1.
Dari Abu
Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:
لَا صَلَاةَ
لِمَنْ لَا وُضُوْءَ لَهُ، وَلَا وُضُوْءَ لِمَنْ لَمْ يَذْكُرِ اسْمَ اللهِ عَلَيْهِ
Mafhumnya: ”Tiada solat bagi
orang yang tidak berwudhu, dan tiada wudhu bagi orang yang tidak membaca
bismillah.” (Ahmad, Abu Daud dan Ibn Majah. Dinilai Hasan oleh al-Albani di
dalam al-Irwa’)
Ulama berbeza
pandangan tentang hukum membaca basmalah sebelum berwudhu. Jumhur (kebanyakan)
ulama berpendapat hukumnya Sunat. Manakala sebahagian yang lain berpandangan
hukumnya Wajib, jika seseorang itu ingat untuk membacanya dan tahu akan kedudukan
bacaan basmalah ini. Sekiranya ia jahil akan hukumnya atau terlupa untuk
membacanya, ia tidak perlu untuk mengulangi wudhunya. (Fiqh al-Ad’iyyah wa
al-Azkar oleh ’Abd al-Razzak bin ’Abd al-Muhsin al-Badr).
Perlu diperhatikan juga bahawa
tidak ada sebarang doa khusus ketika membasuh setiap angota wudhu. Al-Imam Ibn
Qayyim al-Jauziyyah berkata:
Maksudnya: ”Adapun zikir-zikir
yang dibaca oleh orang ramai ketika membasuh setiap anggota wudhu, maka ia
tidak ada asal-usulnya dari Rasulullah SAW, tidak juga dari salah seorang para
Sahabat, al-Tabi’ien dan para imam Mazhab yang empat. Tentangnya ada satu hadis
yang didustakan atas Nabi Rasulullah SAW.” (al-Wabil al-Sayyib,
hal: 316)
2.
Selesai wudhu
disunatkan membaca doa berdasarkan riwayat dari ’Uqbah bin ’Amir yang berkata:
Mafhumnya: ”Dahulu aku ada
giliran menjaga unta, apabila datang giliranku, aku mengembalikan unta-unta
tersebut ke kandangnya pada akhir siang (waktu petang). Setelah itu aku
pergi kepada Nabi SAW, dan aku mendapati baginda sedang berdiri berbicara kepada
orang ramai, lalu aku mendapati baginda bersabda: Tiada seorang muslim yang
berwudhu dan memperelokkan wudhunya, kemudian berdiri dan menunaikan solat
sunat dua rakaat dengan dihadirkan jantung hati dan wajahnya, melainkan akan
dimasukkannya ke dalam syurga. Kata ’Uqbah: lalu aku berkata: Alangkah baik
(hebat) perkara ini. Tiba-tiba seseorang di hadapanku berkata: Yang sebelumnya
adalah lebih baik (hebat). Lalu aku melihat orang itu, rupanya beliau adalah
’Umar RA, lalu ’Umar berkata: Sesungguhnya aku melihat ketika engkau datang
sebentar tadi, sebelum itu (sebelum kehadiranmu), baginda bersabda: Tiada
seorang dari kalanganmu yang berwudhu, dan memperelokkan wudhunya, kemudian
membaca:
أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا الله، وَأَنَّ مُحَمّدًا عَبْدُ
اللهِ وَرَسُوْلُهُ
Melainkan dibuka untuknya kelapan-lapan pintu Syurga, dia
boleh memasukinya dari mana-mana pintu yang dia mahu.” (Muslim)
Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi terdapat
tambahan selepas mengucapkan dua kalimah Syadah di atas dengan membaca:
اَللَّهُمَّ اجْعَلْنِيْ مِنَ التَّوَّابِيْنَ،
وَاجْعَلْنِيْ مِنَ الْمُتَطَهِّرِيْنَ
Mafhumnya: “Ya Allah, jadikan daku dari kalangan
orang-orang yang bertaubat, dan jadikan daku dari kalangan orang-orang yang
mensucikan diri.” (al-Tirmizi. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih
al-Tirmizi)
Selain itu boleh juga dibaca doa yang diriwayatkan dari Abu
Sa’id al-Khudri RA yang berkata, Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang berwudhu,
selepas itu membaca:
سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ، لَا إِلَهَ
إِلَّا أَنْتَ، أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوْبُ إِلَيْكَ
Mafhumnya: “Maha Suci Engkau Ya Allah dan
dengan segala untukMu, tidak ada tuhan melainkan Allah, daku memohon keampunan
dariMu dan daku bertaubat kepadaMU.” Dicatit di atas cengkerang kemudian dicop
(tidak dibuka sehingga hari kiamat). (al-Mustadrak. Dinilai Sahih oleh
al-Albani di dalam al-Silsilah)
0 comments:
Post a Comment