Soalan:Minta bantuan dr Ustaz utk mengesah kan status hadis ini...
1-Jabir r.a berkata:Nabi Saw telah melarang orang memakai sandal,sepatu sambil berdiri.(Abu Daud)
2-Abu Hurairah r.a brkata:Sabda Nabi Saw jgn berjalan salah satu kamu dgn satu sandal,harus kedua kakinya bersandal atau dibuka keduanya.(Bukhari Muslim).
Jawapan:
Hadis Pertama:
Hadis ini diriwayatkan oleh al-Tirmizi dari Abu Hurairah RA (bil: 1697) dan Abu Daud dari Jabir RA. (bil: 3606) Hadis ini juga telah dinilai Sahih oleh al-Albani RH di dalam al-Silsilah al-Sahihah (bil: 719). Teks hadis tersebut adalah seperti di bawah:
نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يَنْتَعِلَ الرَّجُلُ وَهُوَ قَائِمٌ
Mafhumnya: “Rasulullah SAW melarang dari seseorang lelaki memakai kasut secara berdiri.” (HR al-Tirmizi)
Penerangan
Terdapat beberapa huraian ulama tentang hadis ini. Larangan ini tidak membawa maksud hukum haram, sebaliknya hanyalah membawa maksud memberi bimbingan atau membawa hukum makruh jika jika memakai kasut secara berdiri itu mendatangkan kesukaran atau boleh menyebabkan terjatuh. Al-Imam al-Munawi RH berkata:
والأمر للإرشاد؛ لأن لبسها قاعداً أسهل وأمكن ومنه أخذ الطيبي وغيره تخصيص النهي بما في لبسه قائماً تعب كالخف
Mafhumnya: “Dan arahan (yang ada di dalam hadis) bertujuankan memberi bimbingan, ini kerana memakai kasut secara duduk adalah lebih mudah, dari hadis ini al-Tibiy dan selain beliau mengkhususkan larangan terhadap apa yang sukar jika dipakai secara berdiri seperti Khuf.” (Faidh al-Qadir 6/441)
Al-Khattabi pula berkata:
إنما نهى عن لبس النعل قائماً لأن لبسها قاعداً أسهل عليه وأمكن له،وربما كان ذلك سبباً لانقلابه إذا لبسها قائماً،فأمر بالقعود له والاستعانة باليد فيه ليأمن غائلته
Mafhumnya: “Larangan dari memakai kasut secara berdiri tersebut hanya kerana memakai kasut secara duduk adalah lebih mudah bagi seseorang, barangkali juga memakainya secara berdiri boleh menjadi sebab terjatuh, maka baginda mengarahkan supaya duduk agar dapat menggunakan tangan ketika memakainya dan agar selamat dari keburukan memakai kasut secara berdiri.” (Ma’alim al-Sunan: 4/203)
Pandangan ini dikuatkan lagi dengan hadis yang diriwayatkan oleh Ishak bin Rahuwiah di dalam Musnadnya daripada ‘Aisyah RA yang berkata:
انتعل رسول الله صلى الله عليه وسلم قائما وقاعدا وشرب قائما وقاعدا، وانفتل عن يمينه وشماله
Mafhumnya: “Rasulullah SAW pernah memakai kasut secara berdiri dan pernah juga secara duduk, baginda juga pernah minum secara berdiri dan pernah juga secara duduk, baginda juga pernah berpaling (selepas Solat menghadap makmum) dari kanan dan pernah juga dari kiri.” (Musnad Ishak bin Rahuwiah. Hadis bil: 1442)
Oleh yang demikian larangan dari memakai kasut secara berdiri di atas bukan membawa maksud haram, bahkan ia lebih kepada member bimbingan. Wallahu a’lam.
Hadis Kedua:
Berdasarkan riwayat al-Imam al-Bukhari, dari Abu Hurairah RA:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا يَمْشِي أَحَدُكُمْ فِي نَعْلٍ وَاحِدَةٍ لِيُحْفِهِمَا جَمِيعًا أَوْ لِيُنْعِلْهُمَا جَمِيعًا
Mafhumnya: “Bahawa Rasulullah SAW bersabda: Jangan seseorang dari kamu berjalan dengan memakai sebelah kasut, hendaklah dia membuka kedua-duanya atau memakai kasut pada kedua-dua kakinya.” (HR al-Bukhari)
Di sisi al-Imam Muslim pula, dari Jabir RA yang berkata, Nabi SAW:
مَنْ انْقَطَعَ شِسْعُ نَعْلِهِ فَلَا يَمْشِ فِي نَعْلٍ وَاحِدَةٍ حَتَّى يُصْلِحَ شِسْعَهُ ، وَلَا يَمْشِ فِي خُفٍّ وَاحِدٍ
Mafhumnya: “Sesiapa yang terputus tali kasutnya (tali untuk diletakkan jari kaki), maka jangan dia berjalan dengan satu kasut sehinggalah dia membaiki tali yang putus itu, dan jangan juga seseorang itu berjalan menggunakan satu khuf.”
Penerangan:
Para ulama memberi berbagai pandangan tentang larangan ini. Al-Hafiz Ibn Hajar menyebut pandangan-pandangan tersebut di dalam kitab Fath al-Bari, antaranya:
1. Memakai sebelah kasut mengeluarkan tabiat berjalan yang biasa dan tidak tidak selamat dari kemerbahayaan.
2. Tidak berlaku adil antara anggota badan. Pelakunya juga boleh dinisbahkan kepada kurang atau lemah akal.
3. (al-Syuhrah) Bertujuan menarik perhatian orang ramai. Dan perkara ini adalah dilarang.
Jesteru, sekiranya sebab larangan dari berjalan dengan memakai sebelah kasut adalah tidak berlaku adil terhadap anggota atau disebabkan Syuhrah. Maka larangan ini juga termasuk perkara lain selain dari kasut. Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani berkata:
قد يدخل في هذا كل لباس شفع كالخفين وإخراج اليد الواحدة من الكم دون الأخرى وللتردي على أحد المنكبين دون الآخر قاله الخطابي . قلت : وقد أخرج ابن ماجه حديث الباب من رواية محمد بن عجلان عن سعيد المقبري عن أبي هريرة بلفظ لا يمش أحدكم في نعل واحدة ولا خف واحد وهو عند مسلم أيضا من حديث جابر ، وعند أحمد من حديث أبي سعيد ، وعند الطبراني من حديث ابن عباس ، وإلحاق إخراج اليد الواحدة من الكم وترك الأخرى بلبس النعل الواحدة والخف الواحد بعيد ، إلا إن أخذ من الأمر بالعدل بين الجوارح وترك الشهرة ، وكذا وضع طرف الرداء على أحد المنكبين ، والله أعلم
Mafhumnya: “Kadang-kadang termasuk juga di dalam larangan ini setiap pakaian yang ada pasangan seperti dua khuf, mengeluarkan sebelah tangan dari lengan baju, mengenakan selendang di sebelah bahu. Al-Khattabi berkata: Ibn Majah telah mengeluarkan hadis ini dari riwayat Muhammad bin ‘Ajlan daripada Sa’id al-Maqbari daripada Abi Hurairah dengan lafaz: “Jangan seseorang daripada kamu berjalan dengan sebelah kasut dan janganjuga dengan sebelah khuf.” Ianya juga di sisi Muslim dari hadis Jabir, di sisi Ahmad dari hadis Abi Sa’id, di sisi al-Tabrani dari hadis Ibn ‘Abbas. Memasukkan perbuatan mengeluakan sebelah tangan dari lengan baju dan tidak mengeluarkan tangan yang sebelah lagi dengan memakai sebelah kasut dan sebelah khuf adalah tidak tepat, melainkan jika difahami arahan tersebut untuk berlaku adil antara anggota badan atau bertujuan menjauhi syuhrah (menarik perhatian orang ramai), demikian juga dengan meletakkan selendang pada sebelah bahu dan tidak meletakkannya pada sebelah lagi, wallahu a’lam.”
Wallahu a’lam.
0 comments:
Post a Comment