Thursday, September 25, 2008

Soalan dari Pekerja Agilent Technology: Soalan (1) Hukum Guna Harta Dari Sumber Yang Haram


Soalan: Bagaimana jika pelakon atau penyanyi menggunakan wang yang diperolehi dari nyanyian atau lakonan digunakan untuk bersedekah?

Jawapan:

Terlebih dahulu saya nyatakan bahawa, asal lakonan dan nyanyian adalah termasuk dalam perkara yang HARUS di dalam Islam. Cuma ia menjadi terlarang apabila lakonan dan nyanyian itu tidak memenuhi adab-adab dan akhlak Islam seperti mendedahkan aurat, pergaulan lelaki dan wanita yang tidak terkawal, berlakunya sentuh-menyentuh, peluk-memeluk sesama mereka dan banyak perkara-perkara haram yang lain lagi.

Harata haram terbahagi kepada dua:

1. Harta itu sendiri merupakan harta yang haram seperti harta yang diperolehi dari mencuri, menyamun, merampas dan seumpamanya. Harta haram dalam kategori ini haram dimanfaatkan oleh si pelaku atau orang lain yang mengetahui harta itu dicuri dan seumpamanya, kerana harta seperti ini wajib dikembalikan kepada pemiliknya.

Cuma jika ada keuzuran untuk memulangkan semula harta sebegini kepada tuannya, seperti tuan harta tersebut gagal dihubungi demikian juga warisnya, maka harta ini boleh digunakan untuk kepentingan umat Islam seperti membina masjid dan seumpamanya. Jika tuan harta atau warisnya boleh dihubungi wajib mengembalikan harta tersebut kepada mereka.

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah berkata:


إذا كانت الأموال قد أخذت بغير حق وقد تعذر ردها إلى أصحابها ككثير من الأموال السلطانية ; فالإعانة على صرف هذه الأموال في مصالح المسلمين كسداد الثغور ونفقة المقاتلة ونحو ذلك : من الإعانة على البر والتقوى ; إذ الواجب على السلطان في هذه الأموال - إذا لم يمكن معرفة أصحابها وردها عليهم ولا على ورثتهم - أن يصرفها - مع التوبة إن كان هو الظالم - إلى مصالح المسلمين . هذا هو قول جمهور العلماء كمالك وأبي حنيفة وأحمد وهو منقول عن غير واحد من الصحابة وعلى ذلك دلت الأدلة الشرعية . . .


Maksudnya: “Jika harta-harta itu telah diambil tanpa hak dan ia tidak dapat dikembalikan kepada pemilik asalnya seperti kebanyakan harta pemerintah (yakni yang dirampas secara tanpa hak oleh pemerintah), maka harta seperti ini hendaklah diuruskan untuk kepentingan umat Islam seperti membiaya kawalan sempadan Negara umat Islam, menampung perbelanjaan para tentera dan seumpamanya yang termasuk dalam membantu perkara-perkara yang baik dan taqwa, dimana wajib ke atas pemerintah terhadap harta-harta sebegini, jika tidak dapat dikenal-pasti pemilik-pemiliknya untuk dikembalikan kepada mereka atau kepada waris mereka, hendaklah harta-harta itu diuruskan untuk kepentingan umat Islam disamping perlu bertaubat jika harta itu diambil secara zalim. Inilah pandangan kebanyakan ulama seperti Malik, Hanafi dan Ahmad, Ia juga merupakan pandangan yang dinukilkan dari ramai sahabat… ” (al-Siyasah al-Syar’iyyah, ms. 35)

2. Harta yang menjadi haram disebabkan usaha mendapatkannya itu dengan cara yang haram seperti harta yang diperoleh dari menjual khamar, atau berinteraksi dengan riba, atau bayaran nyayian (yang haram), bayaran daripada zina dan seumpamanya. Harta sebegini haram ke atas pelakunya sahaja.

Adapun jika harta ini diserahkan kepada orang lain dengan cara yang dibenarkan, orang yang menerima harta itu HARUS menggunakannya. Maka harta dalam ketegori ini boleh digunakan untuk kepentingan umat Islam, disedekahkan, digunakan untuk membina masjid, untuk perbelanjaan anak-anak dan isteri dan ia tidak menjadi haram kepada mereka menggunakannya. Sebaliknya haram kepada sipelakunya sahaja, iaitu yang berusaha mendapatkan harta dari jalan yang haram dan menggunakannya. Bukti dalam perkara ini boleh diambil dengan tindakan Nabi SAW yang berurusniaga dengan orang Yahudi di Madinah dan menerima pemberian mereka, dalam keaadaan Nabi SAW sedia maklum Yahudi Madinah sentiasa berinteraksi dengan Riba. Jalan untuk bertaubah dari harta seumpama ini ialah dengan membebaskan diri darinya dan menggunakannya untuk kebaikan seperti membina masjid dan seumapamanya.


Al-Imam al-Nawawi di dalam al-Majmu’ (9/330) berkata:


قال الغزالي : إذا كان معه مال حرام وأراد التوبة والبراءة منه - فإن كان له مالك معين - وجب صرفه إليه أو إلى وكيله , فإن كان ميتا وجب دفعه إلى وارثه , وإن كان لمالك لا يعرفه ويئس من معرفته فينبغي أن يصرفه في مصالح المسلمين العامة , كالقناطر والربط والمساجد ، ونحو ذلك مما يشترك المسلمون فيه , وإلا فيتصدق به على فقير أو فقراء . . . وهذا الذي قاله الغزالي ذكره آخرون من الأصحاب , وهو كما قالوه , لأنه لا يجوز إتلاف هذا المال ورميه في البحر , فلم يبق إلا صرفه في مصالح المسلمين , والله سبحانه وتعالى أعلم


Maksudnya: “al-Ghazali (yakni Imam al-Ghazali) berkata: “Jika seseorang memiliki harta yang haram atau dia mahu bertaubat dan bebas dari harta yang haram tersebut – jika harta tersebut masih ada pemiliknya – wajib menyerahkannya kepada pemiliknya itu atau kepada wakilnya, jika pemiliknya telah mati, wajib menyerahkannya kepada warisnya. Jika pemiliknya tidak dapat dikenal-pasti dan telah habis harapan untuk mengenali pemiliknya, maka harta itu hendaklah diuruskan untuk kepentingan umat Islam keseluruhannya seperti membina jambatan, membina kawalan sempadan negara, membina masjid dan seumpamanya yang boleh diambil manfaat oleh semua umat Islam, jika tidak dia boleh bersedekah kepada orang fakir dan miskin.” Inilah yang dinyatakan oleh al-Ghazali dan selainnya dari kalangan al-Ashab, Hukum dalam perkara ini adalah seperti yang mereka nyatakan, ini kerana tidak harus memusnahkan harta ini atau membuangnya ke laut, tidak ada jalan lain melainkan menggunakannya untuk kepentingan umat Islam, wallahu subhanahu wa taala a’lam.”


al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-'Uthaimin pula ketika ditanya tentang hukum solat di dalam masjid yang dibina dari harta yang haram menjawab:


" الصلاة فيه جائزة ولا حرج فيها ؛ لأن الذي بناه من مال حرام ربما يكون أراد في بنائه أن يتخلص من المال الحرام الذي اكتسبه ، وحينئذٍ يكون بناؤه لهذا المسجد حلالاً إذا قصد به التخلص من المال الحرام ، وإن كان التخلص من المال الحرام لا يتعين ببناء المساجد ، بل إذا بذله الإنسان في مشروع خيري حصلت به البراءة

Maksudnya: "Harus solat di dalamnyadan tidak ada masalah. Kerana masjid yang dibina dari harta yang haram barangkali orang yang membinanya hendak membebaskan dirinya dari harta haram yang telah diusahakannya. Ketika itu, pembinaan masjid itu adalah halal, jika ia bertujuankan hendak bebas dari harta yang haram. Sekalipun untuk bebas dari harta yang haram tidak terhendi dengan cara membina masjid sahaja, bahkan jika dia serahkan kepada orang lain dalam projek yang baik (yang lain) juga tercapai tujuan untuk bebas dari harta haram tersebut." (Majmu' Fatawa Ibn 'Uthaimin 12/soalan bil 304. Lihat juga al-Syarh al-Mumti' 4/344)

Dr. Muhammad Said Ramadhan al-Buti juga pernah ditanya tentang harta yang diperolehi dari kerjaya nyanyi, beliau menjawab:


المال الذي جاء كله من مهنة الغناء المعروفة في هذا العصر، يعدّ مالاً محرماً يجب أن يصرف في مصارف الأموال الضائعة التي لايعلم صاحبها، أي أن يوضع في مصالح المسلمين.


Maksudnya: “Harta yang diperolehi dari kerjaya nyanyi seperti yang diketahui hari ini, dikira sebagai harta yang haram, wajib dipulangkan harta sebegini ke badan yang menguruskan harta yang tidak diketahui pemiliknya, yakni digunakan untuk kepentingan umat Islam.” (sumber fatwa: Laman rasmi Dr Muhammad Said Ramadhan al-Buthi http://www.bouti.net/fatawas.php?PHPSESSID=70d1787edbab8a31c09fb57cf4239cea&id=960&PHPSESSID=70d1787edbab8a31c09fb57cf4239cea)

Wallahu a’lam.
binsahak

Wednesday, September 24, 2008

Macamana nak buat dengan suami kaki maksiat?


Assalamualaikum Ustaz,

1) Jika seorang suami tidak solat/puasa, minum arak dan sbgnya, apakah patut si isteri teruskan perkahwinannya?
2) Jika dia masih bersama, adakah dia dikira bersubahat dlm maksiat yg dilakukan oleh suami?
3) Apakah doa yang boleh diamalkan agar suami bertaubat dan kembali pada isteri?

Sekian.
Wslam wrh

Jawapan

1. Isteri tersebut hendaklah menasihati suaminya, jika suaminya enggan juga dan terus tidak solat dan puasa, meminum arak dan sebagainya, Isteri tersebut berhak meminta difasakhkan perkahwinan mereka di mahkamah. Maka dalam kes isteri tersebut dia boleh rujuk kesnya di mahkamah syariah untuk permohonan fasakh iaitu permohonan membatalkan perkahwinan. Terutama jika suaminya itu mendatangkan mudharat kepadanya dan anak-anaknya dengan mabuk dan seumpamanya.

2. Tidak menjadi kesalahan seorang isteri tinggal bersama suaminya yang kaki maksiat, jika maksiat itu tidak sampai kepada had suaminya menjadi kufur. Terutama jika perceraian itu akan mendatangkan mudharat yang lebih besar kepada dia dan anak-anak. Dia boleh taat terhadap suaminya tersebut dalam perkara-perkara yang makruf, seperti menjaga makan dan minumnya, memenuhi tuntutan syahwatnya dan seumpamanya, di samping dia dia tidak boleh taat dalam perkara-perkara maksiat.

Disamping berdoa kepada Allah SWT untuk memberi hidayah kepada suaminya, dia juga boleh berusaha menasihati suaminya tersebut dengan cara yang terbaik, meminta bantuan dari keluarga suaminya apa yang boleh mereka bantu dan seumpamanya, ini kerana jika dia biarkan perkara itu berterusan, ia boleh mendatangkan mudharat yang lain. Bayangkan seorang peminum arak, jika dia pulang ke rumah dalam keadaan mabuk, besar kemungkinan dia akan menimbulkan mudharat yang lain lagi.

Jika dia dalam proses menasihati suaminya, insyaalah dia memperolehi pahala daripada Allah SWT.

Al-Syeikh ‘Abdul Khaliq al-Syarif di dalam laman islam-online ketika diminta nasihat oleh seorang wanita tentang suaminya yang tidak pernah menunaikan solat, berkata:


شكر الله لك حسن تمسكك بدينك والتزامك بأداء الصلاة، ودعوتك زوجك في هذا الأمر، الذي فرضه الله على المسلمين كافة، ولكن اعلمي أيتها الأخت الفاضلة :ـ أن الله تعالى قال: "وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِالصَّلاةِ واصْطَبِرْ عَلَيْهَا..." سورة طه، وهنا جاءت الصاد والطاء زائدتين في الكلمة فإن الله ما قال واصبر عليها، بل قال واصطبر، أي ليكن منك مزيد الصبر عليها، أما امتناعك عن أن يأخذ حقه فننصحك بالرجوع عن هذا، فلعل دوام العشرة الطيبة ومزيد الأخلاق الفاضلة منك، وحسن المعاملة تجعله يفيق إلى أمره، ويعود إلى رشده، ويؤدي معك الصلاة، فإن ما لا يدرك بالأخلاق وبحسن العشرة لا يدرك بغيرها؛ ولأن في امتناعك عن استمتاع زوجك بك قد يؤدي به إلى معصية أخرى


Maksudnya: “Bersyukur kepada Allah yang menjadikan anda berpegang teguh dengan agama dan mendirikan solat, demikian juga kemahuan anda berdakwah kepada suami anda untuk mendirikan solat yang telah difardhukan oleh Allah kepada sekelian umat Islam. ketahuilah wahai puan, bahawasanya Allah taala berfirman (Maksudnya): “Suruhlah keluarga kamu mendirikan solat dan bersabarlah dalam melaksanakannya (solat).” (Surah Toha: 132). Di dalam ayat ini perkataan اصْبِر (bersabarlah) ditambahkan huruf “TO” membawa maksud “bersabarlah bersungguh-sungguh” dalam melaksanakannya. Adapun tindakan puan menghalang suami puan mendapatkan haknya, maka kami menasihati puan supaya tidak melakukannya lagi, mudah-mudahan dengan pergaulan puan yang baik dengannya dan akhlak puan yang baik dengannya menjadikanya mahu kembali sehingga dia mahu mendirikan solat. Adapun tindakan menghalang suami puan dari mendapatkan haknya sebagai suami terhadap anda, kadang-kadang ia boleh membawa kepada maksiat yang lain."

Namun jika dia memilih untuk berpisah dengan suaminya setelah beristikharah kepada Allah SWT, hendaklah dia redha dan bersabar serta mengharapkan balasan pahala daripada Allah atas ujian yang menimpanya.

3. Berdoalah dengan sebarang doa yang bersesuaian dengan hajat puan, Puan lebih mengetahui tentang keadaan puan. Gunalah bahasa puan sendiri, yang dengan bahasa tersebut puan dapat menghadirkan diri menaruh harap kepada Allah SWT dan bergantung kepadaNya. Sesungguhnya Allah, tuhan yang memahami semua bahasa dan mendengar pengaduan hambaNya.

Wallahu a’lam.
binsahak

Tuesday, September 23, 2008

Soalan dari email: Tentang Solat

Soalan:

Assalamualaikum Ustaz,Ada 2 perkara yang mengelirukan saya dan saya berharap ustaz dapat menyelesaikannya.

1. Anak saya berumur setahun lebih dan selalu bermain depan saya sewaktu solat. Macammana hukumnya?
2. Menggerakkan jari sewaktu tahiyyat. Sunah ke? jarang orang buat.

Diharap jasa baik ustaz untuk perjelaskannya. Assalamualaikum.

Jawapan:

wa'alaikumussalam warahmatullah wabarakatuh

1.Disunatkan seseorang meletakkan sesuatu sekurang-kurangnya sejengkal dihadapannya ketika solat sebagai sutrah (penghalang). Dalam situasi saudara, ada baiknya saudara mempraktikkan sunnah sutrah ini bagi mengelakkan anak saudara yang sering bermain di hadapan ketika solat dari menganggu. Jika ia memasuki kawasan yang diletakkan sutrah, saudara disunnahkan untuk menghalang dia dari melaluiya berdasarkan keumuman hadith yang menyebut tetangnya (al-Bukhari dan Muslim).

Namun jika dia sering bermain dan berlalu lalang di hadapan saudara, dalam keadaan ini saudara biarkan sahaja dia bermain dan tidak perlu menyibukkan diri menghalang dia dari lalu-lalang di hadapan saudara. al-Hafidz Ibn Hajar al-'Asqalani di dalam Fathul Bari menyebut:

نقل ابن بطال وغيره الاتفاق على أنه لا يجوز له المشي من مكانه ليدفعه ، ولا العمل الكثير في مدافعته، لأن ذلك أشد في الصلاة من المرور

"Ibn Battal dan selainnya menukilkan kesepakatan ulama, tidak harus bagi seseorang yang sedang solat berjalan dari tempat solatya untuk menghalang orang yang lalu di hadapannya, tidak boleh juga asyik banyak bergerak (menyibukkan diri) untuk meghalang orang yang lalu di hadapannya, kerana perbuatan seperti ini lebih teruk mengganggu solat berbanding orang yang lalu di hadapannya."

2. Menggerakkan jari ketika tahiyyat termasuk di dalam sunah Nabi SAW sepertimana yang thabit dari hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan al-Nasaie dari Wail bin Hujr.

wallahu a'lam.
binsahak

Kelebihan 10 malam akhir Ramadhan dan Lailatul Qadr


‘A-isyah R.’anha meriwayatkan:


كان النبي صلى الله عليه وسلم يجتهد في العشر الأواخر من رمضان ، ما لا يجتهد في غيرها


Maksudnya: “Adalah Nabi SAW bersungguh-sungguhnya pada 10 malam akhir dalam bulan Ramadhan, tidak seperti malam-malam yang lain.” (HR Muslim)

Di dalam al-Bukhari dan Muslim daripada ‘A-isyah RA:


أن النبي صلى الله عليه وسلم " كان إذا دخل العشر أحيا الليل وأيقظ أهله وشد مئزره


Maksudnya: “Nabi SAW apabila masuk 10 malam yang akhir, baginda menghidupkan malamnya, membangunkan isterinya dan mengikat kainnya.”

“Perkataan mengikat kainnya” membawa maksud menjauhi jima’.

Malam al-Qadr (Lailatul Qadr)

Allah SWT telah menurunkan al-Quran pada malam al-Qadr, Allah berfirman:

“Demi kitab (al-Quran) yang menjelaskan, sesungguhnya kami menurunkannya pada satu malam yang diberkati, dan sesungguhnya kamilah yang memberi peringatan. Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah. Yaitu urusan yang besar di sisi kami, sesungguhnya kami yang mengutuskan rasul-rasul.” (al-Dukhan: 2-5)

Allah SWT mensifatkan malam yang diturunkan al-Quran itu adalah malam yang diberkati. Para ulama salaf seperti Ibn ‘Abbas, Qatadah, Said bin Jubair, Ikramah, Mujahid dan selainnya mengatakan malam yang diberkati itu ialah malam al-Qadr (Lailatul Qadr).

Al-Imam Ibn Kathir di dalam kitab tafsirnya menyebut:


يُخْبِر تَعَالَى أَنَّهُ أَنْزَلَ الْقُرْآن لَيْلَة الْقَدْر وَهِيَ اللَّيْلَة الْمُبَارَكَة الَّتِي قَالَ اللَّه عَزَّ وَجَلَّ " إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَة مُبَارَكَة " وَهِيَ لَيْلَة الْقَدْر وَهِيَ مِنْ شَهْر رَمَضَان كَمَا قَالَ تَعَالَى " شَهْر رَمَضَان الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآن


Maksudnya: “Allah taala mengkhabarkan, Ia menurunkan al-Quran pada malam al-Qadr, ianya ialah malam yang diberkati yang difirmankan Allah ‘azza wa jalla: “(Maksudnya) Sesungguhnya kami menurunkannya (al-Quran) pada malam yang diberkati.” Ia ialah malam al-Qadr yang berlaku di dalam bulan Ramadhan seperti firman Allah taala: “(maksudnya) Bulan Ramadhan, yang diturunkan padanya al-Quran.” (Sila rujuk tafsir Ibn Kathir terhadap surah al-Qadr)

Firman Allah yang bermaksud: “Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah”, membawa maksud diturunkan pada malam tersebut ketentuan-ketentuan (takdir-takdir) setiap makhluk selama setahun, termasuk ajal, rezeki, bahagia, sengsara dan sebagainya.

Oleh itu, yang dimaksudkan dengan “Lailah al-Qadr” ialah malam yang diturunkan penentuan dalam bentuk tahunan, iaitu takdir yang telah Allah tulis yang berada di al-Luh al-Mahfuz diturunkan kepada malaikat pada malam tersebut, untuk tempoh setahun.

Kelebihan malam al-Qadr

1. Diturunkan padanya al-Quran. Ibn ‘Abbas RA mengatakan:


أنزل الله القرآن جملة واحدة من اللوح المحفوظ إلى بيت العزة من السماء الدنيا ، ثم نزل مفصلاً بحسب الوقائع في ثلاث وعشرين سنة على رسول الله صلى الله عليه وسلم


Maksudnya: “Allah menurunkan al-Quran kali pertama secara sempurna daripada al-Luh al-Mahfuz ke baitil ‘izzah di langit dunia, kemudian al-Quran diturunkan secara berasingan berdasarkan peristiwa-peristiwa dalam tempoh 23 tahun kepada Rasulullah SAW.” (Sila rujuk tafsir Ibn Kathir 4/529)

2. Allah berfirman, malam al-Qadr itu lebih baik dari 1000 bulan (Surah al-Qadr: 3)

3. Allah mensifatkan malam al-Qadr itu sebagai malam yang diberkati. (al-Dukhan: 3)

4. Pada malam itu turunkan para malaikat dan Jibril bersama dengan kerahmatan dan keberkatan.

5. Allah SWT mengampunkan dosa-dosa sesiapa yang menghidupkan berdasarkan hadith Nabi SAW:


ومن قام ليلة القدر إيماناً واحتساباً غفر له ما تقدم من ذنبه


Maksudnya: “Sesiapa yang menghidupkan malam al-Qadr dalam keadaan beriman dan ihtisab (ikhlas dan mengharapkan pahala daripada Allah), diampunkan baginya dosa-dosa yang telah lalu.” (al-Bukhari dan Muslim)

Bilakah berlakunya malam al-Qadr

1. Sepuluh malam yang akhir. Sabda Nabi SAW:


تحروا ليلة القدر في العشر الأواخر من رمضان


Maksudnya: “Bersungguhlah mencari malam al-Qadr pada 10 malam yang akhir dalam bulan Ramadhan.” (HR al-Bukhari)

2. Sepluh malam akhir yang ganjil. Sabda Nabi SAW:


تحروا ليلة القدر في الوتر من العشر الأواخر


Maksudnya: “Bersungguh-sungguhlah mencari malam al-Qadar pada 10 malam akhir yang ganjil.” (HR al-Bukhari) 10 malam akhir yang ganjil ialah 21, 23, 25, 27 dan 29 Ramadhan.

Wallahu a’lam.
binsahak


Sunday, September 21, 2008

Tafsir Surah al-Qadr oleh al-Syeikh Abu Bakr bi Jabir al-Jaza-iriy

Friday, September 19, 2008

Solat Tarawih bagi yang bermusafir


Sebahagian orang ada yang beranggapan solat malam tidak disunatkan bagi orang-orang yang berada dalam permusafiran. Kefahaman sebegini tidak tepat. Nabi SAW tidak pernah meninggalkan solat malam samaada baginda bermusafir taupun tidak. termasuk di dalam solat malam ini ialah Solat Tarawih di dalam bulan Ramadhan. al-Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Ibn ‘Omar R’anhuma yang berkata:


كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي فِي السَّفَرِ عَلَى رَاحِلَتِهِ حَيْثُ تَوَجَّهَتْ بِهِ يُومِئُ إِيمَاءً ، صَلَاةَ اللَّيْلِ ، إِلَّا الْفَرَائِضَ ، وَيُوتِرُ عَلَى رَاحِلَتِهِ


Maksudnya: “Adalah Nabi SAW menunaikan solat sunat malam dengan melakukan isyarat ketika bermusafir di atas tunggangannya kemana sahaja arah tunggangannya, melainkan solat fardhu, dan baginda juga menunaikan solat witir di atas tunggangannya.”

Al-Imam al-Bukhari juga meriwayatkan daripada Salim bin Abdillah bin ‘Omar R.’anhuma yang berkata:


كَانَ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا يُصَلِّي عَلَى دَابَّتِهِ مِنْ اللَّيْلِ وَهُوَ مُسَافِرٌ ، مَا يُبَالِي حَيْثُ مَا كَانَ وَجْهُهُ . قَالَ ابْنُ عُمَرَ : وَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُسَبِّحُ عَلَى الرَّاحِلَةِ قِبَلَ أَيِّ وَجْهٍ تَوَجَّهَ ، وَيُوتِرُ عَلَيْهَا ، غَيْرَ أَنَّهُ لَا يُصَلِّي عَلَيْهَا الْمَكْتُوبَةَ


Maksudnya: “Adalah Abdullah bin ‘Omar r.’anhuma menunaikan solat sunat malam di atas tunggangannya sedangkan dia dalam permusafiran, tanpa beliau endahkan kearah mana beliau menghadap. Berkata Ibn ‘Omar: Rasulullah SAW menunaikan solat sunat di atas tunggangan baginda, kearah mana ia menghadap, baginda menunaikan witir di atasnya, dan baginda tidak menunaikan solat yang wajib di atas tunggangannya.”

Nabi SAW apabila bermusafir, baginda hanya meninggalkan solat sunat rawatib iaitulah qabliyyah dan ba’diyyah Zohor, ba’diyyah Maghrib dan ba’diyyah ‘Isyak. Adapun solat sunat yang lain adalah kekal sebagai sunat bagi orang yang bermusafir ataupun tidak.

Al-Imam Muslim di dalam sahihnya meriwayatkan daripada Hafs ibn ‘Asim Ibn ‘Amar al-Khattab (حَفْصِ بْنِ عَاصِمِ بْنِ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ) yang berkata:


صَحِبْتُ ابْنَ عُمَرَ فِي طَرِيقِ مَكَّةَ ، فَصَلَّى لَنَا الظُّهْرَ رَكْعَتَيْنِ ، ثُمَّ أَقْبَلَ وَأَقْبَلْنَا مَعَهُ حَتَّى جَاءَ رَحْلَهُ ، وَجَلَسَ وَجَلَسْنَا مَعَهُ فَحَانَتْ مِنْهُ الْتِفَاتَةٌ نَحْوَ حَيْثُ صَلَّى ، فَرَأَى نَاسًا قِيَامًا ، فَقَالَ مَا يَصْنَعُ هَؤُلَاءِ ؟ قُلْتُ : يُسَبِّحُونَ, قَالَ : لَوْ كُنْتُ مُسَبِّحًا لَأَتْمَمْتُ صَلَاتِي ، يَا ابْنَ أَخِي ، إِنِّي صَحِبْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي السَّفَرِ ، فَلَمْ يَزِدْ عَلَى رَكْعَتَيْنِ حَتَّى قَبَضَهُ اللَّهُ ، وَصَحِبْتُ أَبَا بَكْرٍ فَلَمْ يَزِدْ عَلَى رَكْعَتَيْنِ حَتَّى قَبَضَهُ اللَّهُ ، وَصَحِبْتُ عُمَرَ فَلَمْ يَزِدْ عَلَى رَكْعَتَيْنِ حَتَّى قَبَضَهُ اللَّهُ ، ثُمَّ صَحِبْتُ عُثْمَانَ فَلَمْ يَزِدْ عَلَى رَكْعَتَيْنِ حَتَّى قَبَضَهُ اللَّهُ ، وَقَدْ قَالَ اللَّهُ : لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ


Maksudnya: “Saya mengiringi Ibn ‘Omar dalam perjalanan ke Mekah, beliau solat zohor bersama kami dua rakaat, kemudian beliau beredar dan kami juga beredar bersamanya sehinggalah beliau sampai ketempat barang-barangnya, kemudian beliau duduk dan kamipun duduk bersamanya, kemudian beliau menoleh ke arah tempat solat tadi, beliau melihat orang ramai berdiri (menunaikan solat lagi), lalu beliau bertanya: “Apa yang mereka itu lakukan?” aku menjawab: “Mereka menunaikan solat sunat rawatib.” Kata Ibn ‘Omar: “Kalaulah aku hendak menunaikan solat sunat rawatib sudah tentu aku akan tamamkan solatku (tidak qasarkan), wahai anak saudaraku, sesungguhnya aku pernah mengiringi Rasulullah SAW dalam permusafiran, baginda tidak solat lebih dari dua Rakaat (yakni baginda mengqasarkan solat yang 4 rakaat) sehinggalah baginda wafat. Au juga pernah mengiri Abu Bakar, beliau juga tidak pernah solat lebih dari dua rakaat sehingga beliau wafat, aku juga pernah mengiringi ‘Omar, beiau juga tidak pernah solat lebih dari dua rakaat, sehingga beliau wafat, kemudian aku pernah mengiringi ‘Uthman, tidak pernah beliau solat lebih dari dua rakaat sehingga beliau wafat. Sesungguhnya Allah berfirman: “Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu ada contoh teladan yang terbaik.”

Wallahu a’lam.
binsahak

Tuesday, September 16, 2008

Wajibkah bayar fidyah bagi orang yang melewatkan qadha puasa


Para ulama sepakat mengatakan orang yang tidak berpuasa disebabkan keuzuran wajib mengqadhakannya sebelum tibanya bulan Ramadhan yang berikutnya berdasarkan riwayat daripada al-Imam al-Bukhari dan Muslim daripada ‘Aisyah R.A. yang berkata:



كَانَ يَكُونُ عَلَيَّ الصَّوْمُ مِنْ رَمَضَانَ ، فَمَا أَسْتَطِيعُ أَنْ أَقْضِيَهُ إِلا فِي شَعْبَانَ ، وَذَلِكَ لِمَكَانِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ


Maksudnya: “Aku ada beberapa qadha puasa Ramadhan yang belum ditunaikan, aku tidak mampu melaksanakannya melainkan dalam bulan Sya’ban, disebabkan kesibukankan bersama Rasulullah SAW.”

Al-Hafidz Ibn Hajar al-‘Asqalani berkata:


وَيُؤْخَذ مِنْ حِرْصهَا عَلَى ذَلِكَ فِي شَعْبَان أَنَّهُ لا يَجُوز تَأْخِير الْقَضَاء حَتَّى يَدْخُلَ رَمَضَان آخَرُ


Maksudnya: “Dari kesungguhan ‘Aisyah melaksanakan qadha puasanya di dalam bulam Syaban dapat difahami tidak boleh melewatkan qadha sehingga masuknya ramadhan yang berikutnya.”

Orang yang melewatkan qadha Ramadhan hingga masuk Ramadhan yang berikutnya terbahagi kepada dua golongan:

1. Melewatkan qadha disebabkan ada keuzuran seperti sakit yang berterusan. Orang yang seperti ini hanya perlu mengqadhakan sahaja hari-hari puasa yang ditinggalkannya setelah dia sembuh.

2. Melewatkan qadha Ramadhan sehingga masuk ramadhan yang berikutnya tanpa ada keuzuran. Perbuatan sebegini adalah satu kesalahan dan dosa. Para ulama bersepakat mengatakan wajib mengqadhakan puasa tersebut, cumanya mereka berbeza pendapat apakah orang sebegini perlu qadha berserta dengan keluarkan fidyah ataupun tidak.

Mazhab Malik, al-Syafie dan Ahmad berpendapat orang sebegini wajib mengqadha beserta keluarkan fidyah berdasarkan perbuatan sebahagian sahabat seperi Abu Hurairah dan Ibn ‘Abbas R.’anhum yang melakukannya.

Manakala mazhab Hanafi berpendapat tidak perlu keluarkan fidyah, memadai dengan mengqadha sahaja puasa-puasa yang ditinggalkan. Ini kerana Allah SWT hanya menyuruh orang yang tidak berpuasa Ramadhan untuk mengqadhanya sahaja tanpa keluarkan fidyah. Firman Allah:



وَمَنْ كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ


Maksudnya: “Sesiapa yang (tidak berpuasa kerana) sakit atau dalam permusafiran, maka gantilah pada hari-hari yang lain.” (al-Baqarah: 185. Sila lihat al-Majmu’ 6/366, demikian juga al-Mughniy 4/400)

Pandangan yang kedua ini (pandangan Abu Hanifah) adalah pandangan yang dipilih oleh al-Imam al-Bukhari, di dalam sahihnya beliau berkata:


قَالَ إِبْرَاهِيمُ إِذَا فَرَّطَ حَتَّى جَاءَ رَمَضَانُ آخَرُ يَصُومُهُمَا وَلَمْ يَرَ عَلَيْهِ طَعَامًا ، وَيُذْكَرُ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ مُرْسَلا وَابْنِ عَبَّاسٍ أَنَّهُ يُطْعِمُ . ثم قال البخاري : وَلَمْ يَذْكُرِ اللَّهُ الإِطْعَامَ ، إِنَّمَا قَالَ : فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ


Maksudnya: “Berkata Ibrahim (yakni Ibrahim al-Nakha’ie), apabila seseorang meringankan qadha Ramadhan sehingga masuk Ramadhan yang berikutnya, hendaklah dia menqadha hari-hari yang ditinggalkannya dalam dua bulan tersebut dan beliau tidak berpandangan orang tersebut perlu keluarkan fidyah. Dikatakan dari Abu Hurairah secara mursal dan Ibn ‘Abbas yang mereka berdua keluarkan fidyah. Lalu al-Bukhari berkata: Allah tidak menyebut perlu keluarkan fidyah, hanya yang disebut oleh Allah ialah “Gantilah pada hari-hari yang lain.”

Al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin berkata:


وأما أقوال الصحابة فإن في حجتها نظراً إذا خالفت ظاهر القرآن ، وهنا إيجاب الإطعام مخالف لظاهر القرآن ، لأن الله تعالى لم يوجب إلا عدة من أيام أخر ، ولم يوجب أكثر من ذلك ، وعليه فلا نلزم عباد الله بما لم يلزمهم الله به إلا بدليل تبرأ به الذمة ، على أن ما روي عن ابن عباس وأبي هريرة رضي الله عنهم يمكن أن يحمل على سبيل الاستحباب لا على سبيل الوجوب ، فالصحيح في هذه المسألة أنه لا يلزمه أكثر من الصيام إلا أنه يأثم بالتأخير


Maksudnya: “Adapun pandangan-pandangan sahabat dalam penghujjahannya ada pendetailan, apabila pandangan tersebut menyalahi zahir al-Quran, dimana dlm persoalan ini, mewajibkan keluar fidyah bersalahan dengan zahir al-Quran, kerana Allah taala tidak mewajibkan (orang yang tidak berpuasa) melainkan menggantikannya pada hari-hari yang lain, dan Allah tidak mewajibkan lebih dari qadha sahaja. Berdasarkan ini, maka kita tidak boleh mewajibkan hamba-hamba Allah sesuatu yang tidak diwajibkan oleh Allah ke atas mereka, melainkan jika adanya dalil. Apa yang diriwayatkan dari Abu Hurairah dan Ibn ‘Abbas (yang menunjukkan mereka keluarkan fidyah) boleh difahami perbuatan itu adalah suatu yang digalakkan bukan sesuatu yang diwajibkan. Maka pandangan yang benar dalam masalah ini, orang yang melewatkan qadha puasa hanya perlu qadha puasa tersebut dan dia berdosa kerana melewatkannya.” (Syarh al-Mumti’ 6/451)

Kesimpulan

Orang yang melewatkan qadha puasa hingga masuk Ramadhan yang berikutnya hanya perlu qadha puasa tersebut dan bertaubat dari kesalahan melewatkan qadha (jika melakukan dengan sengaja), dan dia tidak wajib keluarkan fidyah. Namun jika dia keluarkan jika fidyah sebagai langkah berhati-hati, maka perbuatannya itu adalah sesuatu yang baik.

Wallahu a’lam.
binsahak


Friday, September 12, 2008

Macamana nak buat kalau dulu tak puasa

salam ustaz

Saya ingin bertanya tentang puasa yg telah ditinggalkan semasa remaja iaitu dari mula baligh, seingat saya sewaktu itu saya tidak menggantikan puasa saya sepenuhnya, bagaimanakah harus saya membayar fidyah atau ganti puasa semula, saya hanya menggantikan puasa saya sepenuhnya apabila saya tinggal di asrama dan semasa di IPTA saja..itu saja ustaz terima kasih.

Jawapan:

Orang yang tidak berpuasa ada tiga golongan:

1. Orang yang tidak berpuasa kerana ada keuzuran seperti sakit, bermusafir, wanita yang haid atau seumpamanya. Orang yang sebegini mereka hanya perlu menggantikan/qadha puasa yang mereka tinggalkan pada bila-bila masa yang mereka mahu sebelum masuk Ramadhan yang berikutnya. Allah SWT berfirman:

وَمَنْ كَانَ مَرِيضاً أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ

Maksudnya: "Dan sesiapa yang sakit atau dalam permusafiran, maka gantilah (puasa yang ditinggalkannya) pada hari-hari yang lain." (al-Baqarah: 185)

2. Orang yang tidak berpuasa, dan dia langsung tidak ada niat untuk berpuasa dalam bulan Ramadhan kerana malas, tak larat atau seumpamanya. Perbuatan ini termasuk di dalam dosa besar. Wajib ke atasnya bertaubat dengan taubat yang bersungguh-sungguh, memohon keampunan daripada Allah SWT dari kesalahannya dan perbanyakkan amalan sunat yang lainnya.

Orang sebegini TIDAK perlu menggantikan puasanya. Ini kerana puasa adalah ibadah yang ditentukan waktunya iaitulah dalam bulan Ramadhan. Jika selepas habis bulan Ramadhan dia tidak ada niat untuk berpuasa, maka dia telah ketinggalan melaksanakan ibadat tersebut pada waktunya. al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-'Uthaimin ketika ditanya dalam masalah ini berkata:

الصحيح : أن القضاء لا يلزمه إن تاب ؛ لأن كل عبادة مؤقتة بوقت إذا تعمد الإنسان تأخيرها عن وقتها بدون عذر : فإن الله لا يقبلها منه ، وعلى هذا فلا فائدة من قضائه ، ولكن عليه أن يتوب إلى الله عز وجل ويكثر من العمل الصالح ، ومن تاب تاب الله عليه .

Maksudnya: "Yang benarnya, orang yang bertaubat kerana sengaja tidak berpuasa, tidak perlu mengqadhanya, ini kerana setiap ibadat yang ditentukan waktunya, jika sengaja ditinggalkan dari waktunya tanpa ada keuzuran, sesungguhnya Allah tidak akan menerimanya. Berdasarkan ini tiada ada faedah mengqadhanya, akan tetapi orang seperti ini hendaklah bertaubat kepada Allah azza wajall, dan dia perbanyakkan amalan-amalan soleh, sesiapa yang mahu bertaubat, Allah menerima taubatnya." (Majmu' Fatawa al-Syeikh Ibn 'Uthaimin 19, soalan bilangan 41)

3. Orang yang berpuasa pada awal siang harinya, kemudian berbuka dengan sengaja. Perbuatannya ini adalah salah satu dosa yang besar, hendaklah dia bertaubat kepada ALlah SWT dan menggantikan puasa yang ditinggalkannya. Ini berdasarkan arahan Nabi SAW yang menyuruh orang yang berjima' di siang hari Ramadhan menunaikan kafarah, kemudian baginda bersabda:

صم يوماً مكانه

Maksudnya: "Puasalah sehari, sebagai ganti tempatnya (puasa yang dibatalkan)." (HR ABu Daud, Ibn Majah dan disahihkan oleh al-Albani di dalam Irwa' al-Ghalil)

wallahu a'lam.
binsahak

Wednesday, September 10, 2008

Wanita hamil meninggalkan puasa

Assalamualaikum wrm wrbt.

Permasalahan saya adalah mengenai cara pembayaran "fidayah" puasa. Saya hamil tahun lepas 2007. Disebabkan faktor kesihatan, saya telah meninggalkan puasa selama 30 hari. Setahu saya, jumlah fidayah sepatutnya 675 gram (secupak beras). Harap uztaz dapat menjelaskannya adakah saya boleh saya membayar fidayah di rumah anak2 yatim & mcmana dgn niat yg sepatutnya saya lafazkan semasa mebayar fidayah, berapakah fidayah yg sepatutnya di beri.

Jawapan:

Seorang wanita hamil yang meninggalkan puasa samaada bimbangkan dirinya ataupun bimbangkan anak kandungannya WAJIB menggantikan puasa yang telah ditinggalkannya. Maka dalam keadaan Puan, Puan WAJIB menggantikan semua puasa pada tahun 2007 tersebut. Tidak ada perkara lain yang perlu dilakukan selain qadha puasa-puasa yang ditinggalkan tersebut. Inilah pandangan dalam mazhab Hanafi, dan inilah pandangan yang lebih kuat berdasarkan penilaian dari al-Syeikh Dr. Salman al-'Audah.

Ya, terdapat ulama yang berpandangan wanita yang hamil hanya perlu membayar fidyah bagi setiap hari yang ditinggalkannya. Namun pandangan ini dinilai lemah oleh Dr. Salman al-'Audah.

Namun jika seorang wanita itu kerap mengandung, dan menjadi kesukaran untuk dia menggantikan puasa-puasa yang ditinggalkannya, Dr. Yusuf al-Qaradhawi berpendapat dia boleh mengambil pandangan ini, dan dia hanya perlu membayar fidyah tanpa menggantikannya.

Teks fatwa al-Qaradhawi:

أما إذاخافت الحامل أو خافت المرضع على الجنين أو على الولد، فقد اختلف العلماء بعد أن أجازوا لها الفطر بالإجماع هل عليها القضاء أم عليها الإطعام تطعم عن كل يوم مسكينًا، أم عليها القضاء والإطعام معًا، اختلفوا في ذلك، فابن عمر وابن عباس يجيزان لها الإطعام وأكثر العلماء على أن عليها القضاء، والبعض جعل عليها القضاء والإطعام، وقد يبدو لي أن الإطعام وحده جائز دون القضاء، بالنسبة لامرأة يتوالى عليها الحمل والإرضاع، بحيث لا تجد فرصة للقضاء، فهي في سنة حامل، وفي سنة مرضع،وفي السنة التي بعدها حامل .. وهكذا .. يتوالى عليها الحمل والإرضاع، بحيث لا تجد فرصة للقضاء، فإذا كلفناها قضاء كل الأيام التي أفطرتها للحمل أو للإرضاع معناها أنه يجب عليها أن تصوم عدة سنوات متصلة بعد ذلك، وفي هذا عسر، والله لا يريد بعبادهالعسر

Maksudnya: "Adapun jika wanita yang hamil dan menyusukan anak bimbang keselamatan kandungan atau bayinya, para ulama berbeza pendapat, setelah mereka semua bersepakat bolehnya berbuka, mereka berbeza pendapat apakah wanita tersebut perlu qadha atau perlu membayar fidyah atau kedua-duanya sekali. Para ulama berbeza pendapat dalam perkara ini. Ibn 'Omar dan Ibn 'Abbas mengharuskan wanita tersebut membayar fidyah, sedangkan kebanyakan ulama berpendapat wanita tersebut hanya perlu qadha, sebahagian yang lain pula berpendapat perlu qadha dan membayar fudyah. Pada pandangan ku (al-Qaradhawi) harus membayar fidyah sahaja tenpa perlu qadha bagi wanita yang berturutan mengandung dan menyusukan anak, dimana dia tidak ada ruang untuk menggantikan puasanya, seperti seorang wanita yang setahun mengandung, setahun yang berikutnya menyusukan anak, tahun yang berikutnya pula mengandung dan demikianlah seterusnya, dimana dia tidak ada masa untuk mengqadhakannya. Jika kita memberatkannya untuk qadha bagi setiap hari yang dia tinggalkan kerana hamil atau menyusukan anak, bermakna wajib ke atasnya puasa qadha selama beberapa tahun bersambungan, ini merupakan satu kesukaran, sedangkan ALlah tidak mahukan kesukaran untuk hamba-hambaNya." (Sumber: islamonline.net)

Apa yang puan perlu lakukan?


Selepas Ramadhan tahun 2008 ini, puan hendaklah menggantikan puasa-puasa tersebut dalam tempoh sebelum tibanya Ramadhan yang berikutnya. Puan tidak boleh melewatkan qadhanya dengan sengaja sehingga berlalu Ramadhan berikutnya. Jika perkara ini berlaku, maka ia merupakan satu kesalahan dan dosa.

Jika puan termasuk yang kerap mengandung, maka puan boleh mengambil fatwa al-Qaradhawi di atas.

Membayar fidyah

Untuk perincian persoalan membayar fidyah sila rujuk di sini: http://bin-sahak.blogspot.com/2008/09/fidyah-puasa.html

Fidyah hendaklah dibayar kepada orang fakir dan miskin, siapa yang termasuk di dalam kategori fakir dan miskin, maka dia boleh menerima fidyah. Adapun tentang lafaz, tidak ada sebarang lafaz yang khusus ketika membayar fidyah. Memadai dengan kita membayarnya kepada golongan yang berhak.

wallahu a'lam.
binsahak
(fatwa Dr. Salman al-Audah boleh dilihat di sini: http://www.islamtoday.net/pen/show_question_content.cfm?id=13334)

Fidyah Puasa


Ramai yang bertanyakan tentang cara membayar fidyah bagi orang yang tidak mampu berpuasa disebabkan keuzuran tua atau sakit yang tidak ada harapan untuk sembuh. Di bawah ini secara ringkas penjelasan pandangan-pandangan ulama dalam persoalan ini dan diterangkan juga tentang kadarnya dalam KG supaya mudah difahami dan diamalkan.

1. Mazhab Malik dan al-Syafie berpendapat kadar fidyah ialah satu MUD (مد) bagi setiap hari yang ditinggalkan. Inilah juga pandangan Towus (طاووس), Said ibn Jubair, al-Thauriy dan al-Auzaie.

2. Mazhab Hanafi pula berpandangan kadar fidyah ialah sebanyak satu SO’ (صاع) Tamar, atau Barli atau setengah SO’ daripada Gandum yang diberi makan kepada orang-orang miskin.

3. Mazhab Hambali pula berpendapat satu MUD gandum atau setengah SO’ Tamar atau Barli. (al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, jld 32, ms 67)


Kadar Fidyah dalam KG

Para ulama nampaknya berbeza pendapat dalam menentukan kadar fidyah. Ada yang kata satu SO’, ada pula yang kata satu MUD dan sebagainya. Kadar SO’ dan MUD itu pula berbeza-beza berdasarkan tempat. Secara ringkas:

1. Di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji (Jld 1, ms 350), berdasarkan mazhab al-Syafie menyebut:

“(Fidyah) ialah memberi makan (orang miskin) bagi setiap hari satu MUD daripada makanan asasi setiap tempat. Disedekahkan kepada orang fakir… Adapun satu MUD menyamai sukatan yang memenuhi dua tapak tangan (حَفْنَة : ملء الكفين), dan seberat satu Ritl (رِطْلٌ) 1/3 berdasarkan Ritl Baghdad, ia menyamai lebih kurang 600 gram.

Di dalam kamus al-Ghaniy (الغني) menyebut: Ritl menyamai 12 Uqiyyah (أُوقِيَّةً) atau 500 gram, dan ianya berbeza berdasarkan negeri.

2. Di dalam lamanweb islam-qa.com pula menyebut kadar fidyah itu ialah setengah (1/2) SO’ menyamai lebih kurang 1 kg setengah. Ini berdasarkan mazhab al-Hambali.

Pandangan Ulama Semasa

Dr. Yususf al-Qaradhawi berkata:


والفدية: طعام مسكين.
قدره بعض الفقهاء بمقدار (مد) وهو ربع صاع وبعضهم بصاع من تمر أو طعام إلا القمح، فجعل منه نصف صاع.
وبعضهم رأى إطعام المسكين ما يشبعه وهذا عندي هو الأرجح، وهو الذي أفتى به الصحابة وعملوا به مثل أنس، فقد أطعم بعد ما كبر عاما أو عامين عن كل يوم مسكينًا خبزًا ولحما وأفطر



Maksudnya:

"Fidyah: Memberi makan orang miskin.
Sebahagian fuqaha' berpendapat kadar fidyah ialah satu MUD bersamaan dengan 1/4 SO', manakala sebahagian yang lain berpendapat 1 SO’ Tamar, atau apa-apa makanan tidak termasuk gandum, jika dengan gandum ia menjadi 1/2 SO'. Sebahagian yang lain pula berpendapat (membayar fidyah dengan) memberi makan orang miskin dalam kadar yang mengeyangkan mereka. Inilah pandangan yang lebih rajih (benar) di sisiku (Dr. Yusuf al-Qaradhawi). Inilah yang telah difatwakan dan diamalkan oleh beberapa sahabat seperti Anas setelah dia uzur kerana tua selama setahun atau dua tahun dengan memberi makan setiap hari yang ditinggalkan seorang miskin dengan makanan roti (makanan asasi) dan daging.”
(sumber: al-Qaradhawi: Taisir al-Fiqh (Fiqh al-Siyam), ms. 70-71)


Cara membayar fidyah

Al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin berkata:


أما كيفية الإطعام، فله كيفيتان: الأولى: أن يصنع طعاماً فيدعو إليه المساكين بحسب الأيام التي عليه، كما كان أنس بن مالك -رضي الله عنه- يفعله لما كبر.
الثانية: أن يطعمهم طعاماً غير مطبوخ، قالوا: يطعمهم مد بر أو نصف صاع من غيره، أي: من غير البر، ومد البر هو ربع الصاع النبوي... لكن ينبغي في هذه الحال أن يجعل معه ما يؤدمه من لحم أو نحوه، حتى يتم قوله تعالى: وعلى الذين يطيقونه فدية طعام مسكين


Maksudnya: “Adapun cara memberi makan (orang miskin), terdapat dua cara: Pertama: Membuat makanan dan menjamunya kepada orang miskin sebanyak hari yang ditinggalkannya, sepertimana yang dilakukan oleh Anas bin Malik RA ketika beliau uzur disebabkan tua. Kedua: Memberi orang miskin makanan yang belum dimasak satu mud Barli atau setengah so’ dari makanan yang selainya (terdiri daripada makanan asasi), satu mud Barli menyamai ¼ so’ al-Nabawi… Sewajarnya disediakan juga bersamanya lauk seperti daging atau seumpamanya, agar tertunainya firman Allah: “Dan ke atas orang-orang yang tidak mampu berpuasa, hendaklah dia memberi makan orang miskin.”

Bolehkah menggantikan fidyah dengan memberi duit

Para ulama berbeza pendapat dalam masaalah ini. Lebih utama adalah memberi makan kepada orang miskin sebagai mematuhi asal arahan Allah SWT di dalam al-Quran. Namun jika ada kesukaran yang tidak dapat dielakkan bolehlah seseorang mengambil pandangan mazhan Hanafi yang membenarkan dikeluarkan wang sebagai ganti memberi makan. Pandangan ini disokong oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi.

Wallahu a’lam.
binsahak

Friday, September 5, 2008

Doa Jibril yang diaminkan Nabi SAW


Soalan:

Assalamualaikum! nak tanya ustaz sejauh mana kesahihan hadits tentang doa ini.

Do'a malaikat Jibril menjelang Ramadhan: "Ya Allah tolong abaikan puasa ummat Muhammad, apabila sebelum memasuki bulan Ramadhan dia tidak melakukan hal-hal yang berikut: * Tidak memohon maaf terlebih dahulu kepada kedua orang tuanya (jika masih ada); * Tidak berma'afan terlebih dahulu antara suami isteri; * Tidak bermaafan terlebih dahulu dengan orang-orang sekitarnya. Maka Rasulullah pun mengatakan Amiin sebanya.

Jawapan:

Kami tidak menemui teks hadith yang anda maksudkan. Adapun perbuatan Nabi mengucapkan amin ketika menaiki mimbar yang kami jumpai ialah hadith di bawah yang diriwayatkan oleh Ibn Hibban dan disahihkan oleh al-Albani di dalam Sahih al-Targhib:


عن أبي هريرة رضي الله عنه قال : صعد النبي صلى الله عليه وسلم المنبر فقال : آمين ، آمين ، آمين ، قيل يا رسول الله إنك صعدت المنبر فقلت : آمين آمين آمين ، قال : أتاني جبريل عليه الصلاة والسلام فقال : من أدرك شهر رمضان فلم يغفر له فدخل النار فأبعده الله ، قل : آمين ، فقلت : آمين ، فقال : يا محمد ، ومن أدرك أبويه أو أحدهما فلم يبرهما فمات فدخل النار فأبعده الله ، قل : آمين ، فقلت : آمين ، قال : ومن ذُكرتَ عنده فلم يصل عليك فمات فدخل النار فأبعده الله ، قل : آمين ، فقلت : آمين


Maksudnya: Daripada Abu Hurairah RA katanya: “Nabi SAW menaiki mimbar, kemudian baginda berkata: amin, amin, amin. Ditanya kepada baginda: “Wahai Rasulullah, tuan menaiki mimbar dan mengucapkan amin, amin, amin?” Baginda SAW menjawab: “Jibril AS datang kepadaku, dan berkata: “Sesiapa yang mendapati Ramadhan, lalu Allah tidak mengampunkan dosanya, dia akan dimasukkan ke dalam neraka dan Allah akan menjauhkannya, katakan (wahai Muhammad) amin,” Lalu aku (Nabi SAW) pun menyebut “amin”. Jibril berkata lagi: “Wahai Muhammad, sesiapa yang memiliki dua orang tuanya atau salah seorang mereka, namun dia tidak berbuat baik kepada mereka berdua, dia mati, dia akan dimasukkan ke dalam neraka, dan Allah akan menjauhkannya, katalah amin.” Lalu akupun berkata: “Amin”. Berkata Jibril lagi: “Sesiapa yang mendengar namamu disebut, tetapi dia tidak berselawat kepadamu, dia mati, dia akan dimasukkan ke dalam neraka, dan Allah akan menjauhkanya, katalah amin.” Lalu akupun menyebut: “Amin.”

Wallahu a’lam.
binsahak

Thursday, September 4, 2008

Keharusan mandi bagi orang yang berpuasa


Seorang yang berpuasa dibenarkan mandi disepanjang siang Ramadhan samaada untuk mandi junub atau selainnya.

‘A-isyah dan Ummu Salamah R’huma meriwayatkan:


أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُدْرِكُهُ الْفَجْرُ وَهُوَ جُنُبٌ مِنْ أَهْلِهِ ثُمَّ يَغْتَسِلُ وَيَصُومُ

Maksudnya: “Bahawasanya Rasulullah SAW pernah berada pada waktu fajar dalam keadaan berjunub kerana bersama isteri baginda, kemudian baginda mandi dan meneruskan puasa.” (HR al-Bukhari dan Muslim)

Ibn Hajar al-‘Asqalani di dalam Fathul Bari menyebut perkataan al-Qurtubi berkata:


في هذا فائدتان , إحداهما أنه كان يجامع في رمضان ويؤخر الغسل إلى بعد طلوع الفجر بيانا للجواز

Maksudnya: “Di dalam hadith ini terdua dua faedah, salah satunya, baginda (SAW) menyetubuhi isteri baginda pada malam Ramadhan dan baginda melewatkan mandi sehingga terbit fajar, ia merupakan penjelasan akan keharusannya (melewatkan mandi sehingga terbit fajar dalam bulan ramadhan)”

Di dalam riwayat lain bagi Muslim pula ada menyebut:


‏كَانَ النَّبِيُّ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏يُصْبِحُ جُنُبًا مِنْ غَيْرِ ‏ ‏حُلُمٍ ‏ ‏ثُمَّ يَصُومُ

Maksudnya: “Nabi SAW pernah berada dalam waktu Subuh dalam keadaan berjunub bukan disebabkan bermimpi, kemudian baginda meneruskan puasa.”

Demikian juga dibenarkan mandi untuk menyejukkan badan atau untuk tujuan lain. Abu Daud meriwayatkan dari beberapa sahabat Nabi SAW yang berkata:


رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُبُّ عَلَى رَأْسِهِ الْمَاءَ وَهُوَ صَائِمٌ مِنْ الْعَطَشِ أَوْ مِنْ الْحَرِّ

Maksudnya: “Saya melihat Rasulullah SAW mencurahkan air ke atas kepala baginda disebabkan dahaga atau panas, sedangkan baginda berpuasa.” (Hadith ini disahihkan oleh al-Albani di dalam Sahih Abu Daud)

Di dalam ‘Aun al-Ma’bud disebutkan:


فِيهِ دَلِيل عَلَى أَنَّهُ يَجُوز لِلصَّائِمِ أَنْ يَكْسِر الْحَرّ بِصَبِّ الْمَاء عَلَى بَعْض بَدَنه أَوْ كُلّه , وَقَدْ ذَهَبَ إِلَى ذَلِكَ الْجُمْهُور وَلَمْ يُفَرِّقُوا بَيْن الاغْتِسَال الْوَاجِبَة وَالْمَسْنُونَة وَالْمُبَاحَة


Maksudnya: “Pada hadith ini petunjuk harusnya bagi orang yang berpuasa menghilangkan kepanasan dengan menuangkan air ke atas sebahagian badannya atau keseluruhannya. Inilah pandangan jumhur (kebanyakan ulama), dan mereka tidak membezakan antara mandi yang wajib, sunat dan harus.”

Al-Imam al-Bukhari pula berkata:


بَاب اغْتِسَالِ الصَّائِمِ وَبَلَّ ابْنُ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا ثَوْبًا فَأَلْقَاهُ عَلَيْهِ وَهُوَ صَائِمٌ وَدَخَلَ الشَّعْبِيُّ الْحَمَّامَ وَهُوَ صَائِمٌ . . . وَقَالَ الْحَسَنُ لا بَأْسَ بِالْمَضْمَضَةِ وَالتَّبَرُّدِ لِلصَّائِمِ

Maksudnya: “Bab orang yang berpuasa mandi, dan Ibn ‘Umar RA pernah membasahkan pakaiannya dan mengenakannya pada badannya sedangkan dia berpuasa. Demikian juga al-Sya’biy pernah memasuki bilik air (untuk mandi) sedangkan dia berpuasa… al-Hasan pula berkata: “Tidak mengapa berkumur, dan menyejukkan badan bagi orang yang berpuasa.”

Al-Hafidz Ibn Hajar di dalam Fathul Bari menyebut:


( بَابٌ اِغْتِسَالُ الصَّائِمِ ) أَيْ بَيَانُ جَوَازِهِ . قَالَ الزَّيْنُ بْنُ الْمُنَيِّرِ : أَطْلَقَ الاغْتِسَالَ لِيَشْمَل الأَغْسَالَ الْمَسْنُونَةَ وَالْوَاجِبَة وَالْمُبَاحَة , وَكَأَنَّهُ يُشِير إِلَى ضَعْف مَا رُوِيَ عَنْ عَلِيٍّ مِنْ النَّهْي عَنْ دُخُول الصَّائِمِ الْحَمَّامَ أَخْرَجَهُ عَبْد الرَّزَّاق وَفِي إِسْنَادِهِ ضَعْفٌ

Maksudnya: “(perkataan al-Bukhari) Bab orang yang berpuasa mandi” yakni menerangkan keharusannya. Berkata al-Zain Ibn al-Munayyir: “termasuk mandi itu ialah mandi yang sunat, wajib dan harus. Dia seolah-olah mengisyaratkan akan kelemahan hadith yang diriwayatkan daripada ‘Ali yang melarang orang yang berpuasa memasuki bilik air (untuk mandi) yang diriwayatkan oleh Abdul Razzak, kerana di dalam sanad hadith itu adanya kelemahan.”

Wallahu a’lam.
binsahak

Wednesday, September 3, 2008

Orang yang berpuasa menggunakan pewangi mulut

Fatwa: Dr Soleh bin Fauzan al-Fauzan
Penterjemah: binsahak

Soalan:

Di farmasi ada dijual spray pewangi mulut, apakah harus menggunakan pewangi ini pada siang hari ramadhan untuk menghilangkan bau busuk mulut?

Jawapan:


يكفي عن استعمال البخاخ للفم في حالة الصيام استعمال السواك الذي حث عليه – صلى الله عليه وسلم-، وإذا استعمل البخاخ ولم يصل شيء إلى حلقه فلا بأس به، مع أن رائحة فم الصائم الناتجة عن الصيام ينبغي ألا تكره؛ لأنها أثر طاعة ومحبوبة لله عز وجل، وفي الحديث: "خلوف فم الصائم أطيب عند الله من ريح المسك" أخرجه البخاري (7492)، ومسلم (1151) من حديث أبي هريرة – رضي الله عنه

Cukuplah orang yang berpuasa menggunakan siwak untuk mewangikan mulutnya yang digalakkan oleh Nabi SAW, (namun) jika digunakan spray pewangi mulut dan ia tidak sampai ke halkum tidak mengapa. Disamping itu bau mulut orang yang berpuasa disebabkan puasanya tidak sepatutnya dibenci, kerana ianya kesan dari ketaatan dan suatu yang disukai oleh Allah AWJ. Di dalam hadith (Nabi SAW) bersabda:


"خلوف فم الصائم أطيب عند الله من ريح المسك"

Maksudnya: “Bau mulut orang yang berpuasa lebih wangi di sisi Allah berbanding bau kasturi.” (HR al-Bukhari dan Muslim dari hadith Abu Hurairah RA.)

Tuesday, September 2, 2008

Solat Tarawih 8 rakaat belakang imam buat 20

Soalan
Bismillah,
Assalamualaikum wa rahmatullah,

Bolehkah mamkum yang berkeyakinan bahawa solat tarawih hanya sahih 8 rakaat sahaja keluar daripada saf dan meninggalkan jemaah yang meneruskan solat tarawih hingga selesai 20 rakaat?

Tidakkah ini akan menyebabkan makmum tersebut kerugian kerana adanya hadith yang bermaksud "Sesiapa berdiri bersama imam sehingga tamat (selesai solat) ganjaran qiyammullail akan dicatatkan untuknya." (Riwayat Al-Tirmizi; 806)(Disahihkan oleh Al-Albani di dalam Sahih Al-Tirmizi;646).

Dipohon panduan mengenainya.

Jazakumullahu khairan.

Jawapan:
Ya, makmum yang berkeyakinan solat tarawih hanya 8 rakaat dia boleh meninggalkan solat tarawih yang jamaahnya mendirikan 20 rakaat. Namun dia tidak memperolehi kelebihan mendirikan solat malam, kerana dia tidak menghabiskan solatnya bersama imam. Nabi SAW bersabda:

مَنْ قَامَ مَعَ الإِمَامِ حَتَّى يَنْصَرِفَ كَتَبَ اللَّهُ لَهُ قِيَامَ لَيْلَةٍ

Maksudnya: “Sesiapa yang mendirikan solat bersama imam sehinggalah imam selesai, Allah tuliskan untuknya pahala seperti qiyam al-Lail.” (HR al-Nasai)

Namun dia memperoleh pahala solat tarawihnya secara berjamaah. Allah SWt berfirman:

فَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَه * وَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَه

Maksudnya: “Sesiapa yang melakukan amalan kebaikan sebesar zarrah, dia akan beroleh balasannya, dan siapa yang melakukan amalan kejahatan sebesar zarrah dia akan beroleh balasannya.” (al-Zalzalah: 7-

Anda juga boleh mengambil pandangan yang dilontarkan oleh al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-Munajjid di bawah ini:


سؤال:
إذا كان الأرجح في عدد ركعات التراويح هو أحد عشر ركعة وصليت في مسجد تقام فيه التراويح بإحدى وعشرين ركعة ، فهل لي أن أغادر المسجد بعد الركعة العاشرة أم من الأحسن إكمال الإحدى وعشرين ركعة معهم ؟

Maksudnya:
Soalan: “Jika yang rajah dlm bilangan rakaat tarawih ialah 11 rakaat, dan saya mendirikan tarawih di masjid yang menunaikannya sebanyak 21 rakaat, bolehkah saya meninggalkan masjid selepas rakaat yang ke 10, atau apakah lebih baik saya menyempurnakan 21 rakaat bersama mereka.”


الجواب:
الحمد لله
الأفضل إتمام الصلاة مع الإمام حتى ينصرف ولو زاد على إحدى عشرة ركعة لأنّ الزيادة جائزة لعموم قوله صلى الله عليه وسلم : " .. مَنْ قَامَ مَعَ الإِمَامِ حَتَّى يَنْصَرِفَ كَتَبَ اللَّهُ لَهُ قِيَامَ لَيْلَةٍ .. " رواه النسائي وغيره : سنن النسائي : باب قيام شهر رمضان . ولقوله صلى الله عليه وسلم : " صَلاةُ اللَّيْلِ مَثْنَى مَثْنَى فَإِذَا خَشِيتَ الصُّبْحَ فَأَوْتِرْ بِوَاحِدَةٍ " . رواه السبعة وهذا لفظ النسائي .
ولا شكّ أنّ التقيّد بسنة النبي صلى الله عليه وسلم هو الأولى والأفضل والأكثر أجرا مع إطالتها وتحسينها ، ولكن إذا دار الأمر بين مفارقة الإمام لأجل العدد وبين موافقته إذا زاد فالأفضل أن يوافقه المصلي للأحاديث المتقدّمة ، هذا مع مناصحة الإمام بالحرص على السنّة .

Maksudnya:
Jawapan: “Yang lebih afdhal adalah menyempurnakan solat bersama imam walaupun imam melakukan tarawih lebih dari 11 rakaat, kerana penambahan itu adalah harus berdasarkan keumuman sabda Nabi SAW: “(Maksudnya) “Sesiapa yang mendirikan solat bersama imam sehinggalah imam selesai, Allah tuliskan untuknya pahala seperti qiyam al-Lail.” Hadith ini diriwayatkan oleh al-Nasaie dan selainnya di dalam sunan al-Nasaie bawah bab qiyam syahr ramadhan, dan berdasarkan sabda Nabi SAW: “(Maksudnya) Sembahyang malam ini dua rakaat-dua rakaat, jika kamu bimbang masuknya subuh, maka kamu witirlah dengan satu rakaat.: Hadith riwayat al-Sab’ah dan lafaz ini adalah lafaz al-Nasaie.

Tidak diragukan bahawasanya terikat dengan sunnah Nabi SAW itu adalah yang lebih aula, lebih utama dan lebih banyak pahalanya bersama memelihara panjang dan baiknya menunaikan solat tarawih. Akan tetapi antara meninggalkan imam disebabkan rakaat dan menurutinya jika dia menambah rakaat (solat tarawih), maka yang lebih utama adalah mengikutnya berdasarkan hadith yang lalu, disamping kita menasihati imam untuk bersungguh mengikut sunnah.”

Wallahu a’lam.
binsahak