Kedudukan
Mengangkat Tangan Ketika Khatib Berdoa Pada Hari Jumaat
Oleh: Mohamad
Abdul Kadir bin Sahak
Pada asalnya
seseorang yang berdoa adalah dengan mengangkat kedua belah tangannya berdasarkan
sabda Nabi SAW:
إنَّ اللَّهَ
حَيِيٌّ كَرِيمٌ يَسْتَحْيِي إِذَا رَفَعَ الرَّجُلُ إِلَيْهِ يَدَيْهِ أَنْ
يَرُدَّهُمَا صِفْرًا خَائِبَتَيْنِ
Maksudnya: “Sesungguhnya
Allah Pemalu dan Pemurah apabila seseorang mengangkat kedua belah tangan berdoa
kepadaNya, lalu orang itu menjatuhkan kedua tangannya dalam keadaan tidak
memperolehi apa-apa.” (HR al-Tirmizi (3556). Dinilai Sahih oleh al-Albani
di dalam Sahih al-Tirmizi)
Di dalam kitab
syarah kepada Sunan al-Tirmizi, Tuhfah al-Ahwazi dinyatakan: “Di
dalam hadis ini terdapat petunjuk akan sunatnya mengangkat dua tangan di dalam
doa dan hadis-hadis tentang hal ini adalah banyak sekali.”
NAMUN, keadaan ini terkecuali
bagi Khatib yang berdoa pada hari Jumaat di dalam Khutbah. Perkara yang sebenar
bagi seorang khatib ketika berdoa di dalam khutbah ialah dengan hanya mengisyaratkan
dengan jari telunjuknya. Demikian juga makmum. Mereka tidak perlu mengangkat
tangan ketika mengaminkan doa khatib ketika khutbah Jumaat kerana mengikuti
perbuatan khatib.
Sebuah hadis yang
diriwayatkan daripada ‘Umarah bin Ru’aibah (عُمَارَةَ بْنِ رُؤَيْبَةَ seorang sahabi), bahawa beliau pernah melihat Bisyr bin
Marwan (بِشْرَ بْنَ
مَرْوَانَ) berada di atas mimbar berkhutbah dalam keadan mengangkat kedua
tangannya – dalam riwayat Abu Daud ada tambahan: “Dia sedang berdoa pada
(khutbah) hari Jumaat.” – Lalu Bisyr berkata:
قَبَّحَ اللَّهُ هَاتَيْنِ
الْيَدَيْنِ لَقَدْ رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
مَا يَزِيدُ عَلَى أَنْ يَقُولَ بِيَدِهِ هَكَذَا وَأَشَارَ بِإِصْبَعِهِ
الْمُسَبِّحَةِ
Maksudnya: “Semoga
Allah memburukkan kedua belah tangannya. Sesungguhnya daku telah melihat
Rasulullah SAW tidak pernah menambah lebih dari berdoa dengan tangan baginda
sebegini.” Lalu beliau mengisyaratkan dengan telunjuknya.” (HR Muslim 874
dan Abu Daud 1104)
Al-Imam al-Nawawi
ketika mensyarahkan hadis ini berkata:
فيه أن السنة أن لا يرفع اليد في
الخطبة وهو قول مالك وأصحابنا وغيرهم
Maksudnya: “Pada hadis ini, bahawa Sunnah ialah tidak diangkat tangan ketika (berdoa) khutbah (Jumaat), dan inilah pandangan Malik dan Ashab kami (mazhab al-Syafie) dan selain mereka.” (Lihat Syarah Sahih Muslim oleh al-Nawawi 6/162)
Al-Mubarakfuri di
dalam Tuhfah al-Ahwazi menyatakan pula:
والحديث يدل على كراهة رفع الأيدي على المنبر حال الدعاء
Maksudnya: “Dan
hadis ini menunjukkan makruhnya mengangkat tangan di atas mimbar ketika berdoa.”
(Tuhfah al-Ahwazi cetakan Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, oleh Muhammad bin
‘Abd al-Rahman bin ‘Abd al-Rahim al-Mubarakfuri. Kitab al-Jumu’ah ‘An
Rasulillah SAW – Bab Ma Ja’a Fi Karahiyyah Raf’i al-Aidi ‘Ala al-Mimbar. Hadis:
515)
Tidak dinafikan terdapat juga
pandangan yang mengatakan, sunat seorang khatib mengangkat kedua belah
tangannya ketika berdoa di dalam khutbah Jumaat. Dengan alasan bahawa hukum
asal ketika berdoa adalah dengan mengangkat kedua belah tangan secara mutlak.
Namun pandangan ini dianggap lemah berdasarkan alasan-alasan berikut:
1. Hadis-hadis yang menunjukkan tidak sunat mengangkat
kedua belah tangan ketika berdoa dalam khutbah Jumaat adalah hadis-hadis yang
Khas. Maka berdasarkan kaedah al-Khas hendaklah didahulukan berbanding
yang al-‘Am.
2. Banyak tempat berdoa ketika di dalam solat antaranya
ketika Doa al-Iftitah, doa ketika duduk antara dua sujud, ketika
al-Tasyahhud dan seumpamanya. Jika berdasarkan kaedah umum asal
doa adalah dengan mengangkat tangan. Maka apakah sunat mengangkat tangan di
dalam solat pada tempat-tempat ini?
-
Jika ada yang
mengatakan Sunat. Maka sesungguhnya pandangan tersebut telah menyalahi Sunnah
yang diamalkan oleh generasi umat Islam sepanjang zaman.
-
Jika dikatakan
tidak disyariatkan mengangkat kedua belah tangan pada situasi-situsi dalam
solat tersebut disebabkan tidak dinukilkan kepada kita dari perbuatan Nabi SAW.
Maka jawapan yang sama digunakan dalam persoalan mengangkat dua tangan ketika
berdoa di dalam khutbah Jumaat. Bahkan tidak disyari’atkan mengangkat kedua
belah tangan di dalam khutbah Jumaat adalah lebih kuat kerana terdapat nukilan
yang menafikan baginda mengangkat kedua belah tangan iaitulah antaranya hadis
daripada ‘Umarah bin Ru’aibah.
3. Jika dikatakan pula, hadis ‘Umarah bin Ru’aibah terdapat
penafian mengangkat tangan ketika berdoa di dalam khutbah Jumaat. Namun di
dalam hadis lain terdapat pengithbatan (المُثْبِت) iaitulah Nabi SAW mengangkat kedua belah tangan ketika berdoa
al-Istisqa’. Maka kaedah menyatakan المثبت مقدم على النافي iaitulah:
“Yang mengithbathkan hendaklah didahulukan berbanding yang menafikan.” Maka
jawapannya adalah seperti berikut:
-
Kaedah تقديم
المثبت على النافي di sisi jumhur ulama diamalkan ketika tidak
dapat dilaksanakan الجمع atau
menggabungkan dalil-dalil. Dalam permasalahan ini, hadis tentang baginda
mengangkat kedua tangan ketika berdoa al-Istisqa’ di dalam khutbah itu boleh diJAMAKkan
dengan difahami pensyariatan mengangkat tangan HANYA ketika doa al-Istisqa di
dalam khutbah. Maka hadis ‘Umarah bin Ru’aibah tetap diamalkan dengan
dikekalkan larangan itu di dalam doa khutbah Jumaat selain al-Istisqa’.
-
Selain itu tidak
boleh diterima pandangan yang mengatakan hadis ‘Umarah bin Ru’aibah terdapat
penafian sahaja. Sebaliknya hadis ini sebenarnya terdapat penafian dan
pengithbatan. Dimana di dalam hadis ini ada pengithbatan sifat doa yang
disyariatkan ketika berkhutbah Jumaat iaitulah dengan berisyarat dengan jari
telunjuk. Maka dalam berinteraksi dengan dua hadis ini, kaedah تقديم
المثبت على النافي tidak dapat dipraktikkan.
Wallahu a’lam.
0 comments:
Post a Comment