Risalah Sujud al-Sahwi
Oleh: al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin
Terjemahan dan susunan semula: Ustaz Mohamad Abdul Kadir bin Sahak
Sujud Sahwi adalah dua kali sujud yang dilakukan bertujuan menampung kekurangan yang berlaku di dalam solat disebabkan terlupa. Terdapat tiga sebab seseorang dituntut melakukan Sujud Sahwi.
PERTAMA: Berlaku Penambahan
Jika seseorang menambah di dalam solatnya sesuatu dari perbuatan berdiri, duduk, rukuk atau sujud dengan sengaja, maka solatnya dikira terbatal. Jika perkara ini berlaku disebabkan terlupa, dan terlupa ini berterusan sehingga selesai solat, maka orang sebegini hanya dituntut untuk melakukan Sujud Sahwi, dan solatnya dikira Sah. Jika pertambahan ini disedari ketika solat, wajib rujuk darinya dan wajib melakukan Sujud Sahwi.
CONTOH
1. Seseorang secara terlupa menunaikan solat Zohor sebanyak lima (5) Rakaat, lalu dia hanya tersedar ketika melakukan Tasyahhud Akhir, maka dia hendaklah menyempurnakan Tasyahhud tersebut, setelah itu memberi salam, kemudia melakukan Sujud Sahwi dan memberi salam sekali lagi.
Sekiranya dia tidak menyedarinya melainkan selepas selesai Solat, maka dia dituntut juga melakukan Sujud Sahwi setelah itu memberi salam.
Jika dia tersedar kesilapannya melakukan tambahan tersebut ketika dalam rakaat yang kelima, maka dia hendaklah terus duduk untuk bertasyahhud akhir (bertahiyyat akhir), kemudian memberi salam, setelah itu melakukan Sujud Sahwi dan memberi salam sekali lagi.
DALIL
Berdasarkan hadis ‘Abdullah bin Mas’ud RA yang berkata:
أن النبي صلى الله عليه وسلّم صلَّى الظهر خمساً، فقيل له: أزيد في الصلاة؟ فقال: «وما ذاك؟» قالوا: صليت خمساً، فسجد سجدتين بعدما سلَّم. وفي رواية: فثنى رجليه واستقبل القبلة فسجد سجدتين ثم سلَّم
Mafhumnya: “Bahawa Nabi SAW pernah melakukan solat Zohor sebanyak lima rakaat, lalu dikatakan kepada baginda: Apakah ada penambahan di dalam solat? lalu baginda bersabda: Apakah itu? Para sahabat berkata: Anda menunaikan solat Zohor sebanyak lima rakaat. Lalu baginda melakukan dua kali sujud setelah baginda tadinya memberi salam.” Di dalam riwayat lain dinyatakan: “Baginda membetulkan dua kaki untuk duduk, kemudian menghadap kiblat dan melakukan sujud dua kali, kemudian memberi salam.” (al-Bukhari dan Muslim dan juga al-Jamaah)
2. Memberi Salam sebelum sempurna Solat. perbuatan ini dikira melakukan penambahan di dalam solat kerana dia telah menambah satu salam lain dipertengahan solat. Sekiranya Salam ini ditambah dengan sengaja maka solat tersebut dikira terbatal. Jika dilakukan kerana terlupa, dan berterusan selepas solat sehingga satu tempoh yang panjang maka dia hendaklah mengulangi solat tersebut. Namun sekiranya dia tersedar atau teringat dalam tempoh masa yang dekat seperti dua minit atau tiga minit selepas memberi salam, maka hendaklah dia melakukan Sujud Sahwi, kemudian memberi Salam.
DALIL
Hadis daripada Abu Hurairah RA yang berkata:
أن النبي صلى الله عليه وسلّم صلَّى بهم الظهر أو العصر فسلَّم من ركعتين، فخرج السرعان من أبواب المسجد يقولون: قصرت الصلاة، وقام النبي صلى الله عليه وسلّم إلى خشبة في المسجد فاتكأ عليها كأنه غضبان، فقام رجل فقال: يا رسول الله، أنسيتَ أم قصرت الصلاة؟ فقال النبي صلى الله عليه وسلّم: «لم أنس ولم تقصر» فقال الرجل: بلى قد نسيت، فقال النبي صلى الله عليه وسلّم للصحابة: «أحق ما يقول؟» قالوا: نعم، فتقدم النبي صلى الله عليه وسلّم فصلَّى ما بقي من صلاته ثم سلَّم، ثم سجد سجدتين ثم سلَّم
Mafhumnya: “Bahawa Nabi SAW pernah menunaikan solat Zohor atau ‘Asar bersama para Sahabat, lalu baginda memberi salam ketika selesai dua rakaat. Lalu orang ramai keluar dengan segera dari pintu-pintu masjid sambil berkata: Solat telah dikurangkan. Lalu Nabi SAW berdiri dan pergi ke salah satu tiang kayu di dalam masjid bersandar kepadanya, seolah-olah baginda sedang marah. Lalu seorang lelaki bertanya kepada baginda: Wahai Rasulullah, apakah anda terlupa atau solat telah dikurangkan? Nabi SAW menjawab: Saya tidak terlupa dan solat juga tidak dikurangkan. Kata lelaki tersebut: Bahkan anda telah terlupa. Nabi SAW bertanya kepada para sahabat baginda: Apakah benar apa yang lelaki ini kata? Para sahabat menjawab: Ya. Lalu Nabi SAW bergerak ke hadapan, menunaikan (menyambung) solat dua rakaat lagi, kemudian memberi salam, setelah itu melakukan sujud dua kali kemudian memberi salam.” (al-Bukhari dan Muslim)
Jika seseorang imam memberi salam sebelum sempurna sesuatu solat kerana terlupa. Di belakangnya pula ada makmum yang masbuk, mereka hendaklah bangun dan menyempurnakannya. Setelah itu imam teringat atau tersedar, maka hendaklah dia bangun dan menyempurnakan solatnya. Bagi makmum masbuk yang telah bangun tadi, mereka diberi pilihan sama ada hendak terus menyempurnakan solat mereka, kemudian melakukan sujud Sahwi, atau hendak menuruti imam tadi, apabila imam memberi salam mereka bangun semula dan menyempurnakan solat mereka, setelah itu melakukan sujud Sahwi selepas salam. Inilah yang lebih utama dan lebih berhati-hati.
KEDUA: Berlaku Pengurangan
1. Pengurangan Rukun
Jika seseorang mengurangkan satu rukun dari rukun Solat, jika yang ditinggalkan itu Takbiratul Ihram sama ada secara sengaja atau terlupa, maka solat itu tidak Sah. Jika rukun yang tertinggal itu bukan Takbiratul Ihram, jika ditinggalkan dengan sengaja, maka solat itu juga dikira terbatal dan tidak sah. Namun jika tertinggal kerana terlupa, jika dia telah sampai ditempat rukun yang tertinggal itu pada rakaat yang kedua, maka rakaat pertama tadi tidak dikira, dan jadilah rakaat kedua itu rakaat yang pertama. Jika belum sampai di tempat rukun yang tertinggal itu, maka wajib dia pergi mengulangi rukun yang tertinggal itu dan mengulangi tertib berikutnya. Dalam kedua-dua keadaan ini, Sujud Sahwi wajib dilakukan selepas memberi Salam.
Contoh
Seseorang terlupa melakukan sujud kedua dalam rakaat pertama, lalu dia teringat perkara tersebut ketika sedang duduk antara dua sujud pada rakaat kedua, maka hendaklah dia abaikan (tidak mengira) rakaat pertama, dan hendaklah rakaat kedua itu dikira sebagai rakaat pertama, kemudian menyempurnakan solat sehingga habis dan melakukan Sujud Sahwi selepas memberi Salam.
2. Pengurangan Perkara Wajib
Jika seseorang meninggalkan perkara wajib solat secara sengaja maka solatnya dikira terbatal. Jika ditinggalkan kerana terlupa, kemudian teringat sebelum meninggalkan tempatnya, maka hendaklah melakukan perkara wajib tadi. Jika teringat selepas meninggalkan tempatnya dan sebelum sampai ke rukun berikutnya, hendaklah dia kembali melakukan perkara wajib yang tertinggal tadi, seterusnya menyempurnakan solat sehingga memberi salam, kemudian melakukan Sujud Sahwi dan memberi salam. Jika teringat setelah melalui rukun yang berikutnya, maka gugur kewajipan mengulangi perkara wajib solat yang tertinggal, sebaliknya terus menunaikan solat sehingga akhir dan melakukan Sujud Sahwi sebelum memberi salam.
CONTOH
Seseorang bangun dari sujud kedua pada rakaat kedua untuk menunaikan rakaat ketiga dalam keadaan terlupa untuk melakukan Tasyahhud Awal, kemudian teringat sebelum bangun berdiri, maka hendaklah dia terus duduk untuk bertasyahhud awal, kemudian menyempurnakan solatnya, dia tidak perlu melakukan apa-apa.
Sekiranya teringat setelah bangun berdiri, namun belum sempurna berdiri, hendaklah duduk semula untuk bertasyahhud awal, seterusnya menyempurnakan solat dan memberi salam, kemudian melakukan Sujud Sahwi dan memberi salam.
Sekiranya teringat setelah sempurna berdiri, maka gugurlah tasyahhud awal dan tidak perlu melakukannya, dia sempurnakan solat sehingga selesai, setelah itu melakukan Sujud Sahwi sebelum memberi salam.
DALIL
Daripada ‘Abdullah bin Buhainah RA yang berkata:
أن النبي صلى الله عليه وسلّم صلَّى بهم الظهر فقام في الركعتين الأوليين ولم يجلس (يعني للتشهد الأول) فقام الناس معه حتى إذا قضى الصلاة وانتظر الناس تسليمه كبَّر وهو جالس فسجد سجدتين قبل أن يسلِّم ثم سلَّم
Mafhumnya: “Bahawa Nabi SAW pernah menunaikan solat Zohor bersama mereka, lalu baginda bangun pada rakaat kedua tanpa melakukan Tasyahhud Awal, lalu orang ramai juga bangun bersama dengan baginda, sehingga selesai solat, orang ramai menunggu baginda memberi salam, sebaliknya baginda bertakbir ketika masih duduk dan sujud dua kali (Sujud Sahwi) sebelum baginda memberi salam, setelah itu baginda memberi salam.” (al-Bukhari dan Muslim)
KETIGA: Berlaku Syak
Syak ialah keraguan antara dua perkara, yang mana satu sebenarnya berlaku. Syak dan keraguan itu tidak perlu dihiraukan ketika melakukan ibadat pada tiga keadaan:
1. Jika hanya sekadar perasaan yang tidak benar langsung seperti bisikan was-was.
2. Jika sering berlaku kepada seseorang, dimana apabila dia hendak melakukan ibadat, pasti akan berlaku padanya syak.
3. Jika berlaku setelah selesai dari melakukan ibadah. Maka tidak perlu mengendahkan perasaan syak tersebut, selama mana tidak sampai ke tahap yakin.
CONTOH
Seseorang menunaikan solat Zohor, apabila selesai solat, timbul keraguan apakah dia menunaikan solat Zohor tersebut sebanyak tiga atau empat rakaat. Maka tidak perlu diendahkan perasaan syak ini, melainkan jika dia yakin sememangnya dia menunaikan solat sebanyak tiga rakaat. Maka dalam keadaan ini dia hendaklah menyempurnakan (menyambung) semula solatnya jika masih dalam tempoh yang tidak lama, kemudian memberi salam, setelah itu melakukan Sujud Sahwi dan memberi salam. Jika dia tidak teringat melainkan setelah berlalu tempoh yang lama, maka hendaklah diulangi solat itu dari mula.
Adapun syak atau keraguan yang berlaku pada selain dari tiga keadaan ini, maka ia ambil dikira.
Syak dan keraguan di dalam solat tidak terlepas dari dua keadaan:
1. Boleh melakukan tarjih antara dua perkara yang diragukan. Maka dia mengambil apa yang paling rajih di sisinya, kemudian menyempurnakan solat dan memberi salam, setelah itu melakukan Sujud Sahwi dan memberi salam.
CONTOH
Seseorang menunaikan solat Zohor, kemudian di dalam solat dia Syak, apakah dia telah menunaikan dua atau tiga rakaat, akan tetapi yang rajih di sisinya rakaat tersebut adalah rakaat ketiga, maka dia anggap rakaat itu rakaat ketiga, kemudian menyempurnakan satu rakaat lagi, setelah itu memberi salam, kemudian melakukan Sujud Sahwi dan memberi salam.
DALIL
Hadis daripada ‘Abdullah bin Mas’ud RA yang berkata:
أن النبي صلى الله عليه وسلّم قال: «إذا شكَّ أحدكم في صلاته فليتحرَّ الصواب فليتم عليه، ثم ليسلم، ثم يسجد سجدتين
Mafhumnya: “Bahawa Nabi SAW bersabda: Jika seseorang daripada kamu semua syak di dalam solatnya, maka hendaklah dia mencari sangkaan beratnya untuk memperolehi kebenaran, dan sempurnakan bakinya berdasarkan sangkaan berat itu, kemudian memberi salam, kemudian sujud dua kali (sebagai sujud Sahwi).” (al-Bukhari dan Muslim)
2. Tidak boleh ditarjih antara dua perkara yang diragukan (syak), maka ketika ini hendaklah diambil yang yakin iaitulah rakaat yang sedikit, dan disempurnakan solat berdasarkan yang yakin ini. setelah itu melakukan sujud Sahwi sebelum memberi salam, kemudiannya memberi salam.
CONTOH
Seseorang menunaikan solat ‘Asar, lalu ketika dalam salah satu rakaat dia syak, apakah rakaat tersebut rakaat kedua atau ketiga, tidak ada yang rajih di sisinya manakah rakaat yang sebenarnya sama ada rakaat kedua atau ketiga. Maka hendaklah dia memilih rakaat tersebut adalah rakaat kedua (kerana inilah yang yakin), kemudian melakukan tasyahhud awal, kemudian melaksanakan dua rakaat lagi, setelah itu melakukan sujud Sahwi kemudiannya memberi salam.
DALIL
Daripada Abu Sa’id al-Khudri katanya:
أن النبي صلى الله عليه وسلّم قال: «إذا شكَّ أحدكم في صلاته فلم يدرِ كم صلَّى ثلاثاً أم أربعاً؟ فليطرح الشك وليَبنِ على ما استيقن ثم يسجد سجدتين قبل أن يسلِّم، فإن كان صلَّى خمساً شفعن له صلاته، وإن كان صلَّى إتماماً لأربعٍ كانتا ترغيماً للشيطان
Mafhumnya: “Bahawa Nabi SAW pernah bersabda: Jika seseorang daripada kamu semua syak di dalam solatnya, dia tidak tahu berapa rakaat yang telah ditunaikannya, sama ada tiga rakaat atau empat rakaat? Maka buanglah yang syak, dan binalah rakaat itu berdasarkan yang yakin (rakaat yang sedikit), kemudian melakukan dua kali sujud (Sujud Sahwi) sebelum memberi salam, jika perbuatannya itu menjadikan dia solat lima rakaat, rakaat-rakaat itu ditampung dengan dua sujud, sekiranya dia sebenarnya menyempurnakan solat empat rakaat, maka dua sujud Sahwi itu berperanan menghinakan syaitan.” (Muslim)
CONTOH LAIN
Jika seseorang memasuki solat jemaah ketika imam rukuk, dia bertakbiratul Ihram dalam keadaan berdiri, kemudian rukuk, maka orang seperti ini tidak terlepas dari tiga keadaan:
1. Dia yakin dia memasuki solat ketika imam masih rukuk dan sebelum bangun. Maka dia mendapat rakaat tersebut dan gugur tuntutan darinya membaca surah al-Fatihah.
2. Dia yakin dia memasuki solat ketika imam telah bangun dari rukuk, maka dia terlepas dari memperolehi rakaat tersebut. Dan dia mesti menggantikannya.
3. Dia syak, apakah dia memasuki solat ketika imam masih rukuk atau imam telah bangun dari rukuknya. Jika ada yang rajih di sisinya, maka hendaklah dia memilih yang rajih tersebut, kemudian menyempurnakan solat dan memberi salam, setelah itu melakukan sujud Sahwi dan memberi salam sekali lagi. Melainkan jika tidak ada sesuatu yang dia terlepas dari solat, maka dia tidak perlu melakukan sujud sahwi ketika itu. Sekiranya tidak ada yang rajih di sisinya mana-mana dari dua perkara yang diraguinya, hendaklah dia ambil yang yakin, iaitulah dia tidak mendapat rakaat tersebut, kemudian menyempurnakan solat tersebut, kemudian melakukan sujud Sahwi sebelum memberi salam, setelah itu memberi salam.
BEBERAPA FAEDAH:
Jika berlaku syak di dalam solat, sama ada seseorang itu memilih yang yakin atau apa yang lebih rajih di sisinya seperti yang telah dijelaskan. Kemudian ternyata dia dapati apa yang dipilihnya itu bertepatan dengan keadaan sebenarnya, maka ketika itu tiada sebarang penambahan atau kekurangan. Gugur darinya sujud sahwi (tidak perlu dilakukan) berdasarkan pandangan masyhur di dalam Mazhab (Mazhab Hambali) disebabkan ketiadaan sebab perlu melakukan sujud sahwi iaitulah syak.
Dikatakan juga (pandangan lain yang bukan pandangan masyhur), sujud sahwi itu tidak gugur (perlu dilakukan juga), bertujuan menghinakan syaitan berdasarkan sabda Nabi SAW (bermaksud): “Jika sekiranya dia telah solat empat rakaat, maka sujud sahwi itu berperanan menghinakan syaitan.” Kerana syaitan yang telah mendatangkan satu bahagian yang syak di dalam solat ketika ia dilaksanakan, maka inilah pandangan yang rajih.
CONTOH
Seseorang menunaikan solat, lalu syak dalam salah satu rakaat apakah rakaat itu rakaat kedua atau rakaat ketiga? Namun tiada yang lebih rajih di sisinya, maka dia mengambil yang yakin iaitulah rakaat itu adalah rakaat yang kedua, kemudian dia menyempurnakan solatnya, setelah itu menjadi jelas kepadanya, sememangnya rakaat tersebut adalah rakaat yang kedua, maka berdasarkan mazhab yang masyhur ia tidak perlu melakukan sujud sahwi. Namun berdasarkan pandangan kedua dan pandangan ini yang lebih rajih di sisi kami (Syeikh Ibn ‘Uthaimin), dia hendaklah melakukan sujud sahwi sebelum salam.
SUJUD SAHWI UNTUK MAKMUM
Jika imam terlupa di dalam solat, maka wajib makmum menuruti imam melakukan sujud sahwi, berdasarkan sabda Nabi SAW:
إنما جُعِلَ الإمام ليؤتمَّ به، فلا تختلفوا عليه
Mafhumnya: “Dijadikan imam itu adalah untuk diikuti, maka jangan kamu semua bersalahan dengannya.” sehinggalah baginda bersabda:
وإذا سجد فاسجدوا
Mafhumnya: “dan apabila dia sujud maka kamu semua sujudlah.” (al-Bukhari dan Muslim, daripada Abu Hurairah RA)
Sama ada imam sujud sahwi sebelum atau selepas salam, maka wajib para makmum mengikutinya, melainkan bagi makmum yang masbuk. Dimana mereka tidak perlu mengikuti imam melakukan sujud sahwi selepas salam, kerana tidak memungkinkan mereka memberi salam terlebih dahulu sebelum sempurna rakaat yang terlepas. Oleh itu hendaklah mereka menunaikan rakaat yang terlepas dan memberi salam, kemudian melakukan sujud sahwi dan memberi salam.
CONTOH
Seseorang memasuki solat berjemaah pada rakaat terakhir, imam pula perlu melakukan sujud sahwi selepas salam. Maka apabila imam memberi salam, orang yang masbuk tadi hendaklah bangun untuk menunaikan rakaat yang terlepas bersama imam, dia tidak perlu sujud sahwi bersama imam. Apabila dia telah sempurnakan solatnya dan memberi salam, maka hendaklah dia lakukan sujud sahwi selepas memberi salam.
Jika seseorang makmum yang terlupa bukan imam, dan tiada sesuatu dari solat yang terluput (dia bukan masbuk), maka dia tidak perlu sujud. Ini kerana jika dia sujud menyebabkan dia bersalahan dengan imam dan berlaku kecacatan dalam mengikut imam. Tambahan pula para sahabat RA juga meninggalkan tasyahhud awal ketika Nabi terlupa melakukannya, dan mereka bangun bersama Nabi, mereka tidak duduk untuk melakukan tasyahhud awal tersebut kerana meraikan sifat solat jemaah perlu mengikuti imam dan tidak menyalahinya.
Sekiranya seseorang terluput sesuatu dari solat, dia terlupa ketika bersama dengan imam, atau dia terlupa ketika menunaikan rakaat yang terlepas bersama imam (dia masbuk), maka dia perlu melakukan sujud sahwi, maka hendaklah dilakukan sujud sahwi setelah selesai menyempurnakan rakaat solat yang terlepas bersama imam, dan sujud sahwi itu dilakukan sama ada sebelum atau selepas salam, seperti yang telah dijelaskan.
CONTOH
Seorang makmum terlupa membaca tasbih di dalam rukuk, dia tidak terluput sesuatu dari solatnya bersama imam (bukan masbuk), maka dia tidak perlu melakukan sujud sahwi. Sekiranya dia terlepas satu rakaat atau lebih bersama imam (dia masbuk), hendaklah dia menunaikan apa yang terlepas itu dan melakukan sujud sahwi sebelum memberi salam.
CONTOH LAIN
Seorang makmum menunaikan solat Zohor bersama dengan imam, apabila imam bangun untuk rakaat yang keempat, makmum tadi terus duduk kerana menyangka telah sampai rakaat terakhir, namun setelah dia dapati imam bangun, diapun bangun (setelah menyedari kesilapannya), jika dia bukan masbuk, maka dia tidak perlu melakukan sujud sahwi. Namun sekiranya dia masbuk dan ada satu rakaat atau lebih yang perlu ditunaikan lagi, hendaklah dia menunaikan rakaat tersebut kemudian memberi salam, kemudian melakukan sujud sahwi dan memberi salam. Sujud sahwi ini dilakukan kerana dia telah menambah perbuatan duduk ketika imam bangun untuk rakaat yang keempat.
KESIMPULAN
Ternyatakan bagi kita berdasarkan penjelasan ini, bahawa sujud sahwi kadang-kala dilakukan sebelum salam, kadang-kala pula dilakukan selepas salam. Sujud Sahwi dilakukan sebelum salam pada dua tempat:
1. Jika berlaku kekurangan berdasarkan hadis dari ‘Abdullah bin Buhainah RA, dimana Nabi SAW melakukan sujud sahwi sebelum memberi salam ketika baginda tertinggal tasyahhud awal seperti yang telah dijelaskan sebelum ini.
2. Jika berlaku syak yang tidak boleh dipilih yang rajih berdasarkan hadis dari Abu Sa’id al-Khudri RA, berkenaan orang yang syak di dalam solat, dia tidak tahu berapa rakaat yang telah dilakukannya sama ada tiga atau empat rakaat. Dimana baginda menyuruh orang seperti ini untuk melakukan sujud sahwi sebelum salam, seperti yang telah dijelaskan sebelum ini.
Kadang-kala pula sujud sahwi dilakukan selepas salam, iaitulah pada dua tempat:
1. Jika berlaku penambahan, berdasarkan hadis dari ‘Abdullah bin Mas’ud RA, dimana ketika Nabi SAW menunaikan solat Zohor sebanyak lima rakaat, lalu para sahabat mengingatkan baginda selepas daripada salam, lalu baginda sujud dua kali sebagai sujud sahwi kemudian baginda memberi salam, dan baginda juga tidak membuat penjelasan sujud baginda tersebut dilakukan selepas salam kerana baginda tidak menyedari penambahan tersebut melainkan setelah memberi salam, maka keadaan ini menunjukkan keumumam hukum, iaitulah sujud sahwi disebabkan penambahan dilakukan selepas salam, sama ada penambahan itu disedari sebelum atau selepas salam.
Termasuk dalam perkara ini bagi seseorang yang memberi salam sebelum sempurna solat kerana terlupa, setelah itu dia teringat solatnya masih belum sempurna maka dia sambung semula solatnya untuk menyempurnakannya, dia dalam keadaan ini telah melakukan tambahan di dalam solat kerana dia telah menambah perbuatan salam di pertengahan solat, maka setelah menyelesaikan solat, hendaklah dia sujud sahwi selepas memberi salam berdasarkan hadis dari Abu Hurairah RA, ketika mana Nabi SAW memberi salam pada solat Zohor atau ‘Asar ketika rakaat yang kedua, lalu para sahabat mengingatkan baginda, lalu baginda menyempurnakan solat kemudian memberi salam, setelah itu melakukan sujud sahwi dan memberi salam seperti yang telah dijelaskan sebelum ini.
2. Ketika syak yang boleh dilakukan tarjih berdasarkan hadis ‘Abdullah bin Mas’ud RA, dimana Nabi SAW menyuruh orang yang syak di dalam solat, untuk dia mencari yang lebih benar dengan memilih sangkaan beratnya, lalu sempurnakan solat berdasarkan sangkaan beratnya, kemudian dia memberi salam, dan setelah itu melakukan sujud sahwi, seperti penjelasan yang lepas.
Jika berhimpun dua jenis terlupa, salah satunya perlu dilakukan sujud sahwi sebelum salam, dan salah satunya perlu dilakukan selepas salam. Para ulama berkata: Dimenangkan sujud sahwi sebelum salam, lalu dilakukan sujud sahwi tersebut sebelum salam.
CONTOH
Seseorang menunaikan solat Zohor, lalu berdiri untuk rakaat yang ketiga dalam keadaan tidak melakukan tasyahhud awal. Setelah itu dia duduk pada rakaat ketika untuk melakukan tasyahhud awal kerana menyangka rakaat itu adalah rakaat kedua, setelah itu baru tersedar rakaat tersebut adalah rakaat ketiga, maka dia hendaklah bangun dan menyelesaikan satu rakaat lagi yang berbaki, kemudian melakukan sujud sahwi, setelah itu baru memberi salam.
Orang sebegini yang telah meninggalkan tasyahhud awal dan sujud sahwinya hendaklah dilakukan sebelum salam. Dalam masa yang sama dia juga telah menambah perbuatan duduk pada rakaat ketiga, dan dia perlu melakukan sujud selepas salam. Maka dalam keadaan sebegini sujud sebelum salam itu dimenangkan. Wallahu a’lam.
Saya (Ibn ‘Uthaimin) memohon kepada Allah untuk mentaufikkan kita dan saudara-saudara seislam kita semuanya untuk memahami kitabNya al-Quran, dan sunnah RasulNya SAW, dan beramal dengan kedua-duanya secara zahir dan batin dalam perkara akidah, ibadah dan mu’amalah, dan semuga Allah memberikan balasan yang baik kepada kita, sesungguhnya Dia Maha Pemurah Lagi Maha Mulia. Segala pujian adalah milik Allah tuhan sekelian alam. Selawat dan salam ke atas penghulu kita Muhammad, kaum keluarga dan para sahabat baginda keseluruhannya. Muhammad al-Soleh al-‘Uthaimin 4/3/1400 H
Sumber: (http://www.ibnothaimeen.com/all/books/article_16971.shtml).
0 comments:
Post a Comment