Tuesday, October 23, 2012

Adab dan Zikir memasuki tandas

1.      Disunatkan sebelum masuk ke dalam tandas untuk membaca:

بِسْمِ اللهِ، اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَعُوْذُ بِكَ مِنَ اْلخُبُثِ وَاْلخَبَائِثِ
Mafhumnya: “Dengan nama Allah, Ya Allah sesungguhnya daku berlindung denganMu dari syaitan jantan dan betina.” (al-Bukhari dan Muslim dari Anas bin Malik tanpa ada bacaan بِسْمِ اللهِ di awal)

Tambahan lafaz بسم الله di awal bacaan sebelum memasuki tandas terdapat di dalam sebagian riwayat hadis lain. Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani RH berkata: “al-‘Umari telah meriwayatkan hadis ini dari jalan ‘Abd al-‘Aziz bin al-Mukhtar, daripada ‘Abd al-‘Aziz bin Suhaib dengan lafaz perintah:

إذا دخلتم الخلاء فقولوا:

Mafhumnya: “Apabila kamu memasuki tandas, maka bacalah:

بِسْمِ اللهِ، اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَعُوْذُ بِكَ مِنَ اْلخُبُثِ وَاْلخَبَائِثِ

Seterusnya al-Hafiz berkata: “Isnad hadis ini berdasarkan syarat Muslim.” (Fath al-Bari 1/244)

Riwayat ini juga disokong dengan hadis riwayat Ibn Majah dan selainnya dari ‘Ali RA secara Marfu’:

سِتْرُ مَا بَيْنَ اْلجِنِّ وَعَوْرَاتِ بَنِيْ آدَم إِذَا دَخَلَ الْخَلَاءَ أَنْ يَقُوْلَ: بِسْمِ اللهِ

Mafhumnya: “Pelindung antara jin dan aurat anak Adam apabila masuk ke dalam tandas, ialah dengan dia membaca; بِسْمِ اللهِ.” (Ibn Majah. Kata al-Syeikh ‘Abd al-Razak bin ‘Abd al-Muhsin al-Badr: Hadis ini Sahih dengan himpunan jalan-jalannya. Lihat juga Irwa’ al-Ghalil oleh al-Albani)

2.      Menjauhi dari pandangan orang lain. (Abu Daud. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih Abi Daud)

3.      Tidak menyingkap pakaian, melainkan setelah menghampiri tanah. (Abu Daud. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam al-Silsilah)

4.      Berselindung dari pandangan orang ramai. (Muslim)

5.      Menjauhi buang air dari laluan orang ramai. (Muslim)

6.      Tidak menghadap atau membelakangi Kiblat dan tidak mensucikan najis dengan tangan kanan. Demikian juga, jika beristinjak, tidak mengurangkan bilangan sapuan istinjak kurang dari tiga kali dan tidak beristinjak menggunakan najis kering dan tulang. (Muslim dan lain-lain)

7.      Berjaga-jaga dari terkena percikan najis samada pada pakaian atau tubuh badan. (al-Bukhari dan Muslim)

8.      Tidak berkata-kata ketika membuang air, demikian juga tidak menyibukkan diri dengan zikir dan doa. Hal ini demikian kerana Nabi SAW tidak menjawab salam yang diberikan kepada beliau ketika membuang air, sedangkan salam adalah termasuk di dalam zikir dan doa.

9.      Adapun bacaan ketika keluar dari tandas, berdasarkan hadis dari ’Aisyah RA yang berkata: ”Adalah Nabi SAW, apabila keluar dari tandas baginda membaca:
غُفْرَانَكَ
Mafhumnya: “KeampunanMu.”[1]


[1] Dikatakan permohonan ampun ketika keluar dari tandas kerana bimbang terkurang dalam bersyukur kepada Allah di atas nikmat yang dikurniakan terdiri dari kurniakan makanan, penghadaman seterusnya memudahkan pembuangan najis.

0 comments: