Friday, February 7, 2014

Sifat Fizikal Nabi SAW (1)

Daripada Anas bin Malik RA katanya:

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ ، أَنَّهُ سَمِعَهُ , يَقُولُ : " كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ , لَيْسَ بِالطَّوِيلِ الْبَائِنِ ، وَلَا بِالْقَصِيرِ ، وَلَا بِالأَبْيَضِ الأَمْهَقِ ، وَلَا بِالآدَمِ ، وَلَا بِالْجَعْدِ الْقَطَطِ ، وَلَا بِالسَّبْطِ ، بَعَثَهُ اللَّهُ تَعَالَى عَلَى رَأْسِ أَرْبَعِينَ سَنَةً ، فَأَقَامَ بِمَكَّةَ عَشْرَ سِنِينَ ، وَبِالْمَدِينَةِ عَشْرَ سِنِينَ ، وَتَوَفَّاهُ اللَّهُ تَعَالَى عَلَى رَأْسِ سِتِّينَ سَنَةً ، وَلَيْسَ فِي رَأْسِهِ وَلِحْيَتِهِ عِشْرُونَ شَعْرَةً بَيْضَاءَ


Maksudnya: “Rasulullah SAW bukanlah seorang yang terlalu tinggi, bukan juga seorang yang rendah, bukan juga seorang yang terlalu putih. Bukan juga seorang yang berambut kerinting, bukan juga seorang yang berambut terlalu lurus. Allah melantik baginda menjadi rasul ketika baginda berumur 40 tahun. Baginda menetap di Mekah selama 10 tahun (sebagai Rasul) dan di Madinah selama 10 tahun. Allah mewafatkan baginda ketika penghujung umur baginda 60 tahun, (Ketika itu) uban di kepala dan janggut baginda tidak sampai 20 helai.” (HR al-Bukhari dan Muslim. Demikian juga al-Tirmizi di dalam kitab Jami’ beliau, 3623)


§     Ungkapan فَأَقَامَ بِمَكَّةَ عَشْرَ سِنِينَ bermaksud baginda menetap di Mekah setelah diangkat menjadi Nabi. Dalam sebahagian riwayat dinyatakan baginda menetap di Mekah setelah diangkat menjadi Nabi selama 13 tahun. Setelah sempurna tempoh menjadi Nabi selama 13 tahun ini, baginda berhijrah ke Madinah. Riwayat yang menyatakan baginda tinggal di Mekah selama 10 tahun dapat difahami ia dikira bermula baginda menzahirkan dakwah, kerana setelah diangkat menjadi Nabi, baginda menyembunyi atau berdakwah secara rahsia selama 3 tahun, iaitulah setelah turunnya surah al-Muddatthir yang di dalamnya terdapat arahan untuk menzahirkan dakwah.

§     Ungkapan وَتَوَفَّاهُ اللَّهُ تَعَالَى عَلَى رَأْسِ سِتِّينَ سَنَةً bermaksud: Allah “mewafatkan baginda ketika penghujung umur baginda 60 tahun.” Dan riwayat yang lebih masyhur, thabit dan lebih sahih ialah Allah SWT mewafatkan baginda ketika baginda berumur 63 tahun. Riwayat yang menyatakan baginda wafat ketika berumur 60 tahun boleh juga difahami periwayat hadis menyatakannya dalam bentuk menggundarkan kepada bilangan puluh yang paling hampir (إلغاء الكسر), justeru 63 lebih hampir kepada 60.

wallahu a'lam

0 comments: