Wednesday, November 26, 2014

Pencerahan Tambahan Terhadap Hadis Malik al-Dar Berkaitan Meminta Tolong Ke Kubur Nabi SAW

Hadits Malik al-Dar

Daripada Ibn Abi Syaibah, daripada al-A’masyh, daripada Abi Soleh al-Samman, daripada Malik al-Dar katanya:

أَصَابَ النَّاسَ قَحْطٌ فِي زَمَنِ عُمَرَ ، فَجَاءَ رَجُلٌ إلَى قَبْرِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ : يَا رَسُولَ اللَّهِ ، اسْتَسْقِ لِأُمَّتِك فَإِنَّهُمْ قَدْ هَلَكُوا ، فَأَتَى الرَّجُلَ فِي الْمَنَامِ فَقِيلَ لَهُ ائْتِ عُمَرَ فَأَقْرِئْهُ السَّلَامَ ، وَأَخْبِرْهُ أَنَّهُمْ يُسْقَوْن

Maksudnya: “Orang ramai ditimpa dengan kemarau di zaman ‘Omar. Lalu datang seorang lelaki ke kubur Nabi SAW dan berkata: “Wahai Rasulullah, pohonlah hujan untuk ummatmu, kerana sesungguhnya mereka semua telah (hampir) binasa. Lalu di dalam mimpi lelaki tersebut didatangi seseorang, dan dikatakan kepadanya, pergilah kepada ‘Umar dan sampaikan kepadanya al-Salam, khabarkan kepadanya yang mereka semua akan memperolehi hujan.” (Dikeluarkan oleh Ibn Abi Syaibah di dalam al-Musannaf 6/356. Al-Hafiz Ibn Kathir di dalam al-Bidayah mengatakan “Isnad hadis ini sahih.” )

Hadis ini dijadikan hujah bolehnya meminta pertolongan kepada orang yang telah mati, terutamanya Nabi SAW. Dengan hadis ini sebahagian golongan merasakan perbuatan mereka meminta tolong kepada Nabi setelah kewafatan baginda adalah dibolehkan, terutamanya apabila beberapa ulama seperti al-Hafidz Ibn Kathir mengatakan Sanad hadis ini Sahih. Demikian juga al-Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani.


Jawapan dan Bantahan

Terdapat beberapa perkara yang perlu diperhatikan berkaitan hadis ini:

1)    Al-Hafiz Ibn Kathir di dalam al-Bidayah wa al-Nihayah[1] menyertakan dua riwayat hadis ini. Yang pertama melalui riwayat Saif dan yang kedua melalui riwayat al-Baihaqi. riwayat Saif adalah seperti berikut:


رَوَى سَيْفٌ ، عَنْ مُبَشِّرِ بْنِ الْفُضَيْلِ ، عَنْ جُبَيْرِ بْنِ صَخْرٍ ، عَنْ  عَاصِمِ بْنِ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ ، أَنَّ رَجُلًا مِنْ مُزَيْنَةَ عَامَ الرَّمَادَةِ سَأَلَهُ أَهْلُهُ أَنْ يَذْبَحَ لَهُمْ شَاةً ، فَقَالَ : لَيْسَ فِيهِنَّ شَيْءٌ . فَأَلَحُّوا عَلَيْهِ فَذَبَحَ شَاةً ، فَإِذَا عِظَامُهَا حُمْرٌ ، فَقَالَ : يَا مُحَمَّدَاهُ . فَلَمَّا أَمْسَى أُرِيَ فِي الْمَنَامِ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ ، صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، يَقُولُ لَهُ : " أَبْشِرْ بِالْحَيَا ، ائْتِ عُمَرَ فَأَقْرِئْهُ مِنِّي السَّلَامَ وَقُلْ لَهُ : إِنَّ عَهْدِي بِكَ وَفِي الْعَهْدِ ، شَدِيدَ الْعَقْدِ ، فَالْكَيْسَ الْكَيْسَ يَا عُمَرُ" . فَجَاءَ حَتَّى أَتَى بَابَ عُمَرَ فَقَالَ لِغُلَامِهِ : اسْتَأْذِنْ لِرَسُولِ رَسُولِ اللَّهِ ، صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، . فَأَتَى عُمَرَ فَأَخْبَرَهُ فَفَزِعَ ، ثُمَّ صَعِدَ عُمَرُ الْمِنْبَرَ فَقَالَ لِلنَّاسِ : أَنْشُدُكُمْ بِالَّذِي هَدَاكُمْ لِلْإِسْلَامِ ، هَلْ رَأَيْتُمْ مِنِّي شَيْئًا تَكْرَهُونَهُ ؟ فَقَالُوا : اللَّهُمَّ لَا ، وَعَمَّ ذَاكَ ؟ فَأَخْبَرَهُمْ بِقَوْلِ الْمُزَنِيِّ - وَهُوَ بِلَالُ بْنُ الْحَارِثِ -فَفَطِنُوا وَلَمْ يَفْطَنْ . فَقَالُوا : إِنَّمَا اسْتَبْطَأَكَ فِي الِاسْتِسْقَاءِ فَاسْتَسْقِ بِنَا . فَنَادَى فِي النَّاسِ ، فَخَطَبَ فَأَوْجَزَ ، ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ فَأَوْجَزَ ، ثُمَّ قَالَ : اللَّهُمَّ عَجَزَتْ عَنَّا أَنْصَارُنَا ، وَعَجَزَ عَنَّا حَوْلُنَا وَقُوَّتُنَا ، وَعَجَزَتْ عَنَّا أَنْفُسُنَا ، وَلَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِكَ ، اللَّهُمَّ فَاسْقِنَا وَأَحْيِ الْعِبَادَ وَالْبِلَادَ

Riwayat Saif ini diletakkan sebelum riwayat al-Baihaqi. Dimana riwayat Saif ini adalah penjelas kepada maksud الكيس berbanding riwayat al-Baihaqi. Kerana itu beliau meletakkan riwayat al-Baihaqi di tempat yang kedua dan riwayat Saif di tempat pertama. Ini yang dimaksudkan oleh al-Hafiz Ibn Kathir seperti yang dijelaskan oleh al-Syeikh Soleh Aali al-Syeikh di dalam Hazihi Mafahimuna.

Al-Hafidz Ibn Kathir hendak menjelaskan, sekalipun dengan hadis yang dhoief ini, ia menunjukkan tidak disyariatkan pergi meminta tolong ke kubur Nabi SAW dan tindakan lelaki itu pergi ke kubur Nabi adalah suatu yang salah lagi mungkar dan tidak disyariatkan.

Isyarat ini terdapat di dalam riwayat Saif dan tiada di dalam riwayat al-Baihaqi. Dimana dikatakan Nabi SAW bersabda:

 “Berlaku bijaklah wahai ‘Umar berlaku bijaklah.”

Iaitulah berlaku bijak dengan segera menunaikan solat al-Istisqa apabila berlaku kemarau panjang. Bukan membiarkan perkara yang tidak disyariatkan berlaku seperti yang dilakukan oleh lelaki tersebut sehingga pergi ke kubur Nabi. Sebaliknya hendaklah menunaikan al-Istisqa. Arahan ini tidak difahami oleh ‘Umar, namun difahami oleh para sahabat lainnya. Kerana itu di dalam riwayat Saif dinyatakan:
ففطنوا ولم يفطن

Maksudnya: “Maka mereka semua faham, akan tetapi ‘Umar masih belum faham.”

Dalam riwayat Saif ini ada dinyatakan setelah lelaki yang bermimpi itu datang kepada ‘Umar dan menceritakan mimpinya bertemu dengan Nabi SAW dan baginda berkata:

إِنَّ عَهْدِي بِكَ وَفِي الْعَهْدِ ، شَدِيدَ الْعَقْدِ ، فَالْكَيْسَ الْكَيْسَ يَا عُمَرُ

Maksudnya: “Sesungguhnya janjiku denganmu dan janjiku itu amat kukuh ikatannya, justeru bijaklah wahai ‘Umar bijaklah.”

Setelah itu di dalam riwayat Saif ini dinyatakan: “kemudian ‘Umar menaiki mimbar dan berkata kepada orang ramai:

أَنْشُدُكُمْ بِالَّذِي هَدَاكُمْ لِلْإِسْلَامِ ، هَلْ رَأَيْتُمْ مِنِّي شَيْئًا تَكْرَهُونَهُ ؟ 

Maksudnya:  “Aku benar-benar bertanyakan kepada kamu semua dengan zat yang telah menghidayahkan kamu semua dengan Islam. Apakah kamu semua ada melihat dariku sesuatu yang kamu semua tidak suka?”

‘Umar melakukan perkara ini kerana beliau bimbang jika ada berlaku dari pihaknya sesuatu pengabaian terhadap hak Allah atau hak orang ramai, sehingga Nabi SAW mengucapkan sedemikian kepada beliau. Lalu orang ramai menjawab:

اللهم لا، وعم ذاك ؟

Maksudnya: “Tiada, dan mengapa engkau bertanyakan demikian?”

Lalu ‘Umar menceritakan kepada mereka semua perkhabaran al-Muzani – beliau ialah Bilal bin al-Harith – lalu mereka semua faham, namun ‘Umar masih belum faham.” Lalu orang ramai berkata kepada ‘Umar:

إنما استبطأك في الاستسقاء فاستسق بنا

Maksudnya: “Hanyasanya engkau telah lewat  melaksanakan al-Istisqa, maka lakukan al-Istisqa dengan kami.” [2]

Maka para sahabat menjelaskan maksud: فالكيس الكيس “Berlaku bijaklah ‘Umar berlaku bijaklah.” adalah bimbingan agar segera menunaikan al-Istisqa (Solat minta hujan), bukan dengan mengabaikan solat al-Istisqa yang disyariatkan ketika kemarau sehingga berlaku perkara yang tidak disyariatkan seperti yang dilakukan oleh lelaki tersebut yang pergi ke kubur Nabi SAW.

Inilah kefahaman yang boleh diambil dari susunan dua hadis ini oleh al-Hafidz Ibn Kathir. Namun kedua-kedua riwayat ini adalah Dhoief (lemah). Sekalipun demikian hadis yang dhoief ini membuktikan cara yang sebenarnya ialah beristisqa, bukan meminta pertolongan dengan cara yang tidak disyariatkan dengan pergi ke kubur Nabi SAW seperti yang dilakukan oleh lelaki tersebut. Maka hendaklah setiap orang memerhatikan perkara ini sehingga menjadi jelas kepadanya maksud dan tujuan para huffaz hadis dan ketelitian dalam penulisan mereka.

Kerana itu, tidak ada walaupun seorang dari kalangan sahabat yang melakukan perbuatan yang sama dengan lelaki tersebut yang pergi ke kubur Nabi SAW untuk meminta diturunkan hujan. Sebaliknya semua para sahabat menunaikan al-IStisqa apabila berlakunya kemarau panjang. [3]


2)    Hadis yang disenaraikan oleh al-Hafidz Ibn Kathir dari riwayat al-Baihaqi di dalam Dala’il al-Nubuwwah memiliki banyak masalah dan kecacatan, iaitulah:

i)                    ‘An’anah al-A’masyh, dan beliau seorang Mudallis. Seorang periwayat yang Mudallis tidak diterima riwayatnya melainkan jika dia meriwayatkan dengan lafaz Haddathana, Akhbarana dan seumpamanya. Bukan dengan riwayat قال atau عن yang berkemungkinan dia mengambil hadis itu dari seorang yang boleh menjadikan hadis lemah jika menyebut namanya.

ii)            Malik al-Dar yang menjadi sandaran riwayat ini adalah seorang yang tidak dikenali (majhul).  Al-Hafidz Ibn Kathir hanya menilai sahih Isnad hadis ini berdasarkan caranya atau mazhabnya dalam menghukum thiqah rawi-rawi majhul dari kalangan Kibar Tabi’ien sepertimana yang dapat diketahui bagi sesiapa yang meneliti kaedahnya di dalam kitab Tafsir beliau dan selainnya.

iii)           Abu Soleh yang terdapat di dalam Sanad adalah Zakwan, iaitulah yang meriwayatkan dari Malik al-Dar. Tidak diketahui apakah dia benar-benar mendengar dan berjumpa dengan Malik al-Dar. Kerana tidak dapat dikenalpasti tarikh wafatnya Malik al-Dar. Terutamanya hadis ini diriwayatkan dengan ‘an’anah yang sebenarnya menjadi tempat al-Inqito’ (sanad terputus), bukan sekadar Tadlis.

iv)           Menyendirinya Malik seorang periwayat yang tidak dikenali meriwayatkan peristiwa besar seperti ini dan keperitan yang membelenggu orang ramai. Bagaimana beliau boleh menyendiri meriwayatkannya, sedangkan para sahabat sentiasa memberi perhatian dalam meriwayatkan peristiwa-peristiwa seumpama ini? Jika para sahabat lain tidak meriwayatkannya dalam keadaan peristiwa ini ada sebab yang besar untuk diriwayatkan, maka menunjukkan peristiwa itu sebenarnya tidak berlaku seperti yang disangka oleh Malik al-Dar, barangkali peristiwa itu hanya sangkaan beliau sahaja. [4]

v)            Kisah ini bertentangan dengan apa yang telah pasti dari sunnah apabila berlakunya kemarau panjang. Iaitulah galakan mendirikan solat al-Istisqa bagi memohon kepada Allah SWT agar diturunkan hujan. Perkara ini terdapat banyak bukti dari hadis-hadis Nabi SAW.



3)    PENJELASAN TERHADAP SALAH FAHAM DENGAN PERKATAAN ULAMA: “ISNAD HADIS INI SAHIH”

al-Hafidz Ibn Kathir setelah menyenaraikan hadis Malik al-Dar ini melalui riwayat al-Baihaqi, beliau berkata:
وَهَذَا إِسْنَادٌ صَحِيحٌ
Maksudnya: “Dan Isnad ini adalah Sahih.”
Perkataan beliau ini hanya bermaksud sahih dari segi Sanad sahaja. Belum bermaksud HADIS ini SAHIH. Hal ini kerana sesuatu hadis sebelum dihukum sebagai Hadis Sahih mestilah memenuhi syarat-syaratnya. Kerana itu ulama memberikan definasi kepada Hadis Sahih sebagai:

الصحيح ما اتصل سنده بنقل العدل الضابط عن مثله وسلم عن شذوذ وعلة

Maksudnya: “Hadis yang Sahih ialah hadis yang bersambung sanadnya melalui nukilan periwayat yang adil lagi dhobith dari periwayat yang sepertinya (sehingga ke hujung sanad) juga bebas dari Syuzuz dan Illah.” [5]

Oleh itu Sahih sesuatu sanad hadis tidak semestinya menunjukkan hadis itu sahih. Al-Hafidz Ibn Kathir sendiri menyatakan:

الحكم بالصحة أو الحسن على الإسناد لا يلزم منه الحكم بذلك على المتن، إذ قد يكون شاذاً أو معللاً
Maksudnya: “Hukum Sahih atau Hasan ke atas sesuatu Sanad tidak semestinya menunjukkan hukum yang sama ke atas Matan, ketikamana kadang-kala (Matan) itu Sayz atau Mu’allal.” [6]

Al-Hafidz Ibn Salah berkata:

قولهم : ( هذا حديث صحيح الإسناد أو حسن الإسناد ) دون قولهم : ( هذا حديث صحيحأو حديث حسن ) لأنه قد يقال : هذا حديث صحيح الإسناد ، ولا يصح لكونه شاذا أو معللا

Maksudnya: “Perkataan mereka (para ulama hadis): “Hadis ini Sahih al-Isnad” atau: “Hasan al-Isnad” tidak sama dengan perkataan mereka (para ulama hadis):: “Hadis ini Sahih” atau: “Hadis Hasan.” Ini kerana kadang-kala dikatakan: “Hadis ini Sahih al-Isnad,” akan tetapi hadis itu tidak Sahih kerana ianya Syaz atau Mu’allal.” [7]

Kerana itu al-Syeikh ‘Abd al-Salam Aali ‘Abd al-Karim pentahkik kepada kitab al-Sawa’iq al-Mursalah al-Syihabiyyah berkata tentang riwayat Malik al-Dar ini:

أنَّ هذه القصة منكرة المتن، لمخالفتها ما ثبت في الشرع من استحباب إقامة صلاة الاستسقاء في مثل هذه الحالات. ولمخالفتها ما اشتهر وتواتر عن الصحابة والتابعين، إذ ما جاء عنهم أنّهم كانوا يرجعون إلى قبر النبي صلى الله عليه وسلم أو قبر غيره من الأموات عند نزول النوازل واشتداد القحط يستدفعونها بهم وبدعائهم وشفاعتهم. بل كانوا يرجعون إلى الله واستغفاره وعبادته، وإلى التوبة النصوح، قال تعالى: (وأنْ لو استقاموا على الطريقة لأسقيناهم ماء غدقاً..) وقال تعالى: (ويا قوم استغفروا ربكم ثم توبوا إليه يُرسل السماء عليكم مدراراً..) وقال تعالى: (ولو أنَّ أهل القرى آمنوا واتقوا لفتحنا عليهم بركات من السماء والأرض

Maksudnya: “Kisah ini (riwayat Malik al-Dar) adalah Mungkarah al-Matn, kerana bersalahannya dengan apa yang telah pasti dalam agama akan galakan (sunat) mendirikan solat al-Istisqa jika berada dalam keadaan seperti itu (kemarau). Demikian juga disebabkan bersalahannya kisah ini dengan apa yang telah masyhur dan tawatur dari para Sahabat dan Tabi’ien. Dimana tidak ada walau satu bukti dari mereka yang pergi ke kubur Nabi SAW atau kubur orang (soleh) yang lainnya ketika berlakunya keperitan dan kesusahan kemarau untuk meminta ditolak kesusahan, doa dan syafaat mereka. Bahkan mereka semua akan kembali kepada Allah dan memohon kemaafan daripadaNya dan beribadah kepadaNya, demikian juga dengan kembali bertaubat bersungguh-sungguhnya kepadaNya. Allah Taala berfirman: “Dan wahai kaumku, beristighfarlah kamu semua kepada Tuhan kamu setelah itu bertaubatlah kepadaNya, nanti Dia akan mengutuskan kepada kamu semua hujan yang mencurah-curah…” firmanNya lagi: “Dan sekiranya penduduk sesuatu tempat beriman dan bertaqwa, pasti Kami akan membukakan untuk mereka keberkatan dari langit dan bumi…”[8]

Berkaitan hukuman Sahih terhadap Sanad hadis Malik al-Dar oleh al-Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani pula kami datangkan perkataan al-Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani RH:

“Pertama: Tiada hukum sahih kepada kisah ini. Ini kerana Malik al-Dar seorang yang tidak dikenali ‘Adalah dan Dhabthnya. Dua syarat ini (Adalah dan Dhabth) adalah dua asas penting dalam setiap sanad yang sahih seperti yang diperakui di dalam ilmu al-Mustalah. Ibn Abi Hatim telah menyenaraikan beliau di dalam al-Jahr wa al-Ta’dil (4/213) akan tetapi beliau tidak menyebut seorang periwayatpun daripadanya (Malik al-Dar) selain Abi Saleh, maka ini memberi tanda dia (Malik al-Dar) seorang yang Majhul. Dikuatkan lagi bahawa Ibn Abi Hatim sendiri – dalam keluasan hafalan dan pemerhatiannya – tiada mendedahkan hukum thiqah kepadanya, maka kekallah ia seorang yang majhul. Perkataan Ibn Hajar tidak menafikan perkara ini (ketika beliau berkata): “…dengan Isnad yang Sahih dari riwayat Abi Soleh al-Samman..” kerana kita mengatakan: Bahawa perkataan ibu Hajar itu bukanlah satu nas dalam menghukum sahih keseluruhan sanad, sebaliknya hanya setakat Abi Soleh sahaja, jika tidak demikian, Ibn Hajar tidak akan memulakan Isnad dari Abi Soleh, sebaliknya pasti beliau berkata di awalnya: “Daripada Malik al-Dar… dan Isnadnya Sahih” akan tetapi Ibn Hajar segaja berbuat demikian, agar diarahkan pemerhatian bahawa di sini terdapat sesuatu yang perlu dibuat pemerhatian semula padanya. Para ulama memiliki sebab-sebab tertentu dalam melakukan perkara seperti ini, antaranya: kadang-kala tidak datang kepada mereka pengenalan sebahagian periwayat, maka mereka tidak membenarkan diri mereka sendiri untuk membuang sanad keseluruhannya, kerana tindakan ini memberi keraguan akan kesahihan sesuatu sanad, terutamanya ketika beristidlal dengan sesuatu hadis tersebut. Sebaliknya mereka akan menyertakan daripadanya apa-apa yang terdapat padanya tempat yang perlu diperhatikan semula. Inilah yang dilakukan oleh al-Hafidz RH di sini. Beliau seolah-olah memberi isyarat menyendirinya Abu Saleh al-Samman (meriwayatkan daripada Malik al-Dar sepertimana nukilan yang lalu dari Ibn Abi Hatim, ia menjadikan perlu disemak semula untuk memastikan keadaan Malik al-Dar ini atau ia memberi isyarat kepada majhulnya beliau (Malik al-Dar).” [9]

4)    Antara kecacatan yang ada dalam riwayat ini ialah:

a)    Kisah ini bertentangan dengan pengajaran dari ayat al-Quran, iaitulah:

 Maksudnya: Maka aku katakan kepada mereka: 'Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, -sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun. nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat,” (Nuh: 10-11)

b)    Demikian juga bertentangan dengan apa yang dilakukan oleh para sahabat seperti ‘Umar RA apabila berlakunya kemarau. Di mana ‘Umar pernah bertawassul dengan meminta al-‘Abbas yang berada bersama dengannya untuk berdoa meminta diturunkan hujan. Hal ini berdasarkan hadis daripada Anas bin Malik RA yang berkata:

أَنَّ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ كَانَ إِذَا قَحَطُوا اسْتَسْقَى بِالْعَبَّاسِ بْنِ عَبْدِ الْمُطَّلِبِ فَقَالَ اللَّهُمَّ إِنَّا كُنَّا نَتَوَسَّلُ إِلَيْكَ بِنَبِيِّنَا فَتَسْقِينَا وَإِنَّا نَتَوَسَّلُ إِلَيْكَ بِعَمِّ نَبِيِّنَا فَاسْقِنَا قَالَ فَيُسْقَوْنَ

Maksudnya: “Bahawa ‘Umar bin al-Khattab RA, dahulunya apabila berlaku kemarau, beliau akan meminta al-‘Abbas bin ‘Abd al-Muttalib berdoa diturunkan hujan. Beliau berkata: “Ya Allah sesunguhnya kami dahulunya bertawassul kepadaMu dengan (doa) Nabi kami, lalu Engkau menurunkan hujan kepada kami. Dan sekarang kami bertawassul kepadaMu dengan (doa) bapa saudara Nabi kami (al-‘Abbas), maka turunkanlah hujan kepada kami.” Kata Anas: “Lalu diturunkan hujan kepada mereka semua.” (HR al-Bukhari – Kitab al-Istisqa’ – Bab Soal al-Nas al-Imam al-Istisqa’ Iza Quhitu. Hadis: 964)

Al-Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani ketika mensyarahkan hadis ini berkata:

وقد بين الزبير بن بكار في الأنساب صفة ما دعا به العباس في هذه الواقعة والوقت الذي وقع فيه ذلك، فأخرج بإسناد له أن العباس لما استسقى به عمر قال:

Maksudnya: “Sesungguhnya al-Zubair bin Bakkar di dalam al-Ansab telah menjelaskan doa al-‘Abbas dalam peristiwa ini dan waktu peristiwa itu berlaku, beliau mengeluarkannya (meriwayatkannya) dengan isnadnya bahawa al-‘Abbas apabila diminta beristisqa oleh ‘Omar, beliau berdoa dengan berkata:

اللَّهُمَّ إِنَّهُ لَمْ يَنْزِلْ بَلَاءٌ إِلَّا بِذَنْبٍ، وَلَمْ يُكْشَفْ إِلَّا بِتَوْبَةٍ ، وَقَدْ تَوَجَّهَ الْقَوْمُ بِي إِلَيْكَ لِمَكَانِي مِنْ نَبِيِّكَ، وَهَذِهِ أَيْدِينَا إِلَيْكَ بِالذُّنُوبِ وَنَوَاصِينَا إِلَيْكَ بِالتَّوْبَةِ فَاسْقِنَا الْغَيْثَ. فأرخت السماء مثل الجبال حتى أخصبت الأرض ، وعاش الناس 

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya sesuatu bala tidak akan turun melainkan disebabkan dosa, dan bala tersebut tidak akan tersingkap melainkan dengan bertaubat. Sesungguhnya orang ramai telah bertawajjuh (minta berdoa) denganku kepadaMu, disebabkan kedudukanku (yang hampir) dengan NabiMu. Inilah tangan-tangan kami, (ditadahkan) kepadaMu, dan ubun-ubun kami (diserahkan) kepadaMu dengan kembali bertaubat (kepadaMu). Oleh itu turunkanlah bantuan (hujan) kepada kami.” Lalu awan berkumpul dengan banyak seperti membentuk bukit-bukau sehingga bumi menjadi subur, dan orang ramai dapat hidup dengan selesa.”  

c)    Mu’awiyah bin Abi Sufyan juga melakukan perkara yang sama, dimana beliau pernah meminta Yazid bin al-Aswad berdoa kepada Allah agar diturunkan hujan. Ini berdasarkan riwayat daripada Sulaim bin ‘Amir al-Khaba’iriy (سليم بن عامر الخبائري):

أَنَّ السَّمَاءَ قُحِطَتْ، فَخَرَجَ مُعَاوِيَةُ بْنُ أَبِي سُفْيَانَ وَأَهْلُ دِمَشْقَ يَسْتَسْقُونَ ، فَلَمَّا قَعَدَ مُعَاوِيَةُ عَلَى الْمِنْبَرِ قَالَ : أَيْنَ يَزِيدُ بْنُ الأَسْوَدِ الْجُرَشِيُّ ، فَنَادَاهُ النَّاسُ ، فَأَقْبَلَ يَتَخَطَّى النَّاسَ ، فَأَمَرَهُ مُعَاوِيَةُ ، فَصَعِدَ الْمِنْبَرَ ، فَقَعَدَ عِنْدَ رِجْلَيْهِ ، فَقَالَ مُعَاوِيَةُ : اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْتَشْفِعُ إِلَيْكَ الْيَوْمَ بِخَيْرِنَا وَأَفْضَلِنَا ، اللَّهُمَّ إنَّا نَسْتَشْفِعُ إِلَيْكَ الْيَوْمَ بِيَزِيدَ بْنِ الأَسْوَدِ الْجُرَشِيِّ ، يَا يَزِيدُ ، ارْفَعْ يَدَيْكَ إِلَى اللَّهِ ، فَرَفَعَ يَزِيدُ يَدَيْهِ ، وَرَفَعَ النَّاسُ أَيْدِيَهُمْ ، فَمَا كَانَ أَوْشَكَ أَنْ ثَارَتْ سَحَابَةٌ فِي الْغَرْبِ ، كَأَنَّهَا تُرْسٌ ، وَهَبَّتْ لَهَا رِيحٌ ، فَسُقِينَا ، حَتَّى كَادَ النَّاسُ أَنْ لا يَبْلُغُوا مَنَازِلَهُمْ

Maksudnya: “Bahawa pernah berlaku kemarau akibat hujan tidak turun, lalu Mu’awiyah bin Abi Sufyan keluar bersama dengan penduduk Dimasq untuk beristisqa. Ketikamana Mu’awiyah menaiki tangga mimbar, beliau berkata: “Mana Yazid bin al-Aswad al-Jurasyi?” lalu orang ramai memanggil Yazid. Beliau (Yazid pun) datang dari celah-celah orang ramai. Lalu Mu’awiyah memberi arahan kepadanya. Diapun menaiki tangga mimbar dan duduk berhampiran kaki Mu’awiyah. Kata Mu’awiyah di dalam doanya: “Ya Allah, sesungguhnya kami meminta syafaat kepadaMu pada hari ini dengan (doa) orang yang paling baik dan paling afdhal dari kalangan kami. Ya Allah, sesungguhnya kami meminta syafaat kepadaMu pada hari ini dengan (doa) Yazid bin al-Aswad al-Jurasyi. Wahai Yazid, angkat kedua-dua tanganmu (berdoa) kepada Allah!” lalu Yazid mengangkat kedua-dua tangannya (berdoa kepada Allah). Dan orang ramai juga mengangkat tangan mereka berdoa kepada Allah. Dan tidaklah lama selepas itu sehingga berkumpulnya awan tebal sebelah barat dan bertiupnya angin, lalu diturunkan hujan kepada kami, hampir sahaja orang ramai tidak sempat sampai ke rumah mereka.” (dikeluarkan oleh Ibn Sa’ad di dalam al-Tobaqaat 7/444 dan Abu Zur’ah di dalam Tarikh Dimasq 1/602. Kata al-Syeikh Soleh bin ‘Abd al’Aziz bin Muhammad Aali al-Syeikh: “Dan Isnadnya berantaian (مسلسل) dengan al-Thiqaat al-Kibar, dan ia berada pada kemuncak kesahihan (غاية الصحة)”. Lihat Hazihi Mafahimuna, 56)

d)    Kedua-dua riwayat ini dengan jelas menunjukkan ‘Umar bin al-Khattab dan Mua’awiyah bin Abi Sufian tidak pergi ke kubur Nabi SAW untuk meminta pertolongan. Mereka juga tidak meminta pertolongan (Istighathah) kepada Rasulullah SAW yang telah wafat, sebaliknya bertawassul dengan orang yang lebih afdhal yang masih hidup bersama mereka untuk berdoa kepada Allah SWT. Bahkan tidak pernah diriwayatkan dari seorangpun para sahabat lain yang pergi ke kubur Nabi SAW untuk meminta tolong daripada baginda supaya diturunkan hujan kepada mereka. Sekiranya perbuatan itu dibenarkan, sudah tentu mereka akan melakukannya walaupun sekali. Jika mereka tidak pernah melakukannya, ia menunjukkan perbuatan pergi ke kubur Nabi SAW dan meminta pertolongan dari baginda untuk diturunkan hujan atau bantuan lainnya adalah sesuatu yang tidak disyariatkan.




[1] Dar ‘Alim al-Kutub. Tahun 1424H/2003M. Jilid 10/71-75
[2] Riwayat Saif ini juga adalah Dhoief. Oleh itu kenyataan di dalam riwayat ini berkaitan lelaki yang pergi ke kubur ‘Umar tersebut adalah Bilal bin al-Haris iaitulah seorang Sahabat Nabi adalah tertolak. Ini kerana Saif yang meriwayatkan hadis ini adalah Saif bin ‘Umar al-Tamimi, al-Albani berkata: “Saif di sini adalah Ibn ‘Umar al-Tamimi, yang telah disepakati di kalangan ulama hadis sebagai Dhoief, sehinggakan Ibn Hibban berkata tentangnya: “Dia meriwayatkan hadis-hadis palsu dari al-Athbaat.” Ulama hadis juga berkata: “Dia mereka-reka (memalsukan) hadis…” Lihat al-Tawassul: hal: 132. Kata al-Syeikh ‘Abd al-Salam Aali ‘Abd al-Karim pentahkik Kitab al-Sawa’iq al-Mursalah al-Syihabiyyah di bahagian Hamisy halaman: 172: “Riwayat ini adalah Batil, tidak halal menjadikan hujjah dengannya. Demikian ini kerana Saif bin ‘Umar yang menyendiri dengan riwayat ini adalah Dhoief dengan kesepakatan ulama hadith.”
[3] Lihat Hazihi Mafahimuna hal: 60-61 dengan olahan semula.
[4] Lihat Hazihi Mafahimuna hal: 61
[5] Qawa’id al-Tahdith Min Funun Mustalah al-Hadith oleh al-Qasimi. Hal: 112
[6] Ikhtisar Ulum al-Hadis. Hal: 43
[7] Muqaddimah Fi ‘Ulum al-Hadis. Hal: 23
[8] Al-Sawaiq al-Mursalah al-Syihabiyyah, hal: 196
[9] Al-Tawassul, hal: 131

1 comments:

طالب العلم said...

جزاك الله خيرا كثيرا
Diatas usaha tuan mendedahkan kpd masyarakat malaysia kita tentang penipuan serta jenayah iliyyah yg dilakukan oleh pengarang kitab
مفاهيم يجب ان تصحح

بارك الله فيك