Soalan:
Assalamualaikum
ustaz saya ingin bertanya apakah hukum mengerakkan jari telunjuk saat tasyahud
awal dan akhir adakah ia dari Rasulullah saw kerana ada sesetengah pendapat
mengatakan ia bukan dari nabi saw ingin ustaz jelaskan dengan lebih lanjut.
Jawapan:
Keempat-empat Mazhab
bersepakat adanya isyarat dengan jari telunjuk ketika bertasyahhdud di dalam
solat dan hukumnya adalah Sunat disebabkan ada petunjuk dari beberapa
hadis yang Sahih. Cumanya mereka berbeza pandangan bilakah isyarat itu
dilakukan dan apakah isyarat beserta dengan gerakan ataupun tidak. Secara
ringkas pandangan mazhab adalah seperti berikut:
Mazhab Hanafi: Isyarat dilakukan
ketika ungkapan Penafian, iaitulah ketika ungkapan لَا إِلَهَ,
dan diletakkan jari telunjuk ketika ungkapan Ithbat, iaitulah إِلَّا الله.
(Ibn ‘Abidin di dalam Hasyiahnya)
Mazhab Maliki: Isyarat beserta
gerakan ke kiri dan ke kanan secara berterusan. (Lihat Mawahib al-Jalil fi
Syarh Mukhtasar Khalil)
Mazhab Syafie: Isyarat ketika
kalimah Ithbat iaitulah إِلّا الله,
terus diangkat jari telunjuk sehingga salam tanpa digerakkan. (Lihat Mughniy
al-Muhtaj)
Mazhab Hambali: Isyarat ketika
menyebut Nama Allah. (al-Mardawi di dalam al-Insaf)
Namun begitu al-Syeikh Muhammad Nasiruddin
al-Albani RH menyebut: “Penetapan-penetapan dan kaifiat-kaifiat ini tidak
ada asas di dalam Sunnah. Dan yang lebih hampir kepada kebenaran (dalam
permasalahan ini) ialah Mazhab Hambali, sekiranya mereka tidak mengaitkan
gerakan ketika menyebut nama Allah sahaja.” (Lihat Tamam al-Minnah)
Dalil dalam adanya gerakan jari telunjuk ketika
al-Tasyahhud antaranya:
1. Daripada Abdullah
bin Zubair katanya:
ووضع يده اليسرى
على ركبته اليسرى ووضع يده اليمنى على فخذه اليمنى وأشار بإصبعه
Mafhumnya: “(Di dalam al-Tasyahhud) Baginda
meletakkan tangan kiri ke atas lutut kiri dan tangan kanan ke atas peha kanan,
baginda membuat isyarat dengan jari (telunjuk) baginda.” (HR Muslim)
2. Daripada Wail bin
Hujr pula katanya:
ثم قعد وافترش
رجله اليسرى ووضع كفه اليسرى على فخذه وركبته اليسرى وجعل حد مرفقه الأيمن على
فخذه اليمنى ثم قبض اثنتين من أصابعه وحلق حلقة ثم رفع إصبعه فرأيته يحركها يدعو
بها
Mafhumnya: “Kemudian baginda duduk (untuk
bertasyahhud) dengan membentangkan kaki kiri, dan meletakkan tapak tangan kiri
di atas peha dan lutut kiri, baginda menjadikan siku kanan baginda di bahagian
atas peha kanan, kemudian baginda menggenggam dua, membuat bulatan (dengan jari
telunjuk dengan Ibu jari), kemudian baginda mengangkat jari, daku melihat
baginda menggerak-gerakkannya, baginda berdoa denganya.” (HR al-Nasaie. Dinilai soleh oleh Ibn
Khuzaimah, Ibn Hibban, dan al-Albani di dalam Irwa’ al-Ghaliil)
Wallahu a’lam.
0 comments:
Post a Comment