PENJELASAN
TENTANG AL-ISTIGHATHAH
Oleh: Mohamad
Abdul Kadir bin Sahak
A) PENDAHULUAN
Persoalan
al-Istighathah atau memohon bantuan dan meminta pertolongan kepada Nabi SAW
setelah kewafatan baginda menimbulkan perbalahan dalam kalangan masyarakat.Terutamanya
apabila timbul fenomena majlis Selawat Perdana, Malam Cinta Rasul dan
seumpamanya yang dilaungkan di dalamnya ungkapan-ungkapan seperti “al-Madad
Ya Rasulullah”, “Sayyidi, ajirna min al-Nar.”yang bermaksud “Pertolonganmu
wahai Rasulullah”, “Penghuluku, selamatkan kami dari api neraka”, “demi
kedudukanmu wahai utusan Allah..” dan seumpamanya.
Risalah ini
memberi tumpuan menjelaskan persoalan al-Istighathah tersebut berdasarkan
dalil-dalil dari al-Quran dan al-Sunnah dengan panduan dan bimbingan dari para
ulama Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah.
B) MAKNA AL-ISTIGHATHAH
Al-Istighathahالإستغاثة
adalah طلب
الغوث iaitulah meminta
pertolongan.Ia juga bermaksud menghilangkan kesempitan. Ia sama seperti kalimah
الإستنصار
yang juga bermaksud meminta pertolongan dan kalimah الإستعانة
bermaksud meminta bantuan[1].
Atau ia bermaksud (meminta) pembebasan dari kesempitan, hukuman dan (meminta)
bantuan untuk bebas dari segala kesulitan.[2]
Maka al-Istighthah adalah
termasuk dari jenis-jenis Permintaandan Doa. Namun
Doaadalah lebih umum dari al-Istighathah. Dimana Doadipohon
ketika dalam kesulitan mahupun kelapangan. Manakala al-Istighathah
pula hanya dipohon ketika berada dalam kesulitan dan kesukaran sahaja.Maka
orang yang beristighathah adalah orang yang meminta bantuan dan
pertolongan dari zat atau individu yang dipohon istighathah(pertolongan).Kefahaman
ini dapat di ambil dari firman Allah SWT:
Maksudnya: “Maka
orang yang dari golongannya (Nabi Musa) meminta pertolongan (فاستغاثه) kepadanya (Nabi
Musa), untuk mengalahkan orang yang dari musuhnya.” (al-Qasas: 15)
FirmanNya juga:
Maksudnya: “(ingatlah),
ketika kamu semua memohon pertolongan kepada Tuhanmu, lalu diperkenankan-Nya
bagimu". (al-Anfal: 9)
C) SALAH FAHAM DALAM BAB ISTIGHATHAH
1) Gagal membezakan di
antara al-Istighathah dan al-Tawassul dan menjadikan kedua-duanya membawa
maksud yang sama. Sedangkan terdapat perbezaan yang cukup jelas di antara
keduanya.
Lafaz al-Istighathah yang terdapat di dalam al-Quran,
al-Sunnah dan dalam percakapan orang Arab digunakan bagi tujuan memohon dari
individu yang diistighathah.Tidak boleh dikatakan orang yang beristighathah
kepada seseorang adalah sama dengan orang yang bertawassul dengan kemuliaan
seseorang. Di sini jelas menunjukkan al-Istighathah tidak samadan ia bukanlah
al-Tawassul. Seorang yang bertawassul tidak meminta dari individu yang
dijadikan perantaraan (tawassul).Sebaliknya permintaan ditujukan kepada Allah
SWT. Seperti seseorang yang bertawassul berkata: أتوسل إليك يا إلهي بفلان
yang bermaksud: “Aku bertawassul kepadaMU wahai Tuhanku dengan seorang
fulan” iaitulah sasaran permintaan kepada Allah bukan kepada fulan. Hal ini
berbeza dengan al-Istighathah, dimana seseorang yang memohon Istighathah dengan
berkata: أستغيث بهia bermaksud: “Aku memohon pertolongan
darinya” bukan bermaksud توسلت بجاههaku bertawassul dengan kebesarannya.
2) Lafaz al-Tawassul
(التوسل)
dan al-Tawajjuh (التوجه) membawa maksud
bertawassul dan bertawajjuh kepada Allah dengan doa para Nabi atau orang-orang
Saleh. Inilah yang dimaksudkan dengan perkataan generasi Salaf dari kalangan
Sahabat RA. Inilah juga yang dimaksudkan oleh para Fuqaha di dalam kitab
al-Istisqa dengan pernyataan mereka: ويستحب أن يستسقى بالصالحين
yang bermaksud: “Dan digalakkan meminta diturunkan hujan dengan orang-orang
Saleh iaitulah dengan doa mereka kepada Allah SWT.”
3) Beranggapan
al-Istighathah hanya satu bahagian dan kesemuanya harus dan dibenarkan. Sehingga
menjadikan istighathah dengan orang yang telah mati sama dengan istighathah
dengan orang yang masih hidup.
Di bawah ini jelaskan pembahagian al-Istighathah…
D) DUA JENIS AL-ISTIGHATHAH
1) al-Istighathahal-Masyru’ah (Istighathah yang dibenarkan). Ia
terbahagi kepada:
1.1)
(الإستغاثة بالله)
Istighathah atau meminta pertolongan dengan Allah. Ia merupakan perbuatan yang
diperintahkan di dalam agama, kerana sesungguhnya semua pertolongan dan bantuan
berada di sisiNYA sahaja. Allah SWT menceritakan tentang permintaan pertolongan
daripada orang-orang beriman kepadaNYA pada malam peperangan al-Badr dengan
firmanNYA:
Maksudnya: “(ingatlah), ketika kamu semua
memohon pertolongan (tbqèWÉótGó¡n@) kepada Tuhanmu, lalu diperkenankan-Nya
bagimu: "Sesungguhnya aku akan mendatangkan bala bantuan kepada kamu
dengan seribu Malaikat yang datang berturut-turut". (al-Anfal: 9)
1.2)
(الإستغاثة بالنبي)
Istighathah atau meminta pertolongan dengan Nabi dan manusia lainnya dalam
ruang keupayaan, kemampuan dan bersesuaian dengan kedudukan mereka
masing-masing, ketika mereka masih HIDUP DAN ADA BERSAMAdengan orang
yang meminta pertolongan tersebut. Istighathah seperti ini tiada perbezaan di
kalangan ulama keharusannya berdasarkan firman Allah SWT:
çMaksudnya: “Maka orang yang dari golongannya (dari
golongan Nabi Musa) meminta pertolongan kepadanya (msW»tótGó$$sù) (kepada Nabi Musa), untuk mengalahkan
orang yang dari musuhnya.”(al-Qasas: 15)
Termasuk dalam bahagian ini juga, istighathah manusia dengan Nabi SAW ketika
mereka semua berada bersama baginda pada hari kiamat agar baginda memohon
kepada Allah disegerakan hisab setelah semua para Nabi yang lain memberi
keuzuran. Istighathah
seperti ini tidak menafikan kesempurnaan tauhid kepada Allah SWT.
Malangnya sebahagian golongan yang
melampau dari kalangan orang-orang yang menisbahkan diri mereka kepada kesufian
telah menyamakan keadaan Nabi Muhammad SAW ketika baginda masih hidup dengan keadaan
setelah kewafatan baginda.Mereka beranggapan bahawa Nabi SAW sekalipun setelah
wafat, baginda tetap hidup seperti kehidupan baginda di dunia. Mereka berkata
sebagaimana para Syuhada hidup di dalam kubur mereka, maka sudah tentu para
Nabi lebih utama. Berpijak dari
keyakinan sebegini mereka beranggapan boleh meminta pertolongan (istighathah)
dengan Nabi SAW sama ada ketika baginda masih hidup mahupun selepas kewafatan
baginda di dalam kubur.
Mereka sebenarnya terlepas pandang bahawa
kehidupan baginda SAW selepas kewafatan, adalah kehidupan barzakhiyyah (حياة
برزخية) yang termasuk dalam perkara ghaib.Tidak
diketahui hakikat atau pendetailannya, kerana ketiadaan bukti dari al-Quran
mahupun dari al-Sunnah yang memperincikannya.Yang wajib ke atas kita adalah
beriman dengan hidupnya para Nabi di dalam kubur (‘Alam Barzakh), tanpa
mendetailkannya, kerana ketiadaan maklumat daripada nas agama tentang
pendetailan itu. Yang pasti sudah tentu hidup para nabi di alam barzakh tidaksama
seperti hidup mereka di dunia.
2. Al-Istighathah al-Mamnu’ah (Istighathah Terlarang). Ia terbahagi
kepada:
2.1) istighathah atau meminta pertolongan dengan Nabi
atau dengan orang soleh yang masih hidup dalam perkara yang tidak mampu
dilakukan melainkan oleh Allah SWT sahaja, seperti: meminta diampunkan dosa,
minta hidayah, minta penyembuhan penyakit, meminta rezeki, meminta diturunkan
hujan dan seumpamanya yang tidak mampu dilakukan melainkan Allah SWT.
Istighathah seperti ini termasuk di dalam perbuatan Syirik Akbar yang
menjadikan sipelakunya terkeluar daripada agama Islam. Perbuatan seperti ini
adalah sama dengan perbuatan yang dilakukan oleh orang-orang ‘Arab Jahiliyyah
yang meminta pertolongan kepada berhala dan yang selain daripada Allah SWT.
2.2) Istighathah atau meminta pertolongan dengan orang
yang telah mati dari kalangan Nabi mahupun selainnya dengan alasan kehidupan
mereka setelah mati adalah sama seperti kehidupan mereka ketika hidup di dunia.
Sehingga sebahagian mereka ada yang beranggapan para syeikh atau wali bertindak
sebagai orang yang menguruskan urusan dunia setelah kematian mereka.Ini adalah kesesatan
yang amat nyata.
2.3) Istighathah atau meminta pertolongan dengan Nabi
SAW atau dengan orang saleh yang masih hidup tetapi ketika ketiadaan
mereka.Perkara sebegini juga adalah dilarang, kerana mereka tiada kemampuan
untuk mendengar permintaan pertolongan itu dan tidak mengetahui perkara yang
ghaib.
Kadang-kala syaitan bertindak menyerupai individu yang
mereka mohon pertolongan tersebut, bagi tujuan menyesatkan manusia.Syaitan itu
juga memenuhi permintaan mereka.Lalu syaitan berjaya memperdaya mereka.
Oleh itu, berhasil memperolehi apa-apa yang diminta
tidak boleh dijadikan alasan untuk mengatakan perbuatan yang menyalahi syarak
itu dibenarkan.Hal ini kerana bukan semua perkara yang menjadi sebab
memperolehi sesuatu kemanfaatan, ianya menjadi hujjah dibolehkan perbuatan itu.
E) AL-ISTIGHATHAH ADALAH DOA
Seperti yang telah ditegaskan di bawah bab
Makna al-Istighathah bahawa al-Istighathah adalah termasuk dalam kumpulan doa
dan permohonan. Justeru ia mestilah diarahkan hanya kepada Allah SWT sahaja dan
tidak boleh dipalingkan kepada yang selain daripadaNYA. Jika dipalingkan kepada
selain daripada Allah SWT, maka perbuatan itu termasuk di dalam kesyirikan. Di
sini disertakan beberapa perkataan daripada ulama Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah:
لا تسأل أحدا غير الله تعالى
2) Al-Imam Ibn Jarir
al-Tabari RH ketika menafsirkan ayat:
Maksudnya: “dan janganlah kamu memohon
kepada selain daripada Allah yang tidak memberi manfaat dan tidak (pula)
memberi mudarat kepadamu; sebab jika kamu berbuat (yang demikian), itu, Maka
Sesungguhnya kamu kalau begitu Termasuk orang-orang yang zalim".
(Yunus: 106)
Beliau
berkata: “Dan firman Allah Yang Maha Tinggi sebutanNya: (bermaksud) Dan
janganlah kamu wahai Muhammad memohon kepada selain daripada sembahanmu dan
selain daripada penciptamu (Allah) sesuatu yang tidak dapat memberi apa-apa
manfaat kepadamu di dunia mahupun di akhirat. Tidak pula dapat mendatangkan
mudarat kepadamu dalam agama mahupun di dunia, iaitulah sembahan-sembahan dan
berhala-berhala. Allah memaksudkan: “Jangan kamu sembah mereka dalam keadaan
berharap manfaatnya atau bimbangkan kemudaratannya. Kerana sesungguhnya mereka
tidak dapat mendatangkan manfaat mahupun mudarat. Firman Allah: فإن
فعلتmaksudnya: “Jika kamu lakukan
sedemikian”, maka demikian
itulah kamu telah berdoa kepada selain Allah. Firman Allah: فإنك إذا من الظالمين
maksudnya: “Jika demikian kamu ketika itu termasuk dari kalangan orang-orang
yang zalim” iaitulah dari kalangan orang-orang yang mensyirikkan Allah dan
menzalimi diri mereka sendiri.”[5]
3) Al-Imam
al-Halimiy al-Syaf’ie[6] berkata: “dan Doa
termasuk di dalam jumlah menjadikan diri khusyu’ dan hina, kerana setiap yang
berdoa dan memohon, sesungguhnya dia telah menzahirkan hajatnya dan mengakui
kehinaan dan kefakiran kepada yang diminta dan dipohon. Perkara sedemikian ini
adalah termasuk perhambaan yang sama seperti ibadat-ibadat lain, bertujuan
mendekatkan diri kepada Allah ‘Azz Ismuhu. Kerana itu Allah Azza wa Jalla
berfirman:
þMaksudnya: "Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan
Kuperkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari
menyembah-Ku akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina dina". (Ghafir:
60)
Allah menjelaskan bahawa doa adalah ibadah. Maka
seorang yang takut seperti apa telah kami sifatkan ialah seperti seorang yang
berharap. Ini kerana seseorang apabila ia takut, dia akan khusu’ dan menghina
diri kepada yang ditakutinya, dan akan merendahkan diri kepada zat yang
ditakutinya dalam memohon kemaafan[7]” sehinggalah beliau
berkata: “Sesungguhnya tidak wajar dijadikan pengharapan (raja’) melainkan
kepada Allah Jalla Jalaluh, apabila Dialah yang bersendirian dalam pemilikan
dan al-Din. Tiada sesiapapun selainNya yang memiliki kemanfaatan mahupun
kemudharatan.Maka sesiapa yang berharap kepada sesiapa yang tidak memiliki
apa-apa yang tidak dia miliki, maka orang itu dari kalangan mereka yang jahil.
Apabila dia menggantungkan harapannya kepada Allah, maka sepatutnya dia memohon
apa-apa yang dihajatinya kepada Allah sama ada kecil mahupun besar, ini kerana
kesemuanya berada dalam gengaman Allah, tiada yang memenuhi segala hajat
selainNya, dan permohonan kepadanya hanyalah berlaku dengan berdoa…”[8]
F) BANTAHAN DAN
JAWAPAN
Berikut disertakan dalil-dalil golongan yang
membenarkan istighathah kepada Nabi SAW setelah kewafatan baginda dan Wali
(orang soleh) yang telah meninggal dunia.Disertakan bantahan terhadap
dalil-dalil tersebut.
1) Hadits riwayat
Ibn Abi Syaibah daripada al-A’masyh, daripada Abi Soleh al-Siman, daripada
Malik al-Dar katanya:
أَصَابَ النَّاسَ قَحْطٌ فِي زَمَنِ عُمَرَ ، فَجَاءَ رَجُلٌ إلَى قَبْرِ النَّبِيِّ
صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ : يَا رَسُولَ اللَّهِ ، اسْتَسْقِ لِأُمَّتِك فَإِنَّهُمْ قَدْ هَلَكُوا ، فَأَتَى الرَّجُلَ فِي الْمَنَامِ
فَقِيلَ لَهُائْتِعُمَرَ فَأَقْرِئْهُ السَّلَامَ ، وَأَخْبِرْهُ أَنَّهُمْ يُسْقَوْن
Maksudnya: “Orang ramai ditimpa dengan kemarau di
zaman ‘Omar. Lalu datang seorang lelaki ke kubur Nabi SAW dan berkata: “Wahai
Rasulullah, pohonlah hujan untuk ummatmu, kerana sesungguhnya mereka semua
telah (hampir) binasa. Lalu di dalam mimpi lelaki tersebut didatangi seseorang,
dan dikatakan kepadanya, pergilah kepada ‘Umar dan sampaikan kepadanya al-Salam,
khabarkan kepadanya yang mereka semua akan memperolehi hujan.”(Dikeluarkan
oleh Ibn Abi Syaibah di dalam al-Musannaf 6/356)
Hadis ini dijadikan hujah bolehnya meminta
pertolongan kepada orang yang telah mati terutamanya Nabi SAW.
Jawapan dan Bantahan
Hadis ini tidak boleh dijadikan hujah,ia memiliki
banyak masalah dan kecacatan:
i)
Ia termasuk hadis ‘an’anah
atau riwayat dengan عن oleh al-A’masyh dan beliau adalah seorang Mudallis.
Seorang Mudallis jika meriwayatkan hadis secara ‘an’anah maka riwayatnya tidak
diterima.
ii)
Malik al-Dar adalah
seorang yang tidak dikenali.
iii)
Di dalam sanadnya
ada tempat al-Inqito’ (sanad terputus) iaitulah antara Abi Soleh dan Malik
al-Dar.
iv)
Menyendirinya Malik
seorang periwayat yang tidak dikenali meriwayatkan peristiwa besar seperti ini
dan keperitan yang membelenggu orang ramai. Bagaimana beliau boleh menyendiri
meriwayatkannya, sedangkan para sahabat sentiasa memberi perhatian dalam
meriwayatkan peristiwa-peristiwa seumpama ini?
v)
Kisah ini
bertentangan dengan apa yang telah pasti dari sunnah apabila berlakunya kemarau
panjang. Iaitulah galakan mendirikan solat al-Istisqa bagi memohon kepada Allah
SWT agar diturunkan hujan. Perkara ini terdapat banyak bukti dari hadis-hadis
Nabi SAW. Kisah ini juga bertentangan dengan pengajaran dari ayat al-Quran,
iaitulah:
àMaksudnya: “Maka aku katakan kepada mereka: 'Mohonlah
ampun kepada Tuhanmu, -sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun.nescaya Dia akan
mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat,” (Nuh: 10-11)
Demikian juga bertentangan dengan apa
yang dilakukan oleh ‘Umar RA apabila berlakunya kemarau. Di mana beliau pernah
bertawassul dengan meminta al-‘Abbas yang berada bersama dengannya untuk berdoa
meminta diturunkan hujan.Tidak pernah diriwayatkan dari seorangpun para sahabat
yang pergi ke kubur Nabi SAW untuk meminta baginda berdoa supaya diturunkan
hujan kepada mereka. Sekiranya perbuatan itu adalah dibenarkan, sudah tentu
mereka akan melakukannya walaupun sekali. Jika mereka tidak pernah melakukannya,
ia menunjukkan perbuatan pergi ke kubur Nabi SAW dan meminta baginda memohon
kepada Allah untuk diturunkan hujan adalah sesuatu yang tidak disyariatkan.”
2) Daripada
‘Abdullah bin Mas’ud RA katanya, Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا انْفَلَتَتْ دَابَّةُ أَحَدِكُمْ بِأَرْضِ فَلَاةٍ فَلْيُنَادِ : يَا عِبَادَ اللَّهِ
، احْبِسُوا عَلَيَّ ، يَا عِبَادَ اللَّهِ احْبِسُوا عَلَيَّ
؛ فَإِنَّ لِلَّهِ فِي الْأَرْضِ حَاضِرًا سَيَحْبِسُهُ عَلَيْكُمْ
Maksudnya: “Jika binatang tunggangan seseorang
daripada kamu terlepas lari di tanah lapang, maka berserulah: Wahai para hamba
Allah, sekatlah binatang itu untukku, wahai para hamba Allah,sekatlah binatang
itu untukku.” Kerana sesungguhnya Allah memiliki hambanya (manusia ataupun jin)
yang akan menyekat binatang itu dari lari jauh untuk kamu semua.” (Dikeluarkan
oleh al-Tabarani di dalam al-Mu’jam al-Kabir 10/217, dan Abu Ya’la di
dalam Musnadnya 9/177)
Melalui hadis ini, sebahagian orang berpandangan ia
menunjukkan bolehnya beristighathah dengan berkata: “Wahai hamba Allah.” Hadis
ini menunjukkan bolehnya beristighathah dengan makhluk.
Jawapan dan Bantahan
Hadis ini adalah Hadis yang Dhoief (Lemah), padanya
terdapat dua kecacatan:
i)
Ma’ruf bin Hassan
al-Samarqandi (seorang periwayat hadis ini) adalah seorang Majhul (tidak
dikenali). Ibn Abi Hatim daripada bapanya berkata tentangnya: “Sesungguhnya
dia seorang yang majhul.”[9] Ibn ‘Adiy berkata
tentangnya: “Dia seorang Munkar al-Hadis”. Kerana itu al-Haithami
menganggap ia seorang yang berillah, setelah beliau menyebutnya
dari riwayat Abi Ya’la dan al-Tabarani, beliau berkata: “Di dalam sanadnya terdapat
Ma’ruf bin Hassan dan dia seorang yang Dhoief (lemah).”[10]
ii)
Terdapat al-Inqataa’.
Kerananya al-Hafidz Ibn Hajar menganggap hadis ini berillah (ada
kecacatan) dengan katanya: “Hadis Gharib, dikeluarkan oleh Ibn al-Sunniy dan
al-Tabarani, dan sanadnya inqitaa’ diantara Ibn Buraidah dan Ibn Mas’ud. Hal
ini dinukilkan oleh Ibn ‘Allan di dalam Syarh al-Azkar.[11]Al-Hafidz al-Sakhawi
berkata di dalam al-Ibtihaj bi Azkar al-Musafir wa al-Hajj: “Sanadnya Dhoief
(lemah).”[12]
iii)
Terdapat kecacatan
ketiga pada hadis ini seperti yang dinyatakan oleh al-Muhaddith al-Syeikh
Sulaiman bin ‘Abdullah bin Muhammad bin ‘Abdul Wahhab RH. Iaitulah
menyendirinya Ma’ruf dalam meriwayatkan hadis ini berbanding para sahabat
Sa’ied yang lain, beliau berkata: “al-Suyuthi berkata: “Satu Hadis yang
Dhoief.” Dan aku berkata: “Bahkan ia adalah hadis Batil. Jika tidak bagaimana
dia riwayat daripada Sa’ied daripada Qatadah. Setelah itu tiada (riwayat) dari
para sahabat Sa’ied dari kalangan para Huffadz dan para al-Athbath seperti
Yahya al-Qattan, Ismail bin ‘Aliyyah, Abi Usamah, Khalid bin al-Harith, Abi
Khalid al-Ahmar, Sufyan, Syu’bah, ‘Abdul Warith, Ibn al-Mubarak, al-Ansoriy, Ghundar,
Ibn Abi ‘Adiy dan seumpamanya, sehingga syeikh yang tidak dikenali lagi munkar
al-Hadis ini membawakannya. Maka ini merupakah bukti yang paling kuat
menunjukkan kepalsuan hadis ini.”[13]
Ada yang
mendakwa atau menukilkan dari al-Nawawi yang pernah mencuba doa ini dan beliau
mendapati manfaatnya. Maka jawapan kepada dakwaan ini ialah seperti yang
disebut oleh al-Syaukani: “Dan aku katakan: “al-Sunnah tidak dapat
dipastikan dengan hanya percubaan (pengalaman), dan tidaklah terkeluar seseorang
pelaku sesuatu yang berkeyakinan ianya sunnah, dari perkara tersebut yang
sememangnya rekaan (bid’ah). Diperkenankan doa tidak dapat membuktikan doa itu
thabit dari Rasulullah SAW, kerana kadang-kala Allah memperkenankan sesuatu doa
tanpa melalui doa yang sunnah dan Dialah Tuhan Yang Amat Maha Pengasih,
kadang-kala juga perkenan itu berupa istidraj.[14]”
iv)
Daripada ‘Abdullah
bin ‘Umar RA tentang hadis al-Syafaah dengan lafaz:
إِنَّ الشَّمْسَ تَدْنُو يَوْمَ الْقِيَامَةِ حَتَّى يَبْلُغَ
الْعَرَقُ نِصْفَ الْأُذُنِ فَبَيْنَا هُمْ كَذَلِكَ اسْتَغَاثُوا بِآدَمَ ثُمَّ بِمُوسَى ثُمَّ بِمُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَيَشْفَعُ لِيُقْضَى
بَيْنَ الْخَلْقِ فَيَمْشِي حَتَّى يَأْخُذَ بِحَلْقَةِ الْبَابِ فَيَوْمَئِذٍ
يَبْعَثُهُ اللَّهُ مَقَامًا مَحْمُودًا يَحْمَدُهُ أَهْلُ الْجَمْعِ كُلُّهُمْ
Maksudnya: “Sesungguhnya matahari akan
menghampiri pada hari kiamat sehingga peluh mencecah sebahagian telinga. Ketika
manusia dalam keadaan sedemikian, mereka semua memohon pertolongan dengan Nabi
Adam, kemudian dengan Nabi Musa, kemudian dengan Nabi Muhammad SAW.Lalu baginda memberi syafaat agar segera diberi keputusan antara
makhluk, lalu baginda berjalan sehingga berada di pintu syurga.Pada hari itu
Allah mengutuskan baginda ke satu tempat yang terpuji, baginda dipuji oleh
semua makhluk.”(HR al-Bukhari)
Mereka beranggapan hadis ini menunjukkan bolehnya beristighathah kepada
selain daripada Allah dalam perkara yang tidak boleh dilakukan melainkan Allah
SWT sahaja.
Jawapan dan Bantahan
Hadis ini adalah hadis sahih.Akan tetapi hadis ini tidak menunjukkan
boleh melakukan istighathah yang syirik. Sebaliknya ia termasuk di dalam bab
beristighathah dengan Nabi yang hidup dalam perkara yang berada di bawah
keupayaan baginda. Ungkapan yang terdapat di dalam hadis: اسْتَغَاثُوا بآدم yang bermaksud: “Mereka meminta
pertolongan dengan (Nabi) Adam.” Bermaksud mereka meminta doa dari para
nabi yang dibangkitkan hidup bersama mereka di hari kiamat, agar disegerakan
keputusan diantara makhluk. Kefahaman ini disokong atau dikuatkan dengan
hadis-hadis lain yang menceritakan tentang al-Syafaah. Telah diriwayatkan di
dalam hadis-hadis yang lain menceritakan ketikamana manusia meminta dari para
nabi agar memberi syafaat kepada mereka di sisi Allah SWT agar segera
memutuskan hukuman, dan setelah kesemua para Nabi memberi keuzuran dari
melakukan perkara tersebut, baginda bersabda: “Lalu mereka semua mendatangi
(Nabi) Muhammad SAW, dan berkata: “Berilah syafaat untuk kami kepada Tuhanmu,
tidakkah engkau melihat keadaan kami sekarang ini?” lalu daku pergi dan berada di
bawah Arasy, lalu daku sujud kepada Tuhanku Yang Maha Tinggi, setelah itu Allah
membuka (mengajarkan) kepadaku kalimah-kalimah pujian dan pujaan ke atasNYA,
yang belum pernah dibuka (diajar) kepada seseorangpun sebelum daripadaku.”
Setelah itu Allah berfirman: “Wahai Muhammad, angkatlah kepalamu, buatlah
permohonan, kamu akan dikurniakan apa yang kamu minta. Berilah syafaat, kamu
akan dapat memberinya.” Lalu daku mengangkat kepalaku dan berkata: “Ummatku
wahai tuhan, ummatku wahai tuhan…” (Dikeluakan oleh al-Bukhari)
Hadis ini menunjukkan, manusia pada hari kiamat kelak akan memohon doa
dari Nabi SAW, agar baginda berdoa kepada Allah untuk mempercepatkan keputusan
mereka. Dan Nabi SAW ketika itu berada bersama mereka dan mampu
melaksanakannya.Ini termasuk dalam istighathah kepada orang yang hidup dalam
ruang keupayaannya. Bahkan Nabi SAW telah menjelaskan di dalam hadis lain
bahawa doa baginda pada hari kiamat ini adalah sama dengan doa para Nabi di
dunia, baginda bersabda:
لِكُلِّ نَبِيٍّ دَعْوَةٌ مُسْتَجَابَةٌ فَتَعَجَّلَ كُلُّ نَبِيٍّ دَعْوَتَهُ وَإِنِّي اخْتَبَأْتُ دَعْوَتِي شَفَاعَةً لِأُمَّتِي يَوْمَ
الْقِيَامَةِ
Maksudnya: “Bagi setiap Nabi itu satu doa yang akan diperkenankan,
maka setiap Nabi telah menggunakan kesempatan itu. Adapun aku menyimpan doa ku
itu untuk menjadi syafaat kepada ummatku pada hari kiamat.”(HR Muslim)
Maka menggunakan hadis ini sebagai dalil bolehnya istighathah kepada
orang yang telah mati adalah tidak benar dan menyeleweng dari maksud sebenar
yang dikehendaki oleh hadis.Keadaan ini berlaku disebabkan mereka gagal untuk
membezakan antara istighathah yang dibenarkan dengan istighathah yang
terlarang.
v)
Daripada ‘Abdullah
bin ‘Abbas RA tentang kisah Hajar dan anaknya yang dalam keadaan dahaga.Ketika
beliau mencarikan air untuk anaknya, beliau mendengar ada satu suara, lalu
beliau berkata:
قَدْ أَسْمَعْتَ إِنْ كَانَ عِنْدَكَ غِوَاثٌ
Maksudnya: “Sesungguhnya engkau telah mendengar,
jika bersama denganmu ada bantuan (maka bantulah daku).” (dikeluarkan oleh
al-Bukhari)
Dari hadis ini, dijadikan alasan bolehnya meminta
istighathah kepada selain dari Allah SWT.
Bantahan dan Jawapan
Hadis ini adalah sebuah hadis yang sahih.Terdapat
di dalam kitab Sahih al-Bukhari.Akan tetapi hadis ini tidak seperti yang mereka
maksudkan. Sebaliknya istighathah yang dilakukan oleh Hajar itu adalah termasuk
di dalam istighathah yang dibenarkan, kerana ia merupakan permohonan
pertolongan dengan orang yang hidup seperti yang jelas dinyatakan di dalam
hadis, iaitulah beliau meminta tolong setelah mendengar satu suara. Mendengar
suara menunjukkan terdapat seseorang yang berada dekat di situ dan dapat
diharapkan pertolongannya. Lalu di dalam sambungan hadis dinyatakan:
فَإِذَا هِيَ بِالْمَلَكِ عِنْدَ مَوْضِعِ زَمْزَمَ فَبَحَثَ بِعَقِبِهِ أَوْ قَالَ بِجَنَاحِهِ حَتَّى ظَهَرَ
الْمَاءُ
Maksudnya: “Rupanya suara itu adalah suara
malaikat yang berada di tempat air zam-zam, lalu malaikat mengorek dengan tumit
kakinya atau dengan sayapnya sehingga keluarlah air.” (HR al-Bukhari)
Maka perbuatan meminta pertolongan setelah
menyakini adanya seseorang yang hampir dengan kita adalah perbuatan yang
dibenarkan tanpa ada perbezaan pendapat di kalangan ulama.Hujah ini sekali lagi
jelas menunjukkan salah faham mereka yang timbul disebabkan gagal membezakan
antara istighathah yang dibenarkan dan yang dilarang.
vi)
Daripada al-Haris
bin Hassan al-Bakri RA yang berkata: “Aku pernah keluar bersama dengan
al-‘Ala bin al-Hadhramiy pergi ke Rasulullah… “ di dalam hadis tersebut
beliau menyebut: “Lalu aku berkata:
أَعُوذُ بِاللَّهِ وَبِرَسُولِهِ أَنْ أَكُونَ كَوَافِدِ عَادٍ
Maksudnya: “Aku berlindung dengan Allah dan
dengan RasulNya dari aku menjadi seperti Wafid ‘Aad (wakil kaum ‘Aad).” (HR
Ahmad dan al-Tirmizi)
Dari hadis ini, golongan yang membenarkan istighathah
dengan makhluk mengatakan di dalamnya terdapat permohonan dengan Allah dan
dengan Rasul SAW.
Bantahan dan jawapan
Hadis ini tidak boleh dijadikan hujah. Hal ini
kerana, lafaz وَبِرَسُولِهِ
yang bermaksud: “Dan dengan RasulNya” yang terdapat di dalam hadis adalah lafaz tambahan yang Syaz. Lafaz ini
datang melalui riwayat Zaid bin al-Hubab daripada Salam bin Sulaiman. Dalam riwayat
ini, Zaid bin al-Hubab telah menyalahi orang yang lebih thiqah berbandingnya
dalam periwayatan.
Jika berdasarkan riwayat di sisi Ahmad melalui
jalan ‘Affan bin Muslim daripada Salam bin Sulaiman dengan lafaz: أَعُوذُ بِاللَّهِأَنْ أَكُونَ... dimana tidak terdapat lafaz وَبِرَسُولِهِ.Demikian juga berdasarkan riwayat di sisi
al-Tirmizi dari jalan Sufyan bin ‘Uyainah daripada Salam bin Sulaiman dengan
lafaz أَعُوذُ بِاللَّهِأَنْ أَكُونَ مِثْلَ وَافِدِ عَادٍ juga tidak terdapat lafaz وَبِرَسُولِهِ. Maka setiap riwayat yang datang dari ‘Affan bin
Muslim dan Sufyan bin ‘Uyainah adalah lebih kuat berbanding riwayat dari Zaid
bin al-Hubab. Riwayat dari mereka berdua berbeza dengan riwayat dari Zaid bin
al-Hubab. Kerana itu Imam Ahmad berkata tentang Zaid bin al-Hubab: “Beliau adalah
seorang yang banyak kesalahan (dalam periwayatan).” Kata Ibn Hibban: “Dia
banyak kesilapan.”
Jika diandaikan hadis ini thabit sekalipun.
Persoalan meminta perlindungan adalah sama dengan persoalan meminta
pertolongan. Dimana ada yang dibenarkan dan ada pula yang dilarang.Sepertimana
memohon pertolongan adalah harus dengan makhluk yang ada bersama kita dan dalam
kemampuannya, maka demikianlah memohon perlindungan.Maka di dalam hadis ini,
al-Haris memohon perlindungan dengan Rasul dari kaumnya dikuasai oleh kabilah
Bani Tamim.Inilah persamaan yang wujud antara beliau yang diutuskan oleh
kaumnya untuk meminta perlindungan kepada Nabi dengan Wafid ‘Aad yang diutus
oleh kaumnya untuk memohon hujan namun dia pulang dengan membawa kebinasaan.Permohonan
perlindungan al-Haris dengan Nabi SAW adalah perkara yang berada di bawah
kemampuan mana-mana pemerintah atau Qadhi.Selain itu al-Haris memohon
perlindungan daripada baginda Nabi SAW yang berada di hadapan beliau.Situasi
ini jauh berbeza dengan perbuatan orang-orang yang menyembah dan meminta dari kubur.
vii)
Riwayat daripada
‘Aus bin Abdillah ketika berlaku kemarau ke atas penduduk Madinah. Beliau
berkata:
قُحِطَ أَهْلُ الْمَدِينَةِ قَحْطًا شَدِيدًا فَشَكَوْا إِلَىعَائِشَةَ فَقَالَتْ انْظُرُوا قَبْرَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ
وَسَلَّمَ فَاجْعَلُوا مِنْهُ كِوًى إِلَى السَّمَاءِ حَتَّى لَا يَكُونَ بَيْنَهُ
وَبَيْنَ السَّمَاءِ سَقْفٌ قَالَ فَفَعَلُوا فَمُطِرْنَا مَطَرًا حَتَّى نَبَتَ الْعُشْبُ وَسَمِنَتْ الْإِبِلُ حَتَّى تَفَتَّقَتْ مِنْ الشَّحْمِ فَسُمِّيَ عَامَ
الْفَتْقِ
Maksudnya: “Berlaku kemarau panjang ke atas
penduduk Madinah, lalu mereka mengadu perkara itu kepada ‘Aisyah RA. Lalu
‘Aisyah RA berkata: “Liharlah ke kubur Nabi SAW, dan jadikan ruang kosong ke
langit sehingga tiada sesuatu atap di antaranya dengan langit.” Maka mereka
semua melakukan perkara itu, lalu kami
dikurniakan hujan yang amat lebat sehingga tumbuhan subur dan unta menjadi
gemuk. Dinamakan tahun ini sebagai tahun al-Fatq.”Dikeluarkan oleh
al-Darimi di dalam Sunannya, Bab: Ma Akrama Allah Taala Nabiyyahu Ba’d Mautih:
1/56)
Mereka yang membenarkan istighathah dengan Nabi SAW
selepas kewafatan baginda menjadikannya hadis ini sebagai dalil.Ia berdasarkan
arahan ‘Aisyah agar dibuka atap kubur Nabi SAW dan memohon hujan dengan baginda
selepas kewafatan baginda.
Jawapan dan Bantahan
Athar ini adalah Dhoief Jiddan.Tidak boleh dijadikan hujjah. Syeikh
al-Islam Ibn Taimiyyah berkata:
“Dan apa yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah RA agar dibuka atap kubur
Nabi SAW ke langit untuk diturunkan huja,n bukanlah riwayat yang Sahih. Tidak
thabit isnadnya. Sebaliknya ia hanya dinukil dari orang yang terkenal dengan
pendustaan. Antara yang dapat dibuktikan pendustaan ini ialah apabila pada masa
hayat ‘Aisyah tidak terdapat lopongan ini di
rumah beliau. Bahkan sebahagian rumahnya kekal sepertimana di zaman Nabi
SAW, sebahagiannya beratapdan sebahagian lain terbuka, cahaya matahari juga
memasukinya sepertimana yang thabit dari dua kitab Sahih al-Bukhari dan Muslim
daripada ‘Aisyah RA, bahawa Nabi SAW menunaikan solat ‘Asar dan cahaya matahari
berada di dalam bilik beliau (‘Aisyah), dan bayang-bayang masih sedikit.
Berterusan keadaan bilik ‘Aisyah tersebut sehinggalah al-Walid bin ‘Abd
al-Malik menambah (membesarkan) masjid ketika zaman pemerintahannya…”[15]
G) KESIMPULAN
Perbuatan meminta pertolongan dan bantuan dengan
Nabi SAW setelah kewafatan baginda adalah perbuatan yang jelas menyalahi
al-Quran dan al-Sunnah.Terbanyak ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Nabi SAW
yang melarang perbuatan ini, antaranya:
1) Surah Yunus:
106
Maksudnya: “dan janganlah kamu semua
berdoa kepada selain Allah apa-apa yang
tidak dapat memberi manfaat dan tidak (pula) memberi mudarat kepadamu; jika
kamu berbuat (yang demikian), itu, Maka sesungguhnya kamu termasuk dari
kalangan orang-orang yang zalim". (Yunus: 106)
2) Surah al-Qasas:
88
Maksudnya: “janganlah kamu sembah (berdoa)
di samping (menyembah) Allah, Tuhan apapun yang lain. tidak ada Tuhan (yang
berhak disembah) melainkan Dia. tiap-tiap sesuatu pasti binasa, kecuali Allah.
bagi-Nyalah segala penentuan, dan hanya kepada-Nyalah kamu dikembalikan.”
3) Hadis yang
diriwayatkan daripada ‘Ubadah bin al-Samit RA, Nabi SAW bersabda:
إِنَّهُ لَا يُسْتَغَاثُ بِي وَإِنَّمَا يُسْتَغَاثُ بِاللَّهِ
Maksudnya: “Sesungguhnya tidak dipohon
pertolongan daripadaku, sebaliknya hanya dipohonpertolongan dengan Allah.”[16]
Wallahu a’lam.
[1]Lihat ‘Umdah al-Qariy 23/296 dan al-Durr
al-Nadhid oleh al-Syaukaniy.
[2]Taaj al-‘Urus 5/314
[3] Beliau ialah cucu kepada Sahabat Nabi Umar bin al-Khattab RA.
beliau adalah seorang ikutan, seorang zahid dan Mufti Madinah di zamannya.
Meriwayatkan banyak hadis dari sekumpulan para sahabat Nabi SAW.Meninggal dunia
pada tahun 107H.lihatal-Jarh wa al-Ta’dil 4/184. Juga Siyar A’lam
al-Nubala’ 4/457
[6] Beliau ialah al-Husain bin al-Hasan bin Muhammad bin Halim
al-Syafi’ie, seorang tokoh, pemimpin ulama hadis dan kalam. Antara tulisan
beliau ialah al-Minhaj Fi Syu’ab al-Iman.Meninggal pada tahun 403H.Wafayat
al-A’yan 2/137. Al-Bidayah wa al-Nihayah 11/349 dan Siyar A’lam al-Nubala
17/231.
[16]Hadis dikeluarkan oleh Ahmad di dalam Musnad: 5/317 dari
hadis ‘Ubadah bin al-Samit RA. al-Haithami menukilkan hadis ini di dalam Majma’
al-Zawa’id 10/159 dan beliau berkata: “Diriwayatkan hadis ini oleh
al-Tabarani dan para periwaytnya adalah para periwayat al-Sahih selain Ibn
Lahi’ah, dan beliau adalah Hasan al-Hadis.”
0 comments:
Post a Comment