Thursday, September 27, 2012

Hukum Sedekah Daging Korban

Soalan:

Assalamualaikum,
Kemusykilan saya ialah berkaitan agihan daging korban. Taman perumahan tempat tinggal saya tidak ada fakir miskin. Saya mencadangkan supaya daging dihantar ke kampung-kampung berhampiran yang diketahui ada fakir miskin tetapi imam di surau kami mengatakan tidak perlu kerana memadai diagihkan kepada penduduk taman kami sahaja. Adakah sah ibadat korban sekiranya tiada diperuntukkan untuk fakir miskin? Terima kasih


Jawapan:

Mazhab Syafie dan Hambali berpandangan sebahagian dari daging korban WAJIB disedekahkan. Inilah juga pandangan yang dipilih oleh al-Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani, beliau berkata:

وأما الصدقة منها فالصحيح أنه يجب التصدق من الأضحية بما يقع عليه الاسم، والأكمل أن يتصدق بمعظمها.

Maksudnya: “Adapun sedekah dari daging korban, maka pandangan yang sahih adalah WAJIB mengeluarkannya sebanyak mana ia dikira sebagai satu sedekah, dan yang lebih sempurna ialah bersedekah kebanyakannya.” (Lihat Fath al-Bari)
Antara dalil mereka iaitulah arahan dari Nabi:

فَكُلُوْا وَادَّخِرُوْا وَتَصَدَّقُوْا

Mafhumnya: “Makan, simpan dan bersedekahlah (dari daging korbab tersebut).” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Al-Imam al-Nawawi dari mazhab al-Syafie ketika mensyarahkan hadis ini berkata:

هذا تصريح بزوال النهي عن ادخارها فوق ثلاث، وفيه الأمر بالصدقة منها والأمر بالأكل، فأما الصدقة منها إذا كانت أضحية تطوع، فواجبة على الصحيح عند أصحابنا بما يقع عليه الاسم منها، ويستحب أن تكون بمعظمها، قالوا: وأدنى الكمال أن يأكل الثلث ويتصدق بالثلث ويهدي الثلث

Maksudnya: “Hadis ini menjadi satu penjelasan akan gugurnya larangan menyimpan daging korban lebih dari 3 hari, di dalamnya juga terdapat arahan bersedekah sebahagian dari daging korban tersebut, demikian juga arahan agar memakan sebahagiannya, adapun berkaitan sedekah sebahagian dari daging korban itu jika ia merupakan korban  yang sunat, maka hukumnya wajib berdasarkan pandangan Sahih di sisi Ashab dalam kadar dinamakan sedekah, disunatkan juga kebanyakan daging itu dijadikan sedekah. Mereka juga berkata: sekurang-kurang kesempurnaan ialah dengan dijadikan daging korban itu 1/3 untuk dimakan, 1/3 untuk disedekah dan 1/3 lagi untuk dihadiahkan...” 

Al-Imam al-Nawawi juga berkata di dalam kitabnya al-Majmuk Syarh al-Muhazzab:
وهل يشترط التصدق منها بشيء أم يجوز أكلها جميعا، فيه وجهان مشهوران ذكرهما المصنف بدليلهما، أحدهما: يجوز أكل الجميع، قاله ابن سريج وابن القاص والإصطخري وابن الوكيل، وحكاه ابن القاص عن نص الشافعي، قالوا: وإذا أكل الجميع ففائدة الأضحية حصول الثواب بإراقة الدم بنية القربة. والقول الثاني وهو قول جمهور أصحابنا المتقدمين وهو الأصح عند جماهير  المصنفين، ومنهم المصنف في التنبيه يجب التصدق بشيء يطلق عليه الاسم، لأن المقصود إرفاق المساكين، فعلى هذا إن أكل الجميع لزمه الضمان، وفي الضمان خلاف (المذهب) منه أن يضمن ما ينطلق عليه الاسم.
Maksudnya: “Apakah disyaratkan bersedekah sebahagian dari daging korban atau boleh dimakan keseluruhannya, dalam masalah ini ada dua wajah yang masyhur, disebut oleh penulis beserta dalil kedua-dua pandangan tersebut. Salah satunya: Harus makan kesemuanya, inilah pandangan Ibn Suraij (ابن سريج), Ibn al-Qash (ابن القاص), al-Ishtokhriy (الإصطخري), dan Ibn al-Wakil (ابن الوكيل), Ibn al-Qash juga menyebut nas al-Syafie, kata mereka: Jika dimakan semua daging korban, maka faedah korban memperolehi pahala menumpahkan darah dengan niat mendekatkan diri kepada Allah. Manakala pandangan kedua iaitulah pandangan kebanyakan Ashab kami al-Mutaqaddimin, dan ianya adalah pandangan yang Asah di sisi keseluruhan al-Musannif, termasuk mereka itu penulis kitab ini di dalam al-Tanbih, dimana WAJIB bersedekah dari daging korban dalam kadar yang wajar sebagai sedekah, ini kerana tujuan korban itu adalah bersikap belas kasihan kepada orang miskin, oleh yang demikian jika dimakan keseluruhan daging korban, maka wajib diganti, dalam persoalan ganti ini ada perbezaan pandangan, salah satunya diganti dengan sesuatu (sejumlah daging) yang boleh dinamakan sebagai sedekah.”

Pandangan ini berbeza dengan mazhab Hanafi dan Maliki yang berpandangan sedekah daging korban itu adalah sunat.

JALAN PENYELESAIAN:

Kami mencadangkan agar persoalan seumpama ini, diselesaikan dengan diadakan perbincangan sesama ahli jemaah. Ia sama sekali tidak boleh menjadi sebab wujudnya suasana yang tidak harmoni sesama ahli jemaah. Tuan bersama jemaah surau dianjurkan memanggil mana-mana ahli agama yang berautoriti untuk memberi penjelasan dalam persoalan ini. Mana-mana pandangan yang dipilih maka semua ahli jemaah wajib menghormatinya, dan sebarang pintu yang boleh membawa kepada perpecahan hendaklah ditutup serapat-rapatnya selepas dari itu.

Wallahu a’lam.

0 comments: