Wednesday, September 10, 2008

Wanita hamil meninggalkan puasa

Assalamualaikum wrm wrbt.

Permasalahan saya adalah mengenai cara pembayaran "fidayah" puasa. Saya hamil tahun lepas 2007. Disebabkan faktor kesihatan, saya telah meninggalkan puasa selama 30 hari. Setahu saya, jumlah fidayah sepatutnya 675 gram (secupak beras). Harap uztaz dapat menjelaskannya adakah saya boleh saya membayar fidayah di rumah anak2 yatim & mcmana dgn niat yg sepatutnya saya lafazkan semasa mebayar fidayah, berapakah fidayah yg sepatutnya di beri.

Jawapan:

Seorang wanita hamil yang meninggalkan puasa samaada bimbangkan dirinya ataupun bimbangkan anak kandungannya WAJIB menggantikan puasa yang telah ditinggalkannya. Maka dalam keadaan Puan, Puan WAJIB menggantikan semua puasa pada tahun 2007 tersebut. Tidak ada perkara lain yang perlu dilakukan selain qadha puasa-puasa yang ditinggalkan tersebut. Inilah pandangan dalam mazhab Hanafi, dan inilah pandangan yang lebih kuat berdasarkan penilaian dari al-Syeikh Dr. Salman al-'Audah.

Ya, terdapat ulama yang berpandangan wanita yang hamil hanya perlu membayar fidyah bagi setiap hari yang ditinggalkannya. Namun pandangan ini dinilai lemah oleh Dr. Salman al-'Audah.

Namun jika seorang wanita itu kerap mengandung, dan menjadi kesukaran untuk dia menggantikan puasa-puasa yang ditinggalkannya, Dr. Yusuf al-Qaradhawi berpendapat dia boleh mengambil pandangan ini, dan dia hanya perlu membayar fidyah tanpa menggantikannya.

Teks fatwa al-Qaradhawi:

أما إذاخافت الحامل أو خافت المرضع على الجنين أو على الولد، فقد اختلف العلماء بعد أن أجازوا لها الفطر بالإجماع هل عليها القضاء أم عليها الإطعام تطعم عن كل يوم مسكينًا، أم عليها القضاء والإطعام معًا، اختلفوا في ذلك، فابن عمر وابن عباس يجيزان لها الإطعام وأكثر العلماء على أن عليها القضاء، والبعض جعل عليها القضاء والإطعام، وقد يبدو لي أن الإطعام وحده جائز دون القضاء، بالنسبة لامرأة يتوالى عليها الحمل والإرضاع، بحيث لا تجد فرصة للقضاء، فهي في سنة حامل، وفي سنة مرضع،وفي السنة التي بعدها حامل .. وهكذا .. يتوالى عليها الحمل والإرضاع، بحيث لا تجد فرصة للقضاء، فإذا كلفناها قضاء كل الأيام التي أفطرتها للحمل أو للإرضاع معناها أنه يجب عليها أن تصوم عدة سنوات متصلة بعد ذلك، وفي هذا عسر، والله لا يريد بعبادهالعسر

Maksudnya: "Adapun jika wanita yang hamil dan menyusukan anak bimbang keselamatan kandungan atau bayinya, para ulama berbeza pendapat, setelah mereka semua bersepakat bolehnya berbuka, mereka berbeza pendapat apakah wanita tersebut perlu qadha atau perlu membayar fidyah atau kedua-duanya sekali. Para ulama berbeza pendapat dalam perkara ini. Ibn 'Omar dan Ibn 'Abbas mengharuskan wanita tersebut membayar fidyah, sedangkan kebanyakan ulama berpendapat wanita tersebut hanya perlu qadha, sebahagian yang lain pula berpendapat perlu qadha dan membayar fudyah. Pada pandangan ku (al-Qaradhawi) harus membayar fidyah sahaja tenpa perlu qadha bagi wanita yang berturutan mengandung dan menyusukan anak, dimana dia tidak ada ruang untuk menggantikan puasanya, seperti seorang wanita yang setahun mengandung, setahun yang berikutnya menyusukan anak, tahun yang berikutnya pula mengandung dan demikianlah seterusnya, dimana dia tidak ada masa untuk mengqadhakannya. Jika kita memberatkannya untuk qadha bagi setiap hari yang dia tinggalkan kerana hamil atau menyusukan anak, bermakna wajib ke atasnya puasa qadha selama beberapa tahun bersambungan, ini merupakan satu kesukaran, sedangkan ALlah tidak mahukan kesukaran untuk hamba-hambaNya." (Sumber: islamonline.net)

Apa yang puan perlu lakukan?


Selepas Ramadhan tahun 2008 ini, puan hendaklah menggantikan puasa-puasa tersebut dalam tempoh sebelum tibanya Ramadhan yang berikutnya. Puan tidak boleh melewatkan qadhanya dengan sengaja sehingga berlalu Ramadhan berikutnya. Jika perkara ini berlaku, maka ia merupakan satu kesalahan dan dosa.

Jika puan termasuk yang kerap mengandung, maka puan boleh mengambil fatwa al-Qaradhawi di atas.

Membayar fidyah

Untuk perincian persoalan membayar fidyah sila rujuk di sini: http://bin-sahak.blogspot.com/2008/09/fidyah-puasa.html

Fidyah hendaklah dibayar kepada orang fakir dan miskin, siapa yang termasuk di dalam kategori fakir dan miskin, maka dia boleh menerima fidyah. Adapun tentang lafaz, tidak ada sebarang lafaz yang khusus ketika membayar fidyah. Memadai dengan kita membayarnya kepada golongan yang berhak.

wallahu a'lam.
binsahak
(fatwa Dr. Salman al-Audah boleh dilihat di sini: http://www.islamtoday.net/pen/show_question_content.cfm?id=13334)

0 comments: