Kaedah al-Fiqhiyyah: إعمال الكلام أولى من إهماله
Pengertian
Ungkapan إعمال الكلام membawa maksud: "Memberikan kepadanya (kalam), sesuatu hukum" (إعطاؤه حكما). (Sila lihat: بحث في القاعدة الفقهية الكلية إعمال الكلام أولى من إهماله. جمال الشاكر يوسف عبد الله بإشراف الدكتور عبد المجيد الصلاحين )
Manakala ungkapan إهماله membawa maksud: Membatalkan atau menafikan (الإلغاء), Meninggalkan (الإخلاء) dari memiliki faedah. (Ibid)
Maka yang dimaksudkan oleh kaedah ini ialah ketiadaan pembinaan hasil 'amaliyah ke atasnya (kalam) ataupun ketiadaan pembinaan hukum syarie atas sesuatu kalam. (Sila lihat: Mustafa al-Zarqa. Al-Madkhal al-Fiqhi al-'Amm (2/101-1002)
Pengertian Umum Kaedah
Sesuatu perkataan yang dilontarkan oleh orang yang berakal, akan dipelihara dari dinafikan maknanya sebaik mungkin dengan melihat kepada kesimpulan yang boleh membenarkan (maksud) kalamnya tersebut. Maka lafaz-lafaz yang keluar dari mana-mana mukallaf, jika dari satu sudut ianya boleh difahami memikul sesuatu makna yang terlaksana atasnya hukum, manakala dari sudut yang lain ianya juga boleh difahami tidak terlaksana atasnya hukum, maka yang wajib adalah mengambil sudut yang boleh difahami ianya memikul sesuatu makna yang terlaksana atasnya hukum. Ini kerana jika sebaliknya, bermakna kalamnya telah dibatal dan dinafikan faedah atau hukumnya, sedangkan kalam orang-orang yang berakal sepatutnya dipelihara dari dinafikan maksudnya selagi mungkin.
Dalil Kaedah
Firman Allah swt:
والذين هم عن اللغو معرضون
Maksudnya: "Dan orang-orang yang beriman itu ialah orang-orang yang berpaling dari perkara-perkara dan perkataan-perkataan yang lagha." (al-Mukminun : 3)
Berdasarkan kaedah ini, kalam seorang muslim sepatutnya jauh dari perkara yang lagha yang tidak memiliki sebarang faedah. Maka kalam setiap orang muslim sudah pasti mempunyai makna tertentu.
Di samping itu, akal juga memperakui bahawasanya Allah swt menciptakan bahasa adalah untuk menjadi alat berkomunikasi di kalangan orang-orang yang berakal, dan setiap lafaz itu mempunyai maknanya dan bukanlah lafaz yang sia-sia. Semua ini sekaligus membenarkan kaedah ini.
Maka berdasarkan kaedah ini, tidak harus membatalkan sesuatu kalam dan menganggapnya tidak memikul sesuatu maksud, selamamana ada kemungkinan kalam itu difahami dari sudut makna hakiki atau makna majazi.
Sama halnya dengan nas-nas syara'. Tidak boleh menganggap adanya nas yang tidak memikul sebarang makna selama-mana ada kemungkinan memahaminya dari sudut hakiki ataupun maknawi.
Dalilnya firman Alah swt:
ما آتاكم الرسول فخدوه
Maksudnya: "Apa-apa yang didatangkan oleh al-Rasul, maka ambillah kesemuanya." (al-Hasyr : 7)
Ia merangkumi semua perkataan Nabi saw. Jika kita menganggap adanya kalam rasul yang tidak memikul sebarang mana, ianya bertentangan dengan maksud ayat al-Quran di atas. (Kuliah al-Syeikh Muhammad Hasan 'Abd al-Ghaffar. Laman http://www.islamway.com/?iw_s=Lesson&iw_a=view&lesson_id=55468&series_id=
Contoh Permasaalahan
1. Seseorang berkata: Harta ini atau rumah ini diwakafkan kepada anak-anak saya, Secara asalnya anak adalah mereka yang lahir dari tulang sulbi orang tersebut (dari benihnya sendiri), akan tetapi jika orang tersebut tidak lagi memiliki anak, sebaliknya yang ada hanyalah cucu-cucunya. Maka dalam situasi begini, bolehkah kita abaikan sahaja ungkapan wakafnya dan kita mengatakan wakafnya itu tidak sah?
Atau kita mengatakan, ungkapan wakafnya itu tidak batal selama-mana kita boleh mempraktikkannya dengan mengatakan wakaf itu menjadi milik cucunya. Ini kerana cucunya itu juga adalah anaknya (yang lahir daripada darah dagingnya).
Inilah asas dalam setiap kalam, iaitu ianya memiliki maksud yang terlaksana atasnya hukum. Demikianlah juga dengan kalam al-Syari' (Allah dan Rasul), ia memiliki sesuatu maksud yang terlaksana ke atasnya hukum.
2. Kalau seseorang berkata kepada isterinya: Jika kamu memasuki rumah ini, kamu tertalak (إن دخلت الدار أنت طالق). Maka talak itu tidak berlaku sebelum isterinya memasuki rumah, sebagai memelihara lafaznya dari diabaikan. (Al-Durar al-Bahiyyah )
wallahu a'lam.
0 comments:
Post a Comment