ada sekarang.”(Hilyah al-Awliya’ 8/113)


[1] Iaitulah kita semua adalah milik Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang, berada di bawah aturanNya dan penguasaanNya mengikut kehendakNya. Dialah Tuhan kita, manakala kita hanyalah hambaNya, akan terlaksana setiap ketetapan dan ketentuanNya ke atas kita. 
[2] Pengakuan seorang hamba, dimana dia akan kembali kepada Allah SWT yang akan memberi balasan terhadap apa yang telah dikerjakannya. Oleh yang demikian dia berusaha menyibukkan dirinya melakukan perkara-perkara yang mendatangkan faedah kepadanya. 

0 comments: