SOALAN:
Assalamualaikum saya ingin bertanya kepada ustaz apakah maksud hadis nabi tentang kita dilarang untuk memuji baginda berlebihan seperti orang Nasrani berlebihan dalm memuji nabi isa as. Bolehkah ustaz jelaskan pada saya dengan lebih lanjut tentang hadis ini. Terima kasih
JAWAPAN:
Sememangnya terdapat hadis Nabi SAW yang melarang memuji baginda berlebih-lebihan. Antaranya yang masyhur ialah hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari RH di dalam Sahihnya, daripada Ibn ‘Abbas yang berkata beliau pernah mendengar ‘Umar RA berkata di atas mimbar: Saya pernah mendengar Nabi SAW bersabda:
لَا تُطْرُونِي كَمَا أَطْرَتْ النَّصَارَى ابْنَ مَرْيَمَ فَإِنَّمَا أَنَا عَبْدُهُ فَقُولُوا عَبْدُ اللَّهِ وَرَسُولُهُ
Mafhumnya: “Jangan kamu semua berlebih-lebihan memujiku, seperti yang dilakukan oleh orang-orang Nasara (Kristian) terhadap Ibn Maryam (Nabi ‘Isa AS), sebaliknya saya hanyalah hambaNya. Maka kamu sebutlah (kepada Saya) Hamba Allah dan RasulNya.”
Perkataan تُطْرُوْنِيْ adalah الإِطْرَاءُ bermaksud berlebihan dalam memuji sehingga sampai ke tahap tidak sepatutnya. Perkataan Arab فلان أَطْرَى فلانا iaitulah memuji seseorang dalam bentuk melampau dan berlebihan dari sepatut yang diterimanya. Oleh yang demikian Nabi SAW melarang umatnya memuji baginda dalam bentuk berlebihan melampaui dari batas yang diizinkan oleh Allah SWT untuk baginda. Termasuk dalam berlebihan memuji Nabi SAW adalah berlebihan meletakkan baginda di tempat yang tidak selayakkan seperti menganggap baginda mengetahui perkara ghaib, baginda memperkenankan doa, menghilangkan kesusahan, menolong orang yang meminta pertolongan, mengetahui perkara yang diketahui oleh Allah, dapat memasukkan sesiapa sahaja ke dalam syurga atau neraka dan seumpamanya.
Sebaliknya umat Islam disuruh untuk berinteraksi dengan Nabi SAW dalam ruang baginda sebagai HAMBA dan UTUSAN Allah SWT. Oleh yang demikian sesiapa yang mengasihi dan mencintai Nabi Muhammad SAW, maka hendaklah dia meletakkan baginda pada kedudukan utusan Allah (rasulullah) dengan mengikut dan berpegang teguh dengan Sunnah baginda SAW. Allah SWT berfirman:
قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ
Mafhumnya: “Katakanlah sekiranya kamu mencintai Allah, maka hendaklah kamu semua mengingatiku (Nabi Muhammad SAW).” (Ali ‘Imran: 31). Dalam masa yang sama menjauhi dari melampau-lampau atau berlebihan dalam memuji baginda kerana baginda adalah seorang Hamba kepada Allah SWT. Tidak boleh meletakkan baginda ditempat yang tidak dibenarkan seperti beranggapan baginda merupakan sebab diciptakan alam semesta, kononnya Nur baginda merupakan asal-usul penciptaan kesemua makhluk termasuk Nabi Adam AS, para Malaikat dan alam keseluruhannya. Semua ini termasuk di dalam الإِطْرَاءُ iaitu berlebih dan melampau-lampau dalam memuji dan memuliakan Nabi Muhammad SAW.
Wallahu a’lam.
0 comments:
Post a Comment