BACAAN
KEPADA ORANG SAKIT
Islam
memberi perhatian terhadap orang sakit dengan menganjurkan amalan menziarahi
dan berdoa untuk kesembuhan mereka. Untuk itu Islam mengajarkan beberapa doa
yang boleh dibaca ketika menziarahi mereka. Semua ini bagi mempraktikkan
persaudaraan Islam, dimana kegembiraan dan susah payah dikongsi bersama. Di
dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim daripada al-Nu’man bin Basyir RA yang
berkata, Nabi SAW bersabda:
مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ
وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ إذَا اشْتَكَى منه عضو تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ
الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى
Mafhumnya: ”Perumpamaan orang-orang yang beriman itu
dalam kelunakan, berkasih-sayang dan berlemah-lembut sesama mereka seperti
tubuh yang satu, jika satu anggota sakit, seluruh jasad akan turut terasa demam
dengan berjaga malam.” (HR al-Bukhari dan Muslim)
Antara bacaan-bacaan tersebut adalah seperti berikut:
1.
Daripada Ibn
’Abbas RA, Nabi SAW pernah menziarahi seorang Arab Badwi, beliau berkata: ”Nabi
SAW apabila menziarahi orang sakit akan berkata:
لَا بَأْسَ، طَهُوْرٌ إِنْشَاءَ اللهُ
Mafhumnya: “Tiada mengapa, sebagai pembersih[1]
insyaAllah.” (apabila baginda mengucapkannya kepada Arab Badwi tersebut), jawab
Arab itu: “Anda kata semoga menjadi pembersih? Sama sekali tidak, bahkan ia
merupakan panas badan yang merebak pada seorang tua yang akan membawa dia
menziarahi kubur.” Jawab baginda SAW: “Kalau begitu demikianlah.”
2.
Daripada Ummi
al-’Ala (أم العلاء) RA yang berkata: “Rasulullah SAW pernah menziarahiku
yang sedang sakit, lalu baginda bersabda: “Terimalah khabar gembira wahai Umm
al-‘Ala, kerana sesungguhnya sakit seseorang muslim itu, Allah akan
menghilangkan dengannya kesalahan-kesalahannya, sepertimana api menghilangkan
kotoran emas dan perak.” (HR Abu Daud. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih al-Targhib)
Termasuk dari adab yang perlu
diperhatikan ketika menziarahi pesakit ialah memilih waktu yang sesuai. Hal ini
kerana tujuan disyariatkan menziarahi pesakit ialah untuk mendatangkan
kegembiraan dan menyenangkan hati pesakit, bukan untuk mendatangkan kesukaran
dan kesempitan dari mereka. Demikian juga jangan memanjangkan masa bersama
dengannya melainkan jika sipesakit sendiri yang menghendakinya.
3.
Bagi orang yang
menziarahi pesakit dianjurkan dia berada berhampiran dengan kepala pesakit. Di
dalam al-Adab al-Mufrad, daripada Ibn ’Abbas RA yang berkata: ”Dahulunya
Rasulullah SAW apabila menziarahi orang sakit, baginda akan duduk berhampiran
kepalanya, kemudian baginda mengucapkan sebanyak tujuh kali:
أَسْأَلُ اللهَ الْعَظِيْمَ،
رَبَّ الْعَرْشِ الْعَظِيْم أَنْ يَشْفِيَكَ
Mafhumnya: “Daku memohon kepada
Allah Yang Maha Agung, Tuhan kepada ‘Arasyh yang agung, untuk Dia
menyembuhkanmu.” (al-Adab al-Mufrad. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam
Sahih al-Adab al-Mufrad)
4.
Termasuk di
dalam sunnah meletakkan tangan di atas tubuh orang yang sakit ketika hendak
berdoa untuknya. Di dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim diriwayatkan ketika Nabi
SAW menziarahi Sa’ad bin Abi Waqqas RA, baginda meletakkan tangan baginda dahi
Sa’ad, kemudian baginda menyapu tangan baginda ke muka dan perut Sa’ad sambil
membaca:
اللّهُمَّ اشْفِ سَعْدًا
Mafhumnya: “Ya
Allah, sembuhkanlah Sa’ad” (al-Bukhari dan Muslim)
5.
Orang yang
menziarahi pesakit juga dianjurkan berdoa dengan ikhlas kepada pesakit dan
jangan memperkatakan sesuatu melainkan perkara-perkara yang baik sahaja.
Daripada Umm Salamah RA yang berkata: ”Baginda Rasulullah SAW bersabda:
”Apabila kamu semua menziarahi orang sakit atau orang yang meninggal dunia,
maka ucapkanlah perkara-perkara yang baik. Kerana sesungguhnya para Malaikat
akan mengaminkan apa yang kamu semua katakan.” (HR Muslim)
Kita dibernarkan untuk memilih
sebarang bentuk doa, dan yang terbaik ialah doa yang datang dari Nabi SAW.
6.
Daripada ’Aisyah
RA yang berkata: ”Dahulunya Nabi SAW, jika ada seseorang ditimpa sakit atau
terluka, baginda akan melakukan begini – lalu Sufian (periwayat hadis)
meletakkan jari telunjuk beliau ke tanah, kemudian mengangkatnya – dan membaca:
بِسْمِ اللهِ تُرْبَةُ أَرْضِنَا،
بِرِيْقَةِ بَعْضِنَا، يُشْفَى سَقِيْمُنَا، بِإِذْنِ رَبِّنَا
Mafhumnya: “Dengan
nama Allah, ini sebahagian dari tanah bumi kami, dengan sedikit air liur kami, (semoga)
diberi kesembuhan kepada orang yang sakit di kalangan kami dengan izin tuhan
kami.” (HR al-Bukhari dan Muslim)
al-Imam
al-Nawawi ketika menyarahkan hadis ini berkata:
ومعنى الحديث أن يأخذ من ريق نفسه على أصبعه
السبابة ، ثم يضعها على التراب ليتعلق بها شيء منه ، فيمسح به على الموضع العليل
أو الجريح ، ويقول هذا الكلام في حال المسح
Maksudnya: “Hadis
ini bermaksud baginda mengambil sedikit air liur baginda dengan jari telunjuk,
kemudian meletakkannya ke atas tanah agar tanah melekat sedikit pada jari
telunjuk itu, seterusnya menyapukannya ke tempat sakit atau luka, baginda
membaca perkataan tersebut ketika melakukan sapuan.”
Pernah juga
ditanya kepada al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaiman RH: “Di dalam
fatwa, tuan ada menyatakan mengambil berkat dengan air liur selain dari Nabi
SAW adalah haram dan termasuk di dalam syirik, kecuali jampi dengan ayat
al-Quran. Perkara ini menimbulkan tanda-tanya kerana terdapat di dalam Sahih
al-Bukhari dan Muslim hadis dari ‘Aisyah RA, yang menceritakan bahawa Nabi SAW
pernah menyebut di dalam jampi baginda: “Dengan nama Allah, ini sebahagian dari
tanah bumi kami, dengan sedikit air liur kami, (semoga) diberi kesembuhan
kepada orang yang sakit di kalangan kami dengan izin tuhan kami.” Kami
mengharapkan dari yang berbahagian tuan untuk memberi penjelasan.”
Jawapan
al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin:
ذكر بعض العلماء أن هذا مخصوص برسول الله صلى الله
عليه وسلم وبأرض المدينة فقط وعلى هذا فلا إشكال. ولكن رأي
الجمهور أن هذا ليس خاصّاً برسول الله صلى الله عليه وسلم ولا بأرض المدينة بل هو
عام في كل راقٍ وفي كل أرضٍ، ولكنه ليس من باب التبرك بالريق المجرد بل هو ريق
مصحوب برقية وتربة للاستشفاء وليس لمجرد التبرك.وجوابنا في الفتوى السابقة هو التبرك المحض بالريق
وعليه فلا إشكال لاختلاف الصورتين.
Maksudnya: “Sebahagian
ulama menyebut hadis ini khusus untuk Rasulullah SAW dan khusus untuk tanah
Madinah sahaja, jika berdasarkan pendapat ini maka tidak timbul masalah. Akan
tetapi kebanyakan ulama berpandangan hadis ini tidak dikhususkan untuk
Rasulullah SAW dan bukan juga khusus untuk tanah Madinah sahaja, bahkan ia umum
untuk semua air liur dan semua tanah, akan tetapi ia tidak termasuk mengambil
berkat hanya dengan air liur, sebaliknya dengan air liur beserta dengan jampi dan tanah untuk memohon kesembuhan,
bukan semata-mata mengambil berkata. Jawapan kami dalam fatwa yang lalu
iaitulah tentang mengambil berkat semata-mata dengan air liur tidak menimbulkan
masalah kerana berbeza keadaan.” (Majmuk Fatawa wa Rasail al-Syeikh
Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin, Jilid pertama)
0 comments:
Post a Comment