Sunday, December 4, 2011

Hukum Demonstrasi: Majlis Fatwa Jordan


HUKUM DEMOSTRASI
Penterjemah: Mohamad Abdul Kadir bin Sahak (binsahak)
Majlis Fatwa, Penyelidikan dan Kajian Islam, Jordan.
Keputusan bilangan (164)(2/2011)
Tarikh (5/4/1432H) bersamaan (10/3/2011M)

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam, Selawat dan Salam ke atas penghulu kami Nabi Muhammad, ahli keluarga dan para sahabat baginda, wa ba’d:

Majlis Fatwa, Penyelidikan dan Kajian Islam dalam pertemuan ke lima (5) yang diadakan pada hari Khamis 5/4/1432H bersamaan 10/3/2011M, menegaskan akan kewajipan beriltizam dengan syariat Allah, menyeru bersama memerangi kerosakan, keperluan mencari penyelesaian dengan berdailog dan berusaha kepada pembaikan yang menyeluruh dalam berbagai lapangan kehidupan, sebagai merealisasikan firman Allah AWJ:

Mafhumnya: aku tidak bermaksud kecuali (mendatangkan) perbaikan selama aku masih berkesanggupan. dan tidak ada taufik bagiku melainkan dengan (pertolongan) Allah. hanya kepada Allah aku bertawakkal dan hanya kepada-Nya-lah aku kembali. (Hud: 88)

Demikian juga menegaskan keperluan berdakwa kepada Allah dengan hikmah dan pengajaran yang baik.

Sebagai menjawab beberapa persoalan yang dikemukakan kepada Jabatan Fatwa Umum (دائرة الإفتاء العام) berkaitan hukum agama tentang beberapa demostrasi, berpicket dan selainnya yang berlaku kebelakangan ini.

Melihat kepada kepelbagaian dan beragam jenis picket dan demonstrasi yang diadakan, berbagai slogan yang dilaungkan, demikian juga berbagai motif, berbagai bendera yang dikibarkan dan akibat serta keputusan yang akan berlaku, maka Majlis Fatwa akan meletakkan himpunan garis-garis ketetapan sebagai panduan yang digali dari pemerhatian kepada matlamat-matlamat pensyariatan dan ciri-ciri kesejagatan agama Islam (مقاصد الشريعة الإسلامية وكلياتها). Garis-garis ketetapan tersebut adalah seperti berikut:

Pertama: Bahawa tiada lagi cara lain untuk menyatakan pandangan yang dapat digunakan, seperti dialog harmoni dan nasihat-menasihati antara pemimpin masyarakat dan pembuat-pembuat dasar.

Kedua: Hendaklah tidak membawa kepada penumpahan darah, kehilangan nyawa dan serangan jiwa.

Ketiga: Tidak menyebabkan mudharat yang lebih besar berbanding manfaat yang diharapkan darinya.

Keempat: Tidak berlaku di dalamnya atau tidak berlaku juga dari penganjurannya pengabaian terhadap kebaikan Negara dan penghuninya.

Kelima: Tidak ada di dalamnya serangan terhadap pusat dan institusi yang memiliki kepentingan umum dan khas.

Keenam: Tidak dieksploitasi oleh pihak-pihak yang memiliki matlamat-matlamat lain yang boleh membawa kepada berlakunya kekacauan di dalam masyarakat.

Ketujuh: Tidak membawa kepada terbitnya hasutan fitnah dikalangan anggota masyarakat yang satu, menggugat keamanan Negara, mencetuskan keganasan serta persengketaan kaum dan bangsa dan menjadikan terpecahnya Negara Islam.

Kelapan: Tidak berlaku di dalamnya perkara yang menyalagi syarak seperti percampuran lelaki dan perempuan yang tidak diizinkan dan seumpamanya.

Kesembilan: Tidak membawa kepada timbulnya perasaan takut dari orang ramai, disebabkan berlaku serangan kepada harta-benda, rumah dan kenderaan mereka, berleluasanya kecurian dan pencerobohan kehormatan rumah dan keluarga mereka.

Majlis Fatwa meletakkan garis-garis ketetapan syarak ini bertujuan menyeru ulama umat Islam melalui persidangan mereka untuk memberi bimbingan dan pembaikan, dan agar mereka memikirkan di dalam minda mereka kebaikan yang tertinggi untuk umat dan Negara Islam, sambil memohon kepada Tuhan Maha Pelindung AWJ agar memelihara Negara kita dalam keadaan aman dan tenteram, menjauhkannya dari fitnah yang zahir dan tersembunyi demikian juga untuk semua Negara umat Islam, sesungguhnya Dia adalah sebaik-baik Pemberi Perlindungan dan sebaik-baik Pemberi Bantuan. -Tamat Terjemahan fatwa dari bin sahak -

0 comments: