Friday, October 28, 2011

Mentahnik Mulut Bayi (7)

1. Sunat Mentahnik (تحنيك) mulut bayi.

- Di dalam al-Bukhari dan Muslim, dari Abu Musa katanya:

ولد لي غلام فأتيت به النبي صلى الله عليه وسلم فسماه إبراهيم وحنكه بتمرة - ودعا له بالبركة ودفعه إلي

Mafhumnya: “Saya dikurniakan seorang bayi, maka saya membawanya kepada Nabi SAW, lalu baginda memberikan nama kepadanya dengan Ibrahim, dan baginda mentahniknya dengan sebiji tamar, dan baginda mendoakan keberkatan untuknya, dan baginda menyerahkan semula kepada saya.”

Al-Imam al-Nawawi menyebut: “Berdasarkan sunnah, ditahnikkan bayi yang baru lahir dengan tamar, dengan cara dikunyah tamar tersebut dan digosokkan ke lelangit bayi dengan dibuka mulutnya, sehingga sebahagiannya masuk ke dalam perut bayi tersebut. Para sahabat kami berkata: Jika tidak ada tamar, boleh diganti dengan sesuatu yang manis.” (Syarh al-Muhazzab, jilid 8, hal:424)

Di dalam Syarh Sahih Muslim al-Nawawi menyebut: “Telah bersepakat ulama sunat mentahnik bayi yang baru lahir selepas ia dilahirkan dengan Tamar. Jika tiada hendaklah dengan sesuatu yang hampir sama dengan Tamar terdiri dari manisan. Orang yang hendak mentahnik mengunyah Tamar sehingga berair dan boleh ditelan (oleh bayi). Kemudian membuka mulut bayi, dan meletakkan kunyahan itu di dalam mulutnya, agar sebahagian dari kunyahan itu masuk ke dalam perut bayi tersebut.” (Syarh Sahih Muslim oleh al-Nawawi)

Di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah dinyatakan: “Ditahnik bayi yang baru lahir dengan Tamar. Jika tidak ada, boleh dengan Rutob, jika tiada boleh dengan sesuatu yang manis, dan madu lebah adalah lebih utama berbanding dengan yang lain, (jika tiada) seterusnya dengan sesuatu yang tidak melalui proses memasak dengan api, sepertimana makanan yang sama untuk permulaan berbuka puasa.” (Nukilan secara ringkas dari al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah 10/277)

0 comments: