Thursday, September 15, 2011

Bertayammum dalam Kapal Terbang

Soalan:

Assalamualikum Ustaz,

Saya ada satu soalan yang hendak ditanya, iaitu berkaitan solat di dalam kapal terbang, dimana ketika itu kita tidak berwuduk kerana tidak ada air sedangkan solat tidak boleh ditinggalkan? Bolehkah kita bertayammum dengan habuk-habuk yang ada pada dinding kapal terbang?


Jawapan:

Oleh: Ustaz Mohamad Abdul Kadir bin Sahak

Terima kasih kepada yang bertanya. Jawapan kepada soalan saudara adalah seperti berikut:

Pertama: Sesiapa yang tidak boleh berwudhu sama ada disebabkan ketiadaan air atau tidak dapat menggunakan air, maka ia wajib bertayammum. Perkara ini berdasarkan firman Allah SWT:

فلم تجدوا ماء فتيمموا ‏ ‏صعيدا طيبا فامسحوا بوجوهكم وأيديكم منه، ما يريد الله ليجعل عليكم من حرج ولكن يريد ليطهركم وليتم نعمته عليكم لعلكم تشكرون

Mafhumnya: “Maka (jika) kamu tidak memperolehi air, maka bertayammumlah dengan tanah yang baik (bersih); sapulah mukamu dan tanganmu dengan tanah itu. Allah tidak hendak menyulitkan kamu, tetapi Dia hendak membersihkan kamu dan menyempurnakan nikmat-Nya bagimu, supaya kamu bersyukur.” (al-Maidah: 6)

Kedua: Berkenaan persoalan bolehkah bertayammum dengan habuk-habuk yang terdapat di dinding kapal terbang, penjelasannya adalah seperti berikut:

Para ulama berbeza pandangan, apakah bertayammum disyarat dengan adanya debu tanah atau boleh bertayammum dengan apa sahaja yang terdiri dari permukaan bumi yang suci.

Pandangan yang menjadi pilihan ialah SAH bertayammum dengan bahan-bahan yang terdapat pada permukaan bumi terdiri dari tanah, batu, pasir dan seumpamanya berdasarkan firman Allah:

فَتَيَمَّمُوا صَعِيدًا طَيِّبًا

Mafhumnya: “…Maka bertayammumlah dengan permukaan bumi (So’iedan) yang baik (Toyyiba = yang suci)…” (al-Nisa: 43)

Kalimah صَعِيْدًا yang terdapat di dalam ayat diterjemahkan sebagai permukaan bumi bukan diterjemahkan sebagai tanah sahaja. Di dalam al-Mausuah al-Fiqhiyyah dinyatakan:

الصعيد: وجه الأرض ترابا كان أوغيره، قال الزجاج: ولا أعلم اختلافا بين أهل اللغة في ذلك

Mafhumnya: “al-So’ied: adalah permukaan bumi sama ada tanah atau selain tanah. Berkata al-Zujaj: Dan tidak saya ketahui perbezaan dikalangan ahli bahasa dalam perkara ini.” (al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah 11/142)

Pandangan ini mewakili pandangan ulama mazhab Hanafi dan Maliki. Bahkan al-Imam Abu Hanifah mengharuskan bertayammum dengan batu lincin, dinding tanah, dan tembikar yang dibuat daripada tanah tulen, kerana semuanya termasuk permukaan tanah.

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah berkata:

يَجُوزُ التَّيَمُّمُ بِغَيْرِ التُّرَابِ مِنْ أَجْزَاءِ الْأَرْضِ إذَا لَمْ يَجِدْ تُرَابًا

Mafhumnya: “Harus bertayammum dengan selain dari tanah yang terdiri dari bahagian-bahagian bumi, jika tidak didapati tanah.” (al-Fatawa al-Kubra 5/309)

Al-Syeikh Ibn Jibrin pula berkata:

ذهب بعض العلماء إلى أن التيمم يشترط أن يكون بتراب له غبار يعلق باليد ، واستدلوا بقوله تعالى : ( فَامْسَحُوا بِوُجُوهِكُمْ وَأَيْدِيكُمْ مِنْهُ ) . والذي لا غبار له لا يمسح منه . . لكن الصحيح أنه لا يشترط الغبار ، وإنما يشترط أن يكون طيبًا طاهرًا لقوله تعالى ( فَتَيَمَّمُوا صَعِيدًا طَيِّبًا ) . والصعيد وجه الأرض ، وعلى هذا فيصح التيمم بالرمل الذي لا غبار فيه...

Mafhumnya: “Sebahagian ulama berpandangan tayammum disyaratkan dengan tanah berdebu yang melekat pada tangan berdalilkan firman Allah Taala: “Maka sapulah (ketika bertayammum) ke muka kamu dan tangan-tangan kamu …” (maka arahan untuk menyapu menunjukkan perlunya ada debu), kerana yang tiada debu tidak boleh disapu.. akan tetapi pendapat yang sahih ialah tidak disyaratkan ada debu, hanyasanya disyaratkan tanah yang suci berdasarkan firman Allah Taala: “Maka bertayammumlah dengan so’ied yang suci. Al-So’ied adalah permukaan bumi, oleh itu sah bertayammum dengan pasir yang tiada debu padanya…” (Fatawa Islamiah 1/277)

Pandangan ini berbeza dengan pandangan ulama mazhab Syafie dan Hambali kerana mereka berpandangan tayammum tidak sah melainkan dengan tanah yang suci dan berdebu.

Oleh yang demikian berdasarkan pandangan ulama yang dipilih ini, maka harus bertayammum dengan dinding yang diperbuat dari bahan permukaan bumi seperti tanah, batu, pasir dan seumpamanya. Demikian juga harus bertayammum dengan sebarang benda yang diperbuat dari tanah tembikar dan seumpamanya melainkan jika dinding tersebut dan perkara-perkara ini bercat. Jika ia bercat tidak boleh bertayammum di atasnya kerana bahan dari permukaan bumi itu terhalang dengan cat yang tidak termasuk dari kumpulan bahan permukaan bumi. Namun jika di atas permukaan yang bercat itu terdapat debu tanah, maka boleh pula bertayammum di atasnya.

Al-Syeikh Muhammad Soleh bin ‘Uthaimin ketika ditanya apakah orang sakit yang tidak boleh berwudhu dibenarkan bertayammum pada dinding dan katil kerana ketiadaan tanah? Beliau menjawab:

الجدار من الصعيد الطيب ، فإذا كان الجدار مبنيا من الصعيد سواء كان حجرا أو كان مدرا – لَبِنًا من الطين - ، فإنه يجوز التيمم عليه ، أما إذا كان الجدار مكسوا بالأخشاب أو ( بالبوية ) فهذا إن كان عليه تراب – غبار – فإنه يتيمم به ولا حرج ، ويكون كالذي يتمم على الأرض ؛ لأن التراب من مادة الأرض . أما إذا لم يكن عليه تراب ، فإنه ليس من الصعيد في شيء ، فلا يتيمم عليه. وبالنسبة للفرش نقول : إن كان فيها غبار فليتيمم عليها ، وإلا فلا يتيمم عليها لأنها ليست من الصعيد

Mafhumnya: “Dinding adalah termasuk daripada al-So’ied yang suci sekiranya ia diperbuat dari permukaan bumi sama ada dari batu atau bongkah bata tanah, maka harus bertayammum dengannya. Adapun jika dinding itu diseliputi dengan kayu atau cat, sekiranya ada tanah – iaitu debu – maka boleh bertayammum dengannya tiada masalah, sama kedudukannya seperti bertayammum di atas muka bumi, kerana tanah adalah dari bahan bumi. Adapun jika tiada tanah (debu), maka ia bukanlah al-So’ied (tidak termasuk permukaan bumi) sedikitpun, maka tidak boleh bertayammum di atasnya. Berkenaan dengan tilam pula, kami berpandangan: Sekiranya ada debu (tanah) padanya, maka boleh bertayammum di atasnya, jika tiada (debu tanah), maka tidak boleh bertayammum di atasnya kerana ia tidak termasuk permukaan bumi.” (Fatawa al-Toharah, hal: 240)

Disamping itu, saya juga mencadangkan agar sesiapa yang menjangka akan berhadapan dengan masalah berwudhu dalam sebarang situasi, hendaklah dia menyiapkan bekas yang bersesuaian untuk diisi tanah atau pasir agar dapat bertayammum ketika diperlukan.

Wallahu a’lam.

0 comments: