Thursday, November 27, 2014

Pencerahan Berkaitan Hadis 'Uthman bin Hunaif Tentang Lelaki Buta

Hadis ‘Uthman bin Hunaif RA Tentang Lelaki Buta

Daripada ‘Uthman bin Hunaif RA katanya:

أن رجلاً ضريرَ البصر أتى النَّبيَّ صلى الله عليه وسلم فقال: ادْعُ الله أَنْ يُعَافِيَني ، قاَلَ "إِنْ شِئْتَ دَعَوْتُ لَكَ ، وَإِنْ شِئْتَ أَخَّرْتُ ذَلِكَ فَهُوَ خَيْرٌ" (وفي روايةٍ "وَإِنْ شِئْتَ صَبَرْتَ فَهُوَ خَيْرٌ لَكَ") ، فَقَالَ: ادْعُهُ ، فأَمَرَهُ أَنْ يتوَضَأَ فَيُحْسِنَ وُضُوءهُ، فَيُصَلِّيَ رَكْعَتَيْنِ، وَيَدْعُوَ بِهَذَا الدُّعَاءِ "اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ وَأَتَوَجَّهُ إِلَيْكَ بِنَبِيِّكَ مُحَمَّدٍ نَبِيِّ الرَّحْمَةِ، يَا مُحَمَّدُ إِنِّي تَوَجَّهْتُ بِكَ إِلى رَبِّي في حَاجَتي هَذه فَتُقْضَى لي، اللَّهُمَّ فشفعهُ ِفيَّ (وَشَفِّعْني فِيهِ) ، قال: ففعل الرجل فبرأ.

Maksudnya: “Bahawa seorang lelaki buta datang kepada Nabi SAW dan berkata: “Berdoalah (Wahai Rasulullah) kepada Allah agar menyembuhkan aku.” Sabda baginda: “Jika kamu mahu, aku akan mendoakannya, jika kamu mahu, aku lewatkannya, dan itu lebih baik untukmu.” Dalam riwayat lain baginda bersabda: “Jika kamu bersabar, maka perkara itu lebihbaik untuk kamu.” Lalu lelaki itu berkata: “Berdoalah kepadaNya,.” Lalu Rasulullah mengarahkan lelaki itu berwudhu dan baik dan menunaikan solat dua rakaat, dan berdoa dengan doa:  “Ya Allah sesungguhnya aku memohohon kepadaMu, dan aku bertawajjuh kepadaMu dengan nabiMu Muhammad, nabi pembawa rahmat. Wahai Muhammad sesungguhnya aku bertawajjuh denganmu kepada tuhanku dalam hajatku ini, agar diperkenankan untukku, Ya Allah terimalah syafaat baginda (doa baginda) untukku dan terimalah syafaatku (doaku) agar Engkau menerima syafaat baginda.” Kata ‘Uthman: “Lalu beliau melakukannya, dan dikurniakan kesembuhan.”

Hadis ini dijadikan alasan bolehnya meminta pertolongan atau berdoa dengan menggunakan kebesaran dan kedudukan nabi SAW.


Bantahan dan Jawapan

Hadis ini tidak menunjukkan bolehya bertawassul dengan zat dan batang tubuh Nabi SAW. Kefahaman sebenar kepada hadis ini ialah ia menceritakan lelaki buta tersebut bertawassul kepada Nabi SAW dalam ertikata meminta Nabi SAW berdoa kepada Allah agar dikembalikan penglihatan kepadanya. Kefahaman ini dikuatkan lagi dengan hadis yang sama melalui riwayat al-Tirmizi dan Ibn Majah daripada ‘Uthman bin Hunaif yang berkata:

أن رجلاً ضريرًا أتى النبي صلى الله عليه وسلم فقال: ادع الله أن يعافيني،

Maksudnya: “Bahawa seorang lelaki buta datang kepada Nabi SAW dan berkata: Berdoalah kepada Allah agar Dia menyembuhkan daku…”  sambungan hadis seterusnya sama seperti di atas. Al-Tirmizi berkata tentang hadis ini: “Hadis Hasan Sahih.” [1]

Demikian juga berdasarkan riwayat dari al-Nasa’ie daripada ‘Uthman bin Hunaif dengan lafaz:

أن رجلاً أعمى قال: يا رسول الله، ادع الله أن يكشف لي عن بصري قال: فانطلق فتوضأ، ثم صل ركعتين، ثم قل: اللهم إني أسألك وأتوجه إليك بنبيك محمد نبي الرحمة، يا محمد، إني أتوجه بك إلى ربي أن يكشف عن بصري، اللهم فشفعه في، قال: فرجع وقد كشف الله عن بصره

Maksudnya: “Bahawa seorang lelaki buta berkata: Wahai Rasulullah, doalah kepada Allah agar Dia menyembuhkan mataku…” lafaz hadis seterusnya mengandungi maksud yang sama dengan hadis di atas.

Lafaz-lafaz hadis ini dengan jelas menunjukkan tawassul lelaki buta tersebut kepada Nabi SAW ialah permohonannya kepada baginda agar berdoa kepada Allah untuk dikembalikan penglihatannya. Kerana itu Nabi SAW bersabda:

إِنْ شِئْتَ دَعَوْتُ لَكَ ، وَإِنْ شِئْتَ أَخَّرْتُ ذَلِكَ فَهُوَ خَيْرٌ" (وفي روايةٍ "وَإِنْ شِئْتَ صَبَرْتَ فَهُوَ خَيْرٌ لَكَ") ، فَقَالَ: ادْعُهُ

Maksudnya: “Jika kamu mahu, aku akan mendoakannya, jika kamu mahu, aku lewatkannya, dan itu lebih baik untukmu.” Lalu lelaki itu berkata: “Berdoalah kepada Allah.”

Hadis ini dengan jelas menunjukkan lelaki buta itu meminta Nabi SAW berdoa untuknya. Namun Nabi SAW menyuruh dia menunaikan solat 2 rakaat yang berperanan sebagai permulaan dan sebagai suatu yang dipersembahkan agar Allah memperkenankan permohonan Nabi SAW untuknya. Hal ini kerana, perbuatan mendirikan solat merupakan bukti keimanan yang ada pada seseorang dan keimanannya itu melayakkan dia mendapat syafaat Nabi SAW. Ini kerana kelayakan memperolehi syafaat Nabi SAW adalah bergantung kepada kemurniaan akidah dan keutuhan iman dalam mematuhi perintah dan menjauhi larangan Allah SWT dan Rasul SAW. Kerana itu di dalam doa lelaki buta tersebut, dia menyatakan:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ وَأَتَوَجَّهُ إِلَيْكَ بِنَبِيِّكَ مُحَمَّدٍ نَبِيِّ الرَّحْمَةِ، يَا مُحَمَّدُ إِنِّي تَوَجَّهْتُ بِكَ إِلى رَبِّي في حَاجَتي هَذه فَتُقْضَى لي، اللَّهُمَّ فشفعهُ ِفيَّ

Maksudnya: “Ya Allah sesungguhnya aku memohon kepadaMu, dan aku bertawajjuh kepadaMu dengan nabiMu Muhammad, nabi pembawa rahmah. Wahai Muhammad sesungguhnya aku bertawajjuh denganmu kepada tuhanku…

Doa lelaki buta tersebut dengan mengatakan: Wahai Muhammad sesungguhnya aku bertawajjuh denganmu kepada tuhanku… dengan jelas menunjukkan beliau mengarahkan percakapan kepada Nabi SAW yang berada bersama dengannya pada ketika itu. Beliau memohon agar baginda memberi syafaat/tawajjuh (dengan berdoa) kepada Allah SWT. Setelah itu beliau meminta kepada Allah pula agar menerima syafaat (doa) Nabi SAW untuknya dengan mengatakan: اللَّهُمَّ شَفِّعْهُ ِفيَّ، وَشَفِّعْني فِيهِ yang membawa maksud: “Ya Allah terimalah syafaat baginda (doa baginda) untukku dan terimalah syafaatku (doaku) agar Engkau menerima syafaat (doa) baginda.” [2]

Di sini jelas menunjukkan, lafaz doa yang diajar oleh Nabi SAW kepada lelaki buta tersebut yang berbunyi:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ وَأَتَوَجَّهُ إِلَيْكَ بِنَبِيِّكَ مُحَمَّدٍ نَبِيِّ الرَّحْمَةِ

Maksudnya: “Ya Allah sesungguhnya aku memohon kepadaMu, dan aku bertawajjuh kepadaMu dengan nabiMu Muhammad, nabi pembawa rahmah,” membawa maksud bertawassul dan bertawajjuh kepada Allah dengan doa dan syafaat baginda SAW.

Kata al-‘Allamah al-Munawi:

"سأل الله أولا أن يأذن لنبيه أن يشفع له ثم أقبل على النبي ملتمسا شفاعته له ثم كر مقبلا على ربه أن يقبل شفاعته والباء في بنبيك للتعدية وفي بك للاستعانة وقوله اللهم فشفعه في أي اقبل شفاعته في حقي..."

Maksudnya: “Lelaki buta itu meminta kepada Allah terlebih dahulu keizinan untuk Nabi memberi syafaat (berdoa) untuknya. Setelah itu dia menghadap Nabi memohon syafaat (berdoa) untuknya. Setelah itu sekali lagi menghadap tuhannya agar menerima syafaat (doa) baginda. Huruf ب pada kalimah بنبيك adalah untuk al-Ta’diyyah, manakala pada pada perkataan بك adalah untuk al-Isti’anah iaitu meminta pertolongan. Dan perkataannya اللَّهُمَّ فَشَفِّعْهُ ِفيَّ adalah bermaksud: Terimalah syafaat (doa) baginda untukku.” [3]

Keadaan ini sama sepertimana yang dilakukan oleh ‘Omar al-Khattab RA dalam hadis yang terdapat dalam jawapan dan bantahan kami yang pertama perkara 5:b) di atas, dimana di dalam doa, ‘Umar berkata:

 اللَّهُمَّ إِنَّا كُنَّا نَتَوَسَّلُ إِلَيْكَ بِنَبِيِّنَا فَتَسْقِينَا وَإِنَّا نَتَوَسَّلُ إِلَيْكَ بِعَمِّ نَبِيِّنَا فَاسْقِنَا قَالَ فَيُسْقَوْنَ

Maksudnya: “Ya Allah sesunguhnya kami dahulunya bertawassul kepadaMu dengan (doa) Nabi kami, lalu Engkau menurunkan hujan kepada kami. Dan sekarang kami bertawassul kepadaMu dengan (doa) bapa saudara Nabi kami (al-‘Abbas), maka turunkanlah hujan kepada kami.” Kedua-dua lafaz doa yang dibaca oleh lelaki buta ini dan doa ‘Omar memiliki makna yang sama. Dimana mereka bertawassul dengan Nabi SAW ketika hayat baginda membawa maksud memohon doa dari baginda. Kerana itu setelah baginda SAW wafat, ‘Omar tidak lagi bertawassul dengan baginda yang telah wafat sebaliknya bertawassul pula dengan bapa saudara baginda al-‘Abbas RA yang masih hidup ketika itu.




[1] Sunan al-Tirmiz – al-Da’awaat - (3578), Sunan Ibn Majah - Iqamah al-Solah wa al-Sunnah fiha (1385)

[3] Faidh al-Qadir 2/169

6 comments:

Abdul Shuib said...

Ustaz,saya ingin bertanya bilakah waktu yang betul untuk sujud ketika solat hajat?Samada selepas salam atau sujud terakhir sebelum salam?Di sekolah saya ada yang sujud selepas salam dan ada yang sujud terakhir sebelum salam.Saya agak keliru mana satu yang nak di ikuti.Mohon ustaz memberi penjelasan.Terima kasih.

Abdul Shuib said...

Ustaz,saya pernah terbaca di laman sosial seperti twitter dan sebagainya.Kebanyakan individu ini berkata "Tepat jam 12 malam nanti masuklah 1 Zulkaedah.Sabda Nabi barang siapa yang menyampaikan berita zulkaedah ini maka haram baginya neraka."Benarkah Nabi pernah bersabda sedemikian?Atau adakah mana-mana hadis sedemikian?Mohon penjelasan.Terima kasih.

binsahak said...
This comment has been removed by the author.
binsahak said...

Jawapan 1:

Pandangan yang lebih kuat ialah tiada solat yang dinamakan sebagai solat hajat. Yang ada ialah memperbanyakkan doa kepada Allah terutamanya di dalam sujud dalam setiap solat. Adanya solat istisqa, solat istikharah, dan seumpamanya antara bukti tidak adanya solat yang dinamakan solat hajat. Wallahu a'lam. Sekalipun demikian saya tidak nafikan sememangnya ada perbezaan pendapat di kalangan ulama ttg keberadaan solat hajat ini. Bg yg buat solat hajat, berdoa dlm sujud tidak dikhususkan kpd sujud akhir shj. Boleh berdoa dlm semua sujud. Sujud SELEPAS salam utk berdoa dlm apa-apa keadaan adalah suatu yang tidak ada petunjuk dari Nabi SAW. Wallahu a'lam.

Jawapan 2: Hadis Palsu

Abdul Shuib said...

Assalamualaikum ustaz. Apakah hukum seorang lelaki memberi salam kepada seorang prempuan yg bukan mahram ? Ada kwn saya cakap hukumnya makhruh. Adakah ada hadis yg memberitahu sebegitu ?? Mintak penjelasan. Trima kasih.

binsahak said...

Harus jika tiada fitnah