1. Sembelih Akikah
Akikah ialah sembelihan yang dilakukan pada hari ke tujuh kelahiran bayi. Nabi sallallah ‘alaih wa sallam bersabda:
مَعَ الْغُلامِ عَقِيقَةٌ، فَأَهْرِيقُوا عَنْهُ دَمًا وَأَمِيطُوا عَنْهُ الأَذَى
Mafhumnya: “Bagi bayi itu ‘Akikah, maka tumpahkan darah ‘akikah itu, dan buangkan darinya kotoran.” (HR al-Bukhari)
Ungkapan: “buangkan darinya kotoran” membawa maksud arahan mencukur rambut bayi. Dikatakan juga ia membawa maksud membersihkannya dari semua kotoran ketika kelahiran, atau ia bermaksud arahan supaya dikhitankan.[1]
Al-Imam al-Baihaqi di dalam al-Sunan al-Kubra menyebut: “Dan buangkan darinya kotoran”, mengandungi maksud (arahan) mencukur rambut (bayi), dan larangan dari mengenakan kepala bayi dengan darah binatang yang disembelih.”[2]
Dalam hadith yang lain Nabi sallallah ‘alaih wa sallam bersabda:
كل غلام رهين بعقيقته تذبح عنه يوم سابعه ويسمى فيه ويحلق رأسه
Mafhumnya: “Setiap bayi itu tergadai dengan ‘Akikahnya, disembelih ‘akikah itu untuknya pada hari ke-tujuh, dan diberikan nama pada hari itu dan dicukur kepalanya.” (HR al-Nasaie dan dinilai Sahih oleh al-Albani)
- Disunatkan akikah untuk bayi lelaki dengan dua ekor kambing dan bayi perempuan dengan seekor kambing. (Berdasarkan hadith riwayat al-Tirmizi dan al-Nasaie. Kedua-duanya hadith Sahih)
- Imam Malik menyatakan, pengiraan hari yang ketujuh tidak termasuk hari bayi dilahirkan, melainkan jika ia lahir sebelum Subuh.
Di dalam Fatwa Lajnah al-Daimah jilid 11, hal: 439 dinyatakan:
العقيقة سنة مؤكدة، عن الغلام شاتان تجزئ كل منهما أضحية، وعن الجارية شاة واحدة، وتذبح يوم السابع، وإذا أخرها عن السابع جاز ذبحها في أي وقت، ولا يأثم في تأخيرها، والأفضل تقديمها ما أمكن
Mafhumnya: “Akikah itu adalah sunat yang dituntut, untuk bayi lelaki dua ekor kambing yang boleh dibuat korban, untuk bayi perempuan seekor kambing, disembelih pada hari ke tujuh (kelahiran). Jika dilewatkan dari hari ke tujuh, harus dilakukan sembelihan pada bila-bila waktu, tidak berdosa melewatkannya, akan tetapi menyegerakannya jika mampu adalah lebih utama.”
Di dalam Fatwa Lajnah al-Daimah jilid 11, hal: 442 juga dinyatakan:
العقيقة : هي ما يذبح في اليوم السابع من الولادة؛ شكراً لله على ما وهبه من الولد ، ذكَراً كان أو أنثى، وهـي سنة ؛ لما ورد فيها من الأحاديث
Mafhumnya: “Akikah adalah apa yang disembelih pada hari ke tujuh kelahiran, sebagai bersyukur kepada Allah atas anak yang dianugerahkanNya, samada bayi itu lelaki atau perempuan. Ia adalah sunat, berdasarkan petunjuk dari beberapa hadith.”
Dinyatakan juga:
ويأكل هو وأهله منها ، وله أن يدعو الناس الفقراء والأغنياء ويُطعمهم إياها في بيته ونحوه ، والأمر في ذلك واسع
Mafhumnya: Orang yang melakukan akikan dan keluarganya boleh memakan daging dari akikah, dia juga boleh memanggil orang ramai, samada golongan fakir atau orang-orang kaya untuk memakannya, samada di rumahnya atau di tempat lain. Urusan dalam perkara ini adalah luas.” (Fatwa Lajnah al-Daimah, jilid 11, hal:443)
- Harus menyembelih seekor kambing untuk bayi lelaki bagi yang tidak mampu, berdasarkan hadith
أَنَّ النَّبِيّ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَقَّ عَنْ الْحَسَن وَالْحُسَيْن كَبْشًا كَبْشًا
Mafhumnya: “Bahawa Nabi sallallah ‘alaih wa sallam melakukan akikah untuk Hasan dan Husain dengan seekor kibas, seekor kibas.” (HR Abu Daud). Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebut di dalam Fath al-Bari, “…hadith ini menunjukkan harus dengan seekor, kerana bilangan (akikah dengan seekor atau dua ekor) bukan menjadi syarat, sebaliknya adalah sunat sahaja.”
Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin berkata: “Jika seseorang hanya mendapati seekor kambing, ia memadai, dan ia memperoleh maksud akikah, akan tetapi jika Allah melebihkan rezki kepadanya, dua ekor kambing itu adalah lebih utama.” (al-Syarh al-Mumti’, jilis 7, hal:492)
Hukum Akikah Dengan Lembu atau Unta
Para ulama berbeza pandangan tentang tentang perkara ini, kebanyakan ulama mengharuskan dan sebahagian kecil melarangnya. Di dalam al-Mausu’ah al-Fikhiyyah dinyatakan:
يجزئ في العقيقة الجنس الذي يجزئ في الأضحية , وهو الأنعام من إبل وبقر وغنم , ولا يجزئ غيرها , وهذا متفق عليه بين الحنفية والشافعية والحنابلة , وهو أرجح القولين عند المالكية ، ومقابل الأرجح أنها لا تكون إلا من الغنم
Maksudnya: “Sah membuat akikah dengan jenis (binatang) yang boleh dibuat korban, iaitulah binatang ternak yang terdiri dari unta, lembu dan kambing, tidak boleh dengan yang lain. Ini adalah suatu yang disepakati oleh ulama mazhab Hanafi, Syafie dan Hambali, ia juga merupakan pandangan yang lebih rajih (lebih baik) dari dua pandangan di sisi ulama mazhab Malik. Bertentangan dengan pandangan yang lebih rajih ini adalah yang mengatakan akikah mesti dilakukan dengan kambing (pandangan ini marjuh atau kurang baik)” (jilid 30, hal:279)
Al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin berpandangan akikah dengan kambing hanyalah suatu yang lebih utama berbanding lembu atau unta. (sila lihat al-Syarh al-Mumti’, jilid 7, hal:424)
Bacaan yang dibaca ketika menyembelih Akikah
Nabi SAW bersabda:
اذبحوا على اسمه فقولوا باسم الله اللهم لك واليك ، هذه عقيقة فلان
Mafhumnya: “Sembelihlah (akikah) dengan namaNya, dengan menyebut:
بِاسْمِ اللهِ، اللّهُمَّ لَكَ وَإِلَيْكَ، هَذِهِ عَقِيْقَةُ فُلَانٍ
(bermaksud:) Dengan nama Allah, Ya Allah (akikah ini) ikhlas keranaMu, ini merupakan akikah untuk fulan. (HR al-Hakim dan al-Baihaqi. Dinilai Sahih oleh al-Hakim dan dipersetujui oleh al-Zahabi).
[1] Sila lihat Mirqah al-Mafatih Syarh Misykah al-Masobih
[2] Sila lihat al-Sunan al-Kubra oleh al-Imam al-Baihaqi, Kitab al-Dohaya, Jima’ Abwab al-‘Aqiqah
0 comments:
Post a Comment